Rangka dalam atau endoskeleton (dari bahasa Yunani ἔνδον éndon = "dalam" + σκελετός skeletos = "rangka, jerangkung") merupakan struktur sokongan dalaman haiwan yang terdiri daripada tisu termineral. Ia terdapat di dalam badan pelbagai jenis haiwan, khususnya vertebrat (haiwan bertulang belakang), tetapi juga dalam sesetengah invertebrat seperti karang dan landak laut. Antonimnya ialah rangka luar (exoskeleton).

Rangka dalam ikan mersuji [en].

Rangka dalam terkembang di dalam kulit atau tisu badan dalaman. Rangka dalam vertebrat pada asasnya terdiri daripada dua jenis tisu (tulang dan rawan). Pada awal perkembangan embrio, rangka dalam terdiri daripada notokord dan rawan. Notokord dalam kebanyakan vertebrat digantikan oleh turus vertebra dan rawan pula digantikan oleh tulang dalam kebanyakan dewasa. Dalam tiga filum dan satu subkelas haiwan, rangka dalam hadir dalam pelbagai tahap kekompleksan, iaitu: Chordata, Echinodermata, Porifera, dan Coleoidea. Sesebuah rangka dalam mungkin berfungsi sokongan semata-mata (misalnya, bunga karang (span)), tetapi lazimnya bertindak sebagai tapak melekapnya otot dan mekanisme untuk memancarkan daya otot.

Rangka dalam sejati terbit dari mesoderma dan hadir dalam haiwan jenis kordata dan ekinoderma. "Rangka" porifera terdiri daripada spikul-spikul halus yang terdiri daripada bahan kapur atau silika, ataupun serangkai spongin. Subkelas Coleoidea tidak mempunyai rangka dalam sebenar dalam erti kata evolusi; sebaliknya, ia merupakan pelbagai jenis struktur dalaman yang terevolusi dari suatu rangka luar moluska, misalnya "tulang sotong" pada sotong katak. Namun begitu, badannya tetap ada tisu rawan biarpun tidak termineral, lebih-lebih lagi di bahagian kepala di mana terbentuknya kranium primitif. Rangka dalam memberikan bentuk, sokongan dan perlindungan kepada badan serta menyediakan kaedah gerak alih.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting