Sarada Devi (Bengali: সারদা দেবী;  Sharodā Debi merupakan seorang tokoh wanita India kurun ke-19. Beliau merupakan isteri Sri Ramakrishna Paramahamsa. Kisah hidup Sarada merupakan satu rekod utama dalam sejarah wanita India dan antarabangsa. Hidupnya menjadi idola sebagai seorang anak, kakak, isteri, ibu dan guru rohani. Fakta bahawa seorang wanita kampung yang tidak berpendidikan, yang kini dipuja oleh jutaan manusia di seluruh dunia sebagai seorang Dewi, dapat menggambarkan kehebatannya.   

Sri Sarada Devi (A.D. 1853-1920)

Biografi Ringkas

sunting

Kelahiran

sunting
 
Rumah Sarada Devi di Jayrambati

Pada 22 Disember 1853, Saradamani Devi telah lahir di kampung Jayrambati (terletak lebih kurang 100 km di barat Kolkata) di Bengal Barat, India. Sarada ialah anak sulung Ramchandra Mukhopadhyaya (atau Mukherji) dan Syamasundari Devi, pasangan Brahmin yang miskin.[1] Ramchandra mencari rezekinya dengan bertani dan juga menjadi seorang sami.

Suatu hari, Ramachandra bermimpi tentang seorang budak perempuan yang sangat cantik dan berkulit keemasan. Dia mendakap leher Ramachandra dengan tangan kecilnya dan berkata bahawa dia akan datang ke rumahnya.[2]

Beberapa hari kemudian, Syamasundari sedang pulang dari kampung asalnya, Sihore. Disebabkan cuaca yang panas, beliau duduk di bawah sebatang pokok Vilwa untuk berehat. Tiba-tiba beliau terdengar bunyi gelang kaki dan melihat seorang budak perempuan yang hitam manis dan sangat cantik. Budak itu turun dari pokok Vilwa dan mendakap Syamasundari. Sentuhannya menyebabkan Syamasundari pengsan. Apabila sedar diri, beliau merasakan dirinya hamil.[3]

Kedua-dua pengalaman mistik ini menunjukkan bahawa kanak-kanak yang akan lahir untuk mereka ialah seorang dewi.

Tidak lama kemudian, Syamasundari melahirkan anak perempuan sulungnya. Menurut carta astrologi, anak itu dinamakan sebagai Saradamani dan Thakurmani (Permata Dewi). Saradamani dalam Bahasa Benggali bermaksud ‘Permata yang memberikan intipati hidup’. Nama ini juga dieja sebagai ‘Saradamani’ yang bermaksud Saraswati (Dewi ilmu). Ramakrishna sendiri mengumumkan bahawa Sarada ialah Saraswati, yang telah lahir demi menyelamatkan manusia sejagat, dengan menyelubungi kecantikannya yang luarbiasa.[4]

Zaman Kanak-kanak

sunting

Sarada seorang budak yang amat pemalu dan senyap. Namun, beliau rajin bekerja dan sering membantu ibu bapanya di rumah dan di sawah. Sebagai anak sulung dalam keluarganya, beliau menjaga dan mendidik adik-adiknya seperti seorang ibu. Walaupun saiznya kecil, beliau sangat bijak dan sering bertindak sebagai hakim dalam pertengkaran kanak-kanak kampung.[5]

Sejak kecil lagi, Sarada amat menyayangi patung-patung Lakshmi dan Dewi Kali! Beliau gemar bermain dengan menghiasi patung-patung itu dengan bunga dan memujanya.

Pada tahun 1864, Jayrambati dilanda kemarau panjang. Kegiatan pertanian terhenti menyebabkan ramai orang miskin mengalami kebuluran. Ramachandra menyediakan makanan percuma di rumahnya untuk orang-orang yang kebuluran. Sering kali, Sarada mengipas makanan yang panas agar orang-orang yang kebuluran itu dapat memakan dengan cepat.

Perkahwinan

sunting

Ketika Sarada berusia dua tahun, beliau telah dibawa ke sebuah kuil Shiva. Apabila wanita-wanita tua menyoalnya secara main-main, siapakah yang beliau mahu kahwin apabila dewasa kelak, Sarada menunding ke arah seorang pemuda berusia dua puluh tahun bernama Gadadhar (Sri Ramakrishna). Tiga tahun kemudian, pada Mei 1859, Sarada dikahwinkan dengan Gadadhar yang sama![6]

Perkahwinan Sarada dengan Ramakrishna memang telah ditakdirkan. Apabila Ramakrishna mendapati bahawa percubaan ibu dan abangnya untuk mencari seorang jodoh untuknya tidak berjaya, Ramakrishna memberitahu mereka bahawa jodoh yang telah dipilih untuknya berada di rumah Ramachandra Mukhopadhyaya di Jayrambati. Malah, carta astrologi mereka juga amat serasi!

Selepas perkahwinan yang pelik ini, Sarada pulang ke rumahnya di Jayrambati. Ramakrishna pula pulang ke kuil Kali di Dakshineswar untuk melakukan disiplin rohani.

Ramakrishna kembali ke Kamarpukur pada tahun 1867 dan tinggal di sana selama beberapa bulan. Ketika ini, Sarada yang berusia empat belas tahun berpeluang untuk berjumpa dengannya. Ramakrishna mengajarnya untuk bersembahyang, bermeditasi dan juga melakukan kerja rumah. Beliau juga mengajarnya cara-cara untuk berkomunikasi dengan pelbagai jenis orang. Selepas tinggal di Kamarpukur selama beberapa bulan, Sarada sekali lagi kembali ke Jayrambati. Selepas itu, beliau tidak berpeluang untuk berjumpa dengan suaminya selama beberapa tahun.

Beberapa tahun kemudian, Sarada mendengar bahawa suaminya telah menjadi ‘gila’. Wanita-wanita kampungnya melihatnya dengan penuh simpati kerana beliau ditakdirkan untuk berkahwin dengan seorang ‘gila’. Ramakrishna sedang melakukan pelbagai disiplin rohani yang luarbiasa yang tidak pernah dilakukan oleh sesiapa pun. Oleh itu, orang menganggap bahawa beliau telah menjadi gila.

Selama beberapa bulan, Sarada tidak ada cara untuk mengetahui kebenarannya. Beliau telah menunggu dengan harapan bahawa suaminya akan membawanya pergi ke Dakshineswar. Apabila belaiu mendengar bahawa suaminya telah menjadi gila, beliau menjadi bimbang. Akhirnya, beliau memutuskan untuk pergi ke Dakshineswar.[7]   

Dalam Mac 1872, Sarada bertolak ke Dakshineswar bersama-sama bapanya dengan berjalan kaki. Beliau tidak pernah berjalan jauh sebelum itu. Dakshineswar terletak hampir 60 batu dari Jayrambati. Dalam perjalanan, Sarada mendapat demam dan langsung tidak dapat bergerak. Selepas berehat di sebuah pondok di tepi jalan, mereka meneruskan perjalanan ke Dakshineswar.

Ramakrishna menerima kedatangan Sarada dengan penuh kasih sayang dan prihatin. Sarada berasa lega mendapati suaminya normal dan tidak menunjukkan sebarang tanda kegilaan. Malah, beliau juga menguruskan untuk rawatan Sarada dan memintanya untuk berehat.

Sama seperti Ramakrishna, Sarada juga tidak berminat dengan kehidupan duniawi. Ramakrishna mula memberikan ajaran rohani kepada Sarada dan melatihnya melakukan kerja-kerja rumah.

Tidak lama kemudian, pada tahun 1872, pada hari Phalaharini Kali Puja, Ramakrishna memuja Sarada sebagai Dewi Kali dan mempersembahkan semua hasil kehidupan rohaninya kepada Sarada. Peristiwa unik ini amat bermakna dalam sejarah kerohanian manusia. Ia membuktikan bahawa hawa nafsu dapat dihapuskan sepenuhnya dengan sikap melihat semua wanita sebagai ibu. Melalui pemujaan ini juga, Ramakrishna memberikan Sarada semua kuasa-kuasa rohaninya dan membangkitkan sifat keibuan sejagat dalam diri Sarada.[8]

Hari-hari di Dakshineswar

sunting

Sarada tinggal di sebuah bilik kecil di tingkat bawah nahabat (dewan muzik) kuil Kali, Dakshineswar selama tiga belas tahun. Dalam tempoh ini, beliau sering kali berulang-alih ke Jayrambati untuk menguruskan keluarganya di kampung. Walaupun beliau menjalani kehidupan yang serba kekurangan, beliau gembira untuk berada berdekatan suaminya. Harinya bermula pada pukul tiga pagi, sebelum orang lain bangun. Beliau bermandi di Sungai Ganges, di sebuah tangga menuju ke sungai berdekatan Nahabat, dalam kegelapan awal pagi. Kemudian beliau menghabiskan satu setengah jam untuk berdoa di dalam biliknya. Selepas itu, beliau memasak untuk Sri Ramakrishna. Menjelang petang, beliau menyediakan sumbu pelita-pelita dan menyalakannya dan kemudian duduk untuk berdoa dan bermeditasi. Kemudian beliau memasak makan malam untuk Sri Ramakrishna.

Pada satu hari, seorang pedagang kaya datang kepada Ramakrishna dan memintanya untuk menerima sejumlah wang untuk perbelanjaannya. Ramakrishna menolak wang itu tetapi apabila pedagang itu mendesaknya, beliau meminta Sarada untuk menerimanya. Sarada yang bijak turut menolak wang itu kerana jika beliau menerimanya, wang itu masih akan digunakan untuk Ramakrishna. Apabila Ramakrishna mendengar tentang keputusan Sarada, beliau berasa gembira dengan semangat pelepasan Sarada.

 
Nahabat Dakshineswar

Hidup Sarada Devi di Dakshineswar berlalu dengan gembira. Apabila orang ramai mula mengerumuni Sri Ramakrishna untuk mendapatkan ajaran rohani, Sarada juga memainkan peranannya dengan menyediakan makanan untuk pelawat-pelawat itu. Adakalanya, pada waktu lewat malam, beliau terpaksa memasak untuk pengikut-pengikut Ramakrishna. Adakalanya, berhari-hari beliau tidak berpeluang untuk berjumpa dengan Sri Ramakrishna yang sibuk memberikan ajaran rohani kepada pengikut-pengikutnya.

Dalam kalangan pengikut Ramakrishna, beberapa orang wanita alim menjadi teman dan kawan Sarada. Yogin-Ma, Gopaler Ma dan Golap Ma, adalah beberapa orang wanita yang rapat dengan Sarada. Mereka membantu Sarada melakukan kerja-kerja memasak dan sebagainya. Adakalanya, apabila Sarada malu untuk meluahkan sesuatu kepada Ramakrishna, mereka menjadi pesuruhnya. Demikian, Sarada menghabiskan hampir tiga belas tahun di Dakshineswar.

Suka, atau duka, tidak berterusan selama-lamanya. Sekitar September 1885, Ramakrishna mengalami sakit tekak, yang dikenalpasti oleh doktor sebagai penyakit barah. Oleh sebab beliau memerlukan rawatan berterusan, beliau dibawa ke sebuah rumah-taman di Kasipur, yang lebih dekat dengan bandar Kolkata.

Sarada memasak untuk beliau dan pengikut-pengikut mudanya yang tinggal di situ. Pengikut-pengikut muda Sri Ramakrishna menjaganya secara bergilir-gilir. Narendra, bakal Swami Vivekananda, dan ramai lagi pemuda sepertinya menjaga Sri Ramakrishna sepanjang masa. Keadaan beliau bertambah buruk. Ketika ini, beliau mengarahkan Sarada untuk meneruskan dengan kerja-kerja menjaga pengikut-pengikutnya selepas kematiannya.

Pada 16 Ogos 1886, Ramakrishna meninggalkan jasadnya. Selepas menjalankan upacara pembakaran mayatnya, Sarada menanggalkan barangan kemasnya. Ketika beliau hendak menanggalkan gelang tangannya, roh Ramakrishna muncul di hadapannya. Sambil menekan tangan Sarada, beliau berkata: “Adakah saya sudah mati? Kamu bertindak seperti seorang janda. Saya hanya telah berpindah dari sebuah bilik ke bilik yang lain.”[9] 

Persediaan Rohani

sunting

 Selepas kematian Sri Ramakrishna, Sarada Devi melakukan lawatan ibadah dengan beberapa orang temannya seperti Golap-Ma dan Lakshmi Didi. Dengan berdoa dan bersembahyang di tempat-tempat suci seperti Deoghar, Varanasi, Prayag, dan Vrindavan, Sarada mengubati hatinya yang sedih. Ketika ini, beliau memberikan mantera kepada Yogin, seorang pengikut Ramakrishna yang kemudiannya menjadi rahib. Sarada mengakhiri lawatan ini pada bulan Ogos 1887 dan pulang ke Kolkata.[10]  

Tidak lama kemudian, beliau bertolak ke rumah pusaka Ramakrishna di Kamarpukur. Sebelum kematiannya, Ramakrishna telah meminta Sarada untuk pergi ke Kamarpukur dan tinggal di sana seorang diri. Kini, Sarada menunaikan janjinya kepada Ramakrisna. Selama hampir sembilan bulan, beliau tinggal di Kamarpukur dalam kemiskinan. Kecuali padi daripada sawah keluarganya, beliau tidak ada apa-apa pun. Jadi, Sarada memasak nasi dengan padi itu dan memakannya tanpa secubit garam. Kemudian, beliau menanam sayur-sayuran di belakang rumahnya. Dengan tenang, Sarada mengharungi kemiskinan. Beliau hanya sedih kerana tidak dapat bermandi di Sungai Ganges, seperti yang biasa dilakukannya di Dakshineswar. Pada suatu hari, dengan mata kasarnya, Sarada melihat Sri Ramakrishna tampil di hadapannya. Tiba-tiba, Sungai Ganges memecut keluar dari tapak kakinya dan mengalir dengan deras! Peristiwa ini meyakinkan Sarada bahawa Sri Ramakrishna wujud dalam segala-galanya. Menurut mitologi Hindu, Sungai Ganges berasal daripada tapak kaki Dewa Vishnu dalam Jelmaan-Nya sebagai Vamana.[11]

Apabila pengikut-pengikut Ramakrishna di Kolkata mendapat tahu tentang kehidupan Sarada di Kamarpukur, mereka menjemputnya ke Kolkata. Sebuah rumah disewa dan para pengikut mengambil tanggungjawab untuk menjaga Sarada Devi yang mereka panggil sebagai 'Ibu Yang Alim'.

Demikian, Sarada ditempatkan di rumah-taman Nilambar Babu di kampung Belur. Ketika ini, beliau melakukan ‘Pancatapa’ suatu disiplin rohani yang rumit. Empat ungun api dinyalakan di atas teres rumah itu, setiap satu pada jarak enam kaki. Terikan matahari yang bersinar di atas adalah api yang kelima. Sarada dan Yogin-Ma (salah seorang temannya) bermandi di Ganges pada waktu subuh dan, duduk di tengah-tengah ungun-ungun api itu, dan melakukan meditasi. Mereka melakukan ini sehingga matahari terbenam. Selama tujuh hari berturut-turut mereka melakukan ini dari subuh ke senja.[12]

Dalam tahun 1888, Sarada melakukan lawatan ibadah ke Gaya, sebuah kota purba suci untuk Vishnu. Beliau juga melawat Bodh Gaya, di mana Buddha mendapat Ilmu. Di sini beliau melawat sebuah biara Hindu yang besar dan berasa gembira untuk melihat rahib-rahib yang hidup dengan senang. Mereka tidak merana dalam kemiskinan. Hati keibuan Sarada menderita memikirkan keadaan anak-anaknya (pengikut-pengikut Sri Ramakrishna yang menjadi rahib) yang sedang merantau sebagai fakir-fakir. Dengan bersungguh-sungguh, beliau berdoa kepada Sri Ramakrishna untuk menyediakan satu biara untuk pengikut-pengikutnya.[13]

Ikatan Kekeluargaan

sunting

Selepas kematian Sri Ramakrishna, Sarada Devi mengambil tugas menjaga Surabala, kakak iparnya yang gila dan Radhu, anak saudaranya yang hampir gila. Beliau juga sering terlibat dengan persengketan keluarga abang-abangnya.[14]   

Sri Ramakrishna telah mengarahkan Sarada Devi untuk meneruskan tugas kerohanian. Sarada memberikan ajaran dan mantera suci kepada kepada ratusan orang. Sesiapa sahaja yang memanggilnya sebagai ‘Ibu’ menerima kasih sayangnya. Malah, orang-orang yang dibenci oleh masyarakat juga menerima simpati dan kasihnya.  Siang dan malam, beliau sibuk memikirkan tentang kebaikan ‘anak-anaknya’ dan melakukan disiplin rohani seperti japa dan meditasi untuk mereka.[15]

Ibu Yang Alim

sunting
 
Sarada Devi di Biara Belur

Narendranath, pengikut utama Sri Ramakrishna, menjadi Swami Vivekananda. Pada awal 1893, Vivekananda telah hampir memutuskan untuk berlayar ke Amerika untuk menyertai Persidangan Agama-Agama Dunia di Chicago. Tetapi beliau masih mempunyai satu keraguan: adakah ia benar-benar niat Tuhan? Bagi mendapatkan kepastian, Vivekananda menulis surat kepada Sarada Devi dan meluahkan hasratnya. Hanya selepas Sarada memberikan restunya, Vivekananda bertolak ke Amerika.[16]

Swami Vivekananda kembali ke India pada awal 1897 selepas kejayaannya di Barat. Tidak lama kemudian, sebidang tanah dibeli di kampung Belur, merentasi Ganga. Di sini, Biara Belur yang menjadi pusat Ramakrishna Sangha didirikan.[17]  

Pada 1899, Sarada Devi melawat Biara Belur, ditemani oleh Saudari Nivedita dan beberapa orang pengikut Vivekananda. Apabila Sarada pertama kali menjejaki tanah Biara itu, Vivekananda menjemputnya dengan penuh rendah diri. Sarada menyapu dan membersihkan sebuah tempat di tanah itu dan memuja sebuah potret Sri Ramakrishna di situ. Beliau berasa amat gembira kerana akhirnya ‘anak-anaknya’ sudah mempunyai sebuah tempat tetap.

Rumah Ibu

sunting

Sejak Sarada berpindah ke Kolkata, beliau menetap di rumah-rumah pengikut Sri Ramakrishna dan kadang-kadang di rumah sewa. Swami Saradananda, seorang pengikut Sri Ramakrishna bertekad untuk mendapatkan sebuah rumah untuk Sarada. Dengan meminjam dan memungut derma, dia membeli sebuah bangunan yang cantik di Baghbazar, Kolkata. Pada 23 Mei 1909, Sarada  memasuki rumah baru ini dan tinggal di tingkat pertama rumah ini sehingga ke akhir hayatnya.[18]

Di tingkat bawah rumah ini, Saradananda menulis biografi ‘Sri Ramakrishna Lilaprasanga’, dalam bahasa Bengali (‘Sri Ramakrishna, The Great Master’). Hasil jualan buku ini digunakan untuk membayar pinjaman Rumah Ibu. Di bangunan ini juga, sebuah pejabat jurnal bulanan Udbodhan ditempatkan. Udbodhan merupakan jurnal Bengali yang dimulakan oleh Vivekananda pada tahun 1899. Oleh itu, Rumah Ibu juga dikenali sebagai ‘Rumah Udbodhan’.[19]

Lawatan ke India Selatan

sunting

Pada akhir bulan Februari 1911, Sarada dan beberapa orang lain melawat tempat-tempat suci di India Selatan. Swami Ramakrishnananda yang berada di Madras (kini Chennai) telah menjemputnya untuk melawat tempat-tempat suci dan berjumpa dengan pengikut-pengikut di sana. Semasa lawatan ini, Sarada memuja Sivalinga di kuil Rameswaram dengan 108 daun Bilwa emas. Ketika melakukan pemujaan dengan tangannya sendiri, secara tidak sengaja beliau berkata bahawa Sivalinga itu masih berada sama seperti yang ditinggalkannya dahulu. Menurut tradisi, Sivalinga itu telah dibuat oleh Dewi Sita.[20]

Seterusnya, Sarada melawat Ramakrishna Ashrama (kini Ramakrishna Math, Bangalore) di Bengaluru sebelum kembali ke Kolkata. Beliau menetap di sini selama tiga hari daripada 24 hingga 26 Mac 1911. Sebuah memorial telah didirikan bagi menandakan tempat di mana beliau bertapa.

Sekali lagi, pada tahun 1912, Sarada melakukan lawatan ke Varanasi.

Hari-hari Akhir

sunting

Selama 34 tahun, Sarada menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu dan guru kepada ribuan orang yang mencari ketenangan rohani. Bilangan anak-anaknya yang makin bertambah menyebabkan dia langsung tidak dapat berehat. Usianya kini 67 tahun dan badannya telah menjadi lemah. Tanpa mengendahkan kesihatannya, beliau berjumpa dengan sesiapa sahaya yang datang untuk mendapatkan restunya.

Awal tahun 1920, Sarada mula mengalami demam setiap hari. Keputusan diambil untuk membawanya ke Kolkata untuk rawatan. Pada 24 Februari 1920, buat kali terakhir, Sarada meninggalkan Jayrambati dan kembali ke Rumah Udbodhan. Di sini rawatan yang terbaik diberikan, namun demamnya tidak berhenti.

Sarada Devi meninggal dunia pada 21 Julai 1920. Jasadnya dibawa merentasi Ganges ke Biara Belur dan dibakar di atas unggun kayu cendana. Kini di tapak yang sama, sebuah kuil marmar telah dibina menempatkan abu suci Sarada Devi.[21]

Nasihat Akhir

sunting

Lima hari sebelum kematiannya, Sarada Devi berkata kepada seorang wanita yang sedih,‘Mengapa kamu nak takut? Kamu telah melihat Sri Ramakrishna… Biar saya memberitahu kamu sesuatu. Anakku, jika kamu mahu ketenangan, jangan lihat kesalahan sesiapa pun. Lihatlah kesalahanmu sendiri. Cubalah untuk menjadikan dunia ini milikmu. Anakku, sesiapa pun bukan orang asing. Seluruh dunia ini ialah milikmu.’ Ini bukan sahaja nasihat terakhir Ibu Yang Alim kepada umat manusia tetapi juga inti kehidupannya sendiri.[22]

Dua ayat pertama di atas memberikan kepastian kepada semua pengikut Sri Ramakrishna. Sesiapa yang telah melihat Sri Ramakrishna atau menjadikan Sri Ramakrishna sebagai ideal hidup, tidak perlu takut. Panduan hidup yang diberikan oleh Sri Ramakrishna akan pasti membantu mereka untuk merentasi ‘Samsara’ iaitu kitaran hidup ini.[23]

Ayat seterusnya menunjukkan cara untuk mengatasi ketakutan dan juga hasil yang diperolehi dengan mengikutinya. Apabila kita berhenti melihat kecacatan atau kelemahan orang lain, kita akan dapat mengekalkan hubungan yang baik dengan semua orang. Dengan melihat kelemahan diri sendiri, kita akan berusaha untuk mengatasi kelemahan itu. Kita juga akan lebih bersimpati dan memahami orang lain.

Ayat ‘Sesiapa pun bukan orang asing. Seluruh dunia ini ialah milikmu’ ialah kebenaran yang diutarakan oleh falsafah Vedanta. Dalam dua ayat ini, Sarada Devi telah merumuskan falsafah Vedanta bahawa Atman atau Tuhan yang Satu wujud dalam segala-galanya. Oleh kerana, semuanya ialah Atman yang sama, tidak ada perbezaan di antara manusia. Perbuatan memburukkan orang lain ialah sama seperti mencaci diri sendiri! Dengan menemui kebenaran ini atau dengan kepercayaan kuat padanya, perhubungan antara insan akan maju ke tahap yang mulia.

Keunikan Sarada Devi

sunting

Kehidupan Sarada Devi, daripada mula hingga akhir, penuh dengan cabaran. Beban yang ditanggungnya sebagai seorang anak, isteri, dan akhirnya sebagai ibu kepada satu komuniti yang besar merentasi bahasa dan bangsa adalah di luar kehidupan seorang wanita biasa. Apa yang mengagumkan ialah dalam suasana yang genting, Sarada mengekalkan sifat tersisihnya, yang dianggap dalam agama Hindu sebagai nilai tertinggi dalam diri seorang manusia. Dalam semua situasi yang dihadapinya, Sarada sentiasa tenang, seolah-olah ia bukan masalahnya. Kesabaran, keberanian, dan kebijaksanannya, yang diuji berulang-kali, mengagumkan semua orang.

Namun, perkara yang boleh menakjubkan tentang Sarada Devi ialah semangat pelepasannya. Seperti suaminya, beliau mempunyai semangat pelepasan yang sangat tinggi. Kerap kali, beliau berdepan dengan kebuluran, tetapi beliau tidak pernah merungut tentang nasibnya atau meminta bantuan sesiapa pun.

Sifat ketuhanan terserlah dalam segala tindakan Sarada Devi, meskipun ia cuma perbuatan yang amat biasa. Beliau seorang wanita yang sederhana, tetapi dalam percakapan, pemikiran, dan perbuatan, beliau berhubung dengan Tuhan. Beliau seorang alim yang sejati, tetapi beliau tidak pernah mengakui dirinya alim. Beliau kelihatan seperti seorang wanita biasa, tetapi setiap satu mengenainya adalah luar biasa. [24]

Epilog

sunting

Sri Ramakrishna telah meninggalkan Sarada Devi untuk menegakkan semula keibuan sejagat yang ulung. Sifat keibuannya tidak mengenal baik buruk, dan dicurahkan dengan sama rata kepada orang mulia mahu pun orang yang hina. Kasih sayang itu mampu menawan hati 'anak-anak'nya dan membawa mereka ke jalan kebenaran dan kemuliaan. Hidup Sarada Devi menunjukkan bahawa sifat bersopan santun merupakan hiasan terbaik bagi seorang wanita sementara sifat keibuan pula merupakan ideal hidup yang tertinggi.

Sarada Devi, meskipun tidak berpendidikan, mempunyai pandangan yang mendalam mengenai masalah yang dihadapi oleh kaum wanita. Beliau sedar tentang kepentingan pendidikan dan kebebasan ekonomi bagi kaum wanita. Oleh itu, beliau menyokong usaha Saudari Nivedita (1867-1911) untuk memberikan pendidikan kepada wanita India.

Sarada Devi merupakan satu jambatan yang terbaik yang menghubungkan ideal-ideal wanita India purba dan moden. Sekiranya, wanita India moden dapat mengambil teladan daripada hidupnya, pasti usaha mereka untuk mencapai kebebasan yang sepenuhnya dapat tercapai.

Hidup Sarada Devi telah dan masih menjadi inspirasi kepada ramai wanita-wanita India dan juga bukan India, terutamanya di Amerika dan Eropah. Dengan menjadikan Sarada Devi sebagai pusat kehidupan mereka, wanita-wanita ini telah memulakan Sri Sarada Math, sebuah pertubuhan biarawati.

Kronologi Peristiwa Penting

sunting
Tahun Peristiwa
1853 Disember 22 Kelahiran di Jayrambati
1859 Mei Perkahwinan dan lawatan pertama ke Kamarpukur
1860 Disember Lawatan kedua ke Kamarpukur
1866 Mei (?) Lawatan ketiga ke Kamarpukur
1866 Disember - 1867 Januari Lawatan keempat ke Kamarpukur
1867 Mei - November Lawatan kelima ke Kamarpukur
1872 Mac (?) Lawatan pertama ke Dakshineshwar
1872 Jun 5 Shodashi-puja
1873 Di Jayrambati
1874 Mac 26 Kematian Ramchandra Mukhopadhyaya, bapa Sri Sarada Devi
1874 Lawatan kedua ke Dakshineshwar
1875 September Di Jayrambati
1875 Jatuh sakit dan kebangkitan Dewi Simhavahini
1875 November Permulaan pemujaan Jagaddhatri
1876 Februari 27 Kematian Chandramani Devi, ibu mertua Sri Sarada Devi
1876 April Shambhu Babu menghadiahkan sebuah rumah
1877 Januari Lawatan ketiga ke Dakshineshwar (Pertemuan dengan pasangan perompak di Telo-bhelo)
1881 Februari/Mac Lawatan keempat ke Dakshineshwar
1882 Februari Lawatan kelima ke Dakshineshwar
1884 Lawatan keenam ke Dakshineshwar
1885 Mac Lawatan ketujuh ke Dakshineshwar
1885 Oktober Bersama-sama Sri Ramakrishna di Shyampukur
1885 Disember 11 Bersama-sama Sri Ramakrishna di Cossipore
Berpuasa di Tarakeshwar
1886 Ogos 16 Kematian Sri Ramakrishna
1886 Ogos 30 Ziarah ke India Utara (khususnya Vrindavan)
1887  Di Kamarpukur selama sembilan bulan
1888 sehingga Oktober Di rumah taman Nilambar Mukherjee (Belur)
1888 daripada November Di Puri
1889 daripada Februari Di Kamarpukur
1890 Mac 25 Ziarah ke Gaya
1890 Oktober Di Jayrambati
1893 Di rumah taman Nilambar Mukherjee
1895 Ziarah kedua ke Vrindavan
1904-05 Ziarah ke Puri
1906 Januari Kematian Shyamasundani Devi, ibu Sri Sarada Devi
1907 Oktober Pemujaan Durga di rumah Girish Ghosh
1909 Mei 23 Lawatan pertama ke ‘Udbodhan’
1910 Disember Di Kothar, Orissa
1911 Februari-Mac Lawatan ke India Selatan
1911 Jun 10 Perkahwinan Radhu, anak saudara Sarada Devi
1912 Oktober 16-21 Pemujaan Dewi Durga di Belur
1912 November 5 –Januari 15 Ziarah ke Varanasi
1915 Ogos - September Di Koalpara
1916 Mei 15 Di rumah baru di Jayrambati
1916 Oktober 3-6 Pemujaan Dewi Durga di Belur
1920 Julai 21 Mahasamadhi

Bacaan lanjut

sunting
  • The Gospel of Holy Mother
  • Swami Gambhirananda (1955). Holy Mother Shri Sarada Devi.
  • Swami Nikhilananda (1984). Gospel of the Holy Mother Sri Sarada Devi. Sri Ramakrishna Math Printing Press. ISBN 978-81-7120-400-7.
  • Swami Nikhilananda (1982). Holy Mother : Being the Life of Sri Sarada Devi, Wife of Sri Ramakrishna and Helpmate in His Mission. Ramakrishna-Vivekananda Center. ISBN 978-0-911206-20-3.
  • Swami Saradeshananda. The Holy Mother as I Saw Her.
  • Swami Tapasyananda. Sri Sarada Devi ; The Holy Mother. Sri Ramakrishna Math. ISBN 978-81-7120-487-8.
  • Sri Sarada Devi : a Biography in pictures. Advaita Ashrama. 1988.

Pautan luar

sunting
  1. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.3 mukasurat 222
  2. ^ ibid
  3. ^ ibid
  4. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.3 mukasurat 223
  5. ^ ibid
  6. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.3 mukasurat 224
  7. ^ ibid
  8. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.3 mukasurat 225
  9. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.3 mukasurat 226
  10. ^ ibid
  11. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.3 mukasurat 227
  12. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.3 mukasurat 228
  13. ^ ibid
  14. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.3 mukasurat 227
  15. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.3 mukasurat 228
  16. ^ ibid
  17. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.3 mukasurat 229
  18. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.3 mukasurat 229
  19. ^ ibid
  20. ^ ibid
  21. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.3 mukasurat 230
  22. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol. 3 mukasurat 230
  23. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol. 3 mukasurat 230
  24. ^ Swami Lokeswarananda, The Ramakrishna Movement

{{#switch:||Kategori=