Dalam konteks anutan Hinduisme, shakti (Dewanagari: शक्ति; daripada Sanskrit shak, "mampu") atau sakti adalah sebuah konsep perwujudan dari aspek dibawa dewi melambangkan keaktifan, asas dinamis dari kekuatan kewanitaan merentasi alam semesta[1] yang dipercayai mewujudkan tenaga mampu menciptakan, melindungi mahupun memusnahkan.

Dalam kitab-kitab suci Hindu, khususnya Purāṇa dan Tantra, tenaga ini sering digambarkan sebagai berupa dewi dipasangkan dengan suatu dewa sendiri: Saraswati untuk Brahma, Lakshmi untuk Vishnu, Parvati untuk Shiva dan Shachi untuk Indra. "Pasangan-pasangan" ini paling utama dianuti dalam suatu aliran utama disebut sebagai Saktam.

Gambaran umum sunting

Falsafah Hindu, berdasarkan Vedānta dan beberapa kumpulan aliran yang berdasarkan Vedānta dan Tantra mempercayai jirim dan tenaga yang muncul dalam alam semesta muncul secara bertahap di mana satuan tenaga tahap getaran dianggap jelas sebagai 'jirim', dan pada tahap yang lain dikenali sebagai 'minda' dan pada tahap yang lain pula sebagai 'nyawa'. Lalu dari sini, sumber kewujudan dan kehidupan semua ciptaan, sama ada pada peringkat jirim, nyawa atau minda, dipercayai datang semuanya dari satu punca yang tunggal.

Brahman (Yang Mutlak) dalam Vedānta dan Śakti atau Devī dalam Tantra adalah sama. Apabila 'tenaga' itu berada dalam keadaan statik, apabila alam semesta belum dicipta, tenaga itu dikenali sebagai Brahman. Andainya Brahman ialah ular yang sedang tidur berlingkar, Śakti ialah ular yang sedang bergerak; andainya Brahman ialah perkataan, Śakti ialah maksudnya; andainya Brahman ialah api, Śakti ialah kuasa pembakarannya. Kedua-duanya tidak boleh diasingkan - satu dalam dua dan dua dalam satu.[2]

Rupa-Rupa Popular Śakti sunting

 
Durga

Durga sunting

Durga merupakan aspek Śakti yang amat popular, terutamanya di Bengal. Kitab utama untuk Durga ialah Devībhāgavata. Satu lagi karya yang popular dan lebih padat ialah Devīmāhātmyam. Karya ini juga dikenali sebagai Durgāsaptaśati (tujuh ratus ayat-ayat suci mengenai Durga) atau Caṇḍī, dan karya ini terkandung dalam sebuah Purāna lain yang popular bernama Mārkaṇḍeya Purāna. Devīmāhātmyam dianggap sebagai suatu kitab suci yang agung sehingga setiap ayat-ayatnya disamakan sebagai mantera Dewi dan bacaan mantera-mantera ini akan memenuhi segala keinginan seseorang.

Secara literal, 'Durga' bermaksud seseorang yang sukar dirapati, atau, sukar dikenali. Sebagai personifikasi kesaktian semua dewa-dewi, pastinya, Durga seorang yang sukar didekati atau dikenali. Namun, sebagai Ibu Alam Semesta ini, Dia juga seorang yang lembut dan penuh kasih sayang.

Gaurī sunting

Ini ialah salah satu nama Pārvatī, pasangan Śiva. Gaurī bermaksud 'si putih'. Biasanya, Dia digambarkan sebagai seorang budak perempuan berumur sepuluh tahun. Dia boleh dipuja bersama-sama Śiva sebagai Candraśekhara atau secara berasingan. Gaurī berkulit biru gelap, bermata tiga dan bertangan dua. Dia memegang sekuntum bunga teratai biru pada tangan kanan-Nya.

Karya seperti Aparājitāsūtra menyebut tentang beberapa rupa Gaurī seperti Umā, Pārvatī, Lalitā, dan Śrī.

Rājarājeśwarī sunting

Dewi di kuil Kailasanatha di Kanchipuram, Tamil Nadu dikenali sebagai Rājarājeśwarī ('Permaisuri kepada raja-raja'). Kuil ini telah dibina oleh Narasimha Varna (II) (695-722 Masihi). Lalitā Sahasranāma (684) menggunakan nama ini sebagai salah satu nama Lalitā (Tripurasundarī). Di sana, nama ini bermaksud 'seseorang yang menjadi ketua kepada Brahma, Vishnu, Mahesvara dan Kubera'.

Huraian terperinci tentang Rājarājeśwarī diberikan dalam karya Ṣoḍaśīkalpa. Bhairavītantra pula melihatnya sebagai salah seorang Daśamahāvidyā (sepuluh rupa Ibu Yang Maha Esa).

Rājarājeśwarī digambarkan seperti sedang duduk di atas pangkuan Śiva, atas sebuah tahkta dengan lima orang dewa (di sini dipanggil sebagai 'pretas') iaitu Brahma, Viṣṇu, Rudra, Īśvara dan Sadāśiva. Kulit-Nya merah dan rupa-Nya amat cantik dan cerah. Dia mempunyai tiga mata dan bulan sabit menghiasi mahkota-Nya. Matahari dan bulan menjadi subang telinga-Nya. Wajah-Nya ceria dan tenang. Dia memakai pelbagai barang perhiasan dan kalungan bunga yang cantik.

Rājarājeśwarī dikatakan sebagai rupa sifat Rajas yang sempurna. Dia juga mewakili ilmu yang abstrak dan sering dikenali sebagai Śrīvidya atau ilmu yang baik.[3] Menurut Sri Ramakrishna, antara semua dewi yang pernah dilihatnya, Rajarajeswari ialah yang paling cantik. Kamikagama menjelaskan maksud senjatanya iaitu busur tebu, anak panah bunga, cemeti dan gelung. Busur tebu mencerminkan akal atau fakulti pemikiran; lima anak panah bunga menggambarkan lima Tanmatra atau bentuk Bhuta yang boleh menjejaskan pancaindera. Bagi mendapatkan ilmu, pancaindera dan akal diperlukan. Ilmu boleh menjadi baik atau buruk. Gelung akan mengikat seseorang kepada ilmu yang baik. Ankusa atau cemeti menunjukkan bahawa ilmu yang berbahaya harus dikawal seperti seekor gajah yang ganas.

Asal-usul sunting

Penyembahan-Ibu dan kultus-ibu telah wujud sejak zaman Veda. Konsep Aditi - Ibu Dewa-Dewi, penjelmaan alam, dan Ambhṛṇīsūkta dan juga Rātrīsukta dalam Ṛgveda, dengan jelas mengandungi asal-usul penyembahan-Ibu.[4]Menurut Sri Ramakrishna: ‘Brahman dan Śakti adalah sama. Kamu memanggil-Nya sebagai Brahman. Saya memanggil-Nya sebagai Śakti.’

Walaupun idea tentang Ibu sebagai Tuhan Maha Esa telah wujud dengan jelas dalam Devi Sukta, Ṛgveda: “Akulah permaisuri alam semesta ini.” (10.10.125.3.), perkembangan konsep ini dengan sepenuhnya mengambil masa yang agak lama.

Menurut Swami Vivekananda, penyembahan Ibu bermula begini: “Penyembahan Ibu ialah sebuah falsafah yang tersendiri. Kuasa ialah idea pertama kita. Kuasa mencerobohi manusia pada setiap langkah. Kuasa yang dirasakan di dalam ialah Roh. Kuasa yang dirasakan di luar ialah alam semulajadi. Pertempuran antara kedua-dua ini yang menjadikan hidup manusia. Hasil daripada dua kuasa-kuasa ini ialah segala-galanya yang kita kenali atau alami. Manusia melihat bahawa matahari bersinar ke atas yang baik dan yang jahat dengan sama rata. Di sini wujud idea baru Tuhan sebagai Kuasa Sejagat di sebalik segala-galanya. Demikian lahirnya idea-Ibu.”

Konsep Ibu berkembang dengan peredaran masa. Dewi-dewi kesuburan atau Gna dalam Ṛgveda, atau Devapatni seperti Dhishana, Sarasvati, Hotra, Bharati, Indrani mewakili konsep awal Śakti. Dewi-dewi kekayaan, secara beransur-ansur dikaitkan dengan Laksmi. Dewi-dewi sungai dikaitkan dengan Sarasvati dan dewi-dewi Gna bergabung dengan Vak. Fungsi kreatif Sarasvati dalam Brahmanas di bawah konsep keibuan merupakan permulaan kultus-Sakti kemudiannya. Vak-Śakti berkembang sepenuhnya dalam Svetasvatara Upanisad yang dianggap sebagai sumber utama konsep personaliti. Pandangan tentang hubungan antara Sakti dengan Saktiman, Isvara, telah diterima pakai oleh mazhab-mazhab falsafah kemudiannya.

Mazhab Saivisme Kashmir membangunkan idea Śakti. Idea Śakti dalam Vira-Saiva banyak dipengaruhi oleh mazhab Saivisme Kashmir dan ia menyumbangkan kepada idea Mahāmāya.

Falsafah Tantra sunting

Nampaknya falsafah Tantra ialah satu kacukan dan modifikasi prinsip-prinsip yang dikemukakan oleh falsafah Sāṅkhya dan sistem falsafah Vedānta. Sistem Sāṅkhya menjelaskan prakṛti sebagai sesuatu yang material dan tidak bergerak. Manakala, falsafah Vedānta, terutamanya Advaita Vedānta mengutarakan māyā, iaitu suatu 'entiti' yang sukar dijelaskan. Sebaliknya, falsafah Tantra mengutarakan konsep Śakti sebagai suatu kuasa sebenar Śiva, malah, sebagai Śiva sendiri yang dinamik. Realiti sebenar ialah satu dan hanya satu.Itu dikenali sebagai Śiva atau Śakti atau Śiva-Śakti dan ianya bersifat kesedaran tulen ('samvit'). Hubungan antara Śiva dan Śakti ialah seperti hubungan antara api dan kuasa pembakarannya atau perkataan dan maksudnya.

Tempat-tempat Suci sunting

Śaktipīṭha sunting

Terdapat beberapa buah tempat yang berkaitan dengan Śakti atau Tuhan Ibu. Tempat-tempat ini dikenali sebagai Śaktipīṭha, tahkta kesaktian (pīṭha=tahkta). Lawatan ibadah ke tempat-tempat ini dipercayai akan memberikan pahala. Jumlah tempat-tempat ini telah bertambah daripada 4 hingga 51 atau kadang-kadang sehingga 108. Namun, pada masa kini, wujud 51 tempat yang dikenalpasti sebagai Śaktipīṭha. Setiap satu 51 Śaktipīṭha ini dikaitkan dengan 51 abjad Sanskrit, dan satu anggota badan Śakti. Tempat-tempat ini berterabur dalam kawasan India-Pakistan-Bangladesh dan dipercayai amalan Tantra di sini akan membawa pahala atau matlamat tertentu, Misalnya, Kashmira-pitha (dalam kuil gua Amarnath), dikaitkan dengan abjad 'u' dan dikatakan telinga kiri Dewi telah jatuh di tempat ini. Dewi di sini dikenali sebagai Mahāmāyā dan Trisandhyeśvara, Dewanya. Sebarang mantera yang diucapkan di sini akan terkabul.

Satu senarai umum Śaktipīṭha ialah Hingula di Baluchistan (kini di Pakistan), Tara

Tarini (Brahmapur, Odisha), Katyayani (Chattarpur, Delhi), Kamakhya (Assam), Kali di Kalighat (Kolkata, West Bengal), Naina Devi (Himachal), Kuil Guhyeshwari Devi (Kathmandu, Nepal), Ambaji (Gujarat), Kuil Vishalakshi (Varanasi), Kanchi (Tamil Nadu), Kanyakasrama (Kanyakumari, Tamil Nadu).

Terdapat sebuah lagenda yang menarik tentang Śaktipīṭha ini. Satī Dākṣāyanī terjun ke dalam bara api dalam upacara amal bapanya, Daksha, kerana bapanya telah menghina dan memalukan suaminya, Śiva. Dengan sedih, Śiva membawa jasad Satī, dan merayau di merata-rata tempat. Maka, Vishnu, atas permintaan Dewa-Dewi, memotong jasad itu dengan cakeranya agar Śiva dapat melupakan isterinya. Bahagian-bahagian yang dipotong itu jatuh di tempat-tempat berlainan dan tempat itu dikenali sebagai Śaktipīṭha.

Gaurīkuṇḍa sunting

Tempat ini dipercayai sebagai tempat lahir Gaurī. Ia terletak 13 km di bawah kuil Kedārnāth.

Perayaan-Perayaan Utama sunting

Navaratri sunting

Perayaan ini disambut di seluruh India, dari Kashmir hingga Kanyakumari, dan Kamakhya hingga Hinglaz.

Penyembah-penyembah Shakti yang Terkenal sunting

Sankaracharya sunting

Sankaracharya, seorang Advaitin sendiri memperkenalkan penyembahan Shakti, aspek feminin Tuhan di semua biaranya. Sankaracharya juga mencipta beberapa ayat-ayat suci Shakti yang masih popular.

Sri Ramakrishna sunting

Sri Ramakrishna pada mulanya menyembah Kali dan akhirnya menyedari Brahman. Menurut Sri Ramakrishna juga bhakti kepada Tuhan Peribadi akhirnya akan membawa ilmu tentang Brahman.

Rujukan sunting

  1. ^ Datta, Reema; Lowitz, Lisa (2005). Sacred Sanskrit Words. Berkeley, CA: Stonebridge Press. m/s. 111.
  2. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism (Ramakrishna Math, Bangalore: 2008), Vol.3, p.153
  3. ^ Swami Swahananda Hindu Symbology and Other Essays (Sri Ramakrishna Math, Madras) p.33
  4. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism (Ramakrishna Math, Bangalore: 2008), Vol.3, p.153