Tajau merupakan nama yang diberikan kepada sejenis bekas tempayan atau tembikar bersaiz sederhana atau besar yang diamalkan khususnya dalam budaya etnik-etnik Borneo iaitu Dayak,[1] termasuklah kaum Dayak di Sabah,terutama  Kaum Dusun dan Murut

Tajau menadah air di Masjid Pusaka Banua Lawas, Tabalong, Kalimantan Selatan.

Bagi suku Dayak, tajau dijadikan barang pusaka yang digunakan untuk menyimpan barang berharga, malah mempunyai harga yang tinggi berbanding bentuk-bentuk seramik yang lain. Ini adalah kerana bahan yang digunakan dalam pembuatan tajau bukan hanya dari tanah liat semata-mata, tetapi juga dicampur dengan serbuk emas, batu intan atau benda berharga yang lain.[2]

Corak bentuk dan saiz tajau sangat berbagai-bagai.[3] Untuk mengamati, mengetahui asal-usul, menganggarkan tahun pembuatanya dan kualiti pembuatanya perlunya pemerhatian yang amat cermat. antara lain dengan mengamati lukisan yang terdapat pada tajau tersebut, kerana tajau terdiri daripada dua jenis iaitu tajau lelaki dan tajau perempuan.

Sementara itu untuk fungsi tajau sendiri digunakan sebagai barang adat pada acara meminangkan gadis, tempat menyuguhkan sesaji bagi para leluhur atau roh-roh suci. Juga ditemui bahawa tajau juga digunakan untuk menyimpan tulang mayat manusia yang telah meninggal, terbukti pada penemuan perkuburan tajau pada tahun 2010  di Kecamatan Sanga sanga Kabupaten Kutai Kartanegara, Indonesia.[4]

Sejarah dan kegunaan sunting

 
Perarakan tajau diraja sempena upacara pemakaman Raja Thailand Bhumibol Adulyadej pada 2017.

Tajau mula diperkenalkan kepada masyarakat Borneo oleh saudagar Cina yang berdagang seawal abad ke-12,[5] sekitar zaman Kesultanan Melayu Melaka,[6][7] apabila mereka menjual tembikar ini kepada masyarakat setempat untuk mendapatkan bahan-bahan seperti padi, beras dan rempah-ratus melalui perdagangan barter.[5] Juga diceritakan bahawa tajau ini dikenali oleh masyarakat Iban yang keluar berperang dan membawa pulang habuan daripada musuh ketika melakukan ngayau atau memenggal kepala.[5]

Pada mula-mulanya masyarakat berkenaan menyimpan barang-barang berharga bagi menampung kehidupan seperti padi, beras, air, tuak, pakaian, wang dan sebagainya.[8] Bagi suku Iban, lama-kelamaan tajau dilihat sebagai barang pusaka yang teramat suci kerana dipercayai "semangat" yang boleh dilihat oleh pemiliknya, dan oleh itu dijadikan objek penting dalam sebarang upacara ritual seperti perubatan, memohon hajat, membawa hantaran perkahwinan dan perayaan. Tajau juga digunakan untuk upacara pengebumian yang mana ia terletak di atas kubur sebagai baya iaitu lambang membawa bekalan si mati ke alam seterusnya.

Begitu bernilainya tajau sehingga dijadikan bukan sahaja barang pusaka keluarga, bahkan umpama mata wang primitif khususnya dalam masyarakat Iban. Sebelum wujudnya undang-undang moden, masyarakat Iban pernah menggunakan tajau sebagai pembayaran denda bagi kesalahan membunuh secara sengaja mahupun tidak sengaja kepada keluarga mangsa melalui adat pati' nyawa, atau menebus hamba orang lain untuk dijadikan ahli keluarga menerusi adat nembang ulun.[5]

Menyimpan mayat sunting

Juga terdapat bukti bahawa tajau dijadikan umpama keranda untuk menyimpan mayat, terutamanya bagi kaum Kaum Dusun dan Murut yang tertumpu di Sabah. Mengikut adat Murut, mayat dimasukkan ke dalam tajau besar yang dipanggil bangkalan selepas dua hari kematian, dan pada hari selepas malam keempat, tajau diusung oleh perarakan ke tanah perkuburan.[9] Adat bangkalan ini boleh dikatakan sudah ditelan zaman dek perubahan moden dan pertukaran agama.

Amalan menyimpan dan mengangkut mayat dalam tajau sebenarnya tidak terhad kepada suku-suku Borneo, malah di Thailand, upacara pemakaman kerabat diraja menampilkan tajau berhias yang dipanggil phra kot yang terletak di dalam balairung istana untuk istiadat penghormatan terakhir, dan akhirnya dibawa berarak ke pancaka untuk majlis persemadian. Pada mulanya tajau itu sememangnya menempatkan jasad kerabat diraja, tetapi kebelakangan ini phra kot dibuat sebagai hiasan, sedangkan jasad sebenarnya ditempatkan dalam keranda di tempat tersembunyi, demikianlah bagi istiadat penghormatan terakhir bagi Raja Rama IX pada 2016–17.[10]

Rujukan sunting

  1. ^ "Mengenai tajau Balanga Tempayan Dayak". Huma Betang. Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-04-02. Dicapai pada 24 Maret 2015. Check date values in: |access-date= (bantuan)
  2. ^ "Tajau Lambang Kekayaan Iban". Utusan Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-11-15. Dicapai pada 24 Maret 2015. Check date values in: |access-date= (bantuan)
  3. ^ Tjilik Riwut, (1979). Kalimantan Membangun. Jayakarta Agung Offset. Hal. 234
  4. ^ "Kuburan Abat ke-18 Terbesar Ditemukan". Kompas Online. Dicapai pada 24 Maret 2015. Check date values in: |access-date= (bantuan)
  5. ^ a b c d Rirang, Ambrose (2014-03-11). "Tajau antara harta warisan kebanggaan kaum Iban". Utusan Borneo. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  6. ^ Yoochun (2016-10-11). "TAJAU – Warisan Generasi". Sabahan.my. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-10-12. Dicapai pada 2017-10-15. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  7. ^ Anggo, Fujica (2015-04). "TAJAU". Dewan Budaya. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-10-03. Dicapai pada 2017-10-15. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan); Check date values in: |date= (bantuan)
  8. ^ Kalim, Khairul Zuhairi; Noria anak Tugang (2016). "Perubahan Objek Tajau dalam Budaya Iban di Sarawak". Faculty of Humanities, Arts & Heritage, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah. Conference: International Seminar on the Heritage & Folklore of the Malay Archipelago – melalui ResearchGate.
  9. ^ Al-Adiyat (2017-07-18). "Adat Kematian Kaum Murut Di Sabah". UrangSabah.com. Dicapai pada 2017-10-15. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  10. ^ "In pictures: The sandalwood urn and coffin of King Bhumibol". TimeOut Bangkok. 2017-10-25. Dicapai pada 2018-04-07. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)