Terier Teddy Roosevelt

baka anjing dari Amerika Syarikat

Terier Teddy Roosevelt[a] ialah satu baka terier pemburu Amerika bersaiz kecil hingga sederhana. Ia lebih rendah, dengan tungkai lebih pendek, dan lebih berotot dengan ketumpatan tulang lebih berat daripada terier tikus Amerika yang berkaitan. Banyak kepelbagaian wujud dalam sejarah baka terier Teddy Roosevelt dan ia mengongsi sejarah awal bersama dengan terier tikus Amerika, terier Brazil, dan terier Tenterfield. Latar belakang terier tikus dikatakan berpunca daripada terier atau anjing lain yang dibawa oleh pendatang Inggeris awal dan golongan pekerja lain. Memandangkan baka ini ialah anjing ladang, anjing pemburu, dan anjing utiliti, sedikit pembiakbakaan terancang atau tiada pembiakbakaan terancang yang digunakan selain pembiakbakaan anjing dengan trait-trait yang menyenangkan antara satu sama lain untuk menghasilkan etika kerja yang diingini pada anjing tersebut. Feist, bulterier, terier rubah licin, terier Manchester, whippet, grehaun Itali, terier putih Inggeris yang kini pupus, turnspit dog, dan terier berkaki herot kesemuanya mengongsi keleluhuran terier Teddy Roosevelt.[1] Terier pemburu tikus awal ini pada masa itu berkemungkinan besar dibiakbakakan dengan beagle atau anjing baka silang beagle (untuk peningkatan keupayaan penghiduan) dan anjing lain. Pemaksimuman pengaruh daripada pelbagai baka ini memberi terier Teddy Roosevelt moden rasa kesedaran tinggi dan dorongan pemangsa, deria bau tajam dan intelek sangat tinggi. Walaupun ia cenderung untuk menyendiri terhadap orang asing, ia merupakan anjing pendamping setia dengan keinginan kuat untuk menggembirakan dan berada dekat dengan pemiliknya pada setiap masa.

Terier Teddy Roosevelt
Nama lainJenis B, terier tikus berkaki pendek atau feist berkaki bangku
Negara asalAmerika Syarikat
Anjing (Canis lupus familiaris)

Piawaian semasa UKC mensyaratkan agar terier Teddy Roosevelt berukuran setinggi 8–12 inci (20–30 cm), dengan berat yang berperkadaran dengan ketinggian. Terier Teddy Roosevelt yang berukuran seberat 25 paun (11 kg) atau seringan 8 paun (3.6 kg) adalah tidak jarang.[2]

Sejarah baka sunting

Sejarah awal Amerika menunjukkan bahawa terier Teddy Roosevelt, seperti terier tikus, kerap dirujuk sebagai feist atau hanya kacukan terier - dalam kes terier Teddy Roosevelt , "terier berkaki (bertungkai) bangku".[3][4][5]

Memandangkan baka ini terutamanya merupakan anjing ladang dan anjing pemburu, penyilangan terier tikus dengan baka lain adalah lazim. Salah satu silangan awal sedemikian adalah dengan beagle dan silangan ini mungkin menguatkan tungkai bangku, kerana beagle bertungkai bangku ialah rakan pemburu lazim.[6]

Pengasingan fenotip bertungkai panjang daripada fenotip bertungkai pendek dalam kebanyakan kes tidak berlaku. Perinduk yang lahir daripada induk dengan salah satu atau kedua-dua fenotip lazimnya memaparkan pelbagai panjang tungkai dan tubuh, namun kesemuanya masih dianggap dan dilabelkan hanya sebagai terier tikus. Pada pertengahan tahun 1990-an, usaha untuk mengasingkan jenis-jenis bermula dengan bersungguh-sungguh, tetapi pengacukan kedua-dua jenis dalam sesetengah kes masih wujud kini.

 
Keluarga Theodore Roosevelt, dengan terier

Apabila jenis-jenis dipisahkan oleh Rat Terrier Club of America ("Kelab Terier Tikus Amerika"), keragaman bertungkai pendek dinamai sempena penghormatan kepada Theodore Roosevelt, walaupun beliau tidak pernah memiliki terier tikus dan tidak memainkan peranan penting dalam perkembangan terier Teddy Roosevelt. Anjing yang paling diatributkan sebagai salah satu asas untuk terier tikus ialah anjing hitam dan sawo matang baka kacuk jenis feist yang dimiliki oleh keluarga Roosevelt. Dalam salah sepucuk surat beliau kepada anak-anak beliau, Presiden Roosevelt menulis, "Ada seekor anjing kecil yang sangat licik bernama Skip, tergolong dalam kawanan John Goff, yang telah sepenuhnya menerima saya. Saya berfikir saya akan membawanya pulang kepada Archie. Ia suka menunggang kuda Dr. Lambert, atau kuda saya, dan walaupun ia tidak sebesar Jack, mengambil bahagian dalam pertarungan dengan setiap beruang dan bobcat."[7] Dengan kekeliruan kerap dengan Skip si feist hitam dan sawo matang, keluarga Roosevelt juga mempunyai anjing bernama Scamp. Scamp ialah satu-satunya anjing yang disebut dalam surat Roosevelt yang pernah memburu tikus semasa di Rumah Putih, "Scamp benar-benar merupakan seekor anjing pemburu tikus luar biasa dan membunuh banyak tikus di Rumah Putih, di bilik bawah tanah, dan di tingkat bawah, dan di ruang jentera. Ia benar-benar merupakan seekor anjing kecil sangat baik."[7] Malangnya, tiada gambar Scamp mahupun keterangan selain satu yang memerihalkannya sebagai terier rubah yang telah ditemukan.[8] Seekor lagi terierlain yang kerap dikelirukan dengan terier rubah ialah anjing milik Roosevelt yang bernama Jack. Dalam surat En. Roosevelt yang bertarikh 27 Julai 1902, kepada Puan Roswell Field, beliau menulis, "Saya berbesar hati untuk mengirimkan fotograf anak lelaki saya Kermit, dengan Jack, si terier Manchester, yang benar-benar merupakan anggota keluarga." Jack ialah seekor terier Manchester, bukan terier tikus.

Piawaian pertama untuk baka ini dibangunkan oleh Teddy Roosevelt Terrier Club of America ("Kelab Terier Teddy Roosevelt Amerika", sudah bubar) pada tahun 1996.[2] Buat masa ini, beberapa buah pertubuhan pendaftaran adalah aktif, kesemuanya mempunyai piawaian sendiri, tetapi yang paling lazim diterima merupakan piawaian United Kennel Club[9] dan piawaian United Kennel Club International,[10] walaupun UKCI masih hanya mengiktirafnya sebagai variasi bagi terier tikus.

Pada tahun 1999, kedua-dua "Rat Terrier" dan "Teddy Roosevelt Terrier" diterima sebagai baka berasingan oleh United Kennel Club.[9]

Buat masa ini, UKC menerima permohonan pendaftaran tunggal terier Teddy Roosevelt untuk anjing daripada 10 buah pejabat pendaftaran berlainan dan anjing berkenaan hanya ditetapkan sebagai terier tikus.[11]

Pada Ogos 2016, terier Teddy Roosevelt diterima ke dalam Khidmat Ternakan Asasi AKC. Pada Julai 2019, baka ini masuk ke dalam Kelas Lain-lain AKC.

Penampilan sunting

 
Jantan dewasa yang menunjukkan perkadaran betul

Terier Teddy Roosevelt ialah terier pemburu rendah pemburu berotot, aktif, dan bersaiz kecil hingga sederhana. Nisbah pilihan panjang tubuh (prosternum ke titik punggung) dengan ketinggian (kelasa ke tanah) ialah 10:7. Kepalanya lebar, sedikit berkubah, berbentuk baji, dan berperkadaran dengan saiz tubuh. Telinganya berbentuk V, terletak di tepi luar tengkorak, dan mungkin tegak atau butang. Ekor terpotong lebih diutamakan, tetapi ekor kontot semula jadi atau ekor semula jadi yang dibawa dalam lengkungan ke atas juga dapat diterima. Terier Teddy Roosevelt terdapat dengan warna putih patu, warna padu lain dengan tanda-tanda, dan warna putih dengan pelbagai tompok berwarna.

Terier Teddy Roosevelt patut dinilai sebagai terier pekerja dan ciri lebih-lebihan, atau kecacatan, patut dikenakan penalti secara berperkadaran dengan takat gangguan kepada keupayaan anjing untuk bekerja. Parut terhormat akibat kerja padang tidak patut dikenakan penalti.

 
Terier Teddy Roosevelt jantan dewasa

Syarat penyingkiran: kriptorkid ekasisi atau dwisisi; keganasan atau rasa malu esktrem; kepekakan ekasisi atau dwisisi; telinga tergantung; telinga terpotong; kebotakan; sebarang kesan kekusutan atau keriting pada ekor; merle.

Ciri lazim sunting

Seperti terier tikus, terier Teddy Roosevelt zaman kini dibiakbakakan untuk keserbagunaan, termasuk naluri perburuan, kekukuhan kesihatan, perangai hebat, dan ketampanan. Terier Teddy Roosevelt mempunyai dorongan pemangsa lebih tinggi daripada purata dan akan mengejar tupai, tikus, kucing terbiar, dan mana-mana haiwan lain yang dianggap sebagai mangsa. Ia juga menggali dan mengikuti jejak cencurut, lalu meninggalkan pelbagai parit dan lubang di belakang. Ia merupakan anjing pengawal cemerlang dan dapat menjadi sangat kuat melindungi dan mempertahankan wilayah. Ia mengongsi kasih sayang untuk keluarganya dan menjadi sangat terikat sehingga mendambakan interaksi dan kasih sayang manusia. Sentiasa di sisi pemiliknya, ia menjadi bayang-bayang berkekalan yang mengikut tuannya sepanjang rutin harian.

Anjing ini adalah sangat pintar dan setia, yang menjadikannya mudah untuk dilatih. Ia bertenaga dan suka bermain dan telatahnya dapat menggelikan hati setiap hari. Walau bagaimanapun, apabila tiba masanya untuk berehat, ia hanya berpuas hati untuk berada di pangkuan.

Ia dapat menyesuaikan diri terhadap hampir mana-mana gaya hidup, sama ada ditunjukkan dalam gelanggang pengakuran, bekerja dalam ujian ketangkasan, atau hanya teman hebat untuk rumah atau ladang. Saiznya menjadikannya sesuai untuk kehidupan pangsapuri. Kini, terier Teddy Roosevelt mendapat ikutan kukuh dan menjadi pendamping popular bagi isi rumah.(Sumber AKC)[perlu rujukan]

Masalah kesihatan sunting

Masalah kurang lazim mungkin termasuk alahan, masalah gigitan (maloklusi), displasia pinggul, displasia siku, dan subkehelan tempurung lutut, kerana ini merupakan masalah yang muncul pada terier tikus yang berkaitan.

Ektopia lentis, iaitu suatu keadaan kongenital, juga menjejaskan baka ini. Walaupun buat masa ini tidak berdokumen dengan baik pada terier Teddy Roosevelt, ini terlihat pada jumlah dan populasi kecil menurut Orthopedic Foundation for Animals, tetapi masih terlihat pada jumlah lebih tinggi pada terier tikus dan baka terier lain.[12][13]

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: تيريئر تيدي روزۏيل‌ت; bahasa Inggeris: Teddy Roosevelt terrier

Rujukan sunting

  1. ^ Moore, Daniel. History of the Teddy Roosevelt Terrier (Inggeris)
  2. ^ a b Teddy Roosevelt Terrier Breed Standard 1996, 1997 (Inggeris) Teddy Roosevelt Terrier Club of America
  3. ^ The Bear Hunt, puisi oleh Abraham Lincoln (Inggeris)
  4. ^ "Feist or Fiction?: The Squirrel Dog of the Southern Mountains" (Inggeris) oleh Donald Davis, Jeffrey Stotkit, The Journal of Popular Culture 26 (1992), hlm. 193–201
  5. ^ The Bench Legged Fyce (Inggeris) oleh Eugene Field (1895)
  6. ^ Hunter Trader Trapper (Inggeris) 1922 jil. 44 hlm. 79
  7. ^ a b Bishop, Joseph Bucklin, ed. Theodore Roosevelt's Letters to His Children (Inggeris). New York, Amerika Syarikat: Charles Scribner's Sons, 1919. Surat dari tempoh 1898–1911
  8. ^ Sports Illustrated 2 November 1981 E.M Swift, "The Mutt With A Touch Of Class" (Inggeris)
  9. ^ a b "United Kennel Club: Teddy Roosevelt Terrier" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Julai 2009. Dicapai pada 2 April 2024.
  10. ^ "Rat Terrier" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Julai 2011. Dicapai pada 2 April 2024.
  11. ^ [https://web.archive.org/web/20100705102544/http://www.ukcdogs.com/res/pdf/fo6adm.pdf
  12. ^ Sargan DR, J Hered (2007) 98(5): 534–538 Mapping the Mutation Causing Lens Luxation in Several Terrier Breeds (Inggeris)
  13. ^ Orthopedic Foundation for Animals Public Database (Inggeris)

Bacaan lanjut sunting

Pautan luar sunting