Mejar Zaidi Ahmad (45 tahun) ialah juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dibicarakan di Mahkamah Tentera kerana tuduhan membuat laporan polis dan sidang media berhubung isu dakwat kekal semasa Pilihan raya Umum Malaysia 2013.Beliau dituduh melanggar arahan Majlis Angkatan Tentera Malaysia dengan membuat laporan polis pada 1 Mei 2013 mengenai ketidak-kekalan dakwat kekal dalam pengundian awal semasa PRU-13. Beliau membuat kenyataan media tanpa kebenaran pihak atasan tentera dan menghantar dua SMS lanjutan berbau politik. Beliau sudah berkhidmat selama 25 tahun dengan TUDM. kesalahan teresebut di perkarangan Balai Polis Kepala Batas di Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang dan di Pangkalan Udara Butterworth antara 1 Mei dan 3 Mei 2013. [1]


Isterinya Shafinah Abdul Hamid dan juruteknik TUDM juga membuat laporan polis berhubung dakwat kekal yang mudah dibasuh itu. Jari telunjuk kirinya boleh dibersihkan hanya dalam dalam tempoh dua jam kemudian. Keluarga ini bertugas di Pangkalan TUDM Butterworth di Seberang Prai,Pulau Pinang.Dia seorang daripada 235,826 kakitangan pasukan keselamatan dan pasangan di seluruh negara yang mengundi lebih awal pada 30 April 2013.

Dakwat kekal diperkenalkan buat pertama kali di Malaysia bagi memenuhi satu daripada lapan tuntutan pemantau pilihan raya Bersih untuk pilihan raya yang bebas dan adil. Namun ramai pihak masih tidak yakin dengan dakwat kekal itu kerana mudah dicuci setelah dibasuh beberapa kali. SPR akhirnya mengaku November lalu dakwat kekal digunakan pada PRU13 mempunyai kelemahan; antara lain, ia boleh dibasuh dan mengambil masa yang lama untuk kering dan kerana itu ia meninggalkan kotoran pada kertas undi.

Mejar Zaidi berasal dari Kampung Permatang Tengah di Kota Kuala Muda, Kedah dan bercita-cita menjadi juruterbang sejak kecil. Beliau pernah ditugaskan selama lapan bulan ke Bosnia semasa perang saudara di Balkan pada 1990-an di bawah Perlindungan Tentera Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perbicaraan di mahkamah sunting

Perbicaraan diadakan di Mahkamah Tentera yang terletak di Pangkalan TUDM Sungai Besi. Ahli parlimen Sepang iaitu Mohamed Hanipa Maidin bertindak sebagai peguam bela. Panel lima hakim diketuai Kolonel Saadon Ahmad.Ahli panel lain ialah Leftenan Kolonel Zainurin Mohd Dom, Mejar Mohd Khuzairi Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib, Mejar S Nadzeer Salehuddin dan Mejar Noor Azman Ahmad. Mejar Zaidi didakwa mengikut Seksyen 502(2) dan Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972 di Mahkamah Tentera Kuala Lumpur.

Zaidi berhadapan dengan dakwaan berganda iaitu Seksyen 50 (2) dan Seksyen 51 Angkatan Tentera 1972. Sepatutnya beliau menggunakan 'saluran tentera' dan mendapatkan keizinan Kementerian Pertahanan jika ada sebarang rungutan. SMS itu dianggap sebagai berbau politik dan hasutan.

Pada 12 Jun 2014, Sarjan Mohd Khairul Nizam Ishak, dari Pangkalan TUDM Butterworth menjelaskan bahawa beliau telah memadamkan bahan bukti iaitu rakam video di telefon bimbitnya yang menunjukkan sidang akhbar Zaidi mengenai isu dakwat kekal. Sidang akhbar itu diadakan pada 1 Mei 2013 di Balai Polis Kepala Batas. Tindakan itu selepas diarahkan oleh Pengarah Jabatan Marsyal Provos TUDM, Leftenan Kolonel Mohammad Rosli Yaakob. Sarjan Mohd Khairul dan laskar udara kanan, Mohd Zuradi Muchtar diarahkan oleh Sarjan Kamarul Asmawi Riguan untuk menjalankan pemantauan dan telah merakam sidang akhbar tersebut. [2]


Jika sabit kesalahan sunting

Mejar Zaidi bakal berhadapan dengan tindakan mahkamah dan seterusnya dipenjarakan sekurang-kurangnya dua tahun. Bayaran pencen dan faedah lain juga akan hilang. Sepanjang masa itu, beliau juga dibekukan daripada menjalankan tugas sebagai juruterbang dan terpaksa bertugas di jabatan am.

Dua hari selepas sidang media 2013, Mejar Zaidi dipindahkan ke Kuala Lumpur dengan serta-merta. Kerjaya sebagai juruterbang juga mungkin berakhir. Zaidi dipindahkan ke pangkalan tentera udara Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur selama sebulan dan apabila kembali ke pangkalan Butterworth, beliau bukan lagi pegawai pemerintah kepada Skuadron 12, jawatan yang dipegang sebelum pilihan raya umum.Gaji dan elaun masih sama.[3]

Sokongan sunting

Maria Chin Abdullah dari NGO Bersih 2.0 menggesa supaya pertuduhan yang dikenakan ke atas Mejar Zaidi digugurkan. Bersih 2.0 juga melancarkan "Kempen Rakyat Sokong Mejar Zaidi" "Bersih gesa rakyat berhimpun sokong Mejar Zaidi pada 8 April". The Malaysian Insider. 15 Februari 2014.</ref>

Rujukan sunting