Imam ialah sebuah filem keagamaan arahan Mior Hashim Manap yang mula ditayangkan di Malaysia pada 2 Mac 2023, dan merupakan adaptasi novel bertajuk sama oleh novelis, Sasterawan Negara Abdullah Hussain, yang pertama kali diterbitkan pada 1995. Filem ini mengisahkan berkenaan konflik seorang imam baharu, Haji Mihad (M. Nasir) di kampungnya menentang golongan penurut imam asal, Haji Syamsuri (Faizal Hussein) disebabkan oleh pembaharuan penerapan Islam yang cuba dibawakan beliau.

Imam
PengarahMior Hashim Manap
BerdasarkanImam oleh
Abdullah Hussain
Dihasilkan olehIzzaidah Khairan
DibintangiM. Nasir
Faizal Hussein
Vanida Imran
Syarikat
penerbitan
Alkahfi Pictures
Tarikh tayangan
  • 2 Mac 2023 (2023-03-02) (Malaysia)
NegaraMalaysia
BahasaMelayu

Pelakon sunting

Pelakon Watak Catatan
M. Nasir Haji Mihad Watak utama filem ini, dia merupakan imam di Kampung Anggerik Desa di mana Masjid Haji Salih terletak, dan juga seorang bekas tentera yang pernah mengambil bahagian dalam Konfrontasi Indonesia-Malaysia. Dia berusaha mengubah keadaan di mana orang kampung telah tersasar daripada ajaran agama Islam, dan dia berjaya menawan hati para penduduk kampung bukan sahaja melalui khutbahnya tetapi juga usaha menarik golongan muda seperti menubuh kumpulan muzik (walaupun berdepan dengan isu sama ada muzik adalah haram di sisi agama Islam). Malah dia menyampaikan khutbah tersendiri dan tidak mengikuti skrip yang disediakan oleh Majlis Agama Islam. Namun demikian, usaha dia ditentang oleh pelbagai pihak termasuk sepupunya, Haji Syamsuri yang melihat usahanya sebagai bidaah, dan juga marah dengan cadangannya untuk mengaudit akaun masjid. Malah sesetengah Ahli dalam Majlis Agama Islam bercadang untuk menggantikan Mihad dengan Syamsuri sebagai imam kampung. Mereka cuba menjatuhkan Mihad dengan mencipta isu palsu kononnya terdapat emas ditemui di bawah tanah wakaf di mana masjid dibina. Akhirnya, Mihad dibunuh oleh sekumpulan samseng yang cuba mencegahnya daripada membongkarkan konspirasi di sebalik kegiatan haram perlombongan emas yang telah menyebabkan tanah runtuh di luar masjid.
Faizal Hussein Haji Syamsuri Antagonis filem ini, dia sepupu kepada Haji Mihad, merupakan pengerusi lembaga pemegang amanah (bahasa Inggeris: trustee) Masjid Haji Salih, dan dicadangkan oleh sesetengah Ahli Majlis Agama Islam sebagai imam Kampung Anggerik Desa kerana dia dilihat sebagai menegakkan ajaran Islam yang benar. Dia melarang anaknya daripada bersolat di masjid (kecuali Solat Jumaat) kerana Mihad menegur cara mereka berdoa yang tidak betul. Namun demikian, dia seorang yang bengis dan memukul seorang pemuda kampung, Syawal, yang memimpin sebuah kumpulan rock, kerana berkawan dengan anak perempuannya. Syamsuri berkomplot dengan sesetengah Ahli Majlis Agama untuk menjatuhkan Mihad bukan sahaja dengan mencuri tugas sebagai khatib dan menimbulkan isu solat dua imam, malah juga dengan melalui isu penemuan emas di bawah tanah masjid (dengan membawa masuk ketulan emas dari luar) yang bukan sahaja mencetuskan isu sama ada masjid harus dirobohkan, malah menyebabkan kegiatan haram melombong emas (walaupun sekatan polis dibuat) yang mengaut nyawa seorang "pelombong". Usaha ini menyebabkan masjid runtuh apabila para penduduk memasukinya untuk solat jenazah Mihad. Akhirnya, Syamsuri bersama dengan orang lain yang bersubahat ditangkap polis.
Vanida Imran Rubiah Isteri kepada Haji Syamsuri dan bekas tunang kepada Haji Mihad (yang biasa memanggilnya "Rubi"). Dia dipaksa oleh ibu sendiri untuk bernikah dengan Syamsuri, walaupun bapa saudaranya (abang kepada ibu Rubiah) yang mengaturkan pernikahannya dengan Mihad. Dia seorang yang lemah lembut dan tidak mampu melakukan apa-apa terhadap kejahatan suaminya.
Natasha Charmaine Siti Nur Aisyah Isteri kepada Haji Mihad, dia seorang Dayak dari Sarawak yang nama asalnya Elizabeth. Dia menyelamatkan Mihad yang cedera di sempadan Sarawak-Kalimantan ketika bertempur dengan tentera Indonesia, walaupun ahli keluarga sendiri khuatir lelaki ini (Mihad) mungkin seorang pengintip. Dia sentiasa menyokong perjuangan Islam suaminya.
Omar Abdullah Dato Berserban Merah
Sophia Ibrahim Hajah Syamsiah
Jalaluddin Hassan YDP Majlis Agama
Rahim Razali Haji Abdul Rahman
Dewa Sapri Bilal Haji Kulub
Rahim Jailani Haji Qamar
Ahmad Safuri Abang Posto

Runut sunting

Lagu rasmi Imam, "Munajat", ialah terbitan M. Nasir sendiri, dan dilancarkan menerusi label rakamannya, Luncai Emas. Berkenaan erti di sebalik lagu tersebut, beliau berkata bahawa lagu itu cuba mengajak orang ramai untuk kembali kepada erti munajat— mencari keredaan Tuhan; dan jauh daripada persengketaan.[1]

Rujukan sunting

  1. ^ Georgie Joseph (12 Februari 2023). "Karya dinanti selepas 17 tahun". Harian Metro. Dicapai pada 2 Mac 2023.

Pautan luar sunting