Kelentit, purana[1] atau klitoris (Latin: clitoris) ialah organ seks betina didapati kebanyakannya pada banyak haiwan mamalia termasuk manusia. Ia merupakan bahagian paling sensitif dalam tubuh wanita manusia di mana ia berfungsi semata-mata untuk mencetuskan keseronokan seks.[2][3]

Kelentit
Klitoris
Anatomi dalaman vulva manusia, dengan tukup kelentit dan labia minora ditunjukkan sebagai garis. Kelentit manusia terbentang dari bahagian nampak sehingga titik di bawah tulang pubis.
Lokasi (1) clitoral hood dan (2) clitoral glans
Butiran
PendahuluTuberkel genital
ArteriArteri dorsal kelentit, deep artery of clitoris
UratSuperficial dorsal veins of clitoris, deep dorsal vein of clitoris
SarafSaraf dorsal kelentit
Pengenalpastian
MeSHD002987
TAA09.2.02.001
FMAFMA:9909
Terminologi anatomi

Bahagian ini berupa bonjol (disebut sebagai "biji jarum", "biji kelentit" atau "biji keladi"[1]) yang boleh dinampak terletak berhampiran dengan temuan anterior labia minora di atas lubang faraj, sebanyak 8,000 hujung berderia saraf dapat didapati pada benjolan ini.[4] Ia mula berkembang semasa tahap embrio di mana tuberkel kelamin akan dibezakan menjadi zakar atau sebaliknya bergantung kepada tahap hormon androgen yang disalurkan dalam janin. Mamalia tertentu seperti lemur dan monyet jenis tertentu mempunyai kelentit bersaiz besar. Dubuk bintik (Crocuta crocuta) terutamanya mempunyai kelentit khusus membolehkan pengkumuhan, pengawanan dan pelahiran anak melalui kelentit eretil yang dibesarkan seakan zakar jantan.[5]

Perkembangan dan pembentukan

sunting

Kelentit adalah sama dengan bahagian berhomolog zakar, iaitu secara embriologi, organ ini berasal daripada tisu yang sama dengan zakar. Pencetus untuk membentuk zakar dan bukannya kelentit ialah tindakan hormon testosteron in utero (sila lihat klitoromegali). Organ ini terbentuk daripada korpus kavernosum, sekumpulan tisu kapilari yang mengandungi banyak tisu saraf. Kelentit mengandungi dua kali lebih banyak penghujung saraf, berbanding dengan zakar, [6] dan adalah amat sesuai untuk perangsangan seks.

Bahagian-bahagian kelentit yang boleh dinampak terbentang dari komisur anterior — temuan pinggir kedua-dua bibir luar (labia majora) di pangkal bonggol pubik — sehingga furset (fourchette), dan termasuk glans, tukup, serta bibir dalam (labia minora). [7] Labia majora tidak dianggap sebagai sebahagian kelentit. Glans klitoris dilitupi pada keseluruhan atau sebahagiannya oleh tukup klitoris (atau prepus), tisu yang berhomolog dengan kulit khatan jantan. Untuk manusia, jasad klitoris terbentang beberapa sentimeter ke arah atas serta ke belakang sebelum berpisah menjadi dua cabang yang dikenali sebagai krura klitoris. Dibentuk seakan-akan "V" songsang, krura-krura ini terbentang ke sekeliling dan ke bahagian dalaman labia majora. Bersama dengan komponen-komponen luaran serta dalamannya, kelentit dianggap sebagai sama saiznya dengan zakar.

Kebanyakan bahagian kelentit terselindung, dan perangsangan luaran ke atas seluruh kelentit boleh menghasilkan kebangkitan nafsu berahi yang amat kuat. Terdapat banyak perbezaan di kalangan wanita tentang betapa banyak kelentitnya terjulur dari tukup dan betapa banyaknya terselinding; ada yang dilitupi pada keseluruhannya sehingga langsung tidak dapat dinampak dan ada juga yang terdedah pada keseluruhannya. Selain itu, saiz syaf kelentit luaran mereka juga amat berbeza; ada yang sekecil seperti pemadam pensil, dan ada yang sebesar seperti sebiji anggur.

Baru-baru ini, Dr. Helen O'Connell, ahli urologi, menemui tisu erektil yang terletak di bawah glans luaran. Tisu erektil itu berpisah menjadi dua cabang 11 sentimeter, dengan lebih banyak cabang yang terletak berhampiran dengan mulut faraj. [8] Salah satu penjelasan yang dikemukakan untuk orgasma vagina adalah bahawa ia dihasilkan oleh perangsangan bahagian-bahagian dalaman kelentit semasa penembusan faraj. Bagaimanapun, sesetengah wanita mengalami kedua-dua orgasma kelentit serta orgasma faraj dan dapat membezakan antara kedua-dua ini dari segi deria rasa fizikal dan deria rasa umum yang berkait dengan setiapnya. Struktur titik G yang terletak di dalam faraj juga harus diambil kira.

Semasa kebangkitan nafsu berahi, kelentit menjadi besar apabila tisu erektilnya diisi dengan darah. Sejurus sebelum orgasma, ereksi ini sering bertambah lagi dan menarik kelentit ke atas sehingga kelentit itu kelihatan susut apabila dilihat dari luar.

Kesedaran tentang adanya kelentit

sunting

Kepustakaan perubatan menyedari adanya kelentit buat pertama kali pada abad ke-16. Bagaimanapun, ini menimbulkan sesetengah perbalahan: Realdo Colombo (juga dikenali sebagai Matteo Renaldo Colombo) merupakan seorang pensyarah dalam bidang pembedahan di Universiti Padua, Itali. Pada tahun 1559, beliau menerbitkan sebuah buku yang berjudul De re anatomica dan di dalamnya, beliau memerikan "pusat keseronokan wanita". Colombo menyimpul, "Oleh sebab tiadanya orang lain yang mencerap juluran-juluran itu serta cara berfungsinya dan jika aku dibenarkan menamai benda-benda yang aku temui, benda itu harus dipanggil cinta atau kemanisan Venus."

Tuntutan Colombo dipertikaikan oleh Gabriele Falloppio, pewarisnya di Universiti Padua (yang menemui tiub Fallopio), yang menuntut bahawa beliaulah yang menemui kelentit lebih dahulu. Caspar Bartholin, ahli anatomi Denmark abad ke-17, menolak kedua-dua tuntutan itu, dan memperdebatkan bahawa kelentit telah diketahui secara meluas dalam sains perubatan sejak dari abad ke-2. Kelentit juga diketahui oleh orang-orang Rom yang menamainya landica. Masters dan Johnson, penyelidik-penyelidik yang terkenal, telah membuat banyak kajian terhadap kelentit.

Ubah suaian tubuh

sunting

Bahagian luaran kelentit boleh dibuang sebahagian atau seluruhnya semasa memotong genital wanita, suatu prosedur yang juga dikenali sebagai klitoridektomi atau pencacatan genital wanita (FGM). Topik ini menimbulkan banyak perbalahan, dengan banyak negara mengutuk tradisi-tradisi yang mengakibatkan prosedur-prosedur tak rela, dan dengan sebilangan negara mengharamkan juga prosedur yang dibuat dengan sukarela. Amnesti Antarbangsa menganggarkan bahawa pengkhatanan wanita secara tak sukarela melebihi 2 juta setiap tahun, khususnya di negara-negara Afrika.

Dalam berbagai-bagai budaya, kelentit kekadangnya dicucuk secara langsung. Dalam budaya pengubahsuaian tubuh di Amerika Syarikat, syaf kelentit pada dirinya sebenarnya jarang dicucuk kerana di kalangan wanita yang sudah amat kecil bilangannya yang sukarela dicucuk kelentit, hanya sebahagian yang kecil adalah sesuai untuk prosedur ini dari segi anatomi; tambahan pula, kebanyakan artis pencucukan enggan mencuba prosedur ini yang amat berbahaya. Sesetengah gaya, seperti gaya-gaya Isabella, dan Nefertiti, serta gaya segi tiga, ada mencucuk kelentit tetapi bahagian yang dicucuk adalah jauh di dalam pangkalnya yang memberi perangsangan yang unik. Bagaimanapun, prosedur ini masih memerlukan susuk genital yang wajar, tetapi adalah lebih biasa dilakukan berbanding dengan pencucukan syaf. Selain itu, apa yang salah dirujuk sebagai "pencucukan kelentit" sebenarnya hampir selalu merupakan pencucukan tukup kelentit yang lebih biasa dilakukan dan yang tidak rumit.

Sebilangan budaya pada berbagai-bagai masa dalam sejarahnya mengamalkan perengangan kelentit yang bertujuan untuk membesarkannya atau untuk menyebabkannya lebih mudah dinampak. Pembesaran kelentit mungkin dilakukan secara sengaja mahupun tidak. Mereka yang menggunakan hormon dan/atau ubat-ubat yang lain sebagai sebahagian peralihan daripada tubuh wanita kepada tubuh lelaki biasanya mengalami pertumbuhan kelentit yang dramatik. Keinginan peribadi (serta kesulitan faloplasti bedah) seringnya menyebabkan genitalia perempuan dikekalkan, dengan kelentit yang diperbesar seakan-akan merupakan zakar untuk tubuh lelakinya yang baru. Sebaliknya, penggunaan steroid anabolik oleh ahli bina badan dan ahli olahraga perempuan yang lain boleh menghasilkan pembesaran kelentit yang ketara, bersama-sama dengan kesan-kesan pemaskulinan yang lain pada badan wanita. Pembesaran sementara boleh dihasilkan melalui pengepaman sedutan yang diamalkan untuk menambah keseronokan seks atau untuk tujuan-tujuan estetik.

Rujukan

sunting
  1. ^ a b Anisah Barakbah (2017). "Alat Sulit/Kuntum/Faraj". Ensiklopedia Perbidanan Melayu. Universiti Islam Malaysia Press. ISBN 9789671330593.
  2. ^ O'Connell, H. E.; Sanjeevan, K. V.; Hutson, J. M. (Oktober 2005). "Anatomy of the clitoris". The Journal of Urology. 174 (4 Pt 1): 1189-95.
  3. ^ Rodgers 2003, halaman 92–93; O'Connell, Sanjeevan & Hutson 2005, halaman 1189–1195; Greenberg, Bruess & Conklin 2010, halaman 95; Weiten, Dunn & Hammer 2011, halaman 386; Carroll 2012, halaman 110–111, 252
  4. ^ Carroll 2012, halaman 110–111, 252; Di Marino 2014, halaman 81
  5. ^ Goodman 2009; Roughgarden 2004, halaman 37–40; Wingfield 2006, halaman 2023
  6. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-02-03. Dicapai pada 2007-02-06.
  7. ^ Chalker, Rebecca (2000). Kebenaran Kelentit. Percetakan Seven Seas. m/s. 36. ISBN 1-58322-473-4. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-06-18. Dicapai pada 2007-02-06.
  8. ^ O'Connell, Helen, Anatomy of the Clitoris, J Urol. Okt 2005; 174(4 Bhg. 1):1189-95, PMID 16145367
Sumber utama

Pautan luar

sunting