Lanun

kegiatan merompak di laut

Lanun atau bajak (laut)[1]:II[2] biasa digunakan untuk mana-mana perompak atau penjenayah yang beroperasi di kawasan laut untuk merampas barang dagangan yang diangkut kapal sasaran.

Gambaran pertembungan gerombolan lanun Blackbeard dengan pihak British
(Capture of the Pirate, Blackbeard, 1718 oleh Jean Leon Gerome Ferris, tahun 1920)

PeristilahanSunting

Gelaran "lanun" dipercayai datang daripada suku Iranun yang hidup di sekitar Mindanao dan pesisiran barat Sabah:[3] pada asalnya bangsa ini merupakan pelayar yang cekap, namun mulai abad ke-15, mereka terkenal sebagai perompak laut yang sering menangkap orang di pantai-pantai untuk dijual dan dijadikan hamba sahaya di Kesultanan Jolo. Hal ini semakin giat dengan keberadaan para pedagang British dan Belanda yang memasuki Borneo di mana sokongan daripada Empayar Brunei sering diberikan kepada masyarakat-masyarakat peribumi sebagai kerjasama menangkis ancaman terhadap pengaruh para pembesar di sana.[2]

"Bajak" pula datang daripada kapal-kapal besar dinaiki orang Dayak Laut yang turut bernama sama.

SejarahSunting

Ketamadunan awalSunting

Catatan tertua tentang para perompak laut ini dan kegiatan mereka di Asia Tenggara berasa dari penulisan dibuat seorang sami bernama Faxian dalam perjalanannya pulang dari India ditarikhkan sekitar 413-414 Masihi mengatakan bahawa "laut (Asia Tenggara) penuh dengan lanun". Jia Dan (785-805) menyebutkan bahawa lanun-lanun ini berpangkalan di sebelah barat-laut Srivijaya yang diperkirakan berada di sebelah utara Selat Melaka yang merupakan laluan masuk ke wilayah kerajaan tersebut.[4]

Peringkat awal, kegiatan lanun disamakan dengan kegiatan mengutip cukai kepada pemerintah di sepanjang Selat Melaka. Mereka berperanan sebagai perisik kepada kerajaan maritim. Peranan mereka juga sebagai 'kaki pukul' jika kapal-kapal enggan singgah dan tidak membayar cukai kepada kerajaan maritim.

Seorang laksamana Melaka misalnya mestilah seorang ahli pelayaran yang baik. Kapal nelayan dan lanun menjadi sumber maklumat terbaik kepada laksamana dan syahbandar.

Pada zaman modenSunting

Kini lanun lebih merupakan kumpulan perompak di laut yang menggunakan bot laju yang dapat menyelinap di hutan-hutan bakau dan muara sungai. Mereka akan membawa buluh galah sepanjang 10 meter atau lebih dan memanjat kapal tangki minyak mengunakan buluh galah tersebut.

Biasanya nakhoda kapal membawa wang tunai di dalam kapal mereka bagi membayar gaji kelasi kapal, bayaran sewa pelabuhan dan membeli barangan keperluan. Dolar Amerika yang mudah tunai di seluruh dunia digunakan ketika pembayaran.

Ada kalanya keseluruhan kapal dirompak dan dicat dengan warna yang berlainan. Mereka mempunyai rangkaian dan sindiket antarabangsa dan berhubung dengan pengedaran dadah dan senjata api. Macao dan Hong Kong pernah menjadi lokasi strategik rangkaian lanun-lanun ini.

RujukanSunting

  1. ^ bajak. Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
  2. ^ a b Ismail Ali (2013). "Perburuan Hamba, Perlanunan, dan Kempen Penghapusan Lanun di Sarawak: Perspektif Sejarah Maritim". SUSURGALUR: Jurnal Kajian Sejarah & Pendidikan Sejarah. Minda Masagi Press. 1 (1): 27–40. ISSN 2302-5808.
  3. ^ Crawfurd, John (1856). A descriptive dictionary of the Indian islands & adjacent countries,. Bradbury & Evans. m/s. 214.
  4. ^ Lapian, Adrian B. (2009). Orang Laut-Bajak Laut-Raja Laut Sejarah Kawasan Laut Sulawesi Abad XIX. Komunitas Bambu. ISBN 979-3731-59-1.