Maarof Zakaria ialah seorang peguam dan pengasas Bank Kebangsaan Melayu (Malay National Bank) iaitu bank pertama yang khusus untuk orang Melayu. Bank ini terletak di Klang Street, Kuala Lumpur. Bank ini ditubuh dengan bermodalkan 27 ekar tanah dan mempunyai 2 juta saham yang hanya dibuka kepada orang Melayu.[1] Semasa penubuhannya, bank asing yang beroperasi adalah The Chartered Bank (milik British) dan Overseas Chinese Banking Corporation (OCBC). Kedua-dua bank ini tidak memberikan perkhidmatan pinjaman wang kepada orang Melayu. Dengan itu, orang Melayu terpaksa berurusan dengan ceti-ceti untuk mendapatkan pinjaman wang dan dikenakan kadar faedah yang tinggi.

Maarof merupakan seorang peguam kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan. Beliau seangkatan dengan Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendeta Zaaba (16 September 1895-23 Oktober 1973). Maarof pernah menjadi pegawai daerah di Perak.

Antara anaknya ialah pelakon veteran Malaysia, Datuk Mustapha Maarof. Bagi mengenang jasa beliau, sebatang jalan di Bangsar telah dinamakan Jalan Maarof.[2]

Pembunuhan misteri sunting

Sekitar tahun 1947, Maarof Zakaria pernah cuba dibunuh oleh sekumpulan lelaki bersenjata api ketika mereka berpindah ke kediaman baharu di Taman Seputeh, Jalan Klang Lama. 10 bulan kemudian Maarof ditemui mati digantung pada sebatang pokok di hutan berhampiran Batu 13, Jalan Kuala Lumpur-Bentong, Pahang pada 7 Disember 1947. Maarof, yang ketika itu berumur 43 tahun, dikatakan hilang selama 2 hari selepas keluar dari rumah menuju ke Kampung Baru, Kuala Lumpur. Jam tangan jenama Rolex dan wang dalam dompetnya tidak diambil oleh pembunuhnya.

Sebelum kejadian beliau baharu membeli sebidang tanah dusun dianggarkan seluas 0.8 hektar di kawasan bukit yang mempunyai dua unit rumah setingkat, terletak berhampiran Sekolah Melayu Seputeh (kini SK Taman Bukit Desa).[3] Ketika pembunuhan itu berlaku, anaknya Mustapha Maarof masih bersekolah di Maktab Melayu Kuala Kangsar.

Peristiwa pembunuhan pegawai bank ini hampir menyamai pembunuhan pegawai Bank Bumiputera Finance di Hong Kong , Abdul Jalil Ibrahim yang akhirnya membongkar Skandal BMF.

Rujukan sunting

  1. ^ "Mustapha Maarof Hilang Kasih Sayañg Ayah, Isteri". Selasa, 16 Disember 2014 12:33 AM Oleh: NIEZAM ABDULLAH
  2. ^ Oleh BH, "BERSIRI: Maarof diculik, digantung dalam hutan" BHplus Isnin, 6 April 2015 | 5:28am. Diambil 04 Disember 2018
  3. ^ "Cubaan bunuh keluarga Maarof". Berita Harian. 1 Jun 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-06-01. Dicapai pada 2014-06-01.

Pautan luar sunting