Masakan Baba Nyonya

(Dilencongkan daripada Makanan Baba Nyonya)

Masakan Baba Nyonya (Jawi: ماسقن بابا ڽوڽا) amat terkenal dengan identiti masyarakat Baba dan Nyonya di Melaka terutamanya. Masyarakat ini juga terkenal dengan makanan tradisinya turun temurun dari nenek moyang mereka. Biasanya makanan kaum Baba berasal dari masakan Cina tetapi disesuaikan dengan selera kaum Baba yang gemarkan masakan pedas kaum Melayu. Tetapi amalan ini hanya dilakukan di rumah sahaja.

Restoran Nyonya di Melaka, Malaysia.

Makanan dan masakan tradisi masyarakat Baba ini biasanya disajikan pada hari perayaan seperti sambutan Tahun Baru Cina, Hari Lahir atau Majlis Perkahwinan. Di sinilah dihidangkan masakan dan kuih-muih tradisional mereka.

Jenis-jenis masakan Baba adalah seperti kari, sambal, pang-teh, bak-wan kepiting iaitu campuran daging babi dan sup ketam, itik timitik yang disalut dengan sayur jeruk atau diperam, itik sioh iaitu daging itik yang disalut dengan rempah, hati babi bungkus, acar Nyonya dan nasi lemak.

Selain itu, masyarakat Baba juga menghidangkan Nasi Kunyit dan sejenis mee yang dibuat khas, iaitu mee sua tau. Mee ini dibuat bertujuan untuk memenuhi hajat supaya dipanjangkan umur.

Kuih-muih tradisional masyarakat Baba pula terdiri daripada kuih bakul atau tih kuey dan kuey-ku yang berbentuk kura-kura berwarna merah, biru dan hitam. Kuih bakul atau tih kuey ini adalah warisan masyarakat Cina terhadap masyarakat Baba. Selain itu, masyarakat Baba juga meminati kuih-miuh tradisional Melayu seperti dodol, wajik, tapai, bahulu dan lain-lain lagi.