Malamut Alaska

baka anjing dari Amerika Syarikat

Malamut Alaska[a] atau hanya malamut ialah satu baka anjing besar yang pada asalnya dibiakbakakan untuk kekuatannya dan ketahanannya, untuk menarik muatan sebagai anjing tarikan, dan sebagai anjing pemburu.[2] Ia serupa dengan baka Artik lain seperti husky, spits, anjing Greenland, anjing Eskimo Kanada, husky Siberia, dan anjing Samoyed.

Malamut Alaska
Malamut Alaska kelabu dan putih
Nama lainMalamut
Negara asalAmerika Syarikat
Trait
Berat Jantan 38 kilogram (84 lb)[1]
Betina 34 kilogram (75 lb)[1]
Tinggi Jantan 25 inci (64 cm)[1]
Betina 23 inci (58 cm)[1]
Bulu Tebal, lapis bulu ganda, dengan lapis bulu bawah lebat
Warna Kelabu, sabel, hitam, atau merah, sentiasa dengan putih, serta putih dan perang menyeluruh
Saiz perinduk 4–10 ekor anak anjing
Jangka hayat 11.3 tahun
CatatanAnjing negeri Alaska
Anjing (Canis lupus familiaris)

Zuriat sunting

Walaupun anjing pertama dipercayai tiba di Benua Amerika pada 12,000 tahun lalu, orang dan anjing mereka tidak bertapak di Artik sehingga orang Paleo-Eskimo pada 4,500 tahun lalu, diikuti oleh orang Thule pada 1,000 tahun lalu, kedua-duanya berasal dari Siberia.[3] Malamut disangkakan dibiakbakakan oleh orang Inupiaq Malimiut dari kawasan Norton Sound di Alaska.[4]

Malamut telah dikenal pasti sebagai baka basal yang mendahului baka-baka moden pada abad ke-19. Sebuah kajian pada tahun 2013 menunjukkan bahawa malamut Alaska mempunyai asal usul di Asia Timur yang serupa, namun tidak sejelasnya berkaitan, dengan anjing Greenland dan anjing Eskimo Kanada, tetapi mengandungi percampuran mungkin dengan husky Siberia.[5]

Pada tahun 2015, sebuah kajian yang menggunakan beberapa penanda genetik menunjukkan bahawa malamut, husky Siberia, dan husky Alaska mengongsi hubungan genetik rapat antara satu sama lain dan berkaitan dengan anjing tarikan Chukotka dari Siberia. Anjing-anjing ini terpisah daripada dua baka anjing Inuit, iaitu anjing Eskimo Kanada dan anjing Greenland. Di Amerika Utara, malamut dan husky Siberia kedua-duanya telah mengekalkan zuriat Siberianya dan telah menyumbang dengan ketara kepada husky Alaska, yang menunjukkan bukti persilangan dengan baka-baka Eropah yang tekal dengan baka ini yang dihasilkan di Amerika Utara pascapenjajahan.[3] DNA yang disarikan daripada anjing berusia 9,500 tahun, Zhokhov, dinamai sempena pulau di Siberia, ditemukan mempunyai leluhur bersama dengan anjing tarikan Greenland, malamut Alaska, dan husky Siberia.[6]

Penampilan sunting

 
Malamut Alaska betina merah dan putih
 
Malamut Alaska dengan lapis bulu hitam dan putih pelana

Piawaian American Kennel Club (AKC) memerihalkan julat saiz semula jadi dengan tinggi keutamaan 23 inci (58 cm) dan berat 75 paun (34 kg) untk betina, dan tinggi 25 inci (64 cm) dan berat 85 paun (39 kg) untuk jantan.[7] Individu lebih berat (90 lb (41 kg)) dan anjing lebih kecil daripada 75 paun (34 kg) kerap terlihat. Kerap terdapat perbezaan saiz jelas antara jantan dengan betina. Berat melebihi 100 paun (45 kg) juga terlihat.[7]

Malamut Alaska berlapis bulu ganda. Lapis bulu bawah mempunyai tekstur berminyak dan mirip wul dan dapat menjadi setebal dua inci.[7] Lapis rerambut pengawal atas adalah kasar dan terletak jauh dari tubuh dengan lebih panjang di kelasa tetapi tidak lebih daripada satu inci dari sisi tubuh. Telinganya berperkadaran kecil berbanding dengan kepala dan menegak ke atas apabila ia menumpukan perhatian. Malamut Alaska ialah anjing berat dengan sifat dan tubuh lebih menggerunkan berbanding dengan husky Siberia yang dibiakbakakan untuk kelajuan. Malamut Alaska dibiakbakakan untuk kuasa dan daya tahan yang merupakan fungsi aslinya dan perkara yang disyaratkan oleh piawaian baka untuk pembiak baka malamut Alaska.

Warna biasanya merupakan pelbagai cahaya warna kelabu dan putih, sabel dan putih, hitam dan putih, perang anjing laut dan putih, merah dan putih, atau putih padu.[8] Terdapat pelbagai tanda pada baka ini termasuk tanda muka, takik di tengkuk, dan kolar atau separa kolar. Putih kerap menjadi warna utama pada tubuh, bahagian tungkai, kaki, dan bahagian tanda muka. Dari segi ragam warna, sesetengah malamut memiliki bayang warna antara kelabu gelap dengan kuning pucat di sekitar reja-rejanya dan kawasan putih, terpapar dengan gen terangkai warna yang dikenali sebagai agouti. Dua alel agouti, dengan kemungkinan alel ketiga, kelihatan ditemukan pada malamut: aw (corak agouti atau corak serigala/liar), at (corak titik sawo matan atau corak hitam), dan awat (agouti heterozigus atau agouti gelap).

Mata malamut Alaska berbentuk badam dan memiliki pelbagai cahaya warna perang; walau bagaimanapun, mata lebih gelap lebih diutamakan. Malamut Alaska baka tulen tidak mempunyai mata biru. Tubuh fizikal malamut adalah padat dan kuat dengan isi, tulang, dan kaki.

Menurut piawaian baka AKC, ekor malamut cukup berbulu dan terangkat ke atas paras belakang seperti jumbai melambai. Ekor skru gabus kadang-kadang terlihat tetapi dianggap sebagai kecacatan dalam piawaian baka AKC (ekor skru gabus kerap terlihat pada anjing Akita). Ekor cukup berbulu malamut membantu untuk mengekalkan kehangatan apabila ia berlingkar di dalam salji. Ia kerap terlihat membelitkan ekornya di sekitar hidung dan muka, yang dianggap membantu melindunginya dalam cuaca mencabar seperti salji berhembus. Telinganya pada umumnya tegak, berbentuk baji, berperkadaran kecil berbanding dengan kepala, dan terletak di sisi tengkorak. Muncungnya dalam dan lebar, menirus sedikit dari tengkorak ke hidung. Hidung dan gusinya hitam tetapi sesetengah malamut mempunyai hidung salji, iaitu hitam dengan bayang warna merah jambu yang dapat menjadi lebih gelap atau lebih cerah, bergantung pada musim.

Perangai sunting

 
Malamut Alaska bersaudara; betina (kiri) dan jantan (kanan)
 
Jantan (digambarkan) adalah lebih besar daripada betina.

Malamut Alaska masih digunakan sebagai anjing tarikan untuk perjalanan peribadi, penarikan muatan, atau untuk membantu menggerakkan objek ringan; walau bagaimanapun, sesetengah anjing digunakan untuk tujuan rekreasi seperti penarikan kereta luncur salji, juga dikenali sebagai mushing, serta skijoring, bikejoring, carting, dan canicross. Walau bagaimanapun, kebanyakan malamut kini dibela sebagai anjing peliharaan keluarga atau sebagai anjing pertunjukan atau persembahan dalam penarikan berat, ketangkasan anjing, atau pembungkusan. Malamut pada umumnya lebih perlahan dalam perlumbaan anjing tarikan jarak jauh menentang baka lebih kecil dan lebih pantas. Maka, kegunaan kerjanya terhad kepada penarikan muatan atau perjalanan jarak jauh pada kadar jauh lebih perlahan berbanding dengan yang diperlukan untuk perlumbaan. Ia juga dapat membantu menggerakkan objek berat merentasi jarak-jarak lebih dekat. Malamut Alaska jantan dewasa dapat menarik berat sekitar 500–1,500 kilogram (1,100–3,300 lb), bergantung pada tubuh dan latihan.[perlu rujukan]

Malamut, seperti baka utara dan baka anjing tarikan lain, dapat mempunyai dorongan pemangsa kuat, oleh sebab asal usulnya dan pembiakbakaannya. Ini dapat bermaksud bahawa dalam sesetengah keadaan, ia bakal mengejar haiwan lebih kecil, termasuk anjing lain, serta arnab, tupai, dan kucing. Walaupun malamut, lazimnya, agak senang berbaik-baik di sekitar orang dan dapat diajar untuk mentoleransi haiwan peliharaan lebih kecil, perlu ada kewaspadaan tentang keberadaannya di sekitar haiwan lebih kecil dan kanak-kanak kecil.

Malamut sangat suka akan orang, suatu trait yang menjadikannya khususnya anjing keluarga yang dicari-cari, namun sangat tidak sesuai sebagai anjing penjaga kerana ia tidak cenderung menyalak. Malamut lincah di sekitar perabot dan item-item lebih kecil, lantas menjadikannya anjing rumah yang unggul, selagi ia mendapat banyak waktu di ruangan luar untuk memenuhi keperluan senamannya.[9] Malamut Alaska juga kerap menyertai program terapi haiwan, seperti lawatan untuk pesakit di hospital, oleh sebab sifat lembutnya.[10]

Pada umunya seperti banyak baka lain, anjing ini ialah anjing kawanan kuat. Ia perlu mempunyai pemimpin kawanan.[11]

Malamut biasanya anjing senyap yang jarang menyalak.[12] Jika malamut bersuara, ia kerap kelihatan "bercakap" dengan menyuarakan bunyi "wu wu". Spits yang serupa, husky Siberia, adalah jauh lebih kuat bersuara.

Kesihatan sunting

 
Anak malamut Alaska kelabu muda dan putih – berusia dua bulan

Sebuah kajian tahun 2024 di United Kingdom mendapati purata jangka hayat sebanyak 11.3 tahun berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[13]

Masalah kesihatan paling kerap dilaporkan bagi malamut Alaska, dalam tinjauan The Kennel Club tahun 2004 (berdasarkan saiz sampel sebanyak 64 ekor anjing), merupakan masalah otot dan rangka (displasia pinggul) dan katarak keturunan. Terdapat isu kesihatan tambahan pada baka ini, yang asal usulnya tidak diketahui, termasuk gangguan sawan, yang ditemukan pada anak anjing muda serta dewasa, epilepsi, masalah jantung kongenital, masalah ginjal, dan gangguan kulit.[14]

Isu kesihatan lain pada malamut termasuk displasia siku, polineuropati terwaris, osteokondrodisplasia, hipoplasia serebelum, kecacatan jantung, dan masalah mata (khususnya katarak dan atrofi retina progresif).[15] Masalah yang semakin menjadi-jadi dalam kalangan baka anjing Artik, termasuk malamut Alaska, ialah kencing manis anjing, dengan onsert yang berlaku biasanya pada pertengahan usia (5 hingga 7 tahun).[16]

Lagi satu isu kesihatan lain dengan malamut ialah kekurangan zat zink. Baka ini tidak dapat semudahnya menyerap zink, dan jangkitan serta masalah kulit dan bulu dapat muncul.[17]

Kecelaruan tiroid ialah isu hormon paling kerap pada anjing dan hipotiroidisme adalah umum pada malamut.[18]

Sejarah sunting

 
Sebuah keluarga Inupiat dengan seekor malamut dari tahun 1915

Malamut Alaska mempunyai peranan utama dengan teman manusianya iaitu sebagai anjing serba guna, yang bekerja, berburu, dan hidup bersama dengan manusia.[19][halaman diperlukan] Anjing ini terkenal kerana kebolehan peruburuan cemerlangnya dan digunakan untuk memburu pemangsa besar seperti beruang. Ia juga membantu pemiliknya untuk menemukan anjing laut dengan memberikan isyarat kepada pemilik tentang lubang hembus anjing laut. Hubungan saling bergantung antara orang Malamute dengan anjing mereka menggalakkan kejayaan sesama kedua-dua pihak dan membolehkan mereka bertahan di tanah yang sukar dihuni di atas Garisan Artik.[perlu rujukan]

Buat tempoh singkat semasa Kerubut Emas Klondike pada tahun 1896, malamut dan anjing tarikan lain menjadi amat bernilai kepada prospektor dan penetap baru tiba dan kerap dibiakbakakan bersilang dengan baka import.[20]

Pengiktirafan baka tiba pada tahun 1935, kebanyakannya melalui usaha Pn. Eva B. Seeley. Pada masa itu, banyak anjing merupakan keturunan leluhur yang tidak diketahui. Yang kelihatan seperti baka tulen digunakan untuk pembiakbakaan, selebihnya disingkirkan. Selepas beberapa tahun, pejabat pendaftaran ditutup.[21]

Kehilangan daripada khidmat dalam Perang Dunia Kedua banyak menjejaskan baka ini namun tidak melenyapkannya. Pada tahun 1947, terdapat anggaran hanya 30 ekor anjing berdaftar yang tinggal. Maka, buku pembaka dibuka semula. Robert J. Zoller terlibat dalam baka ini dan mengambil kesempatan untuk menggabungkan anjing-anjing M'’Loot dan Hinman/Irwin dengan anjing terpilih Kotzebue untuk menghasilkan keturunan yang menjadi susur galur Husky-Pak. Semua malamut moden diturunkan daripada strain-strain awal dan menunjukkan gabungan ciri-ciri ke tahap yang lebih besar atau lebih kecil. Maka, terdapat perbezaan semula jadi yang terlihat kini.
— American Kennel Club[21] (terjemahan)

Malamut pernah mempunyai sejarah tersendiri; membantu Laksamana Muda Richard Byrd ke Kutub Selatan, dan para pelombong yang datang ke Alaska semasa Kerubut Emas tahun 1896, serta berkhidmat dalam Perang Dunia Kedua terutamanya sebagai anjing pencarian dan penyelamatan di Greenland, walaupun juga digunakan sebagai anjing penarikan muatan dan pembungkusan di Eropah. Anjing ini tidak pernah ditakdirkan untuk menjadi anjing tarikan perlumbaan; ia digunakan untuk penarikan muatan berat, iaitu penarikan beratus-ratus, malah beribu-ribu paun bekalan ke kampung-kampung dan kem-kem dalam kumpulan sekurang-kurang empat ekor anjing untuk muatan berat.[perlu rujukan]

Maskot Husky Universiti Washington ialah seekor malamut Alaska.[22] Pada tahun 2010, malamut Alaska dinamai anjing negeri rasmi Alaska.[23][24] Sekolah Tinggi Lathrop di Fairbanks, Alaska menggunakan seekor malamut sebagai maskot rasminya.[25]

Lihat juga sunting

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: مالاموت السکا; bahasa Inggeris: Alaskan malamute

Nota kaki sunting

  1. ^ a b c d "FCI-Standard N° 243 ALASKAN MALAMUTE" [Piawaian FCI No. 243 Malamut Alaska] (PDF). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). 10 Mac 2023. Dicapai pada 3 Januari 2024.
  2. ^ The dog encyclopedia (dalam bahasa Inggeris). Dennis-Bryan, Kim, Baggaley, Ann, John, Katie (ed. First American). New York, Amerika Syarikat: DK Publishing, Inc. Oktober 2014. m/s. 103. ISBN 9781465421166. OCLC 859155647.CS1 maint: others (link)
  3. ^ a b Brown, S K; Darwent, C M; Wictum, E J; Sacks, B N (2015). "Using multiple markers to elucidate the ancient, historical and modern relationships among North American Arctic dog breeds". Heredity (dalam bahasa Inggeris). 115 (6): 488–495. doi:10.1038/hdy.2015.49. PMC 4806895. PMID 26103948.
  4. ^ Handford, Jenny Mai (2009). "Dog sledging in the eighteenth century: North America and Siberia". Polar Record (dalam bahasa Inggeris). 34 (190): 237–248. doi:10.1017/S0032247400025705. S2CID 128763354.
  5. ^ van Asch, Barbara; Zhang, Ai-bing; Oskarsson, Mattias C.R.; Klütsch, Cornelya F.C.; Amorim, António; Savolainen, Peter (2013). "Pre-Columbian origins of Native American dog breeds, with only limited replacement by European dogs, confirmed by mtDNA analysis". Proceedings of the Royal Society B: Biological Sciences (dalam bahasa Inggeris). 280 (1766). doi:10.1098/rspb.2013.1142. PMC 3730590. PMID 23843389.
  6. ^ "Sled dogs are closely related to 9,500-year-old 'ancient dog'". ScienceDaily (dalam bahasa Inggeris). 25 Jun 2020. Dicapai pada 3 Januari 2024.
  7. ^ a b c "Alaskan Malamute Breed Standard". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). 2013. Dicapai pada 3 Januari 2024.
  8. ^ "Breed Standard". Alaskan Malamute Club of America (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 3 Januari 2024.
  9. ^ "Alaskan malamute - Is It the Right Dog for You?" (dalam bahasa Inggeris). alaskanmalamute.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 April 2009.
  10. ^ "Alaskan Malamutes". 2Puppies (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 17 April 2019. Dicapai pada 3 Januari 2024.
  11. ^ "American Kennel Club". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 April 2024.
  12. ^ "Do malamutes bark? - Alaskan Malamutes FAQ". www.alaskan-malamutes-info.com (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 28 November 2020. Dicapai pada 3 Januari 2024.
  13. ^ McMillan, Kirsten M.; Bielby, Jon; Williams, Carys L.; Upjohn, Melissa M.; Casey, Rachel A.; Christley, Robert M. (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death". Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Springer Science and Business Media LLC. 14 (1). doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484 Check |pmc= value (bantuan).
  14. ^ "Report from the Kennel Club/British Small Animal Veterinary Association Scientific Committee: Summary results of the Purebred Dog Health Survey for the Alaskan Malamute breed" (PDF). The Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). 2004. Dicapai pada 3 Januari 2024.
  15. ^ "Alaskan Malamute Club of America Health Committee" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Februari 2009.
  16. ^ Loureiro, Regina (Januari 30, 2008). "Canine Diabetes". Arctic Dog Rescue and Training Center (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada September 28, 2013. Dicapai pada Januari 3, 2024.
  17. ^ DACVD, Carlo Vitale DVM. "Canine zinc-responsive dermatosis". dvm360.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 3 Januari 2024.
  18. ^ Rhodes, Karen Helton; Werner, Alexander H. (25 Januari 2011). Blackwell's Five-Minute Veterinary Consult Clinical Companion (dalam bahasa Inggeris). Ames, Iowa, Amerika Syarikat: Wiley-Blackwell. m/s. 148. ISBN 978-0-8138-1596-1.
  19. ^ Bryan D. Cummins, 2002. First Nations, first dogs (Inggeris). Detselig Enterprises Ltd., Calgary, Alberta, Kanada.
  20. ^ Adney, Tappan (1900). Klondike Stampede (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). Harper & Bros.
  21. ^ a b "Alaskan Malamute Illustrated Standard-History" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 3 Januari 2024.
  22. ^ "Washington Huskies". Washington Huskies (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 3 Januari 2024.
  23. ^ Dean, Josh (17 April 2012). ""The Great Dane's Head Resembles the Outline of the Commonwealth's Boundaries"" (dalam bahasa Inggeris) – melalui Slate.
  24. ^ "Sorry, huskies, Malamute now AK's state dog" (dalam bahasa Inggeris). Alaska Dispatch. 10 April 2010. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 April 2010. Dicapai pada 3 Januari 2024.
  25. ^ "Lathrop High / Home". www.k12northstar.org (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 3 Januari 2024.

Pautan luar sunting