Parlimen (Jawi: ڤرليمين) merupakan majlis pembuat undang-undang (legislatif). Terdapat 2 jenis Parlimen iaitu unikameral (satu dewan) atau yang bikameral (dwidewan). Parlimen bikameral terdiri daripada satu dewan bawah (dimana ahlinya dipilih dalam pilihan raya) dan dewan tinggi (biasanya ahli dilantik) dibuka atau dibubarkan seorang ketua negara.[1][2] Ada sistem lebih bertingkat banyak seperti trikameral wujud tetapi amat jarang.

Negara-negara dengan parlimen diwarna merah

Parlimen juga boleh merujuk kepada tempat atau bangunan dimana penggubal undang-undang bersidang dan ia merupakan satu terma yang biasanya digunakan dalam negara-negara Komanwel. Parlimen yang paling terkenal adalah Parlimen United Kingdom yang kadang-kala digelar "ibu segala parlimen" (Mother of Parliaments) kerana aturannya yang diterapkan dalam sistem Westminster diikuti banyak negara Komanwel.[3]

Etimologi sunting

Nama "parlimen" berasal dari perkataan Perancis parlement "tempat untuk bercakap atau berbincang" terbitan kata kerja parler bermaksud "bercakap";[4] ia mula digunakan pada pertengahan 1230-an menungkapkan pertemuan magnum concilium (istilah Latin, "majlis besar") yang bersidang sesama para magnate ("orang besar/pembesar" terbitan magnus "besar")[5] dan dihadiri raja sejak zaman Raja William si Penakluk untuk membincangkan ehwal semasa, mengadakan pembicaraan besar dan menggubal undang-undang bertulis[6] namun diberi keutamaan kepada baron sejak mereka memaksa Raja John menandatangani Magna Carta pada 1215 yang menekankan tiga tuntutan mereka:[7][8]

  1. raja tertakluk kepada undang-undang
  2. raja hanya boleh menggubah undang-undang dan menaikkan cukai (kecuali yang dikenakan adat feudal) selagi dipersetujui rakyat jelata kerajaan
  3. kepatuhan kepada raja bersyarat dan tidak mutlak

Ciri-ciri sunting

 

Perjumpaan Parlimen biasanya diketuai oleh seorang "Speaker" atau Yang di-Pertuan. Di sesetengah negara, antaranya United Kingdom, prinsip keutamaan Parlimen ("Parliamentary supremacy") dipraktikkan. Di negara-negara ini, mahkamah tidak boleh menyatakan bahawa sesuatu undang-undang yang dibuat oleh parlimen adalah "ultra vires" — iaitu melebihi had kuasa parlimen. Kebanyakan negara dengan parlimen juga ada kekebalan parlimen untuk anggota-anggota mereka. Ini memastikan seseorang ahli parlimen tidak boleh didakwa untuk sesuatu pernyataan yang dibuat dalam dewan parlimen.

Biasanya, perundangan dicadang di dewan bawah parlimen, yang mempunyai lebih ramai ahli — di negara-negara tertentu, dewan bawah mungkin mempunyai beratus-ratus anggota. Walaupun perundangan biasanya perlu diluluskan oleh kedua-dua dewan parlimen, dalam sistem Westminster dewan tinggi biasanya tidak boleh menolak perundangan yang berkait dengan hal-hal kewangan. Selepas sesuatu undang telah dilulus oleh parlimen, ia perlu ditandatangani oleh Raja atau ketua negara.

Biasanya dalam negara dengan parlimen, ketua negara dan ketua kerajaan bukan orang yang sama. Dalam sistem Westminster yang mempraktikkan Raja berperlembagaan ("constitutional monarchy"), ketua negara hanya bermain peranan simbolik, dengan kuasa sebenar dalam tangan ketua kerajaan. Walaupun perlembagaan negara-negara tertentu seperti Malaysia menyatakan ketua negara bertindak hanya dengan nasihat ketua kerajaan, sebenarnya "nasihat" ini hampir selalu diikuti.

Ketua kerajaan di negara dengan parlimen biasanya dipanggil Perdana Menteri (PM). Seorang Perdana Menteri mesti mempunyai "keyakinan" majoriti ahli-ahli dewan bawah parlimen untuk memimpin kerajaan. Jika sesuatu undi tiada keyakinan (no-confidence vote) diluluskan oleh dewan bawah, Perdana Menteri mesti letak jawatan. Biasanya, Perdana Menteri dilantik oleh ketua kerajaan, tetapi calon yang dipilih hampir selalu pemimpin parti politik yang menang pilihan raya terakhir. Di sesetengah negara, Perdana Menteri boleh dilantik daripada ahli dewan tinggi, tetapi ini amat jarang dilakukan.

Parlimen di Komanwel sunting

 
Dewan Parlimen United Kingdom di Westminster, London.

Hampir semua parlimen di negara-negara Komanwel diasaskan Parlimen United Kingdom, yang telah menjajah atau mentadbir negara-negara Komanwel pada zaman kolonialisme. Bagaimanapun, setiap parlimen telah diubahsuai untuk ciri-ciri tempatan.

Contohnya, walaupun Parlimen United Kingdom bikameral dengan House of Lords (dewan tinggi) dan House of Commons (dewan bawah), Parlimen Singapura adalah unikameral. Selain itu, cara ahli parlimen dipilih telah diubah; contohnya, Singapura mempunyai "group representative constituencies" ataupun kawasan perwakilan kumpulan, di mana beberapa kawasan digabungkan dalam pilihanraya, walaupun dalam parlimen mereka diwakili oleh beberapa ahli parlimen.

Satu contoh lagi adalah Parlimen Australia, yang bikameral. Di situ, ahli Senate (dewan tinggi) dipilih dalam pilihanraya, dan bukan dilantik, manakala anggota House of Lords di United Kingdom dilantik oleh Raja dengan "nasihat" Perdana Menteri. Proses pilihanraya di Australia juga berlainan daripada proses di England. Di England, pemenang suatu pilihan raya adalah calon dengan jumlah undi terbanyak (ini digelar sistem "first-past-the-post") manakala di Australia, pemenang ditentu melalui sistem "single transferable vote" (STV) ataupun undi boleh alih sekali.

Parlimen di luar Komanwel sunting

Walaupun United Kingdom dan tanah jajahannya merupakan pengguna parlimen yang paling terkenal, beberapa negara bukan Komanwel juga mengguna parlimen, sistem Westminster, atau kedua-duanya. Contohnya, Jepun mempunyai sebuah parlimen yang dipanggil "Diet". Proses perundangan di Jepun juga diasaskan pada sistem Westminster.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ Julian Go (2007). "A Globalizing Constitutionalism? Views from the Postcolony, 1945–2000". Dalam Arjomand, Saïd Amir (penyunting). Constitutionalism and political reconstruction. Brill. m/s. 92–94. ISBN 978-9004151741.
  2. ^ "How the Westminster Parliamentary System was exported around the World". University of Cambridge. 2 December 2013. Dicapai pada 16 December 2013.
  3. ^ Seidle, F. Leslie; Docherty, David C. (2003). Reforming parliamentary democracy. McGill-Queen's University Press. m/s. 3. ISBN 9780773525085.
  4. ^ Bandingkan:
    • "Etymologie de parlement". Centre Nationale de Ressources de Textuelles et Lexicalles (dalam bahasa Perancis). 2012. Dicapai pada 3 Jul 2023.
  5. ^ Maddicott 2010, m/s. 157.
  6. ^ Maddicott 2010, m/s. 57, 61 & 75.
  7. ^ Lyon 2016, m/s. 58 & 62–63.
  8. ^ Butt 1989, m/s. 60.
Sumber