Parti Demokratik Singapura

parti politik di Singapura

Parti Demokratik Singapura, (tetap disingkat sebagai SDP; Cina ringkas: 新加坡民主党Cina tradisional: 新加坡民主黨pinyin: Xīnjiāpō Mínzhǔ Dǎng; Tamil: சிங்கப்பூர் மக்களாட்சி, rumi: Ciṅkappūr Makkaḷāṭci; bahasa Inggeris: Singapore Democratic Party) ialah sebuah parti politik di Singapura.

Parti Demokratik Singapura
Singapore Democratic Party
新加坡民主党
சிங்கப்பூர் மக்களாட்சி
PengerusiJeffrey George
Setiausaha agungChee Soon Juan
Ditubuhkan6 Ogos 1980 (1980-08-06)
Ibu pejabat3 Ang Mo Kio Street 62
#02-30 Link@AMK
Singapura 569139
Keanggotaan100 [perlu rujukan]
IdeologiDemokrasi liberal
Kedudukan politikHaluan tengah ke Sayap kiri tengah
Penggabungan antarabangsaLiberal International
Council of Asian Liberals and Democrats
WarnaMerah
Parlimen
0 / 99
Laman sesawang
yoursdp.org
Politik Singapura
Parti politik
Pilihan raya

Parti ini ditubuhkan pada tahun 1980 oleh Chiam See Tong yang berjaya menjadi Anggota Parlimen untuk Kawasan Undi Perseorangan Potong Pasir pada 1984. Pada pilihanraya umum 1991, dua lagi anggota SDP, Ling How Doong dan Cheo Chai Chen, telah memenangi kerusi di Parlimen, menjadikan 3 buah kerusi kesemuanya, pencapaian terbaik parti tersebut. Namun, Chiam meninggalkan SDP pada 1997 setelah berbalah dengan beberapa anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti tersebut. Jawatan Chiam diambil alih oleh Chee Soon Juan pada 1995. Beliau masih menyandang jawatan ini hingga ke hari ini.

Sejarah dan perkembangan politik sunting

Penubuhan sunting

Parti SDP ditubuhkan pada 6 Ogos oleh Chiam See Tong, seorang peguam, bersama Fok Tai Loy seorang jurutera perunding dan Ernest Chew Tian Ern, seorang peniaga. Chiam menjadi Setiausaha Agung pertama manakala Fok Tai Loy menjadi pengerusi parti. Ernest Chew dilantik sebagai Naib Setiausaha Agung. [1] Objektif utama parti itu ialah "pembasmian kolonialisme dan feudalisme, mempertahankan sistem demokrasi berparlimen serta mendukung prinsip-prinsip demokrasi, sosialisme dan perlembagaan." [2] Pada 19 Oktober 1980, logo parti diperkenalkan: bentuk bulatan (melambangkan kesatuan rakyat Singapura yang berbilang bangsa), di belakang anak panah (melambangkan kemajuan politik di Singapura), berlatarkan warna merah (menandakan keberanian dan keazaman).[3] Parti SDP dilancarkan secara rasmi pada 21 September 1981, setelah setahun terdaftar sebagai parti politik.[4]

Kepimpinan Chiam See Tong (1980-1993) sunting

Pilihanraya umum 1984 sunting

Parti SDP menyertai kempen pilihan raya dengan slogan "Rakyat Singapura untuk Singapura", mengutarakan kepentingan adanya ahli pembangkang di dalam parlimen supaya wujud proses demokrasi di negara itu. Parti itu juga mengemukakan beberapa isu hangat seperti pembaharuan sistem pendidikan dan sistem CPF serta ketidaksetujuan dengan sistem pilihan raya Presiden Singapura..[5] SDP telah mengetengahkan 4 orang calon dalam pilihan raya itu: Setiausaha Agung Chiam See Tong, Pengerusi Ling How Doong (yang dilantik setelah kematian Fok Tai Loy), Naib Pengerusi Soon Kia Seng dan Bendahari Peter Lim Ah Yong.[6]

Semasa kempen pilihan raya, calon-calon SDP sering diselar oleh parti PAP. Ling How Doong dan Chiam See Tong sering menjadi sasaran. Parti PAP memilih untuk mengungkitkan hal pemecatan Ling dari pasukan polis bagi mempersoal kebolehpercayaannya. Namun, dakwaan ini disangkal keras oleh kepimpinan SDP.[7] Perdana Menteri Singapura pasa masa itu, Lee Kuan Yew juga sering membanding-bandingkan prestasi Chiam sewaktu di sekolah menengah dengan calon PAP, Mah Bow Tan bagi mempersoal kelayakannya. Namun, Chiam muncul sebagai juara setelah mengalahkan Mah dalam kawasan undi yang dipertandingi, Potong Pasir, dengan merangkul 60% jumlah undi. Chiam menjadi ahli politik pembangkang kedua yang dilantik ke parlimen Singapura setelah J.B. Jeyaretnam dari Workers' Party. Secara keseluruhan, SDP telah merakamkan pencapaian yang baik kerana berjaya mendapat sekitar 45.2% peratusan undi dalam kawasan-kawasan pilihan raya yang dipertandingi. [8]

Setelah Jeyaretnam disingkir dari Parlimen pada 1986, Chiam menjadi Anggota Parlimen pembangkang yang tunggal di Singapura. Sebagai seorang yang bersikap sederhana dalam politik, Chiam mengatakan bahawa tugasnya bukan untuk membangkang semua dasar pemerintah. Namun, katanya lagi: "Jika pemerintah membuat perkara-perkara yang salah atau tidak berfaedah kepada Singapura, kita akan menentang tanpa rasa gentar".[9]

Pilihanraya umum 1988 sunting

Pilihan raya umum 1988 menyaksikan persaingan yang hebat dengan 71 calon pembangkang dan hanya 11 kawasan undi yang tidak perlu ditandingi. Pilihan raya ini juga merupakan kali pertama sebuah perdebatan politik dilakukan melalui televisyen. [10] Selain Chiam dan Ling, SDP memperkenalkan calon-calon seperti Ashleigh Seow (anak Peguam Cara Negara, Francis Seow), Jufrie Mahmood, seorang usahawan, Kwan Yue Keng, seorang pengurus jualan, Mohd Shariff Yahya, kerani bank dan George Sita, seorang guru. Fokus SDP dalam pilihan raya ini ialah untuk mempersoal langkah pemerintah yang telah merubah perlembagaan negara dan untuk menyerlahkan ketidakbenaran penunjuk ekonomi yang PAP sering uar-uarkan. [11] Apabila keputusan pilihan raya diumumkan, hanya Chiam muncul sebagai calon pembangkang yang berjaya memenangi kerusi. Beliau dilantik sebagai Anggota Parlimen Potong Pasir bagi penggal kedua. SDP hanya berjaya mendapat 39.5% peratus jumlah undi untuk semua kawasan-kawasan undi yang dipertandingi. [12]

Pilihanraya umum 1991 sunting

PAP mengumumkan pilihan raya umum pada 1991 setelah hanya 3 tahun memerintah. Untuk pilihan raya ini, SDP telah mengetengahkan ketidaksetujuannya dengan dasar-dasar pemerintah yang bersifat kontroversial seperti kenaikan gaji menteri yang mendadak, kos penjagaan kesihatan yang meningkat, pendidikan universiti, isu pengangkutan dan cukai GST. Menariknya, pada pilihan raya ini, SDP telah berjaya mencapai persetujuan dengan parti-parti pembangkang lain untuk hanya merebut kurang daripada separuh jumlah kerusi yang dipertandingkan. Perbuatan ini telah menimbulkan kesan by-election effect atau pilihan raya kecil. SDP kemudian cuba meyakinkan para pengundi dengan berjanji bahawa tidak akan berlakunya pertukaran pemerintah di negara itu dan oleh itu mereka harus mengundi lebih banyak calon pembangkang ke parlimen.[13]

Strategi SDP ini berkesan kerana dalam pilihan raya ini, parti itu berjaya memenangi 3 buah kerusi, pencapaiannya yang terbaik selama ini. Chiam See Tong berjaya mempertahankan kerusinya di Potong Pasir sementara Ling How Doong dan Cheo Chai Chen memenangi kawasan Bukit Gombak dan Nee Soon Central. Calon-calon lain yang tidak berjaya juga telah menunjukkan prestasi yang baik. [14] Pada pilihan raya ini juga, ketua parti The Worker's Party, Low Thia Khiang, berjaya memenangi kawasan undi Hougang, menjadikan jumlah ahli pembangkang seramai 4 orang. Ini merupakan pencapaian terbaik yang dikecapi parti-parti pembangkang di Singapura sejak merdeka. Keputusan pilihan raya pada masa itu juga merupakan hambatan yang besar untuk parti PAP dan perdana menteri pada masa itu, Goh Chok Tong.[15]

Pada 1992, Chiam telah merekrut Chee Soon Juan, seorang pensyarah psikologi di Universiti Nasional Singapura (NUS), sebagai calon SDP dalam pilihan raya kecil Marine Parade GRC. Walaupun SDP kecundang dalam pilihan raya ini, (PAP menang 72.9% undi, SDP 24.5%, parti-parti lain 2.5%), pelantikan Chee sebagai calon telah menarik perhatian orang ramai. Pada masa ini juga, perbezaan pendapat di antara Chiam, Chee dan anggota CEC yang lain mula muncul.

Pertelingkahan dalaman 1993 sunting

Tiga bulan setelah menganggotai SDP, Chee telah dipecat oleh Universiti Nasional Singapura kerana dituduh menggunakan dana kajian untuk membiaya kos perkhidmatan kiriman cepat (kurang daripada $200) untuk mengirim tesis PhD isterinya ke Amerika Syarikat. Chee menyangkal dakwaan ini dengan mengatakan bahawa isterinya bekerja dalam jabatan yang sama dan oleh itu mereka sering berkongsi dan bekerjasama dalam melakukan kajian. Oleh itu, wang yang dimaksudkan itu tidak disalahgunakan. Menurutnya lagi, tindakan NUS memecatnya mengandungi motif politik. PAP menolak tuduhan Chee. Chiam pula mahu mendenda Chee atas pernyataannya namun perbuatan Chee disokong oleh jawatankuasa CEC partinya. Oleh itu, Chiam meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung SDP dan jawatannya diambil alih oleh Chee.

Setelah Chiam dikecam hebat oleh CEC, jawatankuasa itu cuba menyingkirnya dari parti itu (langkah ini bermakna Chiam harus melepaskan kerusinya di Parlimen). Namun, Chiam memenangi kes mahkamah yang melarang jawatankuasa itu untuk bertindak demikian. Jawatankuasa itu kemudiannya melantik Ling untuk menggantikan Chiam sebagai ketua parti di parlimen.

Akibat peristiwa itu, ramai penyokong Chiam telah meninggalkan parti itu untuk membentuk Singapore People's Party (SPP) atau Parti Rakyat Singapura, yang diketuai oleh seorang bekas anggota SDP, Sin Kek Tong. Setelah parlimen dibubarkan pada 1997, Chiam meninggalkan SDP dan menganggotai SPP sebagai ketua baharu parti tersebut.

Kepimpinan Chee Soon Juan (1993 hingga kini) sunting

1994-2000 sunting

Setelah dilantik sebagai pemangku ketua parti SDP pada 1993, Chee mula menyuarakan pendapatnya tentang ketandusan demokrasi di Singapura kepada pihak media. Beliau juga menyampaikan pendiriannya tentang hal ini dalam bukunya yang bertajuk, Dare To Change: An Alternative Vision for Singapore, pada 1996.

Pada pilihan raya umum 1997, SDP mengalami banyak halangan. Ling dan Cheo gagal dalam pemohonon mereka untuk bertanding dalam pilihan raya menyebabkan tiada orang dalam parti itu yang menyandang jawatan ahli parlimen. Chee pula kalah di tangan calon PAP, Matthias Yao dalam pilihan raya kawasan undi MacPherson SMC. Hanya 2 orang ahli pembangkang yang berjaya - Chiam yang berjaya mengekalkan kawasan Potong Pasir sebagai calon Singapore People's Party, dan kawasan Hougang yang masih dipegang Low Thia Khiang dari Worker's Party. Jumlah undi untuk parti-parti pembangkang merosot dari 40% ke 35%.[perlu rujukan] Tiada calon SDP yang berjaya melangkah masuk ke Parlimen sejak pilihan raya 1997 itu.

Pada tahun 1999, Chee sekali lagi menarik perhatian orang ramai apabila dia cuba memberi ucapan di sebuah kawasan kewangan walaupun permit untuk melakukan demikian tidak diluluskan.

2001-2005 sunting

Dalam pilihan raya umum 2001, SDP gagal memenangi sebarang kerusi tetapi berjaya menarik perhatian rakyat Singapura apabila semasa berkempen bersemuka dengan perdana menteri Goh Chok Tong dan pasukannya. Semasa kejadian itu, Chee telah mengenggam dan menaikkan tangannya sambil meneriak slogan-slogan anti-pemerintah. [perlu rujukan] Kemudian, dalam kenderaan yang digunakan untuk berkempen, Chee menggunakan pembesar suara untuk bertanya kepada Goh: "Di manakah duit $18 bilion yang telah kamu pinjam kepada Suharto?" PAP telah menolak dakwaan Chee yang pemerintah telah meminjamkan wang sebanyak itu kepada Suharto. PAP menuntut supaya Chee meminta maaf jika dia tidak mahu disaman di mahkamah. Akibat desakan dari PAP, Chee dan partinya meminta maaf pada hari berikutnya. Isu lain yang ditimbulkan oleh SDP ialah tentang dasar ekonomi PAP. SDP menegaskan bahawa demi kesejahteraan pekerja-pekerja Singapura, PAP harus memperkenalkan sistem upah minimum $5 sejam. Desakan ini disuarakan sepanjang kempen pilihan raya 2001. PAP pula menolak manifesto ekonomi SDP dengan menyatakan bahawa kadar inflasi akan meningkat dan negara itu akan muflis jika dasar ekonomi tersebut diperkenalkan. [perlu rujukan]

Pilihan raya umum 2006 sunting

Pada Mac 2006, sejurus sebelum pilihanraya umum 2006, parti itu menerima tamparan yang hebat apabila Chee Soon Juan dipenjara setelah gagal membayar denda kerana melakukan penghinaan terhadap mahkamah. Pengerusi SDP pada masa itu, Ling How Doong, menyatakan parti itu akan "lebih baik tanpa Chee", bermakna SDP bukanlah parti Chee semata-mata dan parti itu mampu bertahan tanpa Chee sebagai ketua. Adik perempuan Chee, Chee Siok Chin, juga anggota SDP, mengesahkan bahawa semua ahli parti masih bersatu. [16]

SDP giat membuat persediaan untuk pilihan raya 2006 dan telah memilih untuk mempersoal Menteri Kesihatan pada masa itu, Khaw Boon Wan tentang skandal National Kidney Foundation (Yayasan Ginjal Nasional) yang membuat ramai orang tidak berpuas hati. [17] Parti itu kemudian menerbitkan sebuah rencana khas di majalahnya, New Democrat, menyoal kewibawaan PAP dalam menangani isu ini. Akibatnya, SDP telah disaman oleh PAP pada 22 April 2006, dua hari setelah parti itu berjaya mencalonkan kandidat untuk kawasan undi Sembawang GRC dan Bukit Panjang SMC. SDP telah diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar wang ganti rugi kepada PAP dan menerbitkan sebuah pernyataan minta maaf di akhbar-akhbar tempatan pada 26 April 2006. Kecuali Chee Soon Juan dan adiknya, Chee Siok Chin, semua ahli jawatankuasa CEC parti itu telah memilih untuk meminta maaf.

Pasukan yang bertanding di Sembawang GRC terdiri daripada Chee Siok Chin, peniaga Christopher Neo, Isa Abdul Aziz dan Yong Chu Leong, pengurus pemasaran Gerald Sng Choon Guan dan pentadbir Narayanasamy Gogelavany. Pengerusi SDP, Ling How Doong, bertanding di Bukit Panjang SMC. Peratusan jumlah undi yang diterima oleh SDP di Sembawang ialah 23.3% manakala di Bukit Panjang, SDP meraih 22.8%. [18][19]

Pilihan raya umum 2011 sunting

 
Lawatan SDP ke Yuhua SMC, 17 April 2011

Bagi membuat persediaan untuk pilihan raya umum 2011, SDP telah menganjurkan dua rapat umum di Hong Lim Park pada bulan September dan November 2010. Parti itu juga telah memperkenalkan belanjawan alternatif pada Februari 2011 bagi menandingi belanjawan yang dikeluarkan PAP. Pada tahun itu, SDP giat mendekati rakyat Singapura dan telah bertanding di bawah slogan, "The SDP Promise" (Janji SDP).[20] Dari September 2010 hingga April 2011, SDP sering mendekati para penduduk di kawasan-kawasan undi Bukit Panjang, Holland-Bukit Timah, Yuhua dan Whampoa.

SDP telah memperkenalkan barisan calonnya beberapa hari sebelum Hari Pencalonan. Para kandidat telah diperkenalkan semasa sidang akhbar pada 21 dan 22 April 2011. Bekas pegawai awam Tan Jee Say, guru sekolah swasta Michelle Lee Juen, ahli psikiatri Ang Yong Guan dan aktivis sosial Vincent Wijeysingha membentuk pasukan SDP untuk kawasan undi Holland-Bukit Timah GRC. SDP juga mengumumkan keinginannya untuk bertanding di kawasan undi Sembawang GRC. Pasukan yang dihantar untuk bertanding di sana terdiri daripada ahli akademik James Gomez, Naib Setiausaha Agung parti John Tan, usahawan Jarrod Luo, bekas ahli kesatuan sekerja Sadasivam Veriyah dan ahli niaga Mohd Isa. Bekas tahanan politik, Teo Soh Lung, dan bendahari SDP, Gerald Sng, turut diperkenalkan kepada media dan telah dihantar untuk bertanding di kawasan undi Yuhua dan Bukit Panjang. [21][22]

Isu-isu yang ditimbulkan dalam pilihan raya ini termasuk kemasukan warga asing yang berlampauan, penyalahurusan Sukan YOG atau Sukan Olimpik Belia [23] dan kerugian dana terikat dalam majlis-majlis bandar Holland-Bukit Timah dan Bukit Panjang selenggaraan PAP.[24] Namun, isu-isu ini dibayangi oleh dakwaan Dr Balakrishnan tentang sebuah video SDP yang dikatakan mengandungi "agenda gay Dr Wijeysingha".[25] SDP menolak tuduhan ini tentang Dr Wijeysingha. Pada Hari Pencalonan, SDP berjaya mencalonkan kesemua kandidatnya.

Pada 7 Mei 2011 (hari mengundi), SDP gagal memenangi Sembawang GRC tetapi berjaya meningkatkan jumlah peratusan undi yang diterimanya sebanyak 13%. Peratusan undi yang diterima SDP di Sembawang ialah 36.1%.[26] Parti itu juga gagal memenangi kawasan undi Bukit Panjang dan Yuhua dengan setiap kawasan meraih 33.9% dan 33.1%.[27][28] Namun, kawasan undi Holland-Bukit Timah GRC menjadi tempat di mana SDP merakamkan prestasi yang terbaik sejak 1997, dengan mendapat 39.9% undi.[29]Secara keseluruhan, SDP berjaya meraih 36.8% undi.[30]

Struktur pertubuhan sunting

SDP diterajui oleh 12 anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang dilantik oleh anggota kader parti semasa Persidangan Biasa yang berlangsung setiap dua tahun.[31] Jawatankuasa CEC terkini dilantik pada 5 Oktober 2013 dan terdiri daripada:[32]

  • Jeffrey George, Pengerusi
  • Chee Soon Juan, Setiausaha Agung
  • John Tan, Naib Pengerusi
  • Christopher Ang, Naib Setiausaha Agung
  • Chong Wai Fung, Bendahari
  • Jaslyn Go, Naib Bendahari
  • Chee Siok Chin
  • Vincent Cheng
  • Jufri Salim
  • Jufrie Mahmood
  • Bryan Lim
  • Gerald Sng
  • Francis Yong

Pucuk pimpinan sunting

Senarai Setiausaha Agung SDP sunting

Senarai Pengerusi SDP sunting

Mantan Anggota Parlimen sunting

No Nama Lahir Kawasan Undi Catatan
1 Chiam See Tong 1935 Potong Pasir SMC (1984 - 1996) Chiam meninggalkan SDP pada 1996 tetapi kekal sebagai Anggota Parlimen hingga 2011
2 Ling How Doong 1934 Bukit Gombak SMC (1991 - 1997)
3 Cheo Chai Chen 1951 Nee Soon Central SMC (1991 - 1997)

Penilaian prestasi sunting

Keputusan Pilihan Raya sunting

Pilihan Raya Kerusi menang Jumlah Peratusan Keputusan Ketua
1980
0 / 75
11,292 1.8% Chiam See Tong
1984
1 / 79
32,102 3.7% 1 kerusi; Pembangkang utama Chiam See Tong
1988
1 / 81
158,341 11.8% Chiam See Tong
1991
3 / 81
93,856 12.0% 2 kerusi Chiam See Tong
1997
0 / 83
76,129 10.6% 3 kerusi Chee Soon Juan
2001
0 / 84
50,607 8.1% Chee Soon Juan
2006
0 / 84
45,937 4.09% Chee Soon Juan
2011
0 / 87
97,369 4.83% Chee Soon Juan

Anggota gabungan sunting

SDP mempunyai hubungan dengan pertubuhan-pertubuhan berikut:

  • Alliance for Reform and Democracy in Asia
  • World Movement for Democracy
  • Sweden-Singapore Initiative for Democracy
  • Community of Democracies NGO Process

The Young Democrats (cabang pemuda SDP) ialah anggota:

  • International Federation of Liberal Youth (IFLRY)
  • Young Liberals and Democrats of Asia (YLDA)

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

Nota sunting

  1. ^ Mutalib, Parties and Politics, pp. 166 - 167
  2. ^ Mutalib, Parties and Politics, pp. 167
  3. ^ Mutalib, Parties and Politics, pp. 168
  4. ^ Mutalib, Parties and Politics, pp. 169
  5. ^ Mutalib, Parties and Politics, pp. 174
  6. ^ Mutalib, Parties and Politics, pp. 174 -175
  7. ^ Mutalib, Parties and Politics, pp. 175
  8. ^ Mutalib, Parties and Politics, pp. 175
  9. ^ Business Times: 15 December 1980
  10. ^ Mutalib, Parties and Politics, pp. 176
  11. ^ Mutalib, Parties and Politics, pp. 175 - 178
  12. ^ Mutalib, Parties and Politics, pp. 181
  13. ^ Mutalib, Parties and Politics, pp. 178
  14. ^ Mutalib, Parties and Politics, pp. 179
  15. ^ Mutalib, Parties and Politics, pp. 149
  16. ^ "Chee's sister says there is no rift in SDP's ranks". Today (Singapore newspaper). 18 March 2006. Diarkibkan daripada yang asal pada 2006-11-21. Dicapai pada 2015-09-06.
  17. ^ "SDP will contest in Sembawang GRC". Singapore Democrats. 30 March 2006. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-08-09. Dicapai pada 2015-09-06.
  18. ^ "General Elections 2011 - Sembawang GRC". Singapore Elections. 2006. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-09-02. Dicapai pada 2015-09-06.
  19. ^ "General Elections 2011 - Bukit Panjang SMC". Singapore Elections. 2006. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-09-03. Dicapai pada 2015-09-06.
  20. ^ "We make you The SDP Promise". yoursdp.org. 22 April 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-03-23. Dicapai pada 2015-09-06.
  21. ^ "GE: SDP introduces 6 of its 11 candidates". ChannelNewsAsia. 21 April 2011.
  22. ^ "SDP introduces remaining 5 candidates". yoursdp.org. 22 April 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-03-23. Dicapai pada 2015-09-06.
  23. ^ "SDP will hold Dr Vivian Balakrishnan publicly accountable over YOG". YourSDP. Singapore Democratic Party. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-03-23. Dicapai pada 1 Oct 2011.
  24. ^ "The SDP Promise: The SDP will be accountable with the people's money". YourSDP. Singapore Democratic Party. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-04-20. Dicapai pada 1 Oct 2011.
  25. ^ Xuanwei, Teo (25 April 2011). "Netizens attempt to identify video SDP accused of 'suppressing'". Today Online. Dicapai pada 12 May 2011.
  26. ^ "Parliamentary General Election 2011 - Sembawang GRC". singapore-elections.com. 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-09-02. Dicapai pada 2015-09-06.
  27. ^ "Parliamentary General Election 2011 - Yuhua". singapore-elections.com. 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-09-07. Dicapai pada 2015-09-06.
  28. ^ "Parliamentary General Election 2011 - Bukit Panjang". singapore-elections.com. 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-08-31. Dicapai pada 2015-09-06.
  29. ^ "Parliamentary General Election 2011 - Holland-Bukit Timah GRC". singapore-elections.com. 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-09-03. Dicapai pada 2015-09-06.
  30. ^ "Parliamentary General Election 2011 - Votes". singapore-elections.com. 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-09-03. Dicapai pada 2015-09-06.
  31. ^ Mutalib, Parties and Politics, pp. 169
  32. ^ "Democrats Elect New CEC". yoursdp.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-06-10. Dicapai pada 10 October 2013.

Bibliografi sunting

  • Mutalib, Hussin. 2004. Parties and Politics: A Study of Opposition Parties and the PAP in Singapore. (2nd ed.) Singapura: Marshall Cavendish Academic.

Pautan luar sunting