Penyamaran
Penyamaran ialah satu kaedah yang membolehkan sesuatu hidupan atau objek yang nyata menjadi tidak jelas atau "samar"[1] mengelak dari diperhati secara menyerupai persekitarannya,[2] contohnya belang pada badan seekor harimau dan pakaian seragam tentera moden. Teori penyamaran meliputi pelbagai strategi yang digunakan untuk mencapai kesan penyamaran.
Corak warna kriptik dalam alam
suntingCorak warna kriptik ialah bentuk penyamaran yang paling banyak digunakan, iaitu terdapat dalam majoriti spesies. Cara yang paling ringkas untuk haiwan menyamar adalah serupa warnanya dengan persekitarannya. Contohnya: "warna tanah" rusa, tupai, atau tikus kesturi (untuk memadani warna pokok atau tanah), atau gabungan kulit biru bahagian bawah perut putih ikan jerung melalui kaedah lawan penggelapan (yang menyukarkan pengesanannya dari atas dan bawah). Corak-corak yang lebih rumit terdapat pada haiwan-haiwan seperti ikan flounder, rama-rama, katak, dan sebagainya.
Jenis penyamaran yang dikembangkan oleh sesuatu spesies bergantung kepada beberapa faktor:
- Persekitaran tempat tinggal. Biasanya inilah faktor terpenting.
- Fisiologi dan kelakuan haiwan. Haiwan-haiwan berbulu memerlukan cara penyamaran yang berbeza daripada haiwan-haiwan berbulu pelepah atau bersisik. Begitu juga, haiwan-haiwan yang hidup berkumpulan menggunakan teknik penyamaran berbeza daripada haiwan-haiwan bersendirian.
- Apabila dikejar pemangsa, maka kelakuan atau kecirian itu pemangsa boleh mempengaruhi cara menyamarnya. Misalnya, jika pemangsa berpenglihatan akromatik ("tak berwarna"), jadi si mangsa tidak perlu memadankan warnanya dengan persekitarannya.
Terdapat dua cara haiwan menghasilkan warna:
- Biokrom: pigmen mikroskopik semula jadi yang menyerap jarak gelombang cahaya tertentu dan memantu yang lain, maka menimbulkan warna tampak untuk diperlihatkan kepada pemangsa utamanay.
- Struktur fizikal mikroskopik yang bertindak seperti prisma untuk memantul dan menyerakkan cahaya untuk menghasilkan warna yang berbeza dari kulitnya, seperti bulu lutcahaya beruang kutub yang sebenarnya berkulit hitam.
Corak warna kriptik juga boleh berubah mengikut perubahan musim atau perubahan persekitaran yang mendadak. Contoh, rubah Artik berbulu putih pada musim sejuk, dan berbulu perang pada musim panas. Mamalia dan burung masing-masing perlu menukar bulu dan pelepahnya, tetapi sesetengah haiwan seperti sotong katak, memiliki kromatofor, iaitu sel-sel pigmen bertakat lebih dalam yang boleh dikawal oleh haiwan tersebut. Haiwan-haiwan lain pula seperti spesies ikan atau nudibranka tertentu boleh menukar warna kulit dengan menukar pemakanannya. Bagaimanapun, makhluk bertukar warna yang terkenal sekali, iaitu mengkarung, biasanya tidak menukar warna untuk menyamar, sebaliknya untuk meluahkan perasaan.
Selain warna, corak warna kriptik selalunya tidak lengkap tanpa bantuan corak kulit. Ilusi Craik-O'Brien-Cornsweet menghuraikan bahawa pencerapan penglihatan dipengaruhi oleh kontras garis bentuknya. Misalnya, seseorang mencerap seekor anjing daripada bentuknya dan bukan warnanya. Biasanya, apa yang paling penting untuk mendapatkan corak warna kriptik yang bagus adalah memecahkan garis bentuk badan sesuatu makhluk. Contohnya, corak belang membantu harimau dan kuda belang berpadu dengan persekitaran masing-masing iaitu hutan dan padang rumput. Apa yang menarik mengenai contoh belang ini adalah, walaupun manusia boleh merasai corak warna kedua-dua haiwan tersebut langsung tidak memadani persekitaran, tetapi sebenarnya, mangsa harimau biasanya agak buta warna hinggakan tidak dapat membezakan warna jingga dan hijau, sementara pemangsa utama kuda belang, iaitu singa, juga buta warna, apatah lagi apabila kuda belang berkumpul menjadi sekawan, maka belang-belangnya turut berpadu bersama hinggakan agak sukar bagi singa mengesan seekor kuda belang individu.
Dalam alam semula jadi, haiwan-haiwan kuat merasai tekanan evolusi untuk berpadu dengan persekitaran atau menyorokkan rupa bentuknya; bagi mangsa untuk mengelakkan ancaman pemangsa dan juga pemangsa untuk mudah menghendap mangsanya. Oleh itu perlunya penyamaran semulajadi melalui pelbagai cara. Selain berpadu dengan persekitarannya, haiwan juga boleh menyamar dengan badannya sendiri sebagai sesuatu yang kurang menarik atau kelihatan berbahaya.
Kebolehan menyamar juga boleh diatasi oleh kebolehan mengesan haiwan yang menyamar juga sentiasa berevolusi, tetapi dibalas oleh kecirian kriptik spesies penyamar yang juga turut berevolusi.
Sesetengah haiwan penyamar juga meniru pergerakan semula jadi, misalnya daun yang tertiup dalam liar. Ini dipanggil kelakuan atau tabiat prokriptik. Ada yang lain yang memasang atau menarik bahan semula jadi untuk menyorokkan badannya.
Galeri
sunting-
Ketam Hoplophrys oatesii bersembunyi dalam karang lembut di Timor Leste.
-
Corak warna putih Arnab Artik menyamarkannya dalam salji
-
Penyamaran membolehkan pemangsa menangkap mangsanya
-
Burung Takung Mesir bersarang di kawasan pasir lapang dan hanya dilindungi oleh corak warnanya
-
Kucing belang berpadu dengan persekitaran (musim luruh)
-
Ketam yang dilitupi oleh alga merah di Pantai Moss, California
-
Ibex yang berlawan penggelapan sukar dikesan di gurun Israel.
Penyamaran tentera
suntingTeknik penyamaran tidak begitu luas penggunaannya dalam peperangan zaman silam. Tentera abad ke-18 dan ke-19 cenderung berpakaian serba segak dan berwarna-warni, dengan tujuan menggentarkan musuh, menarik rekrut, memupuk perpaduan unit, atau memudahkan pengenalpastian unit dalam kabus perang yang sering dialami di medan perang sebelum terciptanya serbuk meriam yang tidak berasap.
Angkatan bersenapang Jäger pada abad ke-18 merupakan tentera pertama yang menyesuaikan warna hijau atau kelabu yang kekusaman, sehingga dicontohi oleh kuasa tentera utama. Pada tahun 1857, akibat ramai yang korban dalam perang, tentera British di India terpaksa mencelup pakaian seragam cuaca panas mereka yang berwarna putih dengan warna-warna neutral. Mula-mulanya mereka menggunakan warna perang selut yang bernama khaki (iaitu perkataan Urdu untuk 'habuk'). Pewarnaan khaki ini sekadar langkah sementara sehingga tentera British beralih ke pakaian merah atau putih, sehingga warna khaki ditetapkan untuk khidmat tentera di India pada 1880-an. Pada tahun 1902, ketika Perang Boer Kedua, pakaian berperang "khidmat tempatan" (i.e. bukan tropika) seluruh tentera darat British diseragamkan dengan kain serj berwarna khaki yang lebih gelap. Tentera-tentera lain, seperti dari Amerika Syarikat, Rusia, Itali, dan Jerman juga mengikut jejak British dengan perpakaian serba khaki, kelabu, kelabu kebiruan atau mana-mana warna yang sesuai dengan persekitaran mereka.
Jaring-jaringan, bahan semula jadi, corak warna porak-peranda, dan cat yang bersifat inframerah, termal atau radar khas juga dipasang pada kenderaan, kapal, pesawat, pemasangan dan bangunan tentera. Contohnya, penggunaan penyamaran silau pada kapal ketika Perang Dunia I.
Sut Ghillie dipakai oleh penembak hendap dan pengesan bantuan mereka untuk meningkatkan lagi keberkesanan penyamaran, bukan sahaja menggabungkan warna, malah juga ranting, daun dan bermacam-macam dedaun untuk mengherot-benyotkan bentuk badan manusia serta menggantikan corak pakaian mereka dengan warna-warna dan bahan-bahan dari persekitaran terdekat agar sukar dikesan walaupun diperhati oleh binokular atau dari pesawat.
Galeri
sunting-
Askar British menyamar ketika menjalankan Operasi Desert Shield
-
APC yang bercat corak samaran
-
Kapal tentera disamarkan agar sukar dilihat di laut
-
Askar bersamaran musim sejuk ketika Pertempuran Bulge
-
Helikopter yang bersamaran
-
Corak samaran flecktarn Jerman
-
Muka askar bercat samaran
-
Penyamaran di gurun
-
Seorang penembak curi dengan penyamaran saman ghillie dipanggil
Kegunaan corak warna kriptik lain oleh manusia
suntingPemburu sering menggunakan pakaian samaran yang dijahit khas mengikut haiwan buruannya. Contohnya, penyamaran berwarna jingga gemerlapan yang memastikan pemburu mudah dilihat oleh manusia sambil memanfaatkan hakikat bahawa kebanyakan haiwan buruan besar seperti rusa adalah dikromat yang mencerap warna jingga sebagai kusam. Sebaliknya, pewarna ultraungu yang biasa digunakan dalam serbuk cuci pakaian untuk mengilatkan warna pakaian, juga boleh dilihat oleh kebanyakan haiwan buruan; oleh itu penggunaannya akan menyebabkan apa yang dicerap oleh mata manusia sebagai pakaian samaran, kelihatan menonjol dari latarnya oleh mata haiwan yang peka terhadap ultraungu.[3]
Terdapat berbagai-bagai jenis penyamaran yang digunakan ketika memburu, dan mana yang sesuai bergantung kepada kawasan pemburuannya, sama ada corak oak lumut atau semak pokok renek untuk pemburu mamalia besar, atau samaran berupa menerung paya bagi pemburu unggas air.
Lihat juga
suntingRujukan
suntingPetikan
sunting- ^ "samar". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
- ^ "menyamar". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
- ^ "How Game Animals See and Smell". Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-11-04. Dicapai pada 2009-12-09.
Bacaan lanjut
sunting- Roy R. Behrens - Art and Camouflage: An Annotated Bibliography
- Behrens, Roy R. (2009). CAMOUPEDIA: A Compendium of Research on Art, Architecture and Camouflage. Bobolink Books. ISBN 978-0-9713244-6-6.
- Behrens, Roy R. (2009), "Camouflage" in E. Bruce Goldstein, ed., Encyclopedia of Perception. Sage Publications, pp. 233-236. ISBN 978-1-4129408-1-8.
- Behrens, Roy R. (2002). FALSE COLORS: Art, Design and Modern Camouflage. Bobolink Books. ISBN 0-9713244-0-9.
- Goodden, Henrietta (2007). Camouflage and Art: Design for Deception in World War 2. Unicorn Press. ISBN 978-0-906290-87-3.
- Harris, Tom. "How Animal Camouflage Works". How Stuff Works. Dicapai pada 2006-11-13.
- "How do a zebra's stripes act as camouflage?". How Stuff Works. Dicapai pada 2006-11-13.
- Newark, Tim (2007). Camouflage. Thames and Hudson, and Imperial War Museum. ISBN 978-0-500-51347-7.
- Jon Latimer, Deception in War, London: John Murray, 2001.
- Traver, Kacey. Life under the Sea.' Copyright 2008.
- Everett L. Warner, “The Science of Marine Camouflage Design” in Transactions of the Illuminating Engineering Society 14 (5) 1919, pp. 215-219.
- Everett L. Warner, “Fooling the Iron Fish: The Inside Story of Marine Camouflage” in Everybody’s Magazine (November 1919), pp. 102-109.
Pautan luar
suntingWikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Penyamaran. |