Buka menu utama

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (Inggeris Trans-Pacific Partnership Agreement atau TPPA, kadangkala dirujuk sebagai TPP sahaja) ialah perjanjian perdagangan bebas yang dirunding oleh 11 negara di rantau Asia Pasifik iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Perjanjian ini bermula pada 2005 sebagai Perjanjian Perkongsian Strategik Trans-Pasifik (TPSEP atau P4). Negara-negara anggota telah menetapkan matlamat untuk memuktamadkan perundingan pada tahun 2012 tetapi isu-isu kontroversi seperti pertanian, harta intelek, perkhidmatan dan pelaburan telah menyebabkan perundingan masih berterusan sehingga ia dimuktamadkan pada 2015. Beberapa siri rundinga n telah dibuat antaranya Ottawa (2014), Hanoi (2014), Hawaii (2015) dan Atlanta (2015). Kelulusan TPP adalah salah satu matlamat utama dalam agenda perdagangan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.

TPP bertujuan meningkatkan perdagangan dan pelaburan dalam kalangan negara anggota, menggalakkan inovasi, pertumbuhan dan pembangunan ekonomi, dan menyokong penjanaan dan pengekalan pekerjaan. Sungguh pun begitu, perundingan ini dikritik antaranya oleh golongan profesional perubatan, aktivis kebebasan internet, aktivis alam sekitar, kumpulan buruh dan ahli politik kerana ia dilakukan secara rahsia, skop perjanjian yang yang meluas, dan klausa kontroversi dalam draf yang dibocorkan.

Keahlian dan penyertaanSunting

 
Barisan ketua kerajaan yang menyertai TPPA pada 2010. Malaysia diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan sekali)

Perundingan untuk menubuhkan TPSEP pada mulanya hanya disertai oleh tiga negara iaitu Chile, New Zealand dan Singapura. Ia kemudian disertai oleh Brunei. Perjanjian asal TPSEP mengandungi klausa penyertaan dan menegaskan komitmen negara-negara anggota untuk menggalakkan penyertaan ke dalam Perjanjian oleh negara-negara lain.

Pada bulan Januari 2008, Amerika Syarikat telah bersetuju untuk menyertai perbincangan dengan empat negara anggota (P4) berkenaan liberalisasi perdagangan dalam perkhidmatan kewangan. Pada 22 September 2008, Wakil Perdagangan AS Susan C. Schwab mengumumkan bahawa Amerika Syarikat akan memulakan rundingan dengan negara P4 untuk menyertai TPP, dengan pusingan pertama perundingan pada awal tahun 2009.

Pada bulan November 2008, Australia, Vietnam, dan Peru mengumumkan bahawa mereka akan menyertai blok perdagangan P4. Pada bulan Oktober 2010, Malaysia juga mengumumkan sedia menyertai perundingan TPP.

Pada bulan Jun 2012, Kanada dan Mexico mengumumkan bahawa mereka akan menyertai rundingan TPP. Kanada dan Mexico scara rasmi menyertai rundingan TPP pada bulan Oktober 2012 selepas tempoh konsultasi dengan sembilan lagi anggota perundingan.

Jepun secara rasmi menyertai rundingan TPP pada 23 Julai 2013.

KeahlianSunting

Negara

Negara lain yang berminatSunting

Korea Selatan menyatakan minat untuk menyertai rundingan pada bulan November 2010. Ia kemudian dijemput oleh Amerika Syarikat untuk menyertai pusingan rundingan TPP oleh Amerika Syarikat selepas kedua-dua negara itu mematerai perjanjian perdagangan bebas pada akhir Disember.

Negara-negara lain yang berminat menganggotai TPP termasuk Taiwan, Filipina, Laos, Colombia, dan Indonesia. Kemboja, Bangladesh dan India juga disebut sebagai berminat. Walaupun pada mulanya membantah, China berhasrat menyertai TPP.

ManfaatSunting

TPPA ialah satu bentuk perjanjian perdagangan bebas yang mempunyai banyak manfaat. Perjanjian ini melibatkan 11 negara yang mewakili 40% daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang bernilai US$107.5 trilion, dan merangkumi 793 juta penduduk.[1] Walaupun perjanjian ini tidak melibatkan China, kawasan bagi negara yang terlibat dalam perjanjian TPPA ini merupakan yang terbesar di dunia, lebih besar daripada kawasan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara atau North American Free Trade Agreement (NAFTA).

Seperti kebanyakan perjanjian perdagangan, TPPA memansuhkan tarif terhadap barangan dan perkhidmatan antara negara anggota yang boleh membawa kepada harga yang lebih murah untuk barangan dan perkhidmatan. Ia juga dijangka akan menghapuskan halangan bukan tarif untuk perdagangan dan mengharmoni dan menyeragamkan undang-undang dan peraturan antara negara anggota.

TPPA meliputi bukan sahaja barangan dan perkhidmatan, tetapi termasuk perkhidmatan kewangan, telekomunikasi malah standard keselamatan makanan. Ia memberi kesan pada dasar dan peraturan dalam negara anggota.

Perjanjian ini dijangka meningkatkan lagi eksport dan pertumbuhan ekonomi, menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan seterusnya membawa kemakmuran kepada 12 negara yang terlibat. TPPA juga meratakan medan persaingan dengan menggalakkan persaingan dalam ekonomi. Ia juga dapat membantu meningkatkan taraf hidup pekerja dengan penyelarasan standard undang-undang pekerja dan memelihara alam sekitar.

IsuSunting

TPPA meliputi pelbagai isu yang disentuh secara menyeluruh dan keadaan ini banyak menimbulkan kontroversi dan menjadi topik perbincangan umum. Antara isu yang hangat dibincangkan ialah kos perubatan, paten, harta intelek, penyelesaian pertikaian antara pelabur dan negara, privasi, alam sekitar, hak pekerja, dan pertanian.

Di Malaysia, antara isu yang menjadi kebimbangan ialah dasar pemerolehan kerajaan, hak bumiputera yang melibatkan Petronas, Khazanah dan Kementerian Kewangan. Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Mustapa Mohamed, disebabkan TPPA memerlukan kerajaan Malaysia mengikut standard peraturan tertentu, Petronas dan Khazanah memerlukan tempoh untuk membuat sebarang perubahan peraturan kerana mereka perlu membawa sebarang cadangan kepada ahli lembaga pengarah terlebih dahulu.[2]

A.S. tarik diriSunting

Pada 23 Januari 2017, Amerika Syarikat secara rasminya keluar dari Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik di bawah pentadbiran presiden baharu Donald Trump. Trump berkata tindakannya itu adalah selaras dengan ikrar kempen pusat yang dilakukannya sebelum ini. Beliau mengatakan perjanjian tidak masuk akal ini mesti dihentikan dengan segera untuk mengembalikan semula pekerjaan dan syarikat milik Amerika Syarikat.

Pautan luarSunting

RujukanSunting

  1. ^ What is the Trans-Pacific Partnership?
  2. ^ Timbang Buruk Baik TPPA, wawancara bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Datuk Seri Mustapa Mohamad oleh Utusan Malaysia.