Pengkomputan
Istilah pengkomputan atau pengkomputeran (Jawi: ڤڠكومڤوتن/ڤڠكومڤوترن ) ialah sinonim kepada penghitungan dan pengiraan.
Pada asalnya, istilah "komputer" merujuk kepada manusia yang melakukan tugas penghitungan dan pengiraan. Bagaimanapun, istilah "pengkomputan" kini merujuk kepada salah satu bidang sains dan teknologi yang membincangkan pengiraan dan pengolahan simbol.
Istilah "pengkomputan" juga merujuk kepada pengendalian dan penggunaan mesin hitung, proses elektrik yang dijalankan di dalam perkakasan komputer pada dirinya, serta juga kepada konsep teori yang menguasainya (sains komputer).
Takrif
suntingIstilah "pengkomputan" kekadang ditakrifkan dengan sempit, sebagaimana dengan laporan Persatuan Jentera Perkomputeran (ACM) pada tahun 1989 tentang "Pengkomputan Sebagai Satu Disiplin": [1]
Disiplin pengkomputan ialah kajian tentang proses-proses algoritma yang sistematik yang menghuraikan dan menjelmakan maklumat: teori, analisis, reka bentuk, kecekapan, pelaksanaan, dan penggunaan. Soalan asas yang mendasari semua pengkomputan ialah "Apakah yang boleh diautomasikan (dengan cekap)?"
Bagaimanapun, takrif yang lebih umum juga diterima, sebagaimana digambarkan oleh laporan Kurikulum Pengkomputan 2005, [2] sebuah laporan yang diterbitkan bersama-sama oleh ACM dan IEEE pada tahun 2005:
Secara umum, kita boleh mentakrifkan pengkomputan sebagai mana-mana kegiatan berorientasi matlamat yang memerlukan, mendapat manfaat daripada, atau mencipta komputer. Justera itu, pengkomputan merangkami perekaan bentuk dan pembinaan sistem-sistem perkakasan dan perisian untuk berbagai-bagai tujuan: pemprosesan, penstrukturan, dan pengurusan berbagai-bagai jenis maklumat; membuat kajian saintifik dengan menggunakan komputer; melakukan sistem-sistem komputer bertindak dengan cerdas; mencipta dan menggunakan bahantara komunikasi dan hiburan; mencari dan mengumpulkan maklumat yang berkaitan dengan mana-mana tujuan yang khusus, dan sebagainya. Senarainya hampir-hampir berjela-jela, dan kemungkinan-kemungkinannya adalah amat luas.
Laporan yang sama itu juga mengakui bahawa maksud pengkomputan bergantung kepada konteksnya:
Pengkomputan juga mempunyai pengertian yang lebih khusus, berdasarkan konteks yang istilah itu digunakan. Umpamanya, seorang pakar sistem maklumat akan melihat pengkomputan dengan cara yang agak berbeza daripada seorang jurutera perisian. Tanpa menghiraukan konteksnya, melakukan pengkomputan dengan baik boleh merupakan sesuatu yang rumit dan susah. Oleh sebab masyarakat memerlukan orang-orang untuk melakukan pengkomputan dengan baik, kami harus menganggap pengkomputan bukan hanya sebagai suatu profesion tetapi juga sebagai suatu disiplin.
Dengan pendek kata, konsep pengkomputan adalah berkait dengan pengetahuan dan kegiatan manusia yang membangunkan dan menggunakan teknologi-teknologi komputer. Templat:Lebih
Lihat juga
suntingCari computing dalam Wikikamus bahasa Melayu, kamus bebas. |
Rujukan
sunting- ^ "Universiti George Mason: Pengkomputan Sebagai Satu Disiplin (pdf)" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2008-09-11. Dicapai pada 2009-11-01.
- ^ Laman web ACM: Kurikulum Pengkomputan 2005 Laporan Gambaran Keseluruhan (pdf)