Protis

(Dilencongkan daripada Protista)
Protis
frames

Paramesium aurelia, sejenis siliat

Pengelasan sains
Domain Eukariot
Alam Protista (Haeckel, 1866)
Filum tipikal

Protis merupakan satu kumpulan yang terdiri daripada berbilang hidupan yang merangkumi semua eukariot yang bukannya haiwan, tumbuhan ataupun kulat. Kumpulan ini biasa diolahkan dalam alam Protista atau Protoktista. Protis adalah gred parafili dan bukannya kumpulan monofili yang alamiah. Kumpulan ini tidak mempunyai sifat yang sama antara satu sama lain, selain daripada organisasi yang agak sederhana (unisel atau multisel, tanpa tisu yang sangat khusus). Sesetengah pakar memanggil kumpulan ini sebagai "baki" alam-alam eukariot yang lain.


Pengelasan tradisional

sunting

Secara tradisi (selama 150 tahun yang lalu), protis telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan berdasarkan persamaan dengan alam peringkat tinggi: protozoa yang seakan-akan haiwan, alga yang seakan-akan tumbuhan, dan kulapuk lendir dan kulat air yang seakan-akan kulat. Kumpulan-kumpulan ini sering bertindih, dan telah digantikan dengan pengelasan-pengelasan filogenetik. Bagaimanapun, kumpulan-kumpulan ini masih amat berguna sebagai kumpulan tak formal untuk memerihalkan morfologi dan ekologi protis.

Protozoa

sunting

Kebanyakan protozoa merupakan protis unisel dan motil yang makan melalui fagositosis, walaupun terdapat banyak kekecualian. Protozoa biasanya hanya mempunyai saiz sebanyak 0.01-0.5 milimeter, dan secara amnya adalah terlalu kecil untuk dilihat tanpa mikroskop. Organisma ini sentiasa boleh didapati di persekitaran berair dan tanah, dan biasanya bertahan tempoh-tempoh kering sebagai sista atau spora, dan termasuk banyak parasit yang penting. Berdasarkan gerak alih, protozoa dapat dibahagikan sebagai berikut:


Kumpulan Sifat Contoh
Flagelat flagelum yang panjang Euglena
Ameboid pseudopod sementara Amoeba
Siliat berbilang silium yang pendek Paramesium
Sporozoa parasit tak motil; membentukkan spora Plasmodium

Alga mengumpulkan tenaga cahaya melalui fotosintesis dan merangkumi banyak organisma unisel yang juga dianggap sebagai protozoa, umpamanya Euglena, yang telah memperoleh kloroplas melalui endosimbiosis sekunder. Alga-alga yang lain tidak motil, dan sesetengah alga (digelarkan rumpai laut) adalah multisel yang benar, termasuk ahli-ahli dalam kumpulan yang berikut:


Kumpulan Sifat Contoh
Klorofit alga hijau yang berkait dengan
tumbuhan peringkat tinggi
Ulva
Rodofit alga merah Porfira
Heterokon alga perang, diatom, dll Makrosista


Alga hijau dan merah, bersama-sama dengan sekumpulan kecil yang digelarkan glaukofit, kelihatan mempunyai hubungan yang rapat dengan tumbuhan yang lain dan oleh itu, sebilangan pengarang mengolahkan kumpulan ini sebagai tumbuhan walaupun kumpulan ini mempunyai organisasi yang sederhana. Bagaimanapun, kebanyakan jenis alga berkembang secara berasingan. Kumpulan ini merangkumi haptofit, kriptomonad, dinoflagelat, euglenid, dan klorarakniofit, dan kesemua ini juga dianggap sebagai protozoa.

Perhatikan bahawa sesetengah protozoa merupakan perumah kepada alga endosimbiosis, umpamanya Paramesium bursaria atau radiolaria, yang memberikan tenaga kepada alga itu, tetapi tidak mengintegrasikannya ke dalam sel.

Protis seakan-akan kulat

sunting

Berbagai-bagai organisma dengan organisasi peringkat protis pada asalnya diolahkan sebagai kulat kerana organisma-organisma itu menghasilkan sporangium. Organisma-organisma ini termasuk kitrid, kulapuk lendir, kulat air, dan Labirintulomiset. Di kalangan ini, kitrid kini diketahui mempunyai hubungan dengan kulat yang lain dan biasanya dikelaskan dengan kulat-kulat itu. Yang lain kini dikelaskan bersama-sama dengan heterokon (yang mempunyai selulosa berbanding dinding kitin) dan Amoebozoa (yang tidak mempunyai dinding sel).

Pengelasan filogenetik

sunting

Pengelasan protis masih belum tetap. Pengelasan-pengelasan yang lebih baru mencuba mencipta kumpulan monofili berdasarkan ultrastruktur, biokimia, dan genetik. Disebabkan protis pada keseluruhannya adalah parafili, sistem-sistem ini membahagikan atau membatalkan alam dan sebagai gantinya, mengolahkan kumpulan-kumpulan protis sebagai baka eukariot yang berasingan. Skema yang baru-baru ini oleh Adl et al. (2005) ialah satu contoh yang tidak menghiraukan aras (filum, kelas, dll.)

Sesetengah kumpulan utama protis yang kini diiktirafkan dan diolahkan sebagai filum disenaraikan dalam kotak taksonomi di sebelah kanan. Beberapa kumpulan yang lebih kecil disenaraikan di bawah kategori-kategori tradisional yang mempunyai hubungan dengan kumpulan-kumpulan di atas. Untuk perbincangan lanjut mengenai perhubungan antara berbagai-bagai protis, sila lihat rencana Eukariot atau makalah-makalah yang dirujukkan di bawah.

Rujukan

sunting
  • Cavalier-Smith, T. (2003) "Protist phylogeny and the high-level classification of Protozoa" (Filogeni protis dan pengelasan peringkat tinggi Protozoa". Jurnal Protistologi Eropah

39:338-348.

  • Sina M. Adl, Alastair G. B. Simpson, Mark A. Farmer, Robert A. Andersen, O. Roger Anderson, John R. Barta, Samuel S. Bowser, Guy Brugerolle, Robert A. Fensome, Suzanne Fredericq, Timothy Y. James, Sergei Karpov, Paul Kugrens John Krug, Christopher E. Lane, Louise A. Lewis, Jean Lodge, Denis H. Lynn, David G. Mann, Richard M. Mccourt, Leonel Mendoza, Øjvind Moestrup, Sharon E. Mozley-Standridge, Thomas A. Nerad, Carol A. Shearer, Alexey V. Smirnov, Frederick W. Spiegel and Max F. J. R. Taylor. (2005) "The New Higher Level Classification of Eukaryotes with Emphasis on the Taxonomy of Protists" (Pengelasan Peringkat Tinggi Baru Eukariot dengan Penekanan terhadap Taksonomi Protis"). Jurnal Mikrobiologi Eukariot 52:(5) 399-451. [1]