Abdulrahman Ibrahim Ibn Sori

American slave

Abdu-l-Rahman Ibrahim Ibn Sori (a.k.a. Abdul-Rahman) ialah seorang putera raja dari Afrika Barat yang menjadi hamba di Amerika Syarikat. Setelah menghabiskan masa selama 40 tahun dalam perhambaan, beliau akhirnya dibebaskan pada tahun 1828 atas arahan Presiden John Quincy Adams dan Setiausaha Negara Henry Clay selepas Sultan Maghribi meminta pembebasannya.

Lukisan Abdul rahman Ibrahim Ibn Sori. Inskripsi dalam bahasa Arab berbunyi "Namanya Abd al-Rahman".

Riwayat hidup sunting

Beliau dilahirkan pada tahun 1762 di Timbo, Fouta Djallon (kini Guinea, Fouta Djallon). Beliau dikenali sebagai "Putera raja hamba" atau "Sang Putera raja". Beliau seorang Fulbe atau Fulani, (Fula) tanah Fouta Djallon. Pada tahun 1774, Ibrahim meninggalkan Futa Jalon untuk pergi belajar di Timbuktu, Mali. Ibrahim merupakan ketua salah satu ketumbukan tentera bapanya. Selepas menang dalam satu pertempuran dengan puak lain, beliau pulang dengan sejumlah kecil askar untuk melaporkan kepada bapanya, apabila beliau diserang hendap, ditawan dan dijual kepada pedagang hamba pada tahun 1788 dalam usia 26 tahun. Beliau dibeli oleh seorang pemilik ladang penanaman kapas di Natchez, Mississippi dan akhirnya menjadi mandur ladang penanaman Thomas Foster. Pada tahun 1794 beliau mengahwini Isabella, seorang lagi hamba Foster, dan akhirnya menjadi ketua bagi sebuah keluarga besar: lima orang anak lelaki dan empat orang anak perempuan.[1]

Seketika selepas itu Abd al-Rahman berpindah ke New Orleans. Dengan menggunakan pengetahuan penanaman kapas di Fouta Djallon, Abd al-Rahman melonjak ke kedudukan berkuasa ke atas ladang penanaman itu dan menjadi mandur de facto. Ini memberi peluang kepada beliau untuk menanam sayur sendiri dan menjualnya di pasar tempatan. Semasa tempoh inilah, dia bertemu dengan kenalan lama, Dr. John Cox, seorang pakar bedah Ireland yang berkhidmat di sebuah kapal Inggeris, dan menjadi orang kulit putih pertama yang sampai di Timbo setelah terdampar dari kapalnya dan jatuh sakit. Cox tinggal di pantai selama enam bulan dan dibawa tinggal dengan keluarga Abd al-Rahman. Cox merayu pada Foster supaya menjual kepadanya "Sang Putera" supaya beliau dapat kembali ke Afrika. Dr. Cox terus menerus mencari pembebasan Abd al-Rahman sehingga kematiannya pada 1829 namun sia-sia. Selepas kematian Cox, Abd al-Rahman meneruskan perjuangan itu.

Pada tahun 1826, Abd al-Rahman menulis surat kepada sanak saudaranya di Afrika. Seorang pengusaha akhbar tempatan, Andrew Marschalk yang pada asalnya dari New York, menghantar satu salinan kepada Senator Thomas Reed yang berada di situ pada ketika itu yang mengajukannya kepada Konsulat Amerika di Maghribi. Memandangkan Abd al-Rahman menulis dalam bahasa Arab, Marschalk dan kerajaan Amerika mengandaikan bahawa beliau adalah seorang Moor. Setelah Sultan Maghribi, Abderrahmane membaca surat itu, baginda meminta Presiden Adams dan Setiausaha Negara Henry Clay supaya membebaskan Abd al-Rahman Ibrahim. Pada tahun 1829, Thomas Foster bersetuju untuk membebaskan Abd al-Rahman tanpa bayaran dengan syarat bahawa Abd al-Rahman akan kembali ke Afrika dan tidak hidup di Amerika sebagai orang merdeka.

Sebelum meninggalkan Amerika, Abd al-Rahman dan isterinya pergi ke pelbagai negeri dan Washington. Beliau mengumpul sumbangan melalui surat khabar, penampilan peribadi, American Colonization Society dan ahli politik, untuk membebaskan keluarganya di Mississippi. Hal ini sampai ke pengetahuan Foster yang menganggap ini sebagai pelanggaran persetujuan. Tindakan dan pembebasan Abd al-Rahman juga digunakan untuk menentang Presiden John Quincy Adams oleh bakal presiden Andrew Jackson semasa pilihanraya presiden.

Selepas sepuluh bulan, Abd al-Rahman dan Isabella hanya memungut separuh daripada dana untuk membebaskan anak-anak mereka, dan sebaliknya bertolak ke Monrovia, Liberia tanpa anak-anak mereka. Abd al-Rahman Ibrahim hidup selama empat bulan sebelum beliau ditimpa demam panas dan meninggal dunia pada usia 67. Dia tidak berpeluang untuk melihat Fouta Djallon atau anak-anaknya untuk kali kedua.

Legasi sunting

Dana yang dikutip Abd al-Rahman dan Isabella menebus kemerdekaan dua orang anak lelaki dan keluarga mereka. Mereka bersatu semula dengan Isabella di Monrovia. Thomas Foster meninggal dunia pada tahun yang sama dengan Abd al-Rahman. Estet Foster termasuklah anak-anak dan cucu Abd al-Rahman yang lain, dibahagi-bahagikan di kalangan pewaris Foster dan berselerakan di seluruh Mississippi dan kawasan Selatan. Keturunan Abd al-Rahman masih menetap di Monrovia dan Amerika Syarikat. Pada tahun 2006, keturunan Abd al-Rahman berkumpul dalam satu pertemuan semula keluarga di Ladang Foster.

Beliau menulis dua buah autobiografi. Lukisan tentang beliau dipamerkan di Perpustakaan Kongres.

Pada tahun 1967, profesor sejarah Terry Alford mendokumentasikan riwayat hidup Abd al-Rahman di dalam buku pecah tanahnya Prince Among Slaves, kisah lengkap pertama tentang riwayat hidup beliau, yang mengumpulkan cerita-cerita saksi pertama dan dokumen-dokumen sejarah. Di dalam Prince Among Slaves, Alford menulis:

Di kalangan dokumen-dokumen Henry Clay, bagi tahun 1829 kita menemui entri 1 Januari, "Putera Ibrahima, seorang putera beragama Islam yang telah dijual sebagai hamba 15 tahun yang lalu, dan dimerdekakan dengan syarat bahawa beliau kembali ke Afrika, telah menyertai warga kulit hitam Philadelphia sebagai tetamu kehormat dalam perarakan Tahun Baru mereka, sehingga ke jalan Lombard dan Walnut, turun ke jalan Chesnut dan Spruce.

Pada tahun 2007, Andrea Kalin mengarahkan Prince Among Slaves, sebuah filem yang mengisahkan kehidupan Abd al-Rahman.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

Pautan luar sunting

Templat:John Quincy Adams