Anjing serigala Saarloos

baka anjing dari Belanda

Anjing serigala Saarloos[a] ialah satu baka anjing serigala yang berasal dari Belanda melalui penyilangan seekor anjing gembala Jerman dengan seekor serigala kelabu Siberia pada tahun 1935.[1] Anak-anak kemudian selanjutnya disilangkan dengan anjing gembala Jerman.

Anjing serigala Saarloos
Betina berwarna perang hutan
Nama lainAnjing serigala Belanda
Negara asalBelanda
Anjing (Canis lupus familiaris)

Sejarah sunting

Leendert Saarloos (1884–1969) ialah seorang ahli zoologi Belanda dan pembiak baka anjing yang percaya bahawa anjing gembala Jerman telah menjadi terlalu bela jinak dan ingin membiakbakakan sifat lebih semula jadi kembali untuk menerbitkan anjing pekerja lebih baik. Pada tahun 1935, beliau membiakbakakan seekor anjing gembala Jerman jantan dengan seekor serigala kelabu Eurasia betina (Canis lupus lupus) dari Siberia. Beliau kemudian membiakbakakan anak-anak pasangan itu kembali dengan anjing gembala Jerman untuk menerbitkan anjing dengan seperempat darah serigala. Hasilnya ialah anjing yang tidak berguna sebagai anjing pekerja tetapi sebagai teman yang dekat dengan alam semula jadi. Raad van Beheer op Kynologisch Gebied mengiktiraf baka ini pada tahun 1975. Untuk menghormati penciptanya, mereka menamai anjing ini sebagai "anjing serigala Saarloos". Pada tahun 1981, baka ini diiktiraf oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa (FCI).[1]

Bukti genetik sunting

Pada tahun 2015, sebuah kajian DNA mendapati bahawa anjing serigala Saarloos menunjukkan lebih banyak perkaitan genetik dengan serigala kelabu berbanding dengan baka lain, yang selaras dengan pembiakbakaan silang berdokumen terdahulu dengan serigala kelabu pada baka ini.[2] Pada tahun 2016, sebuah kajian DNA besar terhadap anjing bela jinak mendapati pembahagian mendalam antara anjing serigala Saarloos dengan semua anjing lain, yang menonjolkan keturunannya daripada penyilangan anjing gembala Jerman dengan serigala tangkapan pada tahun 1930-an.[3] Pada tahun 2019, sebuah kajian genom mendapati bahawa jumlah keleluhuran serigala kelabu yang dimiliki oleh anjing serigala Saarloos ialah 18–33% dan anjing serigala Czechoslovakia pula 20–30%.[4]

Perihal sunting

Anjing serigala Saarloos ialah anjing dengan binaan kuat yang mempunyai tubuh, lapis bulu, dan pergerakan mirip serigala. Ketinggiannya ialah 65–75 cm (26–30 in) pada jantan dan 60–70 cm (24–28 in) pada betina.[1] Beratnya mencapai 45 kg (100 lb). Ia merupakan anjing atletik dari segi binaan, dengan tulang sederhana dan tubuh kuat dan berotot. Ia bergerak dengan ringan di atas kakinya dan berarak dengan anggun. Lapis bulunya pendek dan padat, lalu memberikan perlindungan baik daripada cuaca. Terdapat tiga warna: kelabu serigala, pérang hutan, dan putih. Oleh sebab gen kelabu serigala adalah dominan, ini ialah warna paling umum. Gen untuk warna putih adalah resesif, menjadikan ini kurang umum walaupun warna ini diterima. Anjing serigala Saarloos mempunyai ekspresi mirip serigala serta kepala mirip serigala.

Pelatihan sunting

Baka ini memerlukan sosialisasi menyeluruh sebelum usia minggu kedua belas untuk memastikan tingkah laku prososial.[5]

Program penyilangan ke luar sunting

Dua buah kelab induk Belanda untuk anjing serigala Saarloos menyelidik kemungkinan untuk memperbaik kesihatan baka ini dengan meningkatkan kepelbagaian genetik. Mesyuarat pertama dengan Raad van Beheer diadakan pada tahun 2010. Ikutan mesyuarat ini, Universiti Wageningen diminta untuk menyiasat tahap kesalingkaitan populasi. Penyelidikan ini dijalankan oleh ahli genetik kuantitatif J.J. Windig dan Ir M. Spies-Stoop. Kajian ini mendedahkan bahawa populasi anjing serigala Saarloos sangat berkait rapat. Tanpa campur tangan, tahap pembiakbakaan dalam bakal mengancam kemandirian baka ini. Para ahli sains menasihatkan program penyilangan ke luar terkawal dan meluas, untuk meningkatkan kevitalan, kesuburan, dan variasi genetik baka. Raad van Beheer meluluskan program penyilangan ke luar pada tahun 2012.[6]

Dua jenis penyilangan ke luar digunakan dalam program penyilangan ke luar. Jenis pertama ialah penggunaan look-alikes ("[anjing] serupa"), iaitu anjing yang menyerupai anjing serigala Saarloos, tetapi tidak mempunyai pedigri atau tergolong dalam baka yang tidak diiktiraf oleh FCI.[7] Jenis kedua pula ialah penggunaan beberapa baka yang diiktiraf oleh FCI. Baka yang digunakan dipilih oleh anggota kelab baka dan dipersetujui dengan undi majoriti. Tatacara untuk kedua-dua jenis penyilangan ke luar adalah sama. Penyilangan ke luar dilakukan dan generasi F1 dihasilkan. F1 dinilai dan sepenuhnya disaring untuk kesihatan dan individu terbaik dipilih untuk menyumbang kepada generasi seterusnya. Ini dilakukan dengan membiakbakakannya kembali dengan anjing serigala Saarloos tulen, yang menghasilkan generasi F2. F2 sekali lagi dinilai dan diuji untuk kesihatan dan individu terbaik dibiakbakakan kembali dengan anjing serigala Saarloos untuk menghasilkan generasi F3. Keturunan anjing F3 dengan anjing serigala Saarloos (F4) baka tulen akan mendapatkan pedigri rasmi dan diiktiraf sebagai baka tulen. Untuk mengekalkan jenis baka betul, pembiakbakaan baka tulen bagi anjing serigala Saarloos mesti diteruskan seiring dengan program penyilangan ke luar.[6]

Setakat Januari 2019, penyilangan ke luar berikut telah dilakukan:

Lihat juga sunting

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: انجيڠ سريݢالا سرلوس; Belanda: saarlooswolfhond; Jerman: Saarlooswolfhund; bahasa Inggeris: Saarloos wolfdog

Rujukan sunting

  1. ^ a b c "FCI-Standard N° 311 SAARLOOSWOLFHOND (Saarlooswolfdog)" [Piawaian FCI No. 311 Anjing Serigala Saarloos] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh C. Seidler. Disemak oleh Renée Sporre-Willes. 29 Mei 2015. Dicapai pada 16 Januari 2024.CS1 maint: others (link)
  2. ^ Skoglund, P. (2015). "Ancient lupine genome reveals an early divergence of domestic canine ancestors and admixture into high-latitude breeds". Current Biology (dalam bahasa Inggeris). 25 (11): 1515–9. doi:10.1016/j.cub.2015.04.019. PMID 26004765.
  3. ^ Frantz, L. A. F.; Mullin, V. E.; Pionnier-Capitan, M.; Lebrasseur, O.; Ollivier, M.; Perri, A.; Linderholm, A.; Mattiangeli, V.; Teasdale, M. D.; Dimopoulos, E. A.; Tresset, A.; Duffraisse, M.; McCormick, F.; Bartosiewicz, L.; Gal, E.; Nyerges, E. A.; Sablin, M. V.; Brehard, S.; Mashkour, M.; b l Escu, A.; Gillet, B.; Hughes, S.; Chassaing, O.; Hitte, C.; Vigne, J.-D.; Dobney, K.; Hanni, C.; Bradley, D. G.; Larson, G. (2016). "Genomic and archaeological evidence suggest a dual origin of domestic dogs". Science (dalam bahasa Inggeris). 352 (6290): 1228–31. Bibcode:2016Sci...352.1228F. doi:10.1126/science.aaf3161. PMID 27257259. S2CID 206647686.
  4. ^ Pilot, Małgorzata; Moura, Andre E.; Okhlopkov, Innokentiy M.; Mamaev, Nikolay V.; Alagaili, Abdulaziz N.; Mohammed, Osama B.; Yavruyan, Eduard G.; Manaseryan, Ninna H.; Hayrapetyan, Vahram; Kopaliani, Natia; Tsingarska, Elena; Krofel, Miha; Skoglund, Pontus; Bogdanowicz, Wiesław (2019). "Global Phylogeographic and Admixture Patterns in Grey Wolves and Genetic Legacy of an Ancient Siberian Lineage". Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). 9 (1): 17328. Bibcode:2019NatSR...917328P. doi:10.1038/s41598-019-53492-9. PMC 6874602. PMID 31757998.
  5. ^ Verhoef-Verhallen, Esther (2001). The Complete Encyclopedia of Dogs (dalam bahasa Inggeris). The Netherlands: Robo International. m/s. 73. ISBN 9780785819998.
  6. ^ a b Kelab baka Belanda untuk anjing serigala Saarloos, rancangan pendekatan. (Belanda) https://avls.nl/plan-van-aanpak/
  7. ^ Kelab baka Belanda untuk anjing serigala, menilai anjing serupa. (Belanda) https://avls.nl/aankeuren-lookalike-2/
  8. ^ Kemas kinian persilangan ke luar dengan anjing gembala putih Switzerland. (Belanda) https://avls.nl/zwitserse-witte-herder/
  9. ^ Kemas kinian persilangan ke luar dengan husky Siberia. (Belanda) https://avls.nl/working-husky/
  10. ^ Kemas kinian persilangan ke luar dengan podenco Ibiza. (Belanda) https://avls.nl/podenco-ibicenco/
  11. ^ Kemas kinian persilangan ke luar dengan anjing pemburu elk Norway. (Belanda) https://avls.nl/noorse-elandhond/
  12. ^ Kemas kinian persilangan ke luar dengan anjing serupa. (Belanda) https://avls.nl/lookalikes/

Templat:Hibrid mamalia