Biskop Agung Emeritus Desmond Tutu atau nama penuhnya Desmond Mpilo Tutu dilahirkan pada 1931 di Klerksdorp, Transvaal. Bapanya adalah seorang guru. Beliau telah melanjutkan pelajarannya di Johannesburg Bantu High School, Johannesburg. Selepas meninggalkan alam persekolahan, beliau bertugas sebagai seorang guru seperti bapanya. Pada 1954 beliau menjadi graduan University of South Africa. Selepas tiga tahun sebagai guru sekolah menengah tinggi beliau mula belajar ilmu teologi dan pada 1960 beliau dilantik sebagai seorang paderi. Antara tahun 1962 dan 1966, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang ini di England dan akhirnya mendapat ijazah Sarjana dalam Teologi. Dari tahun 1967 hingga 1972, beliau mengajar teologi di Afrika Selatan sebelum pulang ke England selama tiga tahun sebagai Timbalan Pengarah sebuah institut teologi di London. Pada 1975 beliau dilantik sebagai Dekan St. Mary's Cathedral di Johannesburg, orang kulit hitam pertama menyandang jawatan tersebut. Antara 1976 dan 1978 beliau menjadi Biskop di Lesotho, dan pada 1978 orang kulit hitam pertama yang dilantik sebagai Setiausaha Jeneral Majlis Gereja-Gereja Afrika Selatan. Tutu juga seorang doktor terhormat bagi beberapa universiti terunggul di AS, Britain dan Jerman.

Biskop Agung Desmond Tutu
Kelahiran (1931-10-07) 7 Oktober 1931 (umur 92)
PekerjaanPaderi, aktivis hak asasi

Objektif Desmond Tutu ialah untuk menubuhkan sebuah "masyarakat demokratik dan adil tanpa perbezaan kaum", dan beliau telah menuntut:

1. hak kemanusian yang saksama

2. pemansuhan undang-undang paspot untuk rakyat kulit hitam di Afrika Selatan

3. sistem pendidikan kebangsaan

4. memberhentikan pembuangan negeri rakyat kulit hitam ke kawasan-kawasan "homelands"

Majlis Gereja-Gereja Afrika Selatan merupakan sebuah organisasi "contact" yang berhubung dengan gereja-gereja di Afrika Selatan dan berperanan sebagai jawatankuasa kebangsaan bagi Majlis Gereja Sedunia. Namun demikian, gereja-gereja Boer telah berpisah dari organisasi tersebut kerana komitmen organisasi ini terhadap pembasmian aparteid. Dianggarkan 80 peratus ahlinya berkulit hitam, dan mereka kini memegang jawatan yang penting di dalam kerajaan.

Selepas kerajaan regim aparteid digulingkan pada 1994, Nelson Mandela telah memberi penghargaan kepada Desmond Tutu dengan melantikannya sebagai ketua suruhanjaya "Truth and Reconciliation".

Tutu menentang penindasan rakyat Palestin oleh regim Yahudi di Israel dan menganggapnya sebagai satu bentuk aparteid. Beliau telah berulangkali memujuk kerajaan Israel untuk menghormati harga diri rakyat Palestin, sama ada beragama Islam mahupun Kristian. Pada tahun 2003, beliau menjadi penaung "Sabeel Ecumenical Liberation Theology Center" di Jerusalem.

Beliau juga mengkritik pelanggaran hak asasi manusia di Zimbabwe, dan memanggil presidennya Robert Mugabe sebagai seorang diktator, dan menentang sokongan diplomasi Afrika Selatan terhadap negara tersebut.

Dia meninggal dunia pada 26 Disember 2021.