Ibadat

(Dilencongkan daripada Ibadah)


Ibadat (juga Ibadah; Arab: عبادة) ialah pengabdian diri seorang hamba secara berterusan kepada Tuhan. Dari segi bahasa, ia bermaksud tunduk dan patuh kepada Allah SWT manakala dari segi istilah pula ialah bermaksud semua perkataan dan perbuatan yang zahir atau batin yang disukai dan diredhai Allah SWT.[1] Jelasnya, ibadat perlu dilaksanakan dengan niat yang ikhlas kerana mencari keredhaan Allah akan diberikan ganjaran pahala.[1]

Secara keseluruhannya, ibadah ialah pengabdian diri sepenuhnya kepada Allah, mengikut peraturan, melakukan suruhannya dan meninggalkan larangannya, sebagaimana yang ditetapkan di dalam Al-Quran dan Sunnah Muhammad. Kepatuhan ini hendaklah dilakukan secara berterusan setiap masa hingga ke akhir hayat. Ia merangkumi makna ketundukan dan kecintaan kepada Allah.

Imam at-Thabari mengertikan ibadah sebagai ketundukan kepada Allah dengan menjalankan ketaatan dan merendahkan diri kepada-Nya dengan kepasrahan. [2] Imam Ibn Taimiyah pula, sebagaimana dinukil oleh al-Hafizh ibn Ahmad al-Hakami, mengatakan bahawa ibadah merupakan sebutan yang mencakup semua yang dicintai dan diredhai Allah berupa perkataan dan perbuatan, baik zahir maupun batin. [3]

Al-Quran menjelaskan bahawa tujuan utama manusia diciptakan oleh Allah SWT adalah untuk bertindak kepadanya (Allah).[1] Firman Allah dalam Surah Adz-Dzariyaat pada ayat 56:

"Dan (ingatlah) aku tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk mereka beribadah kepadaku."

Bahagian Ibadah

sunting
  1. Ibadah Qalbiyah - Ibadah yang berkaitan dengan hati seperti rasa khauf (takut), raja’ (mengharap), mahabbah (cinta), tawakkal (ketergantungan), raghbah (senang) dan rahbah (cemas).
  2. Ibadah Lisaniyah Qalbiyah - Ibadah yang berkaitan dengan lisan dan hati seperti tasbih, tahlil, tahmid, takbir, dan syukur.
  3. Ibadah Badaniyah Qalbiyah - Ibadah yang berkaitan dengan anggota fizikal dan hati seperti solat, zakat, puasa, haji dan jihad.
 
Berniaga ialah ibadah umum.

Ibadah dipecahkan kepada dua kategori, iaitu ibadah khusus serta ibadah umum. Ibadah khusus ialah ibadah yang utama fan telah ditetapkan oleh syariah Islam dari segi cara, rukun dan syaratnya tidak boleh diubah.[1] Hukumnya ialah fardhu ain yakni setiap orang wajib meyakini dan beramal dengannya. Contohnya seperti solat, puasa, membayar zakat, menunaikan Haji, taharah, melaksanakan ibadah korban dan aqiqah.[4] Manakala, ibadah umum pula bermaksud ibadah yang merangkumi semua kegiatan dan aspek kehidupan yang berkaitan dengan hubungan manusia sesama manusia atau makhluk lain.[1] Ia tudak bertentangan dengan syariat Islam. Contohnya, belajar di sekolah, berniaga, mualamat (jual beli), makan dan minum, bercakap benar, membantu ibu bapa atau individu lain, munakahat dan lain-lain lagi.[4]

Ciri-ciri Ibadah

sunting
  1. Perhubungan manusia dengan Tuhan adalah secara terus - tidak memerlukan perantaraan sebagaimana ajaran Kristian. Allah sahaja hukum, tempat mengadu dan meminta ampun.
  2. Peribadatan tidak terkongkong di tempat-tempat tertentu.
  3. Ruang ibadah di dalam Islam sangat luas - meliputi setiap aktiviti kehidupan manusia. Setiap apa yang dilakukan adalah ibadah sekiranya cukup syarat.

Syarat Ibadah

sunting

Setiap kerja yang dilakukan akan menjadi ibadah apabila ia memenuhi lima syarat. Setelah kerja yang dilakukan itu menepati kehendak kelima-lima syarat itu, maka ia akan diterima sebagai ibadah, sebagai amal bakti dan sebagai satu pengabdian diri kita kepada Allah. Syarat itu ialah:

  1. Amalan yang dilakukan hendaklah diakui Islam dan bersesuaian dengan hukum syara'.
  2. Amalan hendaklah dikerjakan dengan niat yang baik (kerana Allah).
  3. Amalan hendaklah dibuat dengan seelok-eloknya.
  4. Ketika melakukan kerja hendaklah sentiasa mengikut hukum-hukum syariat dan batas-batasnya.
  5. Dalam mengerjakan sesuatu ibadah, tidak lalai dari ibadah yang wajib (ibadah khusus).

Salah faham tentang pengertian Ibadah

sunting

Ibadah dalam Islam adalah berlainan sama sekali dengan konsep dan amalan agama-agama lain atau kepercayaan-kepercayaan lain. Ianya bukan perbuatan mengasingkan diri, ianya juga tidak terbatas kepada tempat-tempat tertentu sahaja atau hanya dilakukan melalui perantaraan orang-orang tertentu.

Konsep-konsep seperti ini tidak wujud di dalam syariat Islam. Namun demikian pengaruh konsep asing ini telah dapat juga meresap ke dalam kehidupan sebahagian besar daripada masyarakat Islam. Oleh itu timbullah pelbagai tanggapan terhadap ibadah. Ada yang menganggap ibadah itu hanya tertumpu kepada solat, puasa, zakat dan haji sahaja, terdapat juga di kalangan ummat Islam yang mengaku beribadah kepada Allah, tetapi tindak-tanduknya menunjukkan bahawa ia melaksanakan ubudiyyah kepada sesuatu yang lain daripada Allah.

Malah terdapat juga orang yang berpendapat bahawa ruang lingkup ibadah itu tidak ada kaitan langsung dengan urusan masyarakat, terutamanya dalam bidang politik dan pemerintahan. Semua ini adalah tanggapan-tanggapan yang salah.

Nota kaki

sunting
  1. ^ a b c d e Rujaluddin Bin Yahya; Nur Afidah Binti Abdullah; Wan Ali Akhbar Bin Wan Abdullah (2016). Buku Teks Pendidikan Islam Tingkatan 1 (Kurikulum Standard Sekolah Menengah). Dewan Bahasa dan Pustaka. m/s. 96.
  2. ^ Tafsîr at-Thabari, 1/160
  3. ^ Al-Hakami, Ma‘ârij al-Qabûl, 1/84
  4. ^ a b Buku Teks Feqah Tahun 1 (Kurikulum Rendah Agama Negeri Selangor). Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). 2015. m/s. 1-8. ISBN 978-983-3562-97-8.

Rujukan

sunting