Pembunuhan beramai-ramai di My Lai

Pembunuhan Beramai-Ramai Di Mỹ Lai pada 16 Mac 1968, adalah satu insiden pembunuhan tidak sah yang berlaku semasa Perang Vietnam dan melibatkan satu platun askar Tentera Amerika Syarikat di bawah pimpinan Leftenan William Calley. Dalam insiden ini, beratus-ratus orang awam Vietnam, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah dibunuh oleh tentera Amerika.

Pembunuhan Beramai-Ramai Di Perkampungan My Lai Membangkitkan Kemarahan Dunia Dan Menguatkan Kecaman Dan Tentangan Kepada Perang Vietnam

Pembunuhan Beramai-Ramai Di My Lai menjadi lambang kekejaman tindakan ketenteraan Amerika yang sebelum itu mempamerkan kepada mata dunia misi Amerika untuk membebaskan rakyat Vietnam daripada belenggu kepahitan diancam pengaruh Komunis. Insiden ini menimbulkan kecaman dan kemarahan dunia sejagat dan meningkatkan tentangan terhadap Perang Vietnam. Insiden ini mempamerkan kewujudan kejadian jenayah-jenayah perang di Vietnam.

Latar belakang sunting

Semasa Perang Vietnam, wilayah Quang Ngai Vietnam Selatan memang menjadi sarang aktiviti Viet Cong. Kawasan itu disyaki melindungi satu pengkalan yang digunakan oleh kumpulan pejuang regular Viet Cong dan dibantu oleh anasir-anasir dan gerila Barisan kebangsaan Pembebasan Vietnam. Tentera Amerika memanggil kawasan itu dan kawasan sekitar sebagai Pinkville sebagai jolokan kepada warna merah jambu yang digunakan untuk mewarnakan kawasan tersebut di atas peta taktikal yang digunakan tentera Amerika. Wilayah Quang Ngai sering menjadi sasaran pengeboman dan dalam tahun 1968, kebanyakan rumah di perkampungan My Lai sudah rosak ataupun musnah akibat pengeboman dan bedilan artileri.

Tentera Amerika mementingkan kemusnahan pergerakan pemberontakan Viet Cong, dan menggunakan bilangan musuh yang dibunuh (body count) sebagai pengukur kejayaan tindakan ketenteraan. Kejayaan atau kegagalan pemerintah tentera di medan, ataupun kekesanan mana-mana unit diukur menggunakan nisbah body count, iaitu berapa ramai musuh yang dibunuh berbanding dengan kecelakaan yang ditanggung oleh pihak sendiri.

Penggunaan pengukur ini mendorong unit-unit tentera Amerika untuk mengada-adakan statistik untuk meninggikan bilangan dan nisbah body count mereka. Pengukur ini juga memberikan tekanan kepada pegawai-pegawai muda yang memimpin unit-unit kecil untuk mendapatkan body count sebagai pengukur kekesanan kepimpinan mereka di medan. Dengan kekurangan pengalaman pertempuran di medan, pegawai-pegawai muda merasa tertekan untuk mendapatkan body count yang tinggi dan dalam masa yang sama mempastikan tiada kecelakaan dialami oleh pihak sendiri.

Keadaan ini mengakibatkan penggunaan bedilan artileri dan sokongan udara dekat yang berlebihan, kadang kalanya ke atas kedudukan yang sebenarnya tiada pejuang musuh, ataupun lebih menyedihkan ke atas pendudukan awam yang disyaki menjadi kedudukan musuh. Dengan demikian, laporan tempur yang dimajukan kepada pengkalan sebenarnya mempunyai perbezaan besar di antara kenyataan dan pa yang didakwa sebagai pencapaian sebenar oleh unit-unit yang terlibat.

Keadaan disukarkan lagi oleh pejuang Viet Cong yang tidak mengikut doktrin peperangan konvesional. Kerap kali, tentera Amerika tidak dapat membezakan antara pejuang Viet Cong dan orang awam. Tentera Amerika sentiasa diancam dengan serang hendap dan tembakan curi, dan pelaku serangan itu akan menghilangkan diri sebelum unit-unit ini dapat bertindak menyerang balas. Ini membawa kepada keruntuhan moral dan ketakutan kepada askar-askar Amerika. Pejuang Viet Cong pula diberikan perlindungan oleh penduduk tempatan, yang biasanya mempunyai pertalian darah dengan pejuang-pejuang yang terlibat kerana pejuang Viet Cong direkrut daripada kalangan penduduk tempatan.

Pembunuhan sunting

Kompeni “ C”, Batalion Pertama, Rejimen ke-20 Infantri (1-20 Infantri) yang ditugaskan kepada 11 Briged, Divisyen Americal tiba di Veitnam dalam bulan Disember 1967. Dalam bulan pertama mereka di Vietnam, mereka tidak terlibat dengan apa-apa pertempuran dengan musuh.

Semasa Serangan Tet dalam bulan Januari 1968, Quang Ngai mengalami serangan yang dilancarkan oleh Batalion Viet Cong Ke-48, satu pasukan regular yang dibantu oleh gerila-gerila tempatan. Perisikan tentera Amerika membuat andaian bahawa Batalion Viet Cong Ke-48 selepas berundur, telah mendapatkan perlindungan di perkampungan Song My. Sebilangan perkampungan di kawasan itu, dilabelkan My Lai 1, 2, 3 dan 4 (diwarnakan dengan warna merah jambu di atas peta yang membawa kepada jolokan "Pinkville") disyaki oleh pegawai risik sebagai persembunyian Batalion Viet Cong Ke-48 dan pejuang-pejuang yang membantu pasukan tersebut.

 
mangsa Kekejaman Di My Lai

Suatu serangan besar-besaran terhadap kampung-kampung itu dirancangkan oleh tentera Amerika. Pada malam menjelang serangan itu, Kompeni “ C”, dimaklumkan oleh kepimpinan tentera bahawa orang-orang awam di My Lai akan keluar ke pasar pada jam 7.00 pagi dan boleh membuat kesimpulan bahawa mereka yang tinggal adalah pejuang Viet Cong ataupun mereka yang meeka yang aktif membantu Viet Cong. Kompeni “ C” diarahkan menghapuskan semua aktiviti musuh di perkampungan My Lai.

Semasa memberikan taklimat operasi, Kapten Ernest Medina diajukan soalan sama perintah “menghapuskan semua aktiviti musuh” meliputi penghapusan wanita dan kanak-kanak. Mereka yang hadir semasa taklimat tersebut memberikan jawapan berbeza-beza mengenai jawapan yang diberikan oleh Kapten Medina.

Pada pagi 16 Mac 1968, pasukan tentera Amerika, termasuk Platun No. 1, tidak menjumpai sebarang bukti kehadiran pejuang Viet Cong di kawasan tersebut.

Tentera Amerika bertanyakan penduduk My Lai di mana pejuang Viet Cong berada dan di mana persembunyian mereka. Penduduk My Lai berkata mereka tidak tahukan jawapan dikehendaki oleh tentera Amerika. Ini dianggap oleh tentera Amerika sebagai keengganan penduduk bekerjasama dengan mereka. Ramai daripada anggota tentera Amerika yang hadir mengesyaki bahawa terdapat pejuang Viet Cong di My Lai, dan mereka bersembunyi di dalam tanah di bawah rumah ibu mereka.

Leftenan William Calley yang memimpin 1 Platun merasa bingung dan marah. Sebelum hari tersebut, platunnya mengalami anggota yang terbunuh dalam serang hendap di kampung My Lai, dan Calley yakin pejuang Viet Cong diberikan perlindungan oleh penduduk tempatan. Calley kemudiannya memerintahkan pembunuhan beratus-ratus orang penduduk awam, terdiri dari orang tua-tua, wanita dan kanak-kanak termasuk bayi kecil.

 
Hugh Thompson

Sebilangan daripada mereka diseksa dan diperkosa. [1] Ramai yang diheret masuk ke dalam longkang dan ditembak dengan raifel automatik. Calley menancam hendak meletupkan genad di dalam sebuah liang besar yang disumbat dengan penduduk kampung. [2] Bilangan sebenar mereka yang terbunuh berbeza-beza mengikut sumber mana yang digunakan, tetapi angka kematian yang selalu digunakan adalah di antara 347 dan 504 orang. Satu tugu peringatan dibina di tapak pembunuhan menyenaraikan nama 504 orang mangsa pembunuhan. Laporan yang dimajukan oleh seorang Leftenan Vietnam Selatan menyifatkan pembunuhan itu kejam dan zalim dilakukan oleh satu pasukan bersenjata yang dirasuk perasaan untuk membalas dendam. Tentera yang terlibat yakin bahawa mereka diancam bahaya dari penduduk kampung.

Semasa pembunuhan beramai-ramai sedang berlaku, anak kapal sebuah helikopter OH-23 Raven dari unit Batalion Udara ke-123 yang sedang terbang di kawasan My Lai nampak pembunuhan yang berlaku. Juruterbang helikopter tersebut, Pegawai Waran Kanan (CWO) Hugh Thompson, Jr. mendaratkan helikopter beliau di antara askar Amerika dan orang-orang Vietnam yang dibunuh. Thompson bersemuka dengan mereka yang membunuh dan meinta mereka berhenti. Apabila pertengkaran menjadi hangat, Thompson mengarahkan Larry Colburn, guner helikopternya untuk menembak askar Amerika sekiranya mereka enggan berhenti membunuh. [3]

Dengan bantuan dua orang anak kapal, Lawrence Colburn dan Glenn Andreotta, Thompson mula menyelamatkan dan mengeluarkan mangsa yang terselamat daripada kawasan pembunuhan. Thompson juga meminta bantuan daripada lain-lain helikopter di kawasan tersebut. Mereka dapat menyelamatkan 11 orang mangsa, termasuk seorang kanak-kanak berusia 3 tahun. Danny Millians, juru terbang helikopter bersenjata (gunship) juga mendaratkan helikopternya dan menyelamatkan mangsa dengan membawa mereka keluar dengan helikopternya.

Usaha Merahsiakan Dan Menyembunyikan Kejadian sunting

My Lai tidak banyak disebut dalam taklimat mingguan di Saigon dalam bulan mac, 1968, tetapi hanya menyatakan bahawa sebuah Divisyen Americal bertempur dengan pasukan musuh di Quang Ngai dan membunuh 128 orang Viet Cong. Terdapat desas-desus bahawa terdapat orang awam yang turut terbunuh, tetapi siasatan tidak menunjukkan apa-apa kejanggalan yang mewajarkan apa-apa tindakan disiplin.

Siasatan awal mengenai insiden di My Lai dijalankan oleh Kolonel Oran Henderson, Pegawai Pemerintah 11 Briged setelah ia diperintah oleh Timbalan Pemerintah Divisyen Americal. Henderson membuat temubual dengan beberapa orang askar yang terlibat dan membuat laporan bertulis pada penghujung bulan April yang menyatakan bahawa 20 orang awam terbunuh secara tidak sengaja dalam kejadian di My Lai. Tentera Amerika masih berpegang kepada cerita asal bahawa My Lai adalah kemenangan besar dengan 128 orang musuh berjaya dibunuh sementara pasukan Amerika hanya mengalami satu kecederaan. [4]

Enam bulan selepas laporan tersebut, seorang askar SPC4 Tom Glen yang berkhidmat dengan sebuah platun mortar di dalam Divisyen Americal dan sudah hampir menamatkan khidmatnya di Vietnam menulis surat kepada Jeneral Creighton Abrams, Pemerintah Tertinggi Amerika di Vietnam. Dalam suratnya kepada Abrams, Glen membuat tuduhan bahawa Divisyen Americal secara berulang kali melakukan kekejaman ke atas orang awam. Tetapi surat Glen tidak memperincikan mengenai kejadian di My Lai. Abrams memajukan surat tersebut ke markas Divisyen Americal di Chu Lai dan dimajukan untuk perhatian Mejar Colin Powell.

 
Ronald Ridenhour

Powell menjalankan siasatan mengenai surat Glen tetapi tidak berusaha menemubual Glen. Powell menerima bulat-bulat kenyataan pegawai atasan Glen bahawa Glen tidak berada di barisan hadapan untuk menyaksikan apa-apa kekejaman yang mungkin berlaku. Powell menafikan kekejaman yang dilakukan oelh Divisyen Americal dan menyatakan bahawa perhubungan di antara askar Amerika dengan penduduk Vietnam adalah baik. Penafian Powell dilihat sebagai usaha untuk mengabui mata orang ramai.

Kekejaman di My Lai mungkin terkubur begitu sahaja sekiranya tidak kerana Ronald Ridenhour. Ridenhour menulis surat kepada ramai ahli politik, termasuk kepada Presiden Nixon menceritakan kekejaman yang berlaku di My Lai. Walaupun suratnya secara amnya tidak diambil endah, seorang wakil rakyat bernama Morris Udall mengambil maklum surat Ridenhour dan meminta Jabatan Pertahanan membuat siasatan. Tetapi maklumat yang dikumpulkan Ridenhour adalah maklumat sekunder, yang diperolehi daripada penceritaan oleh rakan-rakannya yang pernah berkhidmat dalam Kompeni “C”. Akhirnya, siasatan oleh Jabatan Pertahanan berjaya membawa kepada pendakwaan atas tuduhan membunuh dengan niat ke atas Leftenan William Calley dan 25 orang anggota lain, termasuk pegawai pemerintah Kapten Ernest Medina. Tetapi kekejaman ini masih belum diketahui rakyat Amerika.

Dalam bulan November 1969, Jeneral William Peers dilantik untuk mengetuai penyiasatan mengenai pembunuhan di My Lai dan penyembunyian dan menyekatan maklumat yang berikutd enggan pembunuhan tersebut. Peers dipilih sebagai penyiasat kerana (a) beliau bertugas di Pentagon sebagai Ketua Pasukan Simpanan dan Penagwal Kebangsaan dan dengan itu tidak terlibat dengan rantaian pemerintahan pasukan terlibat, (b) beliau bukan seorang graduan dari West Point, dan bebas dari tuduhan dipengaruhi oleh frateniti pegawai-pegawai lepasan West Point (c) beliau biasa bertugas di Vietnam sebagai Jeneral memerintah (Divisyen ke-4 Infantri), dan (d) beliau mempunyai reputasi sebagai seorang yang adil dan berpandangan objektif.

Peers menjalankan tugas dengan tekun, dan bekerja 6 hari dalam seminggu. Beliau menemui bual 398 orang saksi, dan mengumpulkan kenyataan sepanjang 20,000 muka. Dalam bulan September 1969, Peers dan pasukan penyiasatnya pergi melihat sendiri My Lai 4. Walaupun pada awalnya Peers tidak yakin kebenaran yang dinyatakan dalam surat Ridenhour, lawatannya ke Vietnam memberikan kesedaran bahawa kekejaman sebenar adalah jauh lebih menyayat daripada apa yang diceritakan Ridenhour. Laporan Peers yang dikeluarkan pada bulan Mac 1970 mengkritik kepimpinan atasan tentera yang menyembunyikan kekejaman yang berlaku dan mengencam hebat pembabitan William Calley dan Ernest Medina, dua orang pegawai yang terlibat.

Pembongkaran Cerita Pembunuhan sunting

 
Seymour Hersh

Wartawan penyiasat bebas Seymour Hersh pertama kali membongkar cerita My Lai 4: A Report on the Massacre and Its Aftermath and Cover-up: The Army's Secret Investigation of the Massacre at My Lai 4 mengenai pembunuhan beramai-ramai di My Lai setelah mengadakan percakapan mendalam dengan Ronald Ridenhour.

Kisah pembunuhan pertama kali dibongkarkan pada 12 November 1969. Pada 20 November majalah Time, Life dan Newsweek semuanya membuat liputan mengenai pembunuhan itu dan CBS menyiarkan wawancara dengan Paul Meadlo, seorang daripada tentera yang terlibat. Akhbar The Plain Dealer di (Cleveland) pertama kalinya menyiarkan foto yang terang-terang menunjukkan mayat mangsa, termasuk kanak-kanak, yang dibunuh. Penyiaran gambar itu tidak membolehkan kerajaan Amerika Syarikat membuat helah untuk mengaburi rakyat Amerika dan warga dunia daripada mengetahui kebenaran pembunuhan itu.

Cerita pembunuhan ini menyemarakkan penentangan rakyat Amerika kepada Perang Vietnam. Pergerakan Keamanan Amerika menuntut Tentera Amerika diundurkan sepenuhnya daripada Vietnam. Pembantah-pembantah kerahan tenaga tentera menggunakan insiden pembunuhan ini untuk memfailkan keengganan berkhidmat dengan mendapatkan status pembantahan naluri (conscientious objector).

Pengadilan Mahkamah Tentera sunting

Fail:Williamcalley1.jpg
William Calley Bersama George Latimer, Peguam Bela

Tragedi My Lai merupakan satu kesukaran bagi tentera Amerika Syarikat ketika itu kerana ia Perbicaraan My Lai berkisar memaksa Amerika Syarikat menilai semula dirinya dan mengkaji semula pertanggungjawaban cara mana askar-askarnya melakukan perang dan juga menilai semua sebab-sebab penglibatan Amerika dalam Perang Vietnam. Pada 17 Mac 1970, Tentera Darat Amerika Syarikat membuat pendakwaan ke atas 14 orang tentera yang terlibat kerana menyekat maklumat mengnai pembunuhan itu. Kebanyakan daripada pendakwaan ini kemudiannya digugurkan.

Pembelaan Calley diketuai oleh George Latimer, yang sudah berumur 70 tahun dan mempunyai masalah pendengaran. Dia dibantu oleh sepasukan peguam tentera dan awam. Walaupun George Latimer mempunyai rekod yang baik, ramai berpendapat dia sudah terlalu tua untuk mengendalikan kes ini. Pendakwaan dibuat oleh Kapten Aubrey Daniel, seorang tentera kerahan yang ketika itu berkhidmat sebagai peguam perbicaraan di Fort Benning. Beliau dilihat sebagai tidak mempunyai pengalaman mencukupi untuk mengendalikan kes berprofil tinggi.

Calley dikenakan pertuduhan di bawah Artikel 118, Kod Keadilan Tentera Diselaraskan (Uniform Code of Military Justice) dengan tuduhan membunuh bukan penempur. Calley mengaku tidak bersalah. Kapten Daniel memulakan penghujahannya. Daniel memanggil lebih dari 24 orang saksi memberikan keterangan untuk memberikan gambaran keadaan dan ketegangan yang berlaku sebelum dan semasa peristiwa di My Lai itu. Keterangan paling menjahanamkan diberikan oleh Prebet Paul Meadlo yang memberikan keterangan dengan syarat dia dikecualikan daripada dikenakan pendakwaan. Meadlo berada di sisi Calley semasa peristiwa di My Lai dan memberikan penceritaan yang terperinci mengenai pembunuhan yang dibuat.

Selepas sebulan bermulanya perbicaraan, peguam bela memulajkan hujah pembelaan. Tetapi Latimer,tidak keruan, dan strategi pembelaan bercelaru dan berkisar di antara dakwaan Calley semasa hanya menurut perintah dan Calley tidak membunuh. Calley memberikan keterangan bahawa dia diarahkan untuk ke My Lai dan menghapuskan musuh. Itu tugasannya pada hari berkenaan dan dia tidak berhenti untuk memberikan pertimbangan dalam konteks lelaki, perempuan ataupun kanak-kanak. Mereka dianggapkan sama sahaja dan diberikan layanan seperti mana-mana askar musuh.

 
William Calley Di Muka Luar majalah Time

Kapten Daniel meutup kesnya dengan memanggil Kapten Ernest Medina memberikan keterangan saksi. Medina menafikan memberikan arahan supaya membunuh orang awam bukan penempur. Selepas empat bulan dan 104 orang saksi dipanggil memberi keterangan, juri beredar untuk membuat pertimbangan. Mereka mengambil masa 13 hari untuk membuat pertimbangan. Perbicaraan Calley berkisar kepada sifat seorang insan - Calley sendiri. My Lai dilihat sebagai satu pengajaran mengenai moral dan tanggungjawab individu. Ramai yang terkejut dengan rasa simpati yang ditunjukkan oleh masyarakat am kepada Calley.

Kebanyakan rakyat Amerika tidak berpuashati dengan keputusan perbicaraan Calley. Mereka melihat Calley sengaja dipersalahkan oleh tentera yang enggan menerima tanggungjawabnya untuk kekejaman yang dilakukannya. Walaupun tentera Amerika cuba mendakwa Ernest Medina dan 24 orang yang lain, pertuduhan mereka digugurkan dan Calley seorang sahaja yang dihukum, sedangkan beliau “hanya menurut arahan ketuanya”.

Pandangan ramai yang melihat penganiayaan Calley memaksa Presiden Nixon untuk campur tangan dan meringankan hukuman yang dijatuhkan, dan meletakkan Calley di bawah tahanan rumah di Fort Benning dan bukannya dipenjarakan. Rayuan-rayuan yang dibuat berjaya mengurangkan hukumannya kepada tempoh penjara 10 tahun. Pada 10 September 1975, Calley diberikan parol selepas menjalani tahanan selama 3 ½ tahun.

Mereka yang terlibat dengan penyiasatan ke atas tragedi My Lai, termasuk Jeneral Peers melihat campur tangan ini sebagai usaha menutup keburukan oleh Presiden Nixon dan pihak Tentera. Siasatan ke atas kekejamnan yang serupa dilakukan oleh Kompeni “B” di My Lai pada hari yang sama akhirnya dipendamkan dan dilupakan begitu sahaja.

Tetapi, dua hari selepas mahkamah menjatuhkan hukuman, Presiden Richard M. Nixon memerintahkan supaya Calley dilepaskan dari penjara dan dikenakan hukuman tahanan rumah selama tiga setengah tahun di markasnya di Fort Benning, Georgia. Calley kemudiannya diperintah bebas oleh seorang Hakim Mahkamah Persekutuan.

Sebagai pembelaan, Calley berkata dia hanya mengikut perintah yang diberikan oleh ketuanya, Kapten Ernest Medina. Dakwaan ini disangkal keras oleh Medina yang menyatakan beliau tidak pernah memberi perintah untuk membunuh orang awam. Pertuduhan terhadap Medina digugurkan kesemuanya. Kebanyakan daripada 26 orang aksar yang pada asalnya dikenakan pertuduhan akhirnya dibebaskan kerana bukti yang tidak mencukupi. Hanya Leftenan Calley sahaja yang disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukum.

Pembelaan Calley bercanggah dengan peraturan perlaksanaan perang seperti yang ditetapkan semasa Perbicaraan Perang Nuremberg dan Perbicaraan Perang Tokyo. Tribunal ketika itu mewujudkan duluan (precedent) bahawa tidak ada sesiapa yang boleh dikecualikan daripada hukuman Jenayah Perang semata-mata kerana memberikan alasan bahawa dia hanya menurut perintah.

Tetapi Setiausaha Tentera Darat di Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat disebutkan oleh New York Times sebagai berkata hukuman Calley diringankan kerana dia benar-benar percaya bahawa dia hanya menjalankan tugas yang diarahkan kepadanya. Ini bercanggah dengan standard yang ditetapkan semasa Perbicaraan Perang Nuremberg dan Perbicaraan Perang Tokyo di mana askar-askar Jerman dan Jepun dijatuhkan hukuman bunuh kerana melakukan kesalahan yang serupa. (“Learning From My Lai: A Proposal on War Crimes” New York Times By Burke Marshall and Joseph Goldstein Published Apr. 2, 1976 Pg. 26)

Kesan Akibat Pembunuhan sunting

Perubahan lebih nyata adalah dari segi pandangan ramai mengenai Perang Vietnam sendiri. Serangan Tet yang dilancarkan dalam tahun 1968 oleh Viet Cong membawa kesedaran kepada rakyat Amerika Syarikat bahawa Amerika tidak ada peluang untuk menang dalam Perang Vietnam. Kesan daripadanya, Presiden Richard M. Nixon kini mencari jalan keluar melalui meja perundingan. Pembunuhan di My Lai menyentap minda rakyat Amerika Syarikat yang sebelum itu disajikan alasan bahawa Amerika Syarikat melibatkan diri dalam Perang Vietnam kerana mahu menegakkan keadilan dan melindungi rakyat Vietnam Selatan daripada kekejaman komunis Vietnam Utara.

Selepas My Lai, berita kekejaman-kekejaman lain mula dibongkarkan. Rakyat yang sebelumnya pasif kini secara terbuka membahaskan moral peperangan di Vietnam.

Sebilangan pengamat ketenteraan menyimpulkan bahawa tragedi di My Lai menunjukkan keperluan wujud pemimpin yang lebih berkesan untuk memimpin askar-askar di Vietnam. Apabila Perang Vietnam berlarutan, bilangan pegawai yang berpendidikan tinggi dan berpengalaman semakin berkurangan setelah mengambil kira kecelakaan dan kepulangan ke Amerika Syarikat selepas tamat tempoh perkhidmatan di Vietnam.

Pengamat ketenteraan mendakwa kekurangan calon-calon yang berpendidikan tinggi untuk dijadikan pegawai tentera adalah disebabkan bilangan mereka yang melanjutkan pelajaran di universiti dan yang mereka yang memilih untuk berkhidmat dalam wilayah Amerika Syarikat sahaja. Dengan itu, kualiti calon-calon untuk perlantikan sebagai pegawai muda semakin menurun. William Calley umpamanya adalah seorang mahasiswa yang keciciran dan menganggur sebelum memasuki Tentera yang dilatih tergesa-gesa untuk perkhidmatan perang di Vietnam.

Mereka Yang Terlibat sunting

  • Oran Henderson –Kolonel, Pegawai Memerintah 11 Briged Infantri, yang memerintah Batalion 1-20 Infantri. Beliau menjalankan siasatan tidak formal ke atas aduan yang berpunca dari Pegawai Waran Hugh Thompson, Jr tetapi tidak membuat temu bual saksi-saksi. Memberikan laporan bahawa kira-kira 22 orang awam terbunuh secara tidak sengaja semasa operasi tentera di My Lai.
  • Ernest Medina – Kapten, Pegawai Memerintah Kompeni "C"/1-20 Infantri
  • William Calley - Leftenan, Pegawai memerintah 1 Platun, didapati bersalah atas pertuduhan membunuh 22 orang penduduk My Lai 4
  • Paul Meadlo – Prebet Kelas Satu berada di sisi Leftenan Calley semasa pembunuhan. Mengaku membunuh dalam 25 orang awam tetapi menggunakan alasan beliau takutkan keselamatan dirinya sekiranya tidak mengikut arahan Calley.
  • Ronald L. Haeberle – Juru gambar Kompeni. Gambar grafik pembunuhan beramai-ramai yang disiarkan secara meluas tidak membolehkan Jabatan Pertahanan Amerika untuk memendamkan tragedi My Lai daripada pengetahuan ramai. Gambar yang diambil Haeberle boleh dilihat di sini [1]
  • Varnado Simpson – Prebet Kelas Satu, membunuh kira-kira 8 orang pada hari tersebut. Membunuh diri dalam tahun 1997 kerana tidak sanggup memikul kesalahan membunuh. Sebelum itu cuba membunuh diri sebanyak 3 kali.
  • Hugh Thompson, Jr. – Pegawai Waran, Juruterbang Helikopter OH-23 Raven yang mendaratkan helikopternya untuk campur tangan menghentikan pembunuhan. Dia memandu helikopter peninjau yang membuat penerbangan untuk menyokong operasi tentera yang dilancarkan oleh Pasukan Petugas Barker pada hari tersebut. Dia memanggil lain-lain helikopter untuk membantu menyelamatkan orang-orang awam.
  • Glenn Andreotta – Ketua anak kapal helikopter (terbunuh 3 minggu kemudian apabila helikopternya ditembak jatuh dan terbakar semasa terhempas) yang bersama-sama menggunakan mesingan M-60 untuk mengancam askar-askar yang membunuh supaya berhenti menembak orang-orang awam.

Rujukan sunting

  1. ^ Virginia Centre For Digital History (2006). "What Happened At My Lai?". Diarkibkan daripada yang asal pada 2006-08-29. Dicapai pada 2006-08-30.
  2. ^ Laurence Rogerson & Sue Powell (1999). "Exploring Vietnam - My Lai". Diarkibkan daripada yang asal pada 2005-04-05. Dicapai pada 2006-03-16.
  3. ^ "An American Hero". CBS News. 2004. Dicapai pada 2006-03-16. Unknown parameter |month= ignored (bantuan)
  4. ^ "An Introduction to the My Lai Courts-Martial". University of Missouri Kansas City. Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-12-24. Dicapai pada 2006-08-30.

· 161st Assault Helicopter Company. Unit History of the 161st Assault Helicopter Company · * PBS/The American Experience. The My Lai Massacre