Pertempuran Marj Dabiq

Pertempuran Marj Dabiq
Sebahagian daripada Perang Uthmaniyyah–Mamluk (1516–17)

Serangan kavalri Uthmaniyyah
Tarikh24 Ogos 1516[1]
Lokasi
Dabiq, berhampiran Aleppo, Kesultanan Mamluk (Syria moden)
Keputusan
Pihak yang terlibat
Empayar Uthmaniyyah Kesultanan Mamluk
Komandan dan pemimpin
Selim I Al-Ashraf Qansuh al-Ghawri 
Kekuatan
60,000

20,000

  • 5,000 Mamluk
    • 944 diraja Mamluk
Kerugian dan korban
Tidak diketahui Tidak diketahui

Pertempuran Marj Dābiq (Arab: مرج دابق, bermaksud "padang rumput Dābiq"; Turki: Mercidabık Muharebesi) merupakan pertempuran yang tercetus di Timur Tengah pada 24 Ogos 1516 berhampiran Dabiq yang terletak kira-kira 44 km dari Aleppo (Syria moden). Pertempuran ini sebahagian daripada peperangan antara Empayar Uthmaniyyah dan Kesultanan Mamluk yang berakhir dengan kejayaan Uthmaniyah dan penaklukan ke atas Timur Tengah oleh Uthmaniyah sekali gus membawa kepada keruntuhan Kesultanan Mamluk. Kejayaan ini juga membolehkan Sultan Selim berkuasa ke atas keseluruhan kawasan Syam dan ia merintis kepada penaklukan Mesir.

Latar belakang sunting

 
Gambaran kavalri Mamluk.

Empayar Uthmaniyyah dan Kesultanan Mamluk mengambil dasar berkecuali pada abad ke-14 dan ke-15. Kedua-dua kerajaan ini hanya bertempur dalam konflik di sempadan antara tahun 1485 dan 1491. Perang yang singkat ini berakhir dengan jalan buntu dan kedua-dua pihak ini telah menandatangani perjanjian damai. Namun, keamanan ini tidak bertahan lama kerana kebangkitan Safawiyyah dan agama Syiah telah mengubah keseimbangan kuasa di rantau ini. Mamluk berharap kerajaan Safawiyyah dan Uthmaniyah berperang sesama mereka. Semasa Shah Ismail I mengirim utusan ke negara-negara Eropah untuk memohon penubuhan pakatan anti-Uthmaniyah pada tahun 1500-an, Mamluk hanya membiarkan usaha itu berjaya. Pihak Uthmaniyah tahu akan hal ini dan bertindak menekan Mamluk supaya tidak membenarkan utusan tersebut dapat pulang kepada Shah Ismail. Setelah Safawiyyah tewas secara muktamad kepada Uthmaniyah dalam Pertempuran Chaldiran pada tahun 1514, maka jelaslah kepada Sultan Al-Ghawri bahawa beliau merupakan sasaran Uthmaniyah yang seterusnya. Kemudian, beliau telah menerima tawaran daripada Shah Ismail untuk menjadi satu sekutu pada tahun 1516. Sultan Al-Ghawri berarak ke Syam dan meninggalkan wazirnya, Tuman Bay di Kaherah. Lalu, tercetuslah Perang Uthmaniyyah-Mamluk.

Malangnya bagi Sultan Mamluk kerana kerajaan Uthmaniyah sedang berdamai dengan kerajaan-kerajaan Eropah di samping Shah Ismail tidak memiliki kekuatan tentera yang ampuh untuk mengancam Uthmaniyah. Jadi, Sultan Selim telah mengumpulkan seluruh pasukannya untuk menentang Safawiyyah dan Mamluk. Pada bulan April, Uthmaniyah menghantar wazirnya, Sinan Pasha bersama dengan pasukan hadapan untuk menguasai jalan penting yang melewati Pergunungan Taurus. Namun, pasukan kavalri berat Sultan Al-Ghawri lebih pantas dan mengambil alih jalan lintasan tersebut. Sinan Pasha terpaksa menunggu Sultan Selim yang tiba di kota Konya pada bulan Julai. Sultan Uthmaniyah tersebut memutuskan beliau tidak ingin bertempur dalam laluan atau jalan yang sempit. Pada titik ini, sumber Uthmaniyah berbeza dengan sumber-sumber Arab dan Parsi yang mendakwa bahawa Shah Ismail telah berjaya menghantar pasukannya untuk membantu Mamluk tetapi pasukan ini telah ditewaskan oleh Uthmaniyah di timur Anatolia. Seterusnya, Sultan Selim melewati Pergunungan Taurus dan bergerak ke kota Malatya. Pada masa yang sama, al-Ghawri bertindak untuk berundur dari kedudukannya ke Aleppo. Selim bersama pasukannya kini berarak ke selatan. Walaupun Mamluk cuba menawarkan rundingan damai, pihak Uthmaniyah mengabaikannya bahkan membunuh utusan Mamluk seperti yang dilaporkan oleh sumber Arab.

Pertempuran sunting

Kedua-dua pihak bertemu di tempat yang dipanggil Marj Dabiq pada 24 Ogos. Mamluk memiliki kekuatan tentera dari 20,000 hingga 50,000 tentera manakala Selim mempunyai bilangan tenteranya antara 30,000 hingga 60,000. Mamluk mempunyai bilangan senjata serbuk letupan yang terhad dan tidak mempunyai artileri tetapi mereka memiliki kavalri berat yang ramai dan tidak pernah tertewas di medan terbuka.

Sultan Mamluk telah meletakkan kavalrinya dalam susunan bulan sabit terbalik manakala infantrinya pula diletakkan di barisan kedua. Beliau berada di tengah diikuti oleh gabenor Damsyik di sebelah kanan dan gabenor Aleppo di sebelah kiri. Sementara itu, tentera Uthmaniyah telah meletakkan tentera berkuda mereka di barisan tepi. Seterusnya di barisan kedua pula, terdapat meriam ringan di sebelah kiri diikuti sultan bersama pengawalnya di tengah manakala janissari yang bersenjatakan serbuk letupan di sebelah kiri. Meriam Uthmaniyah diletakkan di dalam gerabak yang telah disusun di barisan belakang.

Tentera Mamluk berada dalam formasi mudah alih dan formasi tersebut telah digunakan semasa awal pertempuran. Mamluk memulakan serangan awal dalam bentuk bulan sabit dan menggerakkan pasukan sayap kirinya maju ke medan pertempuran. Serangan ini berhasil kerana pasukan sayap kanan Uthmaniyah dipaksa untuk berundur ekoran serangan hebat oleh kavalri Mamluk. Sementara itu, pasukan sayap kiri Uthmaniyah juga menghadapi situasi yang sama dan turut terpaksa berundur setelah menerima tamparan sengit oleh pasukan tengah dan pasukan sayap kanan Mamluk. Pasukan sayap kiri Mamluk terus melancarkan asakan tetapi sambutan hentaman meriam ringan Uthmaniyah telah memaksa mereka mengundurkan tenteranya. Mamluk merapatkan barisannya dan mengasak tentera pusat Uthmaniyah. Sultan Selim seterusnya mengarahkan tenteranya itu berundur ke belakang di sebalik gerabak-gerabak. Meriam berat Uthmaniyah kemudian melepaskan tembakan ke atas musuh dan membuatkan tentera Mamluk terkejut sebelum berundur. Pada masa yang sama, pasukan sayap kanan Mamluk telah berjaya memaksa pasukan kavalri Uthmaniyah berundur tetapi mereka disambut oleh tembakan dari tentera elit janissari.

Al-Ghawri memerintahkan pasukan sayap kirinya berundur sebelum melancarkan serangan ke atas Uthmaniyah dari arah tepi dan belakang tetapi perintah ini diabaikan. Sumber-sumber tidak begitu jelas tetapi kelihatan gabenor Aleppo telah mengkhianati sultan atau beliau merasakan pasukannya akan dikalahkan. Gabenor Aleppo itu meninggalkan medan pertempuran bersama dengan infantrinya. Kekacauan yang berlaku dalam pasukan Mamluk telah diambil kesempatan oleh Uthmaniyah. Akhirnya, kebanyakan dari mereka telah dikepung dan terkorban termasuklah Sultan al-Ghawri.

Kesan sunting

Jumlah angka korban tidak jelas namun korban nyawa di pihak Uthmaniyyah setidaknya seramai 10,000 manakala pasukan kavalri elit Mamluk hancur. Sultan Selim berjaya menakluk Syam dengan mudah kerana banyak garison Mamluk telah ditewaskan di Marj Dabiq.

Catatan sunting

  1. ^ Muir, William (1896). The Mameluke; Or, Slave Dynasty of Egypt, 1260–1517, A. D. Smith, Elder.   Rencana ini mengandungi teks dari sumber yang berada dalam domain awam.

Bibliografi sunting

  • Hawting, G.R. (2005) Muslims, Mongols and Crusaders. Routledge. ISBN 0-415-45096-9
  • Petry, Carl F. (2008) The Cambridge History of Egypt: Islamic Egypt, 640-1516 (Volume I). Cambridge University Press. ISBN 0-521-47137-0
  • Waterson, James (2007) The Knights of Islam: The Wars of the Mamluks. Greenhill Books, London. ISBN 978-1-85367-734-2