Terrance Stanley "Terry" Fox, CC, OD (28 Julai 1958 – 28 Jun 1981) ialah seorang olahragawan dan pejuang kemanusiaan berbangsa Kanada. Pada tahun 1980, setelah kudung sebelah kaki, beliau melakukan larian rentas Kanada untuk mengumpul dana sambil memupuk kesedaran untuk penyelidikan barah. Walaupun terpaksa menghentikan perjuangannya akibat merebaknya barah dalam badannya selepas berlari selama 143 hari dan 5,373 kilometer (3,339 bt), kemudian mati akibat penyakit tersebut, namun usaha beliau membuahkan kesan peninggalan yang berkekalan di seluruh dunia. Larian Terry Fox tahunan yang julung kali diadakan pada tahun 1981, telah berkembang sehingga melibatkan berjuta-juta peserta di lebih 60 negara, dan kini merupakan acara kumpul dana sehari untuk penyelidikan barah yang terbesar di dunia; lebih C$500 telah dikumpul atas namanya.

Terrance Stanley Fox
Terry Fox di Toronto menyertai larian rentas desa Maraton Harapan (Julai 1980).
Kelahiran(1958-07-28)28 Julai 1958
Meninggal duniaJun 28, 1981(1981-06-28) (umur 22)
Sebab kematianOsteosarkoma bermetastasis
PendidikanUniversiti Simon Fraser
Terkenal keranaMaraton Harapan
PangkatCompanion of the Order of Canada

Kehidupan dan kerjaya awal sunting

Fox lahir pada 28 Julai 1958 di bandar Winnipeg, Manitoba, kepada pasangan Rolly dan Betty Fox. Rolly bekerja sebagai tukang suis Canadian National Railway.[1] Terry ada seorang abang, Fred, seorang adik lelaki, Darrell dan seorang adik perempuan, Judith.[2] Keluarganya berpindah ke bandar Surrey, British Columbia pada tahun 1966, kemudian menetap di Port Coquitlam dua tahun kemudian.[2] Ibu bapanya berdedikasi kepada keluarga, khususnya si ibu yang amat bersifat melindungi anak-anak; kerana dialah apa juga kerja yang Terry komited, beliau pasti bersikap dedikasi tegar.[3] Bapanya mengingati Terry sebagai seorang yang amat kuat berdaya saing, bahawa dia begitu benci akan kekalahan sehingga dia sanggup menyambung mana-mana kegiatan yang diceburinya sampai berjaya.[4]

Terry Fox adalah seorang atlit yang sungguh berminat bermain bola sepak, ragbi dan besbol sewaktu kecil.[5] Beliau lebih ghairah terhadap bola keranjang; biarpun hanya lima kaki tingginya dan kurang mahir bermain ketika itu, namun Fox berusaha menyertai pasukan sekolahnya dalam tingkatan dua. Guru pendidikan jasmani dan jurulatih bola keranjangnya di Mary Hill Junior High School merasakan bahawa beliau lebih sesuai dengan larian jarak jauh, lantas menggalakkannya agar menceburi sukan larian. Fox tidak ingin menceburi larian rentas desa, tetapi akhirnya berbuat demikian untuk menghormati dan menyenangkan hati jurulatihnya.[6] Beliau tekad untuk terus bermain bola keranjang, walau menjadi pemain ganti terakhir sekalipun. Fox hanya bermain selama seminit dalam musim tingkatan dua tetapi menghabiskan musim-musim panasnya memperbaiki mutu permainannya. Beliau menjadi pemain tetap sewaktu tingkatan tiga dan memperoleh kedudukan permulaan ketika dalam tingkatan empat.[7] Di tingkatan enam, beliau memenangi anugerah olahragawan terbaik sekolah tingginya bersama sahabat akrabnya Doug Alward.[2]

Mula-mulanya tidak pasti sama ada ingin ke menara gading, ibu Fox meyakinkannya agar berdaftar di Universiti Simon Fraser, di mana beliau menelaah ilmu kinesiologi sebagai batu loncatan untuk menjadi guru pendidikan jasmani.[8] Beliau menguji diri untuk pasukan bola keranjang junior universiti, lalu mendapat tempat di hadapan pemain-pemain yang lebih berbakat kerana keazamannya.[2]

Pada 12 November 1976, apabila Fox memandu pulang ke Port Coquitlam, beliau teralih perhatian oleh pembinaan jambatan yang berdekatan, lalu terlanggar belakang lori pikap. Biarpun keretanya tidak boleh dipandu lagi, Fox terselamat dengan lutut kanan yang kesakitan. Sekali lagi beliau merasa sakit pada bulan Disember, tetapi mengabaikannya sehingga akhir musim bola keranjang.[9] Pada Mac 1977, kesakitannya bertambah buruk sehingga beliau terpaksa ke hospital, lalu didiagnosis dengan osteosarkoma, sejenis barah yang biasanya berpunca dari tepi lutut.[2] Fox percaya bahawa kemalangan keretanya melemahkan lututnya dan menyebabkannya terdedah kepada penyakit, tetapi doktor-doktornya merasakan tiada kena-mengena.[10] Beliau diberitahu bahawa kakinya terpaksa dipotong, dia memerlukan rawatan kemoterapi, lagipun jika mengikut perkembangan perubatan semasa ketika itu, peluang hidupnya hanya 50 peratus. Fox menyedari bahawa dua tahun sebelumnya hanya 15 peratus yang diberikan untuk penyakit sedemikian; peningkatan dalam kadar daya hidup ini menekankan nilai penyelidikan barah dalam dirinya.[11]

Dengan bantuan kaki buatan, Fox mampu berjalan tiga minggu selepas kakinya dipotong,[2] apalagi boleh bermain golf bersama bapanya.[12] Para doktor mengagumi pandangan positif Fox yang dikatakan menyumbang kepada penyembuhan cepatnya.[13] Beliau menahan keperitan kemoterapi selama 16 bulan di kemudahan British Columbia Cancer Control Agency sambil menyaksikan pesakit-pesakit barah yang lain menderita dan mati akibat penyakit itu.[14] Fox mengakhiri rawatannya dengan azam baru, oleh sebab merasa dirinya masih bernafas kerana kemajuan perubatan, beliau ingin menjalani kehidupan dalam cara yang membantu orang lain mencari keberanian.[15]

Pada pertengahan tahun 1977, Rick Hansen yang bekerja bersama Persatuan Sukan Kerusi Roda Kanada, menjemput Fox untuk mencuba nasib untuk pasukan bola keranjang berkerusi roda.[16] Walaupun menjalani rawatan kemoterapi pada masa yang sama, ketegapan Fox mengagumkan Hansen.[2] Tidak sampai dua bulan belajar bermain sukan ini, Fox dimasukkan ke dalam pasukan untuk kejohanan kebangsaan di Edmonton.[17] Beliau menjulang tiga gelaran kebangsaan bersama pasukan ini,[2] lalu dinamakan bintang terkemuka oleh Persatuan Bola Keranjang Berkerusi Roda Amerika Utara pada tahun 1980.[18]

Maraton Harapan sunting

 
Patung Terry Fox di Beacon Hill Park, Victoria, British Columbia

Pada malam sebelum pembedahan barahnya, Fox diberi senaskhah rencana tentang Dick Traum, pesakit amputasi pertama yang berjaya menghabiskan Maraton New York.[2] Rencana tersebut mengilhamkannya untuk memulakan program latihan 14 bulan, di samping meluahkan hasratnya untuk bertanding dalam maraton kepada keluarganya.[1] Secara senyap-senyap, beliau memikirkan rancangan yang lebih menyeluruh. Pengalamannya di hospital menyebabkan Fox berasa kecewa akan betapa sedikitnya dana yang ditujukan kepada penyelidikan barah. Beliau berniat untuk berlari sepanjang negara Kanada dengan harapan meningkatkan kesedaran barah, satu matlamat yang asalnya hanya didedahkan kepada sahabatnya Doug Alward.[19]

Gaya larian Fox luar biasa sekali, kerana beliau perlu melompat-lompat dengan kakinya yang elok kerana kaki buatannya mengambil masa lama untuk membetulkan semula spring-springnya selepas setiap langkah.[20] Beliau merasa kesakitan ketika berlatih kerana tekanan berlebihan yang terpaksa dikenakannya pada kaki elok dan kaki kudungnya menyebabkan tulang lebam, kulit melecet dan kesakitan teruk. Selepas lebih kurang 20 minit setiap larian, beliau mendapati dirinya melepasi ambang kesakitan dan lariannya makin mudah.[21]

Pada Ogos 1979, Fox bertanding dalam maraton di Prince George, British Columbia. Beliau menamatkan perlumbaan di tempat terakhir, sepuluh minit di belakang pesaing terdekatnya, namun usahanya disambut oleh air mata dan tepukan tangan dari para peserta yang lain.[2] Selepas maraton itu, beliau mendedahkan seluruh rancangannya kepada sanak saudaranya.[22] Mula-mulanya rancangan itu dibantah ibunya sehingga mengecewakan Fox, tetapi kemudian dia menyokong projeknya. Terkenang ibunya, "Katanya, 'Saya sangka ibulah antara orang-orang pertama yang mempercayai saya.' Memang pun bukan saya. Sayalah orang pertama yang menghampakannya".[23] Mula-mula, Fox berharap untuk mengumpul $1 juta,[23] tetapi kemudian hendak mengumpul $1 dari setiap satu daripada 24 orang penduduk Kanada.[24]

Persediaan sunting

Pada 15 Oktober 1979, Fox menghantar surat yang mengumumkan matlamatnya serta merayu pembiayaan kepada Persatuan Barah Kanada. Beliau menyatakan kesanggupannya untuk "menawan" kecacatannya, serta berikrar untuk menghabiskan lariannya, walaupun terpaksa "merangkak setiap batu yang terakhir". Dalam menjelaskan sebab beliau ingin mengumpul dana untuk penyelidikan, Fox memerikan pengalaman peribadi rawatan barahnya:

Saya sedar bahawa itu hanya separuh perjuangan saya, kerana semasa saya melalui pengalaman getir kemoterapi yang menyebabkan saya menjadi lemah dari segi fizikal dan emosi selama 16 bulan, saya dikejutkan oleh perasaan yang mengelilingi dan mengalir melalui klinik barah. Ada wajah yang masih berani senyum, dan ada yang sudah berhenti senyum. Ada perasaan menahan diri kerana harapan, dan juga perasaan putus asa. Perjuangan saya bukannya mementingkan diri. Saya tidak dapat menafikan masih wujudnya wajah-wajah dan perasaan-perasaan sebegini, walaupun saya akhirnya bebas daripada penderitaan. Kesakitan ini mesti berakhir....dan saya berazam untuk berjuang secukup-cukupnya.[25]

Fox langsung tidak berjanji supaya usaha-usahanya akan membawa kepada terhasilnya penyembuh barah, tetapi beliau menutupi suratnya dengan kenyataan: "Kami memerlukan bantuan saudara. Orang-orang di klinik barah di seluruh dunia memerlukan sesiapa yang mempercayai keajaiban. Saya bukannya berangan-angan, dan saya bukan bermaksud ini akan melancarkan semacam jawapan tetap untuk menyembuh barah. Saya percaya akan keajaiban, kerana saya harus."[25] Persatuan Barah ragu-ragu akan dedikasinya, tetapi bersetuju untuk menyokong Fox sebaik sahaja beliau mendapatkan penaja serta memohon sijil perubatan dari pakar jantung yang menyatakan beliau cukup sihat untuk mencuba larian. Fox didiagnosis dengan hipertrofi ventrikular kiri (jantung mengembang), sejenis keadaan yang sering dikaitkan dengan ahli sukan. Para doktor mengingatkan Fox akan risiko yang mungkin dihadapinya, namun mereka tidak begitu mengambil berat keadaan kesihatannya itu. Mereka mendukung penyertaannya apabila beliau berjanji untuk berhenti segera seandainya beliau mula mengalami apa-apa masalah jantung.[26]

Sepucuk lagi surat dihantar kepada beberapa buah syarikat untuk merayu dermaan dalam bentuk kenderaan, kasut lari dan pembiayaan perbelanjaan larian.[27] Fox juga menghantar surat-surat lain untuk meminta geran untuk membeli kaki buatan khusus untuk larian. Beliau mengatakan bahawa beliau bersyukur kerana hidup selepas rawatan barahnya, "Saya ingat saya berjanji bahawa, seandainya saya masih bernafas, saya akan bangkit untuk bersemuka dan menyahut cabaran baru [mengumpul dana penyelidikan barah] ini sambil membuktikan diri saya wajar terus hidup, satu perkara yang diambil ringan oleh terlalu ramai orang."[27] Ford Motor Company menderma sebuah van pekhemah[3] dengan bahan api sumbangan Imperial Oil, manakala Adidas menyumbangkan kasut larinya.[28] Fox menolak mana-mana syarikat yang meminta agar beliau mengendors barang keluaran mereka serta menolak mana-mana dermaan bersyarat kerana beliau tidak mahu sesiapa mengaut untung dari acara lariannya.[3]

Perjalanan jauh merentas Kanada sunting

 
Laluan Fox merentas Kanada timur. Beliau bermula di St. John's di pantai timur dan berlari ke arah barat.

Maraton bermula pada 12 April 1980, apabila Fox mencelupkan kaki kanannya ke dalam Lautan Atlantik dekat St. John's, Newfoundland, sambil mengisikan air lautan ke dalam dua botol besar. Beliau ingin menyimpan sebotol air sebagai cenderahati, dan menuangkan air yang satu lagi ke dalam Lautan Pasifik sebaik sahaja menghabiskan perjalanannya di Victoria, British Columbia.[24] Larian Fox disokong oleh Doug Alward, yang memandu van dan memasak makanan untuknya.[28]

Fox berdepan angin kencang, hujan lebat dan ribut salji pada hari-hari pertama lariannya.[1] Pada mulanya, sambutan terhadap lariannya mengecewakan, tetapi beliau menjadi lebih bersemangat setibanya di Port aux Basques, Newfoundland di mana 10,000 orang penduduk pekan itu mempersembahkan dermaan lebih $10,000 kepadanya.[28] Sepanjang perjalanan, Fox acap kali meluahkan kemarahan dan kekecewaannya terhadap sesiapa yang dilihatnya menghambat perjalanannya, lebih-lebih lagi beliau sering bertengkar dengan Alward. Setibanya mereka di Nova Scotia, mereka enggan bertegur sapa, maka adik lelaki Fox, Darrell yang ketika itu berusia 17 tahun, diaturkan untuk menyertai mereka sebagai penampan.[23] Fox meninggalkan wilayah Maritimes pada 10 Jun dan berdepan dengan cabaran baru di wilayah Quebec kerana kumpulannya tidak fasih berbahasa Perancis[29], tambahan pula pemandu-pemandu yang sentiasa memaksanya keluar dari jalan raya[30] Fox tiba di Montreal pada 22 Jun, hanya satu pertiga daripada perjalanannya yang 8,000-kilometer (5,000 bt) panjangnya, setelah mengumpul dermaan melebihi $200,000.[20] Setelah diyakinkan oleh Persatuan Barah Kanada bahawa ketibaan di ibu negara Ottawa sempena Hari Kanada boleh membantu usaha pengumpulan dana, beliau menetap di Montreal selama beberapa hari lagi.[30]

 
Memorial 'Batu 0' maraton Terry Fox di bandar St. John's

Fox menyeberangi sempadan Ontario di pekan Hawkesbury pada 28 Jun. Beliau disambut oleh seangkatan pancaragam dan ribuan penduduk yang membarisi jalan-jalanan untuk bersorak untuknya, sementarta Polis Wilayah Ontario mengiringinya sepanjang wilayah.[31] Biarpun terpaksa mengharungi cuaca musim panas yang sangat panas, beliau terus berlari 26 batu (42 km) sehari.[29] Setibanya di Ottawa, Fox bertemu dengan Perdana Menteri Pierre Trudeau dan Gabenor Jeneral Ed Schreyer di samping menjadi tetamu kehormat di berbilang acara sukan di ibu kota.[31] Di hadapan 16,000 peminat, beliau melakukan tendang mula beristiadat di sebuah perlawanan Canadian Football League lalu menerima tepuk sorak gemuruh. Jurnal catatan Fox mencerminkan dirinya yang semakin teruja terhadap sambutan yang diterimanya semasa mula memahami betapa terharu rakyat Kanada melihat usahanya.[32]

Seramai 10,000 orang menemui Fox di Toronto, di mana beliau diberi penghormatan di Dataran Nathan Phillips. Semasa berlari ke dalam dataran, beliau diiringi oleh ramai orang, termasuk bintang hoki ais Darryl Sittler yang mempersembahkan jersi All-Star Game 1980 kepada Fox. Persatuan Barah menganggarkan jumlah dermaan sebanyak $100,000 yang dikumpulnya pada hari itu sendiri.[2] Ketika meneruskan perjalanan ke arah Ontario selatan, beliau bertemu dengan seorang lagi bintang hoki ais, Bobby Orr yang menghulurkan cek bernilai $25,000 kepadanya. Fox menganggap pertemuannya dengan Orr sebagai sorotan penting perjalanannya.[2]

"Semua orang seakan-akan sudah berputus asa. Saya belum lagi. Memang tidak mudah dan tidak seperti yang diharapkan, tetapi saya sedang mencapai sesuatu. Berapalah orang yang berputus asa melakukan sesuatu yang murni. Saya pasti kita sudah menemui penawar untuk barah 20 tahun lalu jika kita betul-betul mencuba"

Fox berucap di pinggir kota Ottawa[4]

Semakin naik nama Fox, Persatuan Barah menjadualkannya untuk menghadiri banyak lagi majlis dan memberi banyak lagi ucapan.[33] Fox cuba menampung mana-mana permintaan yang disangkanya memberi peluang untuknya mengumpul dana, tanpa mengira betapa jauhnya ke situ.[34] Namun demikian, beliau melenting kerana merasakan pihak media mengganggu kehidupan peribadi, misalnya apabila akhbar Toronto Star melaporkan beliau sudah berteman wanita.[35] Fox tidak pasti siapa lagi di kalangan media yang boleh dipercayainya setelah timbulnya laporan negatif megenainya, termasuk laporan akhbar Globe and Mail yang menyifatkannya sebagai seorang "abang zalim" yang mencerca Darrell, lebih-lebih lagi mendakwa bahawa beliau berlari kerana menaruh dendam terhadap seorang doktor yang tersalah mendiagnosis keadaan kesihatannya, tetapi tuduhan-tuduhan tersebut dinafikannya sebagai "merepek".[36]

Desakan fizikal berlari maraton setiap hari memberikan kesan kepada badan Fox. Selain tempoh rehat di Montreal atas permintaan Persatuan Barah, Fox enggan mengambil cuti sehari pun, walau pada hari jadinya yang ke-22.[37] Beliau kerap memakai splin tulang kering dan menahan radang lutut. Beliau mendapat sista pada kaki kudungnya serta mengalami kepeningan.[38] Pada satu ketika, beliau mengalami kesakitan di mata kaki yang sukar hendak sembuh. Walaupun khuatir boleh mendapat fraktur tekanan, beliau berlari selama tiga hari lagi sebelum mendapatkan rawatan segera. Kemudian, beliau lega setelah menyedari kesakitan itu kesan tendonitis dan boleh diubati.[39] Fox mengetepikan seruan untuknya kerap mendapatkan pemeriksaan kesihatan,[40] dan menafikan dirinya membahayakan lagi kesihatannya pada masa depan.[36]

Sungguhpun amat berdaya pemulihan,[41] pada hujung bulan Ogos, Fox berasa kepenatan sebelum August sebelum memulakan larian untuk hari itu.[42] Pada 1 September, di luar Thunder Bay, beliau terpaksa berhenti seketika setelah kuat terbatuk-batuk dan kesakitan dada. Entah apa yang terdayanya, beliau kembali berlari sepanjang lebuh raya yang dibarisi orang ramai yang menyorakkan sokongan mereka.[43] Beberapa batu kemudian, Fox yang sesak nafas dan masih sakit dada, meminta Alward untuk membawanya ke hospital, kerana beliau khuatir jangan-jangan beliau mungkin sudah melalui kilometer yang terakhirnya.[44] Pada hari keesokannya, Fox dengan dukacitanya membuka sidang akhbar untuk mengumumkan bahawa barahnya sudah merebak ke paru-parunya. Beliau terpaksa menamatkan lariannya selepas 143 hari dan 5,373 kilometer (3,339 bt).[45] Fox menolak tawaran untuk mengambil tempatnya untuk menghabiskan, kerana beliau ingin menghabiskan maraton sendirian sahaja.[2]

Sambutan negara sunting

 
Patung Terry Fox di Ottawa.

Setakat berhentinya Maraton itu, Fox telah mengumpul $1.7 juta. Beliau sedar bahawa satu negara semakin menyedari kesan penyakit itu, serta berharap agar ini memupuk lagi amalan kedermawanan.[46] Seminggu selepas tamat lariannya, Rangkaian Televisyen CTV mengadakan teleton seluruh negara untuk menyokong Fox dan Persatuan Barah Kanada.[47] Dengan sokongan orang kenamaan dari dalam dan luar negara, acara lima jam itu mengumpul $10.5 juta.[2] Antara dermaan yang dihulurkan termasuk $1 juta masing-masing dari kerajaan wilayah British Columbia dan Ontario (wilayah BC menubuhkan insitut penyelidikan baru sempena Fox, manakala Ontario membiayai Yayasan Perawatan dan Penyelidikan Barah Ontario.[48] Dermaan terus dihulurkan sepanjang musim sejuk, dan menjelang bulan April, lebih $23 juta telah diraih.[49]

Kediaman Fox dibanjiri oleh surat dan tanda sokongan dari para penyokong dan pengucap selamat dari merata dunia, sehingga pernah sekali beliau menerima lebih banyak surat daripada jumlah alamat lain di Port Coquitlam.[50] Sungguh masyhur nama beliau sehingga sepucuk surat yang sekadar beralamat "Terry Fox, Canada" berjaya dihantar.[51] Kerajaan Kanada mengurniakan gelaran Teman Darjah Kebesaran Kanada kepada Fox sebagai orang termuda yang meraih kehormatan tersebut,[52] sementara kerajaan wilayah British Columbia memilihnya ke dalam Darjah Kebesaran Dogwood, anugerah tertinggi wilayah tersebut.[53]

Canada's Sports Hall of Fame menempah pameran kekal untuk Fox,[54] manakala Fox dinamakan sebagai pemenang Anugerah Lou Marsh 1980 sebagai atlit terbaik negara.[55] Beliau dinamakan "Newsmaker of the Year" di negaranya pada tahun 1980. Akhbar Ottawa Citizen memerikan sambutan negara terhadap maratonnya sebagai "salah satu curahan emosi dan kedermawanan terhebat dalam sejarah Kanada".[56]

Kematian sunting

Pada bulan-bulan berikutnya, Fox menerima berkali-kali rawatan kemoterapi; malangnya, penyakitnya masih merebak.[57] Apabila keadaannya bertambah buruk, rakyat Kanada mengharapkan mukjizat sementara Paus John Paul II menghantar telegram doanya untuk Fox.[58] Para doktor beralih kepada rawatan interferon ujikaji, biarpun keberkesanannya terhadap sarkoma osteogenik tidak diketahui.[59] Fox mengalami reaksi mudarat pada rawatan pertamanya,[60] tetapi meneruskan program selepas berehat seketika.[61]

Fox dikejarkan semula ke hospital pada 19 Jun 1981 kerana sesak nafas dan mendapat pneumonia.[62] Beliau menjadi koma dan meninggal dunia pada 4:35 pagi PDT pada 28 Jun 1981, dengan saudara-mara di sampingnya.[63] Kerajaan Kanada mengarahkan semua bendera dikibarkan separuh tiang di seluruh negara dalam penghormatan luar jangkaan yang biasanya ditempah untuk para negarawan.[64] Dalam ucapan di depan Dewan Rakyat Kanada, Trudeau berkata, "Amat jarang sekali dalam riwayat sebuah bangsa bahawa semangat berani seorang insan menyatukan seluruh rakyat dalam meraikan kehidupannya dan meratapi pemergiannya ... Kita tidak mengingatinya sebagai seorang yang ditimpa malang, tetapi seorang yang mengilhamkan kita dengan contoh kejayaan semangat insan melawan kesusahan".[65]

Upacara pengebumiannya yang dihadiri oleh 40 sanak-saudara dan 200 tetamu,[65] disiarkan di televisyen seluruh negara; diiringi upacara peringatan oleh jutaan komuniti seluruh Kanada.[66] Upacara peringatan awam diadakan di Bukit Parlimen di Ottawa,[67] dan rakyat Kanada sekali lagi membanjiri pejabat Persatuan Barah dengan dermaan.[68]

Pusaka sunting

 
Peserta Larian Terry Fox 2007 di Milan, Itali

Biarpun sudah lama meninggal dunia, Fox masih kekal sebagai tokoh penting dalam budaya rakyat Kanada. Keazamannya menyatukan bangsa; semua golongan masyarakat menghulurkan sokongan kepada lariannya dan kenang-kenangannya mengilhamkan rasa bangga di seluruh negara.[69] Sebuah tinjauan kebangsaan yang diadakan pada tahun 1999 menamakannya sebagai wira terhebat di Kanada,[70] manakala beliau di tangga kedua mengekori Tommy Douglas dalam rancangan The Greatest Canadian siaran Perbadanan Penyiaran Kanada pada tahun 2004.[71] Taraf kewiraan Fox berpunca daripada gambarannya sebagai seorang rakyat biasa yang menghasilkan sesuatu a luar biasa dan berinspirasi.[72][73] Ada yang berhujah bahawa kebesaran Fox adalah hasil wawasannya yang berani, pengejaran matlamatnya yang penuh azam, keupayaannya mengatasi dugaan seperti ketiadaan pengalaman dan keseorangan usahanya.[72][74] Sebagai penyokong Fox di rancangan The Greatest Canadian, personaliti media Sook-Yin Lee membandingkannya dengan seorang wira klasik, Phidippides, seorang pelari yang menyampaikan berita Pertempuran Marathon sebelum mati, serta menegaskan bahawa Fox "menjelmakan nilai-nilai Kanada yang tersanjung, iaitu perikemanusiaan, komitmen, dan ketabahan". Lee mengetengahkan perdampingan antara kemasyhuran hasil imej ciptaannya yang tidak boleh dilupakan, dan penolakan perhiasan kenamaannya itu.[75] Di kalangan tokoh-tokoh Kanada, Fox adalah seorang wira luar biasa yang dipandang tinggi walaupun tidak sempurna.[76] Serangkap obituari dalam majalah Canadian Family Physician menekankan keinsanannya serta memperhatikan bahawa kemarahannya terhadap diagnosisnya, gambaran salah dari media dan sesiapa yang disangkanya mencerobohi dikarinya—menentang keinginan agar Fox dijulang sebagai keramat, sebaliknya meletakkan pencapaiannya dalam jangkauan semua orang.[72]

Sikap terhadap kecacatan sunting

Biarpun mengalami kecacatan, namun Fox tetap tegap semangat. Beliau enggan menganggap dirinya sebagai orang kurang upaya,[77] dan tidak mengizinkan sesiapa mengasihaninya. Beliau memberitahu sebuah stesen radio di Toronto bahawa hidupnya semakin "mendatangkan kepuasan dan cabaran" semenjak kehilangan sebelah kaki.[72] Kejayaannya membantu membetulkan pandangan rakyat Kanada terhadap kecacatan dan penyertaan golongan kurang upaya dalam masyarakat.[78][79] Tindakan Fox menerangi lagi golongan kurang upaya,[79][80] tambahan pula mempengaruhi sikap orang kurang upaya dengan memperlihatkan kecacatan mereka dari sudut positif.[79] Rick Hansen mengulas bahawa larian berkenaan mencabar masyarakat agar memberi tumpuan kepada keupayaan, bukan kekurangan upaya. "Yang dirasakan sebagai batasan menjadi peluang besar. Golongan kurang upaya mula melihat dengan cara yang berbeza. Mereka keluar dengan rasa penuh bangga", tulisnya.[81]

Sebaliknya, naratif yang menyelubungi Fox juga dikritik kerana menggambarkan tumpuan media kepada pemaparan stereotaip mengenai pencapaian kewiraan luar biasa orang kurang upaya, daripada pencapaian yang ala kadar.[82][83] Pelakon Alan Toy berpendapat "Memanglah duit dikumpul untuk penyelidikan barah, dan keupayaan manusia melakukan pencapaian juga ditunjukkan, tetapi ini boleh menyebabkan ramai lagi orang kurang upaya berasa seperti kegagalan jika mereka belum melakukan sesuatu yang luar biasa. Mereka mungkin bekerja sebagai pengurus bank atau pekerja kilang; ini cukup membuktikan mereka berguna kepada masyarakat. Perlukah kita menjadi "supercrips" (orang cacat perkasa) untuk menjadi bermakan? Kalau tak super pun, adakah kita tak bermakna?"[82] Pengidolaan Fox oleh media juga dikritik kerana menekankan pendekatan individualistik terhadap penyakit dan kecacatan, oleh yang mana badan adalah jentera yang perlu dikuasai, bukan model sosial kecatatan, yang mana sikap masyarakat dan halangan daripada memasuki masyarakat memainkan peranan penting dalam menentukan siapa yang kurang upaya.[84][85]

Larian Terry Fox sunting

Salah seorang penyokong terawal perjuangan Fox adalah Isadore Sharp, pengasas Four Seasons Hotels. Sharp pernah kematian seorang anak lelaki akibat barah, oleh itu dia menawarkan Fox dan teman-temannya penginapan percuma di hotel-hotelnya.[2] Sharp menderma $10,000 sambil mencabar 999 perniagaan lain untuk melakukan yang sedemikian.[86] Sharp juga mencadangkan larian kumpul dana tahunan atas nama Fox. Fox bersetuju dengan syarat bahawa larian tersebut bukan bersifat pertandingan; tiada menang kalah, dan sesiapa yang mengambil bahagian boleh berlari, berjalan kaki atau menunggang.[87] Projek cadangan Sharp berdepan dengan tentangan. Persatuan Barah khuatir bahawa larian pada musim luruh boleh mengurangkan kempen yang selama ini diadakan pada bulan April, manakala badan-badan amal yang lain percaya bahawa satu lagi acara kumpul dana boleh mengurangkan hasil kutipan untuk perjuangan masing-masing.[88] Walaupun begitu, Sharp tetap meneruskan rancangannya, maka beliau, pihak Four Seasons Hotels dan keluarga Fox menganjurkan Larian Terry Fox pada 13 September 1981.[87]

Lebih 300,000 orang mengambil bahagian dan menyumbangkan $3.5 juta pada Larian Terry Fox yang sulung ini.[86] Sekolah-sekolah di seluruh Kanada diseru agar menyertai larian kedua pada 19 September 1982.[89] Penyertaan sekolah berterusan hingga hari ini, dengan berubah menjadi Hari Larian Sekolah Kebangsaan (National School Run Day).[90] Acara larian amal yang mengumpul lebih $20 juta pada enam tahun terawalnya,[88] berkembang menjadi acara antarabangsa apabila lebih seribu orang di 60 buah negara mengambil bahagian pada tahun 1999, serta membuahkan dana $15 juta pada tahun itu sahaja.[91] Pada ulang tahun ke-25 Larian Terry Fox, lebih tiga juta orang mengambil bahagian setahun. Geran dari Yayasan Terry Fox selaku penganjur larian amal, telah membantu para saintis Kanada banyak melangkah maju dalam bidang penyelidikan barah.[92] Larian Terry Fox adalah acara kumpul dana sehari untuk penyelidikan barah terbesar di dunia,[93] dan lebih $500 juta telah dikumpul atas namanya.[94] Larian Terry Fox ke-30 diadakan pada 19 September 2010.[95]

Penghormatan sunting

 
Tugu peringatan Terry Fox dibina di tepi bandar Thunder Bay di Lebuhraya Trans Kanada berdekatan titik di mana Fox terpaksa menghentikan lariannya.

Antara bahan-bahan peringatan zahir di Kanada yang membawa nama Fox:[96]

  • Lebih kurang 32 jalan raya, termasuk Terry Fox Courage Highway dekat Thunder Bay, Ontario, berhampiran titik tamatnya larian Fox, ditandai tugu patung gergasi Fox;[97]
  • 14 sekolah, termasuk sebuah sekolah baru di pinggir bandar Montreal yang dinamakan semula sebagai Sekolah Rendah Terry Fox sebaik selepas kematiannya,[98] tidak lupa juga sekolah tinggi Port Coquitlam di mana beliau lulus, dinamakan semula Sekolah Menengah Terry Fox Secondary School pada 18 Januari 1986;[99]
  • 14 bangunan lain, termasuk kebanyakan pusat sukan dan Institut Penyelidikan Terry Fox di Vancouver;
  • 7 patung, termasuk Tugu Terry Fox di Ottawa, merupakan permulaan The Path of Heroes, inisiatif kerajaan persekutuan yang bertujuan memberi penghormatan kepada tokoh-tokoh yang berjasa kepada negara;[100]
  • Sebuah gunung yang dahulunya tanpa nama di Pergunungan Rocky di Banjaran Selwyn, dinamakan semula Gunung Terry Fox oleh kerajaan British Columbia;[101] kawasan sekelilingnya pula dikenali sebagai Taman Wilayah Gunung Terry Fox; dan
  • Kapal pemecah ais Pengawal Pantai Kanada CCGS Terry Fox yang ditempah pada tahun 1983.[102]

Sebaik sahaja kematiannya, Fox dinamakan Newsmaker of the Year untuk tahun 1981,[103] manakala Canada Post mengumumkan pengeluaran setem peringatan pada tahun 1981, memecah tradisi bahawa setem yang memperingati tokoh negara hanya boleh direka sepuluh tahun selepas kematian mereka.[104] Bintang rock UK Rod Stewart terharu sangat oleh acara Maraton Harapan sehingga beliau terilham untuk menggubah dan menujukan lagu "Never Give Up on a Dream" — dari album Tonight I'm Yours terbitan tahun 1981 — khas untuk Fox. Stewart also called his 1981–1982 tour of Canada the "Terry Fox Tour".[105]

Terry Fox Hall of Fame ditubuhkan pada tahun 1994 untuk mengiktiraf individu-individu yang memberikan sumbangan yang memperbaiki kualiti hidup golongan kurang upaya.[100][106] Pusat penyelidikan Makmal Terry Fox diasaskan pada 675 West 10th Avenue di Vancouver, BC, Kanada untuk melakukan penyelidikan termaju untuk mendalami punca-punca dan mencari penawar barah.

Filem sunting

Kisah Fox didramakan dalam filem biopik The Terry Fox Story yang diterbitkan oleh Home Box Office pada tahun 1983. Filem ini disiarkan di televisyen di Amerika Syarikat, tetapi ditayangkan di pawagam di Kanada.[107] Filem ini dibintangi pelakon kudung Eric Fryer dan Robert Duvall, dan juga filem pertama yang dibuat eksklusif untuk televisyen berbayar.[108] Filem ini menerima ulasan yang bercampur-campur tetapi positif pada amnya,[107] tetapi dikutuk oleh keluarga Fox kerana cara baran mendiang digambarkan.[109] The Terry Fox Story dicalonkan untuk lapan Anugerah Genie, yang lima daripadanya jatuh di tangannya, termasuk Filem Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik.[110]

Filem kedua bertajuk Terry yang memberi tumpuan kepada Maraton Harapan, diterbitkan oleh rangkaian televisyen CTV pada tahun 2005. Fox dilakonkan oleh Shawn Ashmore yang bukan orang kudung; kerja suntingan digital dimanfaatkan untuk menindihkan kaki buatan ke atas kaki sebenarnya. Filem ini mendapat sokongan keluarga Fox kerana menggambarkan sikapnya yang lebih positif berbanding filem pertamanya.[109]

Rujukan sunting

Am
  • Coupland, Douglas (2005). Terry. Vancouver: Douglas & McIntyre. ISBN 1-55365-113-8.
  • Murphy, Angela (2005). Great Canadians. Canada: Folklore Publishing. ISBN 1-894864-46-8.
  • Rak, Julie (2008). "Canadian Idols? CBC's The Greatest Canadian as Celebrity History". Programming Reality. Canada: Wilfrid Laurier University Press. ISBN 978-1554580101. Unknown parameter |editors= ignored (bantuan)
  • Scrivener, Leslie (2000). Terry Fox: His Story. Toronto: McClelland & Stewart. ISBN 978-0-7710-8019-7.
Nota kaki
  1. ^ a b c Scrivener, Leslie (1980-04-28). "Terry's running for the cancer society". Montreal Gazette. m/s. 21. Dicapai pada 2010-02-25.
  2. ^ a b c d e f g h i j k l m n o "The Greatest Canadian: Terry Fox". Canadian Broadcasting Corporation. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-07-04. Dicapai pada 2010-02-25.
  3. ^ a b c Scrivener, 2000, pp. 13–14
  4. ^ a b Inwood, Damian (2005-09-18). "Terry Fox: 25 years; Celebrating his dream: a 12-page special section honouring the 25th Annual Terry Fox Run". Vancouver Province.
  5. ^ Scrivener, 2000, pp. 16–17
  6. ^ Scrivener, 2000, p. 18
  7. ^ Scrivener, 2000, pp. 19–20
  8. ^ Scrivener, 2000, p. 23
  9. ^ Scrivener, 2000, p. 25
  10. ^ Scrivener, 2000, p. 27
  11. ^ Scrivener, 2000, p. 30
  12. ^ Scrivener, 2000, p. 36
  13. ^ Scrivener, 2000, p. 35
  14. ^ Scrivener, 2000, pp. 37–38
  15. ^ Scrivener, 2000, p. 41
  16. ^ Edwards, Peter (1987-01-03). "Man in Motion set to honour pal Terry Fox". Toronto Star. m/s. A13.
  17. ^ Scrivener, 2000, p. 45
  18. ^ Scrivener, 2000, p. 47
  19. ^ Scrivener, 2000, p. 58
  20. ^ a b "Runner wants to cross nation on one leg". Montreal Gazette. 1980-06-23. m/s. 1. Dicapai pada 2010-02-26.
  21. ^ Scrivener, 2000, p. 57
  22. ^ Coupland, 2005, p. 29
  23. ^ a b c MacQueen, Ken (2005-04-04). "25th anniversary of Terry Fox's Marathon of Hope". Macleans Magazine. Historica-Dominion Institute of Canada. Dicapai pada 2010-03-20.
  24. ^ a b "Terry Fox's legacy of hope". Canadian Broadcasting Corporation. 2006-06-27. Diarkibkan daripada yang asal pada 2004-08-10. Dicapai pada 2010-02-25.
  25. ^ a b Cosentino, Frank (1990). Not bad, eh?: great moments in Canadian sports history. General Store Publishing House. m/s. 63–64. ISBN 9780919431294.
  26. ^ Scrivener, 2000, pp. 69–70
  27. ^ a b Scrivener, 2000, p. 63
  28. ^ a b c Murphy, 2005, p. 33
  29. ^ a b Scrivener, 2000, p. 232
  30. ^ a b Scrivener, 2000, p. 97
  31. ^ a b Murphy, 2005, p. 34
  32. ^ Scrivener, 2000, p. 118
  33. ^ Scrivener, 2000, p. 123
  34. ^ Coupland, 2005, p. 91
  35. ^ Scrivener, 2000, p. 130
  36. ^ a b Scrivener, 2000, p. 144
  37. ^ Scrivener, 2000, p. 138
  38. ^ Coupland, 2005, p. 47
  39. ^ Scrivener, 2000, p. 147
  40. ^ Harper, Tim (1980-07-30). "Medical check 'stupid', cancer marathoner scoffs". Ottawa Citizen. m/s. 1. Dicapai pada 2010-02-28.
  41. ^ Scrivener, 2000, p. 133
  42. ^ Scrivener, 2000, p. 150
  43. ^ Scrivener, 2000, pp. 153–154
  44. ^ Scrivener, 2000, p. 155
  45. ^ "Terry Fox's legacy of hope". CBC News Online. 2006-06-27. m/s. 1. Diarkibkan daripada yang asal pada 2004-08-10. Dicapai pada 2010-06-16.
  46. ^ Scrivener, 2000, p. 163
  47. ^ "TV show raises $9 million for cancer". Montreal Gazette. 1980-09-08. m/s. 1. Dicapai pada 2010-02-28.
  48. ^ Scrivener, 2000, p. 168
  49. ^ "Fox's dream raised $23.4 million". Tri-City Herald. 1981-04-12. m/s. 44. Dicapai pada 2010-02-28.[pautan mati kekal]
  50. ^ "Terry Fox receives mountains of mail". Ottawa Citizen. 1980-12-24. m/s. 8. Dicapai pada 2010-02-28.
  51. ^ "Fan mail: To 'Terry Fox, Canada'". Spokane Daily Chronicle. 1980-12-26. m/s. 6. Dicapai pada 2010-02-28.
  52. ^ "Terry Fox to get Order of Canada". Montreal Gazette. 1980-09-16. m/s. 1. Dicapai pada 2010-02-28.
  53. ^ "B. C. will give award to native son Terry Fox". Montreal Gazette. 1980-10-18. m/s. 28. Dicapai pada 2010-02-28.
  54. ^ "Runner gets award". Spokane Spokesman-Review. 1981-02-08. m/s. B4. Dicapai pada 2010-02-28.
  55. ^ "Courageous Terry Fox captures Lou Marsh Award". Montreal Gazette. 1980-12-18. m/s. 57. Dicapai pada 2010-02-28.
  56. ^ MacQueen, Ken (1980-12-29). "Terry Fox: His run taught Canadians to hope". Ottawa Citizen. m/s. 42. Dicapai pada 2010-02-28.
  57. ^ "Fox's cancer spreads". Montreal Gazette. 1981-01-29. m/s. 1. Dicapai pada 2010-02-28.
  58. ^ "Pope prays for cancer victim". Sarasota Herald-Tribune. 1981-03-07. m/s. 8A. Dicapai pada 2010-02-28.
  59. ^ Scrivener, 2000, p. 176
  60. ^ "Guard patrols Terry's room". Ottawa Citizen. 1981-02-23. m/s. 8. Dicapai pada 2010-02-28.
  61. ^ "Fox 'not doing too well,' feeling more pain: doctor". Ottawa Citizen. 1981-06-23. m/s. 8. Dicapai pada 2010-02-28.
  62. ^ "Fox's condition worsens". Daytona Beach Morning Journal. 1981-06-23. m/s. 8B. Dicapai pada 2010-02-28.
  63. ^ "Terry Fox dies". Ottawa Citizen. 1981-06-29. m/s. 1. Dicapai pada 2010-02-28.
  64. ^ "Fox succumbs to cancer". St. Petersburg Evening Independent. 1981-06-29. m/s. 2C. Dicapai pada 2010-02-28.
  65. ^ a b Scrivener, 2000, p. 182
  66. ^ "Canada televises funeral of young cancer victim". New York Times. 1981-07-03. Dicapai pada 2010-02-28.
  67. ^ "Memorial service slated for Hill". Ottawa Citizen. 1981-06-30. m/s. 8. Dicapai pada 2010-02-28.
  68. ^ "Phones 'ringing off wall' pledging cancer donations". Ottawa Citizen. 1981-06-30. m/s. 8. Dicapai pada 2010-02-28.
  69. ^ Coupland, Douglas (2004-07-05). "Canada's true hero". Macleans Magazine: 58–63. ISSN 0024-9262.
  70. ^ "About Terry Fox". Simon Fraser University. Dicapai pada 2010-03-05.
  71. ^ "The Greatest Canadian". Canadian Broadcasting Corporation. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-08-01. Dicapai pada 2010-03-05.
  72. ^ a b c d McCaffery, Margaret; Murray, Terry (August 1981). "Terry Fox: Heroes aren't saints". Canadian Family Physician. 27: 1184–1186.
  73. ^ Rak, 2008, p. 62
  74. ^ Jubas, Kaela (2006). "Theorizing Gender in Contemporary Canadian Citizenship: Lessons Learned from the CBC's "Greatest Canadian" Contest" (PDF). Canadian Journal of Education. 29 (2): 563–583. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2010-01-08. Dicapai pada 2010-09-20.
  75. ^ Rak, 2008, p. 62–63
  76. ^ New, William H. (1998). Borderlands: how we talk about Canada. Vancouver: UBC Press. m/s. 44–45. ISBN 9780774806596.
  77. ^ McMurray, Anne (2003). Community health and wellness: a socioecological approach. St. Louis: Mosby. m/s. 10. ISBN 9780729536738.
  78. ^ "Terry Fox left a great legacy". Kitchener Record. 2010-04-12. Dicapai pada 2010-04-24.
  79. ^ a b c Wheeler, Garry David; Steadward, Robert Daniel; Watkinson, Eddie (2003). Adapted physical activity. Edmonton, Alberta, Canada: University of Alberta Press. m/s. 36–37. ISBN 9780888643759.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  80. ^ Brown, Roy (1997). Quality of Life for People With Disabilities: Models, Research and Practice. Cheltenham, U.K: Nelson Thornes. m/s. 255. ISBN 0-7487-3294-2.
  81. ^ Scrivener, 2000, p. 227
  82. ^ a b Nelson, Jack A. (2003). "The invisible cultural group: Images of disability". Images that injure: pictorial stereotypes in the media. New York: Praeger. ISBN 0-275-97846-X. Unknown parameter |editors= ignored (bantuan)
  83. ^ Smith, Linda C.; King, Gillian A.; Brown, Elizabeth Mills (2003). Resilience: learning from people with disabilities and the turning points in their lives. New York: Praeger. m/s. 81. ISBN 9780275979430.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  84. ^ Seale, Clive (2002). Media and health. Thousand Oaks, Calif: Sage. m/s. 112. ISBN 0-7619-4730-2.
  85. ^ Harrison, Deborah (1985). "The Terry Fox story and the popular media: a case study in ideology and illness". Canadian Review of Sociology. 22 (4): 496–514. doi:10.1111/j.1755-618X.1985.tb00378.x.
  86. ^ a b Scrivener, Leslie. "Marathon of Hope". The Terry Fox Foundation. Dicapai pada 2010-03-01.
  87. ^ a b Scrivener, 2000, p. 187
  88. ^ a b Scrivener, Terry (1987-09-13). "A millionaire keeps Terry's memory alive". Toronto Star. m/s. D1.
  89. ^ "Join Fox run, schools urged". Montreal Gazette. 1982-08-17. m/s. A11. Dicapai pada 2010-03-01.
  90. ^ "Terry Fox Run – Largest event in Canadian history". Ontario Public School Boards Association. 2005-03-01. Dicapai pada 2010-03-01.
  91. ^ "Terry Fox's memory, goal live on". Canadian Broadcasting Corporation. 1999-09-19. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-11-08. Dicapai pada 2010-03-01.
  92. ^ "Canadians celebrate the life of Terry Fox". Canadian Broadcasting Corporation. 2005-09-17. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-11-04. Dicapai pada 2010-03-01.
  93. ^ El Shammaa, Dina (2010-02-17). "Terry Fox 'never gave up and had positive attitude'". Gulf News. Dicapai pada 2010-03-07.
  94. ^ "Mission statement & history". The Terry Fox Foundation. Dicapai pada 2010-03-01.
  95. ^ Gamble, Susan. "Organizers launch promotion of Terry Fox Run on Saturday". Brantford Expositor. Dicapai pada 2010-03-01.
  96. ^ Scrivener, Leslie (2010-04-11). "How Terry Fox changed Canada". Toronto Star. Dicapai pada 2010-04-20.
  97. ^ Wilkes, Jim (1987-01-05). "Hansen stops to honor Terry's dream of hope". Toronto Star. m/s. A2.
  98. ^ "Terry Fox 'better name' for school than Fathers". Montreal Gazette. 1981-11-06. m/s. 3. Dicapai pada 2010-03-03.
  99. ^ "The Terry Fox story" (PDF). Terry Fox Secondary School. Dicapai pada 2010-03-03.
  100. ^ a b "Facts". The Terry Fox Foundation. Dicapai pada 2010-03-05.
  101. ^ "Mountain in Rockies named for Terry Fox". Ottawa Citizen. 1981-07-07. m/s. 16. Dicapai pada 2010-03-05.
  102. ^ "CGCS Terry Fox". Fisheries and Oceans Canada. Dicapai pada 2010-03-05.
  103. ^ "Poll again names Fox Canadian of the Year". Montreal Gazette. 1981-12-18. m/s. 13. |access-date= requires |url= (bantuan)
  104. ^ Krebs, Albin; Thomas, Robert (1981-06-27). "Canada finds way to honor Terry Fox with a Stamp". New York Times. Dicapai pada 2010-03-02.
  105. ^ "Rod Stewart writes a song for Terry Fox". Montreal Gazette. 1981-11-13. m/s. 48. Dicapai pada 2010-03-02.
  106. ^ "Terry Fox Hall of Fame". Canadian Paraplegic Association. Dicapai pada 2010-04-24.
  107. ^ a b "More raves than boos for 'Terry Fox Story'". Montreal Gazette. 1983-05-24. m/s. D10. Dicapai pada 2010-03-06.
  108. ^ "'People will remember this...'". Ottawa Citizen. 1982-09-20. m/s. 37. Dicapai pada 2010-03-06.
  109. ^ a b McKay, John (2005-09-09). "Terry Fox: A hero's story". Macleans Magazine. Dicapai pada 2010-03-06.
  110. ^ Lawson, Michael (1984-03-22). "Terry Fox Story awarded best picture, actor Genies". Ottawa Citizen. m/s. 93. Dicapai pada 2010-03-06.

Pautan luar sunting