Padewakang ialah perahu tradisional yang digunakan oleh suku Bugis, Mandar, dan orang-orang Makassar dari Sulawesi Selatan. Padewakang  digunakan untuk pelayaran jarak jauh oleh kerajaan-kerajaan di Sulawesi selatan.

Padewakang dengan 2 tiang, sekitar 1880-1890.

EtimologiSunting

 
Paduakan (padewakang) dari Sulawesi, 1863

Tidak ada yang benar-benar mengetahui asal-usul nama padewakang, meskipun beberapa orang berpendapat bahawa ia berasal dari Pulau Dewakang, sebuah penanda navigasi penting antara Sulawesi dan Jawa. Catatan Belanda dari tahun 1735 menyebut surat-surat dari Sulawesi tiba di Batavia ‘dari Paduakkang’.[1]

Menurut Horridge, kata “padewakang, paduwakang” (Sulawesi) dan “paduwang” (Madura), mempunyai akar kata wa, wangka, waga, wangga, dan bangka dari bahasa Austronesia. Istilah tersebut dikaitkan pada “perahu bercadik atau perahu kecil”.[2]

DeskripsiSunting

 
Sebuah padewakang di Makassar, tahun tidak diketahui.

Biasanya seberat antara 20 hingga 50 tan, mempunyai satu atau dua tiang dengan layar tanja.[3] Seperti perahu tradisional Nusantara lainnya, ia dikemudikan menggunakan 2 kemudi samping.[4] Antara akhir abad ke-16 sehingga awal abad ke-20 mereka secara rutin belayar ke pantai utara Australia untuk mencari teripang (gamat), dipersenjatai dengan meriam kuno, mungkin cetbang atau lantaka. Padewakang ialah kapal Sulawesi Selatan yang terbesar yang berfungsi sebagai kapal dagang dan kapal perang, digunakan selama ratusan tahun yang belayar di lautan antara Papua Barat, bahagian selatan Filipina, dan semenanjung Malaya. Malah terdapat penerbitan belanda tentang padewakang dengan layar terkembang di teluk parsi. Mereka digunakan sampai pembuatannya berhenti kerana digantikan oleh Palari semasa abad ke-20. Palari berkembang dari lambung dasar padewakang dengan layar fore-and-aft hingga mengembangkan model lambung sendiri dengan layar pinisi.[5] H. Warington Smyth menerangkan satu padewakang besar yang dibuat dari kayu giam dengan 2 tiang layar. Saiznya adalah seperti berikut: ketinggian 99 kaki (30.2 m), 15 kaki (4.6 m), 12 kaki (3.7 m) dalam, dengan lambung bebas air 6 kaki 3 inci (1.91 m) . Kapasitinya adalah 60 koyan (145 metrik tan), dengan tiang utama setinggi 60 kaki (18.3 m), dan diawaki oleh 16 orang.[6]

Evolusi menjadi PinisiSunting

 
Gambaran Inggeris dari padua (padewakang) Bugis, 1792

Menurut Horst Liebner, ahli maritim Mandar, pada awalnya layar pinisi dipasang ke atas lambung perahu padewakang dan sejenisnya; akan tetapi, ketika para pelaut dan tukang perahu semakin sedar atas cara pemakaiannya, lambung yang dipilih adalah jenis palari saja - jenis lambung yang sangat runcing dan 'pelari' itu memanglah yang paling sesuai dengan layar kedua.

 
Gambar sebuah paduakang, sekitar tahun 1821-1828.

Evolusi ini berlaku dalam beberapa peringkat: Jenis lambung padewakang dirancang dengan lebih runcing dan dipertingkatkan dengan beberapa papan tambahan yang menyebabkan dek haluan menjadi lebih rendah daripada dek utama dan buritan, dan bahawa pembinaan rasuk-rasuk guling seolah-olah 'terbang' di belakang buritan (palari salompong ambeng rua kali - istilah ini berasal dari bahasa Konjo); seterusnya bahagian geladak buritan (ambeng) diteruskan sehingga rasuk-rasuk kemudi menyatu dengannya (palari salompong); dan langkah terakhir adalah untuk meningkatkan ketinggian tunda supaya seluruh gelung menjadi lurus.

Jenis terakhir kapal ini digunakan sehingga bot pinisiq diganti dengan jenis PLM, 'motor perahu layar'. Pada awal 1970-an beribu-ribu kapal pinisi-palari bersaiz sehingga 200 tan kargo, armada pelayaran komersial terbesar di dunia pada masa itu, telah menghubungi semua penjuru Lautan Hindi dan menjadi tulang perdagangan rakyat.[5]

GaleriSunting

ReplikaSunting

  • Satu replika yang dinamakan "Hati Marege" (Hati Daratan Arnhem) dipamerkan di Northern Territory Museum of Arts & Gallery. Ini adalah replika padewakang yang digunakan untuk mencari gamat sebelum pengharaman pencarian gamat pada tahun 1906-1907 oleh Australia.
  • Satu replika dipamerkan di pameran Les Royaumes de la mer (Kerajaan-Kerajaan Laut) di Muzium La Boverie, Liege, Belgium.
  • Satu replika bernama "Nur Al Marege" (nama berasal dari bahasa Arab Nur Al- berarti "cahaya dari") telah berlayar ke Australia antara Disember 2019-Januari 2020. Ia adalah 14.5 m panjangnya, lebar 4.2 m, dan tinggi 2 m, dan dibina dari kayu bitti. Perahu itu diperintahkan oleh Abu Hanifa Institute of Sydney, untuk digunakan dalam filem dokumenter.[7]

Lihat PulaSunting

RujukanSunting

  1. ^ Nationaal Archief Nederland, 1.04.02.8207: 13
  2. ^ Horridge, Adrian (1981). The Prahu: Traditional Sailing Boat of Indonesia. Oxford University Press. ISBN 0195804996.
  3. ^ John, St. (1853). The Indian Archipelago: Its History and Present State. London: Longman, Brown, Green, and Longmans.
  4. ^ Zainun, Nazarudin (2015). Antropologi Dan Sejarah Dalam Kearifan Tempatan. Penerbit USM.
  5. ^ a b 2004 Horst H. Liebner, Malayologist, Expert Staff of the Agency for Marine and Fisheries Research, Department of Marine Affairs and Fisheries of the Republic of Indonesia
  6. ^ Smyth, H. Warington (May 16, 1902). "Boats and Boat Building in the Malay Peninsula". Journal of the Society of Arts. 50: 570–588 – melalui JSTOR.
  7. ^ Abdurrahman, Muhammad Nur (7 Disember 2019). "Perahu Abad ke-15, Berlayar Lagi dari Makassar ke Australia". detikTravel. Dicapai pada 11 Januari 2020.