Rodensia

(Dilencongkan daripada Rodentia)

Rodensia ― serapan dari nama saintifik dalam Latin: Rodentia ― merupakan satu order mamalia yang bercirikan dua batang gigi kacip yang sentiasa memanjang di rahang atas dan bawah, tetapi sentiasa dirapikan dengan menggerogot.[1][2]

Rodensia
Julat zaman: Paleosen Akhir – kini
Pengelasan saintifik s
Domain: Eukaryota
Alam: Animalia
Filum: Chordata
Kelas: Mammalia
Klad: Simplicidentata
Order: Rodentia
Bowdich, 1821
Suborders
Julat tergabung kesemua spesies rodensia (tidak termasuk populasi diperkenal)

Kesemua 40% spesies mamalia ialah rodensia yang banyak terdapat di semua benua kecuali Antartika. Antara rodensia yang terkenal termasuklah tikus, tupai, landak dan tikus belanda.[1] Rodensia mempunyai gigi kacip tajam yang digunakan untuk menggerogot kayu, menyiat makanan, dan menggigit pemangsa. Kebanyakan rodensia memakan benih atau tumbuhan. Sesetengah spesies rodensia digeruni sebagai haiwan perosak yang mencuri makan benih yang disimpan orang[3] ataupun menyebar wabak penyakit[4].

Istilah rodensia berasal dari bahasa Latin, iaitu rodens yang bermaksud "penggerogot" (dari kata kerja rodere, "menggerogot").

Saiz dan taburan order

sunting

Dari segi jumlah spesies (tetapi tidak semestinya dari segi jumlah organisme (populasi) atau biojisim), rodensia merupakan order mamalia yang terbesar. Terdapat sekitar 2,277 spesies rodensia [5] dengan lebih 40 peratus spesies mamalia yang tergolong dalam order ini.[6] Pencapaian rodensia ini mungkin disebabkan saiznya yang kecil, kitaran pembiakan yang singkat, serta kebolehan menggerogot dan memakan pelbagai jenis makanan.[7]

Rodensia ditemui dengan bilangan yang besar di semua benua kecuali Antartika, kebanyakan pulau, dan di semua jenis habitat kecuali lautan. Rodensia merupakan order mamalia beruri selain kelawar (Chiroptera) dan anjing laut yang tiba di Australia tanpa dibawa masuk oleh manusia.

 
Kapibara, rodensia terbesar yang maujud dengan berat timbangan setinggi 80 kilogram.

Kebanyakan rodensia bersaiz kecil; misalnya, tikus pigmi Afrika yang matang boleh menjadi sekecil 6 cm (2.4 in) panjangnya dan 7 g (0.25 oz) beratnya. Berbeza pula dengan kapibara yang boleh mencapai berat 80 kg (180 lb)[8], manakala rodensia terbesar yang dikenali, iaitu Josephoartigasia monesi yang pupus, dianggarkan beratnya sekitar 1,000 kg (2,200 lb), ataupun tidak lebih 1,534 kg (3,382 lb)[9] atau 2,586 kg (5,701 lb)[10].

Rodensia mempunyai dua gigi kacip di rahang atas dan bawah. Gigi kacip ini tumbuh tanpa henti, oleh itu hendaklah dirapikan dengan menggerogot; maka inilah asal-usul istilah rodensia dari bahasa Latin iaitu rodere (menggerogot).[11] Gigi ini digunakan untuk memotong kayu, menggigit kulit buah-buahan, atau sebagai pertahanan. Giginya mempunyai enamel di luarannya dan dentin yang terdedah di dalamnya, jadi rodensia mengasah gigi sendiri ketika menggerogot. Rodensia tiada gigi taring, tetapi ada ruang di antara gigi kacip dan geraham kecil. Hampir kesemua rodensia memakan tumbuhan, khususnya benih, tetapi ada sebilangan kecil jenisnya yang makan serangga atau ikan.

 
Sistem gigi rodensia yang biasa

Rodensia penting dalam sebilangan besar ekosistem di dunia, kerana ia membiak begitu kerap, serta berperanan sebagai punca makanan untuk pemangsa, mekanisme sebaran benih, dan juga vektor penyakit. Manusia menggunakan rodensia sebagai sumber bulu, sebagai haiwan belaan, sebagai bahan ujian, sebagai sumber makanan, ataupun untuk mengesan periuk api.[12]

Order haiwan bukan rodensia seperti Chiroptera (kelawar), Scandentia (tupai akar), Soricomorpha (cencurut dan tikus mondok), Lagomorpha (arnab dan pika) dan Mustelidae (jelu dan mink) disalah anggap sebagai rodensia.

Evolusi

sunting
 
Fosil Masillamys sp. dari tapak fosil Messel Pit

Rekod fosil mamalia seakan rodensia bermula sebaik sahaja selepas kepupusan dinosaur bukan unggas sekitar 65 juta tahun lalu, seawal-awal epok Paleosen. Namun demikian, ada data jam molekul tertentu yang membayangkan bahawa rodensia moden (ahli-ahli order Rodentia) sudah wujud pada akhir usia Kapur, sungguhpun anggaran pencapahan molekul yang lain sejajar dengan rekod fosil.[13][14] Pada akhir epok Eosen, saudara-mara kepada beaver, tikus tidur, tupai, dan kelompok-kelompok lain muncul dalam rekod fosil. Mereka berasal di Laurasia, iaitu superbenua yang sudah berpecah menjadi Amerika Utara, Eropah dan Asia. Sesetengah spesies mendirikan koloni di Afrika untuk mewariskan makhluk histrikognat yang terawal. Dari Afrika, hystricognat ini merakit ke Amerika Selatan, sebuah benua yang terpisah pada epok Oligosen dan Miosen. Menjelang epok Miosen, Afrika bertembung dengan Asia, supaya rodensia seperti landak boleh merebak ke Eurasia. Ketika Pliosen, fosil rodensia menjelma di Australia. Walaupun marsupial merupakan mamalia utama di Australia, namun rodensia kini membentuk sekitar 25% spesies mamalia di benua itu. Sementara itu, benua-benua Amerika menjadi tersambung supaya sesetengah rodensia boleh bersebar ke wilayah baru; Sigmodontinae melanda ke arah selatan manakala kaviomorfa menghala ke utara.

Contoh Rodensia Prasejarah
Castoroides, beaver gergasi
Ceratogaulus, rodensia penggali bertanduk
Spelaeomys, tikus gergasi di Flores
Hutia gergasi, sekelompok rodensia yang pernah hidup di Hindia Barat
Ischyromys, rodensia primitif seakan tupai
Leithia, tikus tidur gergasi
Neochoerus pinckneyi, kapibara besar dari Amerika Utara yang beratnya 100 kg (220 lb)
Josephoartigasia monesi, rodensia terbesar setakat ini, yang beratnya sekitar 1,000 kg (2,200 lb)
Phoberomys pattersoni, rodensia kedua terbesar setakat ini, yang beratnya sekitar 700 kg (1,500 lb)
Telicomys, rodensia gergasi dari Amerika Selatan

Pengelasan

sunting
 
Dua pertiga spesies rodensia tergolong dalam superkeluarga Muroidea (tikus dan spesies-spesies bersaudaranya). Keluarga Muridae (biru) dan Cricetidae (merah) membentuk sebahagian besar Muroidea

Pengelasan piawai

sunting

Rodensia menganggotai klad-klad Glires (bersama lagomorfa), Euarchontoglires (bersama lagomorfa, primat, tupai akar dan kubung), dan Boreoeutheria (bersama kebanyakan mamalia beruri yang lain). Order Rodentia boleh dibahagikan lagi kepada suborder, infraorder, superkeluarga dan keluarga.

Skema pengelasan:

Order Rodentia

Rujukan

sunting
  1. ^ a b "rodent - Encyclopedia.com" (HTML). Dicapai pada 2007-11-03.
  2. ^ "Rodents: Gnawing Animals" (HTML). Dicapai pada 2007-11-03.
  3. ^ Meerburg BG, Singleton GR, Leirs H (2009). "The Year of the Rat ends: time to fight hunger!". Pest Manag Sci. 65 (4): 351–2. doi:10.1002/ps.1718. PMID 19206089. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-12-17. Dicapai pada 2010-12-27.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  4. ^ Meerburg BG, Singleton GR, Kijlstra A (2009). "Rodent-borne diseases and their risks for public health". Crit Rev Microbiol. 35 (3): 221–70. doi:10.1080/10408410902989837. PMID 19548807.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  5. ^ Wilson and Reeder, 2005
  6. ^ Myers, Phil (2000). "Rodentia". Animal Diversity Web. University of Michigan Museum of Zoology. Dicapai pada 2006-05-25.
  7. ^ Lambert, 2000
  8. ^ Capybaras (Hydrochaeridae): Information and Much More from Answers.com
  9. ^ Millien, Virginie (2008). "The largest among the smallest: the body mass of the giant rodent Josephoartigasia monesi". Proceedings of the Royal Society B. 1 (1646): -1. doi:10.1098/rspb.2008.0087. PMC 2596365. PMID 18495621. Dicapai pada 2008-05-27. Unknown parameter |month= ignored (bantuan); Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan)
  10. ^ Rinderknecht, Andrés (2008). "The largest fossil rodent" (pdf). Proceedings of the Royal Society B. 275 (1637): 923–928. doi:10.1098/rspb.2007.1645. PMC 2599941. PMID 18198140. Dicapai pada 2008-05-27. Unknown parameter |month= ignored (bantuan); Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan)
  11. ^ Pearsall, J., penyunting (2002). The Concise Oxford English Dictionary, 10th ed. rev. Oxford: Oxford University Press. m/s. 1,239. ISBN 0-19-860572-2.
  12. ^ Wines, Michael (2004-05-19). "Gambian rodents risk death for bananas". The Age. The Age Company Ltd. Dicapai pada 2006-05-25.
  13. ^ Douzery, E.J.P., F. Delsuc, M.J. Stanhope, and D. Huchon (2003). "Local molecular clocks in three nuclear genes: divergence times for rodents and other mammals and incompatibility among fossil calibrations". Journal of Molecular Evolution. 57: S201. doi:10.1007/s00239-003-0028-x. PMID 15008417.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  14. ^ Horner, D.S., K. Lefkimmiatis, A. Reyes, C. Gissi, C. Saccone, and G. Pesole (2007). "Phylogenetic analyses of complete mitochondrial genome sequences suggest a basal divergence of the enigmatic rodent Anomalurus". BMC Evolutionary Biology. 7: 16. doi:10.1186/1471-2148-7-16. PMC 1802082. PMID 17288612.CS1 maint: multiple names: authors list (link)

Bacaan lanjut

sunting

Pautan luar

sunting