Sabun Nablus ( Arab: صابون نابلسي, ṣābūn Nābulsi ) ialah sejenis sabun kastil yang dihasilkan di Nablus di Tebing Barat, Palestin.[1] Bahan utamanya ialah minyak zaitun dara (hasil pertanian utama rantau ini), air, dan sebatian natrium beralkali, seperti natrium hidroksida. Produk yang telah siap berwarna gading dan hampir tidak mempunyai bau. Sabun ini lazimnya dibuat secara tradisional oleh wanita untuk kegunaan isi rumah, tetapi ia telah menjadi industri penting di Nablus menjelang abad ke-14. Pada 1907, 30 kilang sabun Nablus di bandar itu membekalkan separuh daripada sabun-sabun di Palestin. Industri ini merosot pada pertengahan abad ke-20 berikutan kemusnahan yang disebabkan oleh gempa bumi Jericho 1927 dan kemudiannya gangguan akibat penjajahan tentera Israel . Sehingga 2008, hanya dua kilang sabun yang masih bertahan di Nablus. Kilang sabun Arafat yang lama telah dijadikan sebagai sebuah pusat pengayaan warisan budaya.

Bar sabun Nabulsi yang dibalut kertas

Sejarah sunting

 
Nablus pada abad ke-19

Sabun Nabulsi secara tradisinya dibuat oleh wanita untuk kegunaan rumah, meskipun sebelum munculnya kilang-kilang kecil yang membuat sabun pada abad ke-10. [2] [3] Perdagangan dengan orang Badwi amat diperlukan untuk membuat sabun, baik di Nablus atau di Hebron, kerana mereka sahaja yang berkemampuan untuk menyediakan soda alkali ( qilw ) yang diperlukan daripada proses tersebut. [4] Menjelang abad ke-14, industri pembuatan sabun yang signifikan telah mekar di Nablus dan sabun itu, yang kononnya disanjung oleh Ratu Elizabeth I dari England, [2] telah dieksport ke seluruh Timur Tengah dan ke Eropah.

Abad ke-19 telah menyaksikan kemajuan besar pembuatan sabun di Nablus, yang menjadi pusat pengeluaran sabun di seluruh Hilal Subur . Menjelang 1907, 30 kilang di bandar itu mengeluarkan hampir 5,000 tan sabun Nabulsi setiap tahun, lebih separuh daripada semua pengeluaran sabun di Palestin . [5] [6] John Bowring menulis tentang sabun Nabulsi pada tahun 1830-an bahawa ia "sangat dikagumi di Levant ," dan Muhammad Kurd Ali, seorang sejarawan Syria, menulis pada tahun 1930-an bahawa "Sabun Nablus ialah sabun terbaik dan paling terkenal hari ini kerana ia mempunyai, tampaknya, kualiti yang tidak terdapat pada sabun-sabun lain dan rahsianya ialah ia bersifat murni dan dihasilkan dengan baik." [7] [8]

 
Sabun Nabulsi disusun untuk pengeringan. Foto diambil antara 1900 dan 1920 oleh ahli Koloni Amerika

Industri sabun di Nablus mula merosot pada pertengahan abad ke-20, sebahagiannya disebabkan oleh bencana alam, terutamanya gempa bumi 1927, yang memusnahkan sebahagian besar Kota Lama Nablus, dan sebahagiannya oleh penjajahan tentera Israel . Serangan tentera Israel semasa Intifada Kedua memusnahkan beberapa kilang sabun di kawasan bersejarah Nablus. Terdapat beberapa kilang sabun yang bertahan di Nablus; pada masa ini, produk dijual terutamanya di Palestin dan negara-negara Arab, dengan beberapa eksport perdagangan adil ke Eropah dan lebih lagi. Berkenaan dengan masalah yang tidak berkesudahan baik dari segi pembuatan sabun dan eksportnya, [9] Pengurus Besar kilang yang dimiliki oleh keluarga Touqan mengulas pada tahun 2008:

Sebelum tahun 2000, kilang kami pernah mengeluarkan 600 tan sabun setiap tahun. Disebabkan oleh halangan fizikal dan ekonomi yang kami hadapi sekarang kerana penindasan Israel - dan terutamanya pusat pemeriksaan - kami tidak dapat menghasilkan walau separuh daripada jumlah itu hari ini. [2]

Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pusat pemeriksaan dan sekatan jalan raya yang dijalankan di seluruh Tebing Barat telah menimbulkan masalah dalam pengangkutan bekalan dan bahan keluar-masuk kilang serta menyukarkan para pekerja untuk pergi ke kilang dari rumah mereka. [2] Walau bagaimanapun, sabun Nabulsi masih banyak dijual di Nablus dan Tebing Barat. Ia juga dieksport ke Jordan, Kuwait dan bandar Arab-Israel seperti Nazareth . [2] [10]

Sebagaimana ia dianggap sebagai aspek penting warisan kebudayaan Nablus, pemuliharaan industri pembuatan sabun Nabulsi telah menjadi tumpuan beberapa projek tempatan, termasuk pemulihan dan penukaran kilang sabun Arafat lama menjadi Pusat Pemartabatan Warisan Budaya. Pusat ini mempunyai kemudahan penyelidikan dan pameran dan memiliki model kilang sabun kecil yang membuat sabun Nabulsi menggunakan kaedah tradisional. Project Hope dan pertubuhan bukan kerajaan tempatan yang lain melakukan pemasaran sabun di Barat untuk mengumpul dana bagi projek komuniti mereka yang lain. [2]

Proses pengeluaran sunting

Seperti sabun Kastil, bahan utama sabun Nabulsi ialah minyak zaitun dara, air dan sebatian natrium beralkali . Kompaun dibuat dengan mencampurkan serbuk tumbuhan barilla ( qilw ), yang tumbuh di sepanjang tebing Sungai Jordan, dengan kapur yang dibekalkan dari kawasan setempat ( sheed ). Kompaun natrium kemudiannya dipanaskan dengan air dan minyak zaitun dalam tong tembaga besar di atas lubang penapaian. Larutan air dan sebatian natrium menjadi semakin pekat dalam satu siri 40 kitaran berulang selama lapan hari. Pada masa itu, alat kayu berbentuk dayung yang dikenali sebagai dukshab akan digunakan untuk mengacau sabun cecair secara berterusan. Sabun cecair kemudiannya disebarkan dalam bingkai kayu untuk dikeringkan. Selepas dikeringkan, ia dipotong menjadi bentuk kiub klasik sabun Nabulsi dan dicap dengan cop tanda dagangan syarikat. Kiub sabun kemudiannya menjalani proses pengeringan yang mengambil masa dari tiga bulan hingga setahun dan melibatkan penyusunan dalam struktur setinggi siling yang menyerupai kon dengan pusat berongga yang membolehkan udara beredar di sekelilingnya. [11]

Produk yang telah siap berwarna gading dan hampir tidak mempunyai bau. (Pewangi tidak pernah digunakan dalam sabun Nabulsi.) Sebelum meninggalkan kilang, kiub individu yang akan dijual di kawasan setempat akan dibalut dengan tangan dalam kertas yang dililin pada satu sisi. Kiub yang dipilih untuk dieksport dibiarkan tidak berbalut dan biasanya dihantar dalam guni untuk melindunginya daripada sebarang kerosakan. [11]

Galeri sunting

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ "Palestinian Industries". Piefza.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-06-14. Dicapai pada 2008-03-28.
  2. ^ a b c d e f Michael Phillips (March 11, 2008). "Nablus' olive oil soap: a Palestinian tradition lives on". Institute for Middle East Understanding (IMEU). Dicapai pada 2008-03-27. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "IMEU" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  3. ^ "Craft Traditions of Palestine". Sunbula. Diarkibkan daripada yang asal pada March 21, 2008. Dicapai pada 2008-04-18.
  4. ^ Krämer, 2008, p. 50.
  5. ^ Philipp and Schäbler, 1998, p. 284.
  6. ^ Doumani, 1995, Rediscovering Palestine
  7. ^ "Nablus Soap: Cleaning Middle Eastern Ears for Centuries". Suburban Emergency Management Project. September 20, 2006. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-01-11. Dicapai pada 2008-03-27.
  8. ^ Le Strange, 1890, p. 513
  9. ^ Wiles, Rich (8 April 2016). "Crafting traditional olive oil soap in Palestine". Dicapai pada 20 December 2016.
  10. ^ "Simple Pleasures". Al-Ahram Weekly. 8–14 June 2000. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 May 2008. Dicapai pada 2008-03-27.
  11. ^ a b Rawan Shakaa (March 2007). "Natural ... Traditional ... Chunky!". This Week in Palestine. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-04-07. Dicapai pada 2008-03-27. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "Shakaa" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza


Bibliografi sunting

 

Pautan luar sunting