Collie

jenis anjing

Collie[a] membentuk suatu jenis distingitf bagi anjing gembala, yang termasuk banyak baka tempatan berkaitan dan baka terpiawai. Jenis ini berasal dari Scotland dan England Utara. Collie ialah anjing bersaiz sederhana dan bertubuh agak ringan dengan muncung runcing. Banyak jenis mempunyai warna putih distingtif di atas bahu. Collie adalah sangat giat dan tangkas dan kebanyakan jenis collie mempunyai naluri penggembalaan sangat kuat. Baka collie telah tersebar melalui banyak bahagian dunia (terutamanya Amerika Utara dan Australia) dan telah menjadi pelbagai kepada banyak keragaman, kadang-kadang kacuk dengan jenis anjing lain.

Collie
Negara asalScotland, England Utara
Trait
Berat 22–32 kg (48–70 lb)
Anjing (Canis lupus familiaris)

Sesetengah baka collie kekal sebagai anjing pekerja untuk penggembalaan lembu, biri-biri, dan haiwan ternakan lain, sementara yang lain dibela sebagai haiwan peliharaan, anjing pertunjukan, atau untuk sukan anjing, yang dalamnya ia mempamerkan ketangkasan, stamina, dan kebolehlatihan hebat. Walaupun American Kennel Club mempunyai baka dipanggil "collie", sebenarnya anjing collie ialah jenis anjing gembala distingtif yang termasuk banyak baka tempatan berkaitan dan baka formal. Biasanya terdapat perbezaan utama antara anjing pertunjukan dengan anjing yang dibiakbakakan untuk ujian penggembalaan atau sukan anjing: Yang dibiakbakakan untuk ujian penggembalaan atau sukan anjing biasanya mempamerkan ketangkasan, stamina, dan kebolehlatihan hebat, dan yang paling penting kecerdasan.

Penggunaan lazim bagi nama tidak terubah suai "collie" di sesetengah kawasan adalah terbatas sebahagian besarnya kepada baka tertentu – nama itu memaksudkan collie kasar secara lalai di banyak bahagian di Amerika Syarikat, dan collie sempadan secara lalai di banyak bahagian luar bandar di Great Britain.[perlu rujukan] Banyak jenis anjing collie sebenarnya tidak menyertakan "collie" dalam nama – contohnya anjing gembala Wales.

Nama sunting

Asal usul tepat bagi nama collie adalah tidak pasti; perkataan ini mungkin diterbitkan daripada perkataan bahasa Scots untuk 'arang batu', iaitu coal.[1] Sebagai alternatif, perkataan ini mungkin berasal daripada perkataan berkaitan, coolly, yang merujuk biri-biri gunung bermuka hitam dari Scotland.[2] Nama collie biasanya merujuk anjing asal Scotland yang telah tersebar ke banyak bahagian lain di dunia, kerap dipanggil anjing gembala di tempat lain.[3] Iris Combe, dalam buku beliau, "Border Collies", menyebut bahawa dalam bahasa Gaelik kuno, "collie" ialah istilah luar bandar untuk apa-apa yang berguna — "anjing collie" ialah anjing berguna.

Perihal sunting

Penampilan sunting

Collie pada umumnya ialah anjing bersaiz sederhana yang kira-kira seberat 22–32 kg (48–70 lb) dan bertulang ringan hingga sederhana. Jenis gembala lembu adalah lebih gempal daripada jenis gembala biri-biri. Bulunya mungkin pendek, atau panjang, dan ekornya mungkin licin, berjumbai, atau lebat. Pada tahun 1800-an, anjing yang sekali-sekala berekor kontot secara semula jadi muncul. Ekornya dapat diangkat rendah-rendah dengan pusaran ke atas, atau mungkin diangkat dengan lebih tinggi tetapi tidak sesekali ke atas belakang. Setiap baka dapat berbeza-beza dari segi pewarnaan, dengan warna asas biasa yang merupakan hitam, hitam dan sawo matang, merah, merah dan sawo matang, putih dengan kepala berwarna dengannya tanpa pewarnaan tubuh lain seperti sabel, hitam dan sawo matang, merle biru, sabel merle sabel. Ia kerap mempunyai warna putih bersama-sama dengan warna utama, yang biasanya di bawah perut dan dada, di atas bahu, dan pada bahagian muka dan tungkai, tetapi kadang-kadang meninggalkan hanya kepala berwarna – atau warna putih mungkin tidak hadir (luar biasa) atau terbatas pada dada dan jari kaki (seperti yang pada kelpie Australia). Pewarnaan merle mungkin juga hadir di atas mana-mana gabungan warna lain, walaupun pada jenis baka tempatan. Corak paling meluas termasuk sabel, hitam dan putih, hitam dan sawo matang, dan triwarna (hitam-dan-sawo-matang dan putih).

Perangai sunting

Collie berbeza-beza dari segi kebolehlatihan daripada "purata" kepada sangat patuh. Collie sempadan ialah baka yang paling memerlukan "pekerjaan" untuk merangsang otaknya, supaya tidak menjadi resah dan hiper, sementara banyak baka collie lain sepadan dengan gaya hidup keluarga aktif (walaupun semua jenis collie masih memerlukan sedikit rangsangan mental). Baka jenis collie juga terkenal dengan kepekaan dan kesedarannya terhadap emosi pada orang;[4] ia mungkin memerlukan pengendalian lebih lemah lembut berbanding dengan jenis anjing lain.

Perangai jenis pekerja sunting

Anggota pekerja baka collie, seperti collie sempadan, ialah anjing bertenaga dan tangkas dengan stamina hebat. Apabila dalam keadaan cergas untuk kerja, ia mampu berlari sepanjang hari tanpa kepenatan, walaupun di atas tanah sangat kasar atau curam. Collie pekerja mempamerkan kecerdasan mendalam untuk pekerjaan yang dilakukan dan secara naluri bermotivasi tinggi. Ia kerap sangat setia. Anjing jenis collie atau terbitan menduduki empat daripada enam belas kedudukan pertama dalam The Intelligence of Dogs karya Stanley Coren, dengan collie sempadan sebagai yang pertama. Ciri-ciri ini pada umumnya menjadikan strain pekerja sesuai untuk ketangkasan; sebagai tambahan kepada kerja penggembalaan, ia sangat sesuai untuk sukan aktif seperti ujian anjing gembala, flyball, disc dog, dan ketangkasan anjing. Strain pekerja mempunyai naluri penggembalaan kuat dan sesetengah individu dapat tekun sehingga ke tahap obsesif. Collie dapat bertanding dalam acara penggembalaan.[5] Collie sempadan digunakan sebagai anjing pencarian dalam penyelamatan di gunung di Britain. Ia khususnya berguna untuk mencari di kawasan besar lereng bukit dan runtuhan salji. H. MacInnes percaya bahawa anjing berlapis bulu gelap kurang terdedah kepada buta salji.[6]

Perangai jenis pertunjukan dan peliharaan sunting

Jenis collie tertentu (contohnya collie kasar, collie licin, anjing gembala Shetland, dan sesetengah strain collie sempadan dan baka lain) telah dibiakbakakan selama bergenerasi sebagai haiwan peliharaan dan untuk sukan penunjukan pengakuran, bukan sebagai anjing gembala. Semua baka anjing collie telah terbukti sangat boleh latih, lemah lembut, setia, cerdas, dan sangat sesuai sebagai haiwan peliharaan.[7][8][9] Kelembutan dan pengabdiannya juga menjadikannya cukup serasi dengan kanak-kanak. Ia kerap lebih sesuai sebagai anjing pengawas daripada sebagai anjing pengawal, walaupun keperibadian individu anjing ini berbeza-beza.

Perangai baka-baka ini telah ditonjolkan dalam kesusasteraan, filem, dan rancangan televisyen popular. Novel-novel karya Albert Payson Terhune, yang sangat popular di Amerika Syarikat pada tahun 1920-an dan tahun 1930-an, meraikan perangai dan pendampingan collie-collie AKC awal milik beliau. Yang lebih masyhur, perangai dan kecerdasan collie kasar dibesar-besarkan sehingga tahap mitos dalam watak Lassie, yang telah menjadi subjek bagi banyak filem, buku, dan rancangan televisyen dari tahun 1938 hingga sekarang.

Watak Lassie ditampilkan dalam sebuah buku berjudul Lassie Come Home karya Eric P. Knight. Collie milik Knight, "Tootsie", ialah ilham untuk buku itu, yang merupakan koleksi cerita berdasarkannya dan legenda collie lain yang dikumpulkan oleh beliay daripada perbualan dengan rakan dan jiran. Salah sebuah kisah sedemikian berkemungkinan besar merupakan kisah "Silverton Bobbie" yang didokumenkan, iaitu collie Oregon yang menyeberangi Amerika Syarikat untuk kembali kepada pemiliknya. Walaupun anjing-anjing yang memainkan watak Lassie di skrin adalah daripada susur galur AKC, Tootsie sebenar tidak kelihatan seperti anjing-anjing tersebut, walaupun ia berasal daripada pembiak baka collie.

Kesihatan sunting

Sesetengah baka collie (terutamanya collie kasar, collie licin, dan anjing gembala Australia) terjejas akibat kecacatan genetik, suatu mutasi dalam gen MDR1,[10] yang dahulunya dikenali sebagai "kepekataan ivermektin", tetapi kini diketahui menyebabkan penurunan toleransi terhadap pelbagai ubat veterinar berlainan.[11] Hampir-hampir 70% daripada jumlah collie terjejas,[11] lalu menjadikannya sangat peka terhadap sesetengah ubat, seperti ivermektin, serta terhadap sesetengah antibiotik, opioid termasuk loperamide,[11] dan steroid – berjumlah lebih daripada 100 ubat. Status MDR1 bagi anjing individu dapat semudahnya diuji.[11] Sebagai tambahan, sistem fungsi usus bagi baka ini juga adalah sangat rapuh dan, berbanding dengan anjing sederhana dan besar serupa, ia mudah menerima rangsangan makanan, yang membawa kepada pemuntahan dan keabnormalan perkumuhan atau penyakit gastrousus. Oleh itu, para pembiak baka perlu memastikan kebersihan ketat untuk anjing untuk memakan bahan-bahan segar dan pemakanan kaya. Verband für das Deutsche Hundewesen menggalakkan kelab-kelab baka untuk menguji semua ternakan pembiakbakaan dan mengelakkan pembiakbakaan daripada anjing terjejas.

Collie mungkin mempunyai penyakit genetik, yang bernama neutropenia berkitar anjing, atau sindrom collie kelabu. Ini ialah gangguan sel dasar.[12] Anak anjing dengan gangguan ini agak kerap disalah anggap sebagai anjing merle biru sihat, walaupun warnanya ialah kelabu perak.[perlu rujukan] Anak anjing terjejas jarang hidup melebihi usia 6 bulan.[perlu rujukan] Anak anjing terjejas apabila kedua-dua bapa dan ibu merupakan pembawa bagi gangguan ini.[13]

Dermatomiositis keluarga anjing ialah keadaan idiopati terwaris yang menjejaskan kulit dan otot dan, dalam kes jarang, pembuluh darah. Keadaan ini menyebabkan dermatitis di seluruh tubuh dan seterusnya miositis yang, dalam kes parah, membawa kepada megaesofagus. Collie bersama-sama dengan anjing gembala Beauce dan anjing gembala Shetland diketahui mempunyai kecenderungan terhadap keadaan ini, namun keadaan ini telah diperihalkan pada baka-baka lain.[14]

Jenis dan baka collie sunting

Anjing gembala jenis collie telah lama tersebar meluas di Britain dan ini dapat dianggap sebagai baka tempatan yang daripadanya sebilangan baka tempatan, jenis, dan baka formal lain telah diterbitkan, baik di Britain mahupun di tempat lain. Banyak anjing ini merupakan anjing gembala pekerja, tetapi sesetengah anjing telah dibiakbakakan untuk penunjukan pengakuran dan sebagai haiwan peliharaan, yang kadang-kadang kehilangan naluri kerjanya semasa pemilihan untuk penampilan atau untuk perangai lebih tenang.[15]

Jenis gembala cenderung untuk berbeza-beza dari segi penampilan berbanding dengan jenis pengakuran dan peliharaan, kerana dibiakbakakan terutamanya untuk keupayaan kerjanya dan penampilan adalah kurang penting.

Anjing daripada jenis atau keleluhuran collie termasuk:

Blue lacy
Kelabu atau merah di seluruh tubuh, bulu pendek, telinga terkelepai. Diterbitkan sebahagiannya daripada anjing gembala Inggeris, dengan baka bukan collie lain.
 
Collie berjanggut
Collie berjanggut
Kini sebahagian besarnya baka peliharaan dan pertunjukan, tetapi masih daripada jenis collie, dan sesetengah digunakan sebagai anjing pekerja. Beardie mempunyai lapis bulu luar rata, kasar, kuat, dan berjumbai serta lapis bulu bawah lembut dan gebu. Lapis bulunya labuh secara semula jadi ke mana-mana sisi tanpa memerlukan pembelahan. Bulu panjang pada pipi, pada bibir bawah, dan di bawah dagu membentuk janggut yang kerananya ia terkenal.
Semua collie berjanggut lahir berwarna hitam, biru, perang, atau perang kekuning-kuningan, dengan tanda-tanda putih atau tanpa tanda-tanda putih. Sesetengah membawa gen pemudaran, dan apabila matang, lapis bulu mencerah, lalu menggelap lagi sedikit selepas usia satu tahun. Anak anjing yang lahir berwarna hitam mungkin menjadi sebarang cahaya warna kelabu daripada hitam kepada batu loh kepada perak. Anjing yang lahir berwarna perang mencerah daripada coklat kepada warna pasir, dan anjing biru dan anjing perang kekuning-kuningan menunjukkan cahaya warna daripada gelap kepada cerah. Anjing tanpa gen pemudaran kekal dengan warna semasa kelahiran. Putih hanya hadir sebagai takik pada muka, pada kepala, di hujung ekor, pada dada, pada tungkai, pada kaki, dan di sekeliling leher. Tanda-tanda sawo matang kadang-kadang muncul pada kening, di dalam telinga, pada pipi, di bawah pangkal ekor, dan pada tungkai yang mempunyai bahagian putih yang bergabung dengan warna utama.
Collie Scotland
Collie Scotland terpisah kepada dua keragaman atau baka: collie kasar dan collie licin. Sebaliknya jenis berbeza daripada collie lain dengan muka sempit panjang, tinggi, lapis bulu lebat, dan telinga separa tegak. Masih digunakan untuk penggembalaan dan juga untuk penunjukan. Dikembangkan di tanah tinggi Scotland, maka memerlukan lapis bulu lebat.[16] Terdapat empat warna beriktiraf: Sabel, triwarna, merle biru, dan putih berkepala warna. Warna tidak beriktiraf: Dwihitam, merle sabel, harlekuin, merle merah, triwarna merah, dan hitam dan sawo matang.[17] Kedua-dua collie kasar dan collie licin berlapis bulu ganda dengan collie licin yang mempunyai lapis bulu luar lebih pendek atau "licin". Terdapat tiga jenis lapis bulu berlainan bagi collie kasar: Brandwyn (lapis bulu gebu), Parader (lapis bulu panjang rata), dan jenis pekerja (lapis bulu sederhana panjang).[18]
 
Collie sempadan
Collie sempadan
Baka paling terkenal untuk penggembalaan biri-biri di seluruh dunia. Pada asalnya dikembangkan di Scotland dan si England Utara. Tidak selalu sesuai untuk penggembalaan lembu. Telinga separa tegak atau terkelepai, bulu sutera atau agak panjang, tetapi pendek pada muka dan tungkai; merah, hitam, hitam dan sawo matang, atau merle, kesemuanya biasanya berwarna putih di atas bahu, secara alternatif kebanyakannya putih dengan tompok-tompok berwarna pada kepala. Lapis bulu sama ada panjang atau pendek.
Anjing gembala Australia
Mendapat namanya daripada biri-biri yang diimport dari Australia pada abad ke-19, tetapi asli di Amerika Syarikat Barat. Digunakan sebagai penggiring dan penjaga biri-biri dan lembu. Keleluhuran hampir pasti termasuk jenis collie British dan anjing gembala Basque dan Sepanyol. Lapis bulu berjumbai sederhana panjang dengan setiap warna termasuk merle, telinga separuh mencucuk, ekor kontot, dan (sangat penting) mata berlainan warna, heterokromia sangat lazim.
Anjing gembala Cumberland
Baka pupus yang serupa dengan collie sempadan dan mungkin terserap ke dalam baka itu. Leluhur kepada anjing gembala Australia. Telinga tegak atau separa tegak, bulu padat, hitam dengan putih hanya pada muka dan dada.
Anjing gembala Inggeris
Dikembangkan di Amerika Syarikat daripada ternakan jenis collie ladang yang pada asalnya dari Britain. Telinga terkelepai, bulu tebal, merah, hitam, atau hitam dan sawo matang, dengan putih di atas bahu. Tidak patut dikelirukan dengan anjing gembala lama Inggeris yang sangat berbeza.
Anjing gembala lama Inggeris
Berasal daripada "Shags", anjing gembala berbulu, yang sendiri berasal daripada "Beards", leluhur kepada collie berjanggut. Anjing moden lebih besar daripada kebanyakan collie, tiada ekor, telinga terkelepai, bulu sutera panjang (termasuk pada muka), biasanya kelabu dan putih. Tidak patut dikelirukan dengan anjing gembala Inggeris.
Anjing gembala McNab
Dikembangkan di Amerika Syarikat daripada collie Scotland dan anjing yang diimport oleh gembala Basque. Berbeza-beza dari segi saiz, telinga tegak atau separa tegak, bulu pendek hingga sederhana, hitam atau merah dengan sedikit putih pada muka, dada, dan/atau kaki.
Anjing gembala Shetland
Baka pertunjukan dan peliharaan kecil yang dikembangkan di England sebahagiannya daripada anjing gembala yang berasal dari Shetland. Anjing asli Shetland bukan collie, sebaliknya anjing gembala pekerja daripada jenis spits, yang serupa dengan anjing gembala Iceland. Walau bagaimanapun, dalam perkembangan baka anjing gembala Shetland moden, anjing jenis spits ini banyak bercampur dengan collie kasar dan baka mainan dan kini berpenampilan serupa dengan collie kasar katik. Telinga sangat kecil, hampir tegak, bulu sutera panjang pada tubuh, paling lazim sabel atau merle, dengan putih di atas bahu.
 
Anjing gembala Wales
Anjing gembala Wales
Anjing gembala baka tempatan dari Wales. Telinga tegak atau separa tegak, bulu pendek atau sutera, merah, hitam, hitam dan sawo matang, atau merle, kesemuanya biasanya berwarna putih di atas bahu.
Huntaway
Dikembangkan di New Zealand daripada campuran baka, barang kali termasuk sesetengah collie – tetapi bukan daripada jenis collie. Lebih besar dan berbinaan lebih berat daripada kebanyakan collie, telinga terkelepai, paling lazim hitam dan sawo matang dengan sedikit putih.
Kelpie Australia
Dikembangkan di Australia daripada collie yang pada asalnya dibawa dari Scotland dan England utara. Telinga tegak, berbulu pendek, biasanya hitam, hitam dan sawo matang, atau merah dan sawo matang, dengan putih yang terbatas pada dada dan jari kaki.
Anjing ketua New Zealand
Juga dipanggil anjing mata New Zealand. Dikembangkan di New Zealand daripada warisan collie sempadan dan digunakan untuk membawa biri-biri ke arah gembala, terutamanya dengan sentuhan mata kuat dan tanpa salakan.
Coolie Jerman
Juga dipanggil koolie, atau collie Jerman. Dikembangkan di Australia, barang kali daripada collie British, tetapi mungkin telah menyertakan anjing dari Jerman dan Sepanyol.[19] Telinga tegak, bulu pendek, hitam, merah, hitam dan sawo matang, atau merle, kerap dengan sedikit putih pada leher atau di atas bahu. (Catatan: nama "collie Jerman" juga terpakai untuk silangan antara anjing gembala Jerman dengan collie sempadan.)
Lurcher
Bukan baka berasas, tetapi sebaliknya silangan collie (atau anjing gembala lain atau terier) dengan grehaun atau anjing pemburu penglihatan lain. Dibiakbakakan secara tradisional untuk pemburuan haram, dengan kelajuan anjing pemburu penglihatan tetapi lebih patuh dan kurang mencolok. Berbeza-beza dari segi penampilan, tetapi dengan binaan grehaun: Telinga terkelepai, tinggi, langsing, dengan kepala kecil, dada dalam, dan "usus hering"; lapis bulu licin, sutera, atau kasar, kerap brindle.
Anjing Smithfield
Pada asalnya jenis British, kini pupus, digunakan untuk penggiringan lembu di tenggara England, terutamanya Pasar Smithfield di London. Collie besar dan kuat, dengan bulu putih atau hitam dan putih, dan telinga terkelepai.[15] Kadang-kadang, nama ini digunakan untuk anjing moden daripada jenis agak serupa di Australia. Nama "Smithfield" digunakan untuk memerihalkan anjing ladang berjumbai Tasmania daripada jenis collie berjanggut;[5] dan juga terpakai untuk anjing lembu berekor kontot Australia dan mungkin telah menyumbang kepada koolie Australia.[20]

Collie masyhur sunting

Collie dalam cereka sunting

  • Lassie ialah watak collie kasar cereka yang diwujudkan oleh Eric Knight yang pada asalnya ditampilkan dalam cerpen yang diperluaskan kepada panjang novel yang dipanggil Lassie Come-Home. Watak itu kemudiannya membintangi banyak filem MGM, sebuah siri televisyen klasik yang lama ditayangkan, dan pelbagai remake/spinoff/revival.
  • Bessy, sebuah siri komik Belgium yang berlangsung lama yang juga sangat berjaya dalam terjemahan bahasa Perancis, bahasa Jerman, dan bahasa Sweden. Komik ini juga menampilkan seekor collie, jelas-jelas berdasarkan Lassie, tetapi di latar Wild West.
  • Fly dan Rex, anjing gembala dalam filem, Babe.
  • The Dog, collie sempadan dalam lerang komik Footrot Flats.
  • Colleen, seekor collie betina dalam Road Rovers.
  • Nana, seekor collie sempadan betina dalam Snow Dogs.
  • Shadow, collie daripada buku Shadow the Sheepdog karya Enid Blyton. Jenis collie tidak dikenal pasti dalam teks, tetapi ilustrasi dalam salah satu edisi awal kelihatan samar-samar seperti collie sempadan.
  • Fly, anjing gembala yang ditampilkan dalam trilogi untuk kanak-kanak "Fells" karya Arthur Waterhouse, Raiders of the Fells (1948), Rogues of the Fells (1951), dan Fly of the Fells (1957). Jenis collie tidak disebut, tetapi ilustrasi kelihatan seperti collie kasar.
  • Anjing eponim daripada filem Bingo.
  • Flo, seekor collie dalam All Dogs Go to Heaven.
  • Murray, collie jantan daripada siri televisyen Mad About You.
  • Seekor collie dalam White Fang karya Jack London ialah pasangan kepada anjing serigala White Fang.
  • Courageous Collie Carlo, seekor collie kasar daripada Martha Speaks.
  • Scouty, seekor collie sempadan biru dalam Strawberry Shortcake's Berry Bitty Adventures.
  • Winona, seekor collie daripada My Little Pony: Friendship Is Magic.
  • Mackenzie, seekor collie sempadan dalam Bluey.
  • Roger, seekor collie sempadan dalam Cats & Dogs 3: Paws Unite!.

Lihat juga sunting

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: ‏کولي, Sebutan bahasa Melayu: [kɔli]; bahasa Inggeris: collie

Rujukan sunting

  1. ^ "Collie, Colly". Oxford English Dictionary (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press. 1933.
  2. ^ Hubbard, C.L.B. (1948). Dogs in Britain: A description of all native breeds and most foreign breeds in Britain (dalam bahasa Inggeris). Macmillan.
  3. ^ Combe, Iris (1987). Herding Dogs: Their origins and development in Britain (dalam bahasa Inggeris).
  4. ^ Francais, Isabell; Johnson, Carol Ann (2005). Bearded Collie (dalam bahasa Inggeris). Kennel Club Books. m/s. 158. ISBN 1-59378-236-5.
  5. ^ a b Hartnagle-Taylor, Jeanne Joy; Taylor, Ty (2010). Stockdog Savvy (dalam bahasa Inggeris). Alpine Publications. ISBN 978-1-57779-106-5.
  6. ^ MacInnes, Hamish (1972). International Mountain Rescue Handbook (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Constable. m/s. 47–63.
  7. ^ "Rough Collie". Westminster Kennel Club. breed description (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Oktober 2007.
  8. ^ "Smooth Collie". Westminster Kennel Club. breed description (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Oktober 2007.
  9. ^ "Shetland Sheepdog". Westminster Kennel Club. breed description (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Oktober 2007.
  10. ^ "Multi-drug sensitivity". College of Veterinary Medicine (dalam bahasa Inggeris). Pullman, Washington, Amerika Syarikat: Universiti Negeri Washington.
  11. ^ a b c d Mealey, Katrina L.; Owens, Jane G. (2022). "Canine and feline P-glycoprotein deficiency: What we know and where we need to go". Journal of Veterinary Pharmacology and Therapeutics (dalam bahasa Inggeris). doi:10.1111/jvp.13102. PMC 10092536 Check |pmc= value (bantuan).
  12. ^ Dale, David C.; Rodger, Elin (1994). "Long-Term Treatment of Canine Cyclic Hematopoiesis With Recombinant Canine Stem Cell Factor". Blood (dalam bahasa Inggeris). 85 (1): 74–79. doi:10.1182/blood.V85.1.74.bloodjournal85174.
  13. ^ DiGiacomo, Ronald F.; Hammond, William P. (1983). "Clinical and Pathologic Features of Cyclic Hematopoesis in Grey Collie Dogs" (PDF). The American Journal of Pathology (dalam bahasa Inggeris). 111 (2): 224–233.
  14. ^ Rhodes, Karen Helton; Werner, Alexander H. (25 Januari 2011). Blackwell's Five-Minute Veterinary Consult Clinical Companion (dalam bahasa Inggeris). Ames, Iowa, Amerika Syarikat: Wiley-Blackwell. m/s. 172. ISBN 978-0-8138-1596-1.
  15. ^ a b Combe, Iris; Hutchinson, Pat (2004). "The ancestral relationships of contemporary British herding breeds" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Jun 2009. — Carta hubungan antara pelbagai baka anjing gembala British dan garis kasar sejarah baka-baka tersebut.
  16. ^ Ward, Andy (30 Ogos 2019). "What did collies originally look like? Why do they have long noses?". oldtimefarmshepherd.org (dalam bahasa Inggeris).
  17. ^ "Colors". Collie Fan (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Januari 2014. Dicapai pada 8 Jun 2024 – melalui weebly.com.
  18. ^ "History". Collie Fan (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 23 Julai 2012 – melalui weebly.com.
  19. ^ "Aussie history". Las Rocosa Australian Shepherds (dalam bahasa Inggeris).
  20. ^ Chandler, John. "The "Smithfield" dog". wolfweb.com.au (dalam bahasa Inggeris).
  21. ^ Reid, Alastair (10 September 1966). "The World Cup". The New Yorker (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 24 Februari 2007. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  22. ^ Dean, Jon (18 Mac 2016). "How my dog found the stolen World Cup trophy - and put me in the frame". Daily Mirror (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 8 Jun 2024.

Pautan luar sunting