Darul Quran ialah sebuah institusi pengajian tahfiz Al-Quran di Malaysia. Ia dikelola sepenuhnya oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Perdana Menteri, Malaysia. Institusi pengajian tahfiz Al-Quran ini terletak di Jalan Hamzah, Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor Darul Ehsan.

Darul Quran
Nama lama
Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat
Ditubuhkan pada1966
PengasasTunku Abdul Rahman
Institusi induk
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
PengarahMohd Ansarullah Mohd Hashim
Lokasi,
Selangor
,
44000
,
Malaysia
Laman sesawangwww.darulquran.gov.my

Sejarah sunting

Darul Quran ditubuhkan pada tahun 1966 apabila Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj melahirkan hasrat untuk mewujudkan sebuah Institut Pengajian al-Quran di Malaysia. Hasrat ini telah dinyatakan sewaktu perasmian Masjid Negara di mana idea ini timbul ekoran daripada Musabaqah Al-Quran yang diadakan semenjak tahun 1960 serta lawatan Rektor Universiti Al-Azhar Sheikh Mahmud Syaltut di perasmian Masjid Negara tersebut.

Sebagai permulaan, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat ditubuhkan sebagai salah satu unit di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur. Dengan penubuhan tersebut maka bermulalah pengajian dalam bidang Tahfiz al-Quran di Dewan Syarahan Masjid Negara pada 1 Mac, 1966 dengan bilangan pelajar pada masa itu seramai 8 orang sebagai perantis yang dipilih dan dihantar oleh negeri-negeri di Malaysia.

Dari tahun 1966 hingga tahun 1978 pengajian ini diletakkan di bawah kelolaan Jawatankuasa Tadbir Masjid Negara dan Urusetia Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, pada tahun 1972 dan ianya diberi nama “Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat”.

Awal tahun 1979, Maahad Tahfiz diletakkan pula di bawah kelolaan Pusat Penyelidikan Islam, Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri sehingga tahun 1980. Selepas itu Maahad Tahfiz dipindahkan ke Bangunan JKR 588/33, Jalan Chenderasari, Kuala Lumpur dan dan kemudiannya diletakkan di bawah kelolaan Institut Dakwah dan Latihan Islam (INDAH) Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri sehingga tahun 1983.

Sehinggalah pada tahun 1984, Maahad Tahfiz telah lahir sebagai sebuah Cawangan di Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri dengan organisasinya yang tersendiri.

Pada Tahun 1992 Maahad Tahfiz kemudiannya dipindahkan ke Taman Tun Dr. Ismail bagi penempatan pelajar lelaki dan pelajar perempuan pula ditempatkan di Jalan Ledang. Pada Tahun 1994, pelajar perempuan kemudiannya dipindahkan ke Taman Tun Dr. Ismail, manakala pelajar lelaki dipindahkan ke Batu 14, Sg. Semungkus, Hulu Langat, Selangor.

Pada tahun 1997, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat telah dinaikkan taraf sebagai salah satu bahagian di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan diberi nama Darul Quran. Akhirnya pada 1 November 1998, Darul Quran ditempatkan ke kampus tetap di Kompleks Darul Quran di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Objektif sunting

  • Mensepadukan ilmu (duniawi dan ukhrawi) untuk melahirkan golongan professional yang hafiz, mahir lagi berketerampilan selaras dengan keperluan ummah dan negara.
  • Menyediakan asas penjanaan ke arah melahirkan cendikiawan yang berkemampuan mengembalikan tradisi zaman kegemilangan keilmuan Islam.

Visi dan Misi sunting

  • Visi – Melahirkan generasi Al-Quran yang bertaqwa, berilmu dan bermanfaat kepada pembangunan Negara dan Ummah.
  • Misi – Mendidik dan melatih pelajar dalam bidang Tahfiz Al-Quran dan Qiraat.

Falsafah pendidikan sunting

Ilmu pengetahuan disebarkan dalam semangat tauhid ke arah membentuk generasi Al-Quran yang bertaqwa menjurus kepada pengakuan bahawa Allah itu Esa, Pencipta dan Tuhan bagi sekalian alam.

Pencapaian sunting

Sepanjang penubuhannya, Darul Quran Jakim telah menunjukkan beberapa pencapaian yang memberasangkan. Antaranya ialah :

  • Pada 16 April 1983 kelayakan sijil Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat telah diberi pengiktirafan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam setaraf dengan Diploma Institut Teknologi MARA (sekarang UiTM) bagi membolehkan pemegang sijil tersebut menjawat jawatan dalam Perkhidmatan Awam.
  • Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat Darul Quran JAKIM juga diiktiraf oleh universiti-universiti tempatan dan luar negara untuk mengikuti pengajian di universiti berkenaan. Antara institusi tersebut ialah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Negeri Sultan Syariff Kasim Riau, Indonesia dan Universiti Al-Azhar,Mesir.
  • Darul Quran telah mengadakan kerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia untuk merealisasikan program Persijilan Tahfiz al-Quran. Program ini ditawarkan kepada pelajar lulusan SPM yang mendapat keputusan cemerlang untuk ditempatkan di Darul Quran. Pelajar-pelajar ini akan melalui tempoh pengajian selama 18 bulan di Darul Quran. Selepas tamat pengajian mereka akan terus ditempatkan di Pusat Asasi UIAM dalam bidang profesional seperti perubatan, farmasi, kejuruteraan, senibina, ekonomi dan sains pengurusan. Cadangan program berkembar ini tercetus apabila Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Sidek Baba selaku Ahli Lembaga Pengarah Darul Quran telah membentangkan satu kertas kerja yang bertajuk “Perancangan Masa depan Program Akademik Darul Quran” di dalam Muzakarah Masa depan Darul Quran pada 21-22 Februari 2000. Beliau telah turut mencadangkan agar Darul Quran memainkan peranan bukan sahaja melahirkan Hafiz dan Hafizah yang berketrampilan dalam bidang agama, malah layak menjadi ahli sains dan professional yang berwibawa. Hasilnya, Darul Quran telah mengambil 7 orang pelajar yang telah mendaftarkan diri sebagai perantis program persijilan.
  • Darul Quran turut memperkenalkan Program Persijilan Tinggi Tarannum al-Quran yang dirangka khusus untuk melahirkan generasi al-Quran yang dapat mengembalikan tradisi kegemilangan ilmuwan Islam dalam usaha memartabatkan agama bangsa dan negara di mata dunia. Selain daripada itu, program ini akan menjana qari dan qariah yang berkemampuan tinggi dan sekaligus mampu memikul cabaran yang diamanahkan oleh negara. Cadangan pelaksanaan program ini adalah idea Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Y.B Dato’ Dr. Abdullah Bin Md Zin yang mahukan umat Islam di Malaysia benar-benar mendalami seni bacaan al-Quran. Beliau berharap agar Malaysia tidak akan kepupusan generasi yang mahir dalam bidang al-Quran amnya dan bidang Tarannum khasnya. Program ini dikhususkan kepada semua masyarakat Islam terutama kepada mereka yang mempunyai pengalaman mewakili daerah dan negeri dalam ujian tilawah al-Quran. Program yang bakal diadakan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) ini akan meliputi kaedah pengajian secara kuliah,tutorial, latihan praktikal dan perbincangan.
  • Darul Quran terus mengorak langkah untuk memperkasakan bidang tahfiz al-Quran dengan melaksanakan program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah dengan Kepujian. Program yang diadakan dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini adalah hasil daripada perbincangan di Mesyuarat Lembaga Darul Quran yang diadakan pada 15 Julai 2006. Bagi peringkat permulaan, program ini akan ditawarkan kepada 50 orang pelajar Darul Quran dan pelajar Maahad Tahfiz Quran Negeri(MTQN). Jangka masa pengajian bagi program ini adalah 3 tahun dan dijangka dapat dimulakan pada November tahun ini.

Kemudahan sunting

Kemudahan Asas

Dewan kuliah, makmal komputer, makmal Al-Quran, makmal bahsa, perpustakaan, surau, asrama lelaki dan perempuan, dewan makan, auditorium dan lain-lain.

Kemudahan riadhah

Padang permainan untuk sepak takraw, bola tampar, badminton, bola tampar, bola jaring, bola keranjang dan trek jogging.

Pautan luar sunting