KAMI The Movie

Filem 2008 arahan Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak
(Dilencongkan daripada KAMI the Movie)

KAMI ialah tajuk bagi sebuah filem drama remaja Malaysia 2008 terbitan Redfilms dan Grand Brilliance pada tahun 2008, bertemakan kehidupan remaja dan muzik indie, selaku sebahagian inisiatif projek KAMI dan menyusuli siri televisyen KAMI yang keluar pada tahun 2007. Filem KAMI dibintangi Syarul Ezani, Liyana Jasmay, Nas-T, Ani Zayanah Ibrahim dan Juliana Evans, dan diarah oleh Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak (selaku pengarang skrip) serta Lina Tan selaku penerbit.

KAMI
Poster filem KAMI The Movie
PengarahEffendee Mazlan
Fariza Azlina Isahak
PenulisFariza Azlina Isahak
Dihasilkan olehLina Tan
DibintangiSyarul Ezani
Liyana Jasmay
Nas-T
Ani Zayanah Ibrahim
Juliana Evans
Zahiril Adzim
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehPrimeworks Studios
Tarikh tayangan
1 Oktober 2008 (Malaysia)
Negara Malaysia
BahasaMelayu
BajetRM 1.4 juta
Pecah panggungRM 1,245 juta

Templat:Spoiler Kisah filem KAMI bermula dari detik berakhirnya siri TV-nya, apabila Abu (Nas-T) melarikan diri dari pusat pemulihan setelah bergaduh dengan seorang tahanan lain sehingga menyebabkannya terjatuh dari atas rumah ke tanah halaman, lalu bertemu kembali dengan empat orang rakan karibnya Ali (Syarul Ezani), Lynn (Liyana Jasmay), Adii (Ani Zayanah Ibrahim) dan Sofie (Juliana Evans) yang baru meraikan berakhirnya peperiksaan SPM dan zaman persekolahan mereka.

Mereka berlima bersantai di pinggir tasik. Lynn menyebut serangkap sajak dari buku 'Utopia Trauma' yang menarik minat Abu. Abu berjaya mencuri buku tersebut dari sebuah perpustakaan.

Abu meminta untuk menumpang di rumah Ali kerana masih belum bersedia menemui ibu bapanya, dan Ali bersetuju. Selepas itu, Abu menziarahi ibunya sekejap tetapi melarikan diri semula sebelum bapanya sempat melihat kelibatnya. Ibu Sofie (Susan Manen) ditinggalkan Jamal di saat perkahwinan mereka begitu hampir. Dia menerima surat penerimaan permohonan Sofie dari Universiti Norweden lalu menyorokkannya dalam beg tangannya.

Lynn sudah menghentikan keluaran fanzine KAMI tetapi masih lagi menyamar sebagai Teka-Teki dan mengulas muzik untuk pihak majalah Junk. Dia telah menulis satu ulasan yang kurang memberangsangkan mengenai kumpulan The Disasters yang diketuai oleh Ali. Ali juga bekerja di agensi pelancongan tetapi langsung tidak suka pekerjaan ini, lagi menghampakan apabila ibu bapanya sudah bercerai dan ibunya hendak kahwin lagi.

Di sebuah gig meetUncleHussain di kota yang dikunjungi lima sekawan ini, Lynn bertembung dengan Boy (Zahiril Adzim), pengedar dadah yang pernah melibatkan diri Lynn dalam kegiatan pengedaran dadah ketika tinggal di Kuala Selangor dahulu. Abu mencetuskan pergaduhan dengan menumbuk sahabat Boy seterusnya Ali pula bertumbuk dengan Boy. Menyedari kehadiran orang awam, mereka meninggalkan tempat tersebut.

Adii masih tertanya-tanya akan kehilangan rakan bual internetnya yang menggunakan ID 'Vanilla Ais'. Adii mengakui yang dia amat sayangkan Vanilla Ais. Oleh itu, Abu cuba memuaskan hati Adii dengan menemukan seorang lelaki berusia pertengahan tahun untuk menyamar sebagai Vanilla Ais. (Vanilla Ais sebenarnya ialah abang kepada Abu yang ditikam sampai mati dalam episod kelima siri TV).

Pak Din, penyelia di tempat Abu ditahan cuba mencari Abu dan berjaya, namun Abu melarikan diri. Di satu babak lain, Boy menghampiri Lynn sekali lagi, tetapi Ali masuk campur dengan mencampakkan wang ke muka Boy sebagai lunasan hutang Lynn kepada Boy. Lynn yang kurang senang dengan campur tangan Ali bertindak memarahinya. Boy pula mula berdendam dengan Ali atas campur tangan itu.

Setelah terdesak, Ali menghubungi Razak seorang "pusher" untuk mendapatkan bekalan pil khayal. Walau bagaimanapun panggilannya dijawab oleh Boy. Boy menyuruh Ali bertemu pekerjanya di satu tempat untuk mendapatkan bekalan tersebut. Ali terkejut apabila tiba di tempat yang dimaksudkan kerana Lynn menunggu di sana bersama bekalan dadah yang diminta dari Boy.

Kumpulan The Disasters iaitu kumpulan muzik Ali menghadiri sebuah lagi gig beraneka kugiran, tetapi meninggalkan pentas dengan tiba tiba akibat tidak tahan dengan masalah yang berlaku antara dia dan kawan-kawannya. Di luar ruang gig, Abu menegur Ali dan mereka berbaik. Akan tetapi, Ali meninggalkan Abu apabila Lynn pula datang dengan alasan mahu menyimpan gitarnya.

Apabila tiba di parking, Ali didatangi Boy dan pergaduhan tercetus. Abu yang menyedari Ali pergi terlalu lama cuba mencarinya di parkir tersebut. Boy cuba menikam Ali dari belakang tetapi tikaman itu terkena Abu. Dalam perjalanan ke hospital dengan menaiki kereta Ali, Abu meninggal dunia di atas pangkuan Lynn.

Beberapa hari kemudian, Lynn menyedari bahawa beg galas milik Abu ditinggalkan di gerai milik ibunya. Lynn menarik keluar sekeping sampul yang tertulis 'untuk: Adii' lalu mengeposkannya kepada Adii. Melalui kandungan sampul tersebut, Adii akhirnya mengetahui rahsia di sebalik kehilangan Vanilla Ais.

Di akhir cerita, Ali meninggalkan kerjanya sebagai promoter agensi perlancongan dan kembali menyertai The Disasters dalam sebuah lagi gig. Sophie pula mengambil keputusan untuk menyambung pelajarannya dalam bidang perubatan di luar negara. Ali menyerahkan buku sajak Utopia Trauma milik Abu yang ditemuinya di bahagian tempat duduk belakang kereta. Abu meninggalkan pesanan berbunyi "Hidup ini memang palat, tapi esok masih ada", yang juga merupakan tagline filem Kami. Babak akhir cerita menunjukkan Ali dan Lynn berbual di hadapan rumah Lynn, sebagai tanda hubungan mereka yang kembali pulih. Templat:Endspoiler

Pelakon

sunting

Watak utama

sunting
Lynn (Liyana Jasmay)
Seorang gadis dari pekan Kuala Kubu Baru yang mengimpikan peluang untuk mengembara dan menjadi seorang penulis yang terkenal. Sifat berdikari dan pandainya membawa dirinya menjual kerja rumahnya kepada pelajar-pelajar di sekolahnya untuk mencari duit lebih untuk membeli sebuah komputer baru. Berbekalkan keyakinan diri dan hasrat yang tinggi untuk berjaya sebagai seorang penulis, Lynn juga menulis fanzinenya sendiri – KAMI, menggunakan nama samaran "Teka-Teki". Namun, dalam keghairahannya untuk mendapatkan duit Lynn bertembung dengan seorang penjual dadah yang bernama Boy dan mula terjerumus dalam dunia pengedaran dadah. Tindakannya memaksa ibu Lynn untuk membuat keputusan berpindah ke KL dan memulakan hidup yang baru.
Dalam filem ini, Lynn sudah memberhentikan fanzine KAMI untuk menjadi seorang pengulas muzik bagi majalah Junk, masih memakai nama Teka-Teki. Lynn menyimpan rahsia berurusan dengan Boy itu dari empat rakan-rakannya sehingga Boy dapat mengejarnya di Kuala Lumpur.
Ali (Syarul Ezani)
Anak seorang usahawan yang ingin menceburi diri dalam bidang muzik tetapi kurang berkeyakinan diri untuk meneruskan cita-citanya dan juga suka memendamkan perasaan. Ali pernah menjalani program pemulihan dadah dan sedang berusaha untuk mendapatkan kembali kepercayaan ibu terhadap dirinya, tetapi melihatkan keretakan perkahwinan ibubapanya yang disebabkan oleh kemerosotan urusniaga bapanya dan kedinginan ibu terhadap dirinya mula memberi tekanan kepada Ali.
Dalam filem ini, Ali menjadi seorang jurujual di agensi pelancongan tetapi kurang minat dengan kerja ini berbanding aspirasi menjadi pemuzik. Sementara itu, ibu bapanya sudah bercerai dan ibunya hendak kahwin lagi. Ali melibatkan dirinya dalam konflik Lynn dan Boy dengan cubaan menjauhkan Boy dari Lynn.
Sofie (Juliana Evans)
Seorang gadis jelita yang ingin diambil serius kerana kepandaiannya dan bukan kerana paras rupanya. Seperti Ali, Sofie juga membesar melihatkan keretakan perkahwinan ibu bapanya. Kini setelah ibunya meneruskan perceraian buat kali kedua, Sofie mula berasa tertekan menurut kehendakan ibunya yang ingin membentuk Sofie sebagai isteri yang sempurna. Pengaruh ibunya juga telah menjejaskan hubungan antara Sofie dengan Ali. Dalam filem ini, Sofie berjaya diterima masuk ke dalam Universiti Norweden (rekaan) di UK, padahal ibunya gagal dalam cinta lagi.
Abu (Nas-T)
Kawan setia Ali yang sentiasa boleh diharapkan dan seorang yang suka bergurau dan pandai mengambil hati. Di sebalik paras rupa yang ceria itu, Abu sebenarnya menyimpan perasaan sedih kerana sikap dingin Bapanya disebabkan peristiwa silam. Tetapi penglibatan Abu dalam kecurian dan pergaduhan merenggangkan lagi perhubungan antara dia dan bapanya.
Dalam filem ini, Abu dimasukkan dalam pusat pemulihan kerana mencuri dalam kisah siri TV, tetapi berjaya memecah keluar untuk bersatu semula dengan rakan-rakannya. Dia menumpang di rumah Ali buat seketika, tetapi perangai lamanya kembali menyusahkan semua. Abu akhirnya terjerat dalam pertelingkahan Lynn dan Ali dengan Boy lalu menggadaikan nyawa sendiri untuk menyelamatkan mereka berdua.
Adii (Ani Zayanah Ibrahim)
Sepupu Ali yang ceria perwatakannya dan sentiasa inginkan rakan-rakannya gembira. Walaupun terpaksa berhadapan dengan masalah pendengaran ibunya yang menimbulkan situasi-situasi yang memalukan, Adii sentiasa cuba bersikap positif. Hubungan yang dijalinkan bersama seorang lelaki yang ditemui menerusi laman web tidak kesampaian apabila lelaki itu menghilangkan diri secara misteri. Sungguhpun begitu, Adii tetap menaruh harapan untuk bertemu dengannya.
Dalam filem ini, Adii terpaksa menerima penjelasan Abu mengenai pemergian seorang bernama "Vanilla Ais".
Boy (Zahiril Adzim)
Seorang pengedar dadah yang pernah berurusan dengan Lynn dalam kisah siri TV KAMI. Setelah gagal menyiapkan urusan itu, Boy mengejar Lynn ke Kuala Lumpur untuk memeras Lynn agar hutangnya dilangsaikan.

Watak pembantu

sunting

Produksi

sunting

Pengarah Eksekutif Red Films Sdn Bhd, Lee Mee Fung berkata, filem Kami The Movie yang disasarkan kepada golongan remaja ini ialah "sebuah filem komersial yang mengangkat konflik dan gelagat remaja dalam menentukan masa depannya", sama seperti siri TV yang disusulinya. Tambahan pula, KAMI the Movie merupakan kali pertama sutradara Effendee Mazlan mengarah filem cerita untuk pawagam, begitu juga dengan Fariza Azlina Isahak yang juga buat julung kalinya menulis skrip filem.[1]

Cogan kata filem ini ialah "Hidup ini memang palat, tapi esok masih ada." Perkataan "palat" dalam ayat tersebut tertera dalam bahan-bahan promosi awal termasuk album KAMI: Vol II dan laman web projek KAMI, tetapi dipadam dalam bahan promosi selanjutnya dan juga dalam dialog filem tersebut ketika ditayangkan di pawagam kerana dianggap sebagai "perkataan kesat".

Antara syarikat-syarikat di samping penghasilan filem ini yang memberi sokongan kepada filem KAMI sebagai sebahagian inisiatif projek KAMI; termasuk Hotlink dan Monkey Bone Records.

Sambutan

sunting

Ulasan

sunting

Filem KAMI tidak kurang menerima ulasan yang memuaskan, lebih-lebih lagi dari pengulas yang berpeluang menyaksikan filem ini sebelum ditayangkan kepada umum. Izuan Shah dalam ulasan bertarikh 1 September 2008 di laman web gua.com.my memberi markah 8/10 untuk filem ini, dengan menyatakan bahawa "premis ini sendiri sudah cukup ringkas dan menarik untuk memegang perhatian sebilangan besar penonton muda moden," di samping memuji Nas "yang membawa watak Abu paling terserlah sekali bakat semulajadinya" dan Zahiril yang "berpotensi sebagai wajah dan suara baru," tetapi kurang berkenan dengan "Syarul Ezani yang masih kaku daripada siri TV" serta "Juliana Evans dan Zayanah Ibrahim yang sekadar mengisi cerita dengan elemen-elemen drama dan lawak tambahan."[2] Nurulhisham Abdul Latiff dalam akhbar Berita Harian (27 September 2008) memuji "lakonan baik hampir kesemua bintang utama, terutama Liyana Jasmay, Nas-T dan Zahiril Adzim," di samping "membawa pembaharuan kepada gaya penceritaan dan persembahan sebuah filem remaja," tetapi merasa "gaya rakaman filem ini agak kurang ‘selesa’ bagi sesetengah penonton" iaitu menyentuh cara Pengarah Fotografi, Siew Yaw Hoong, memegang kamera videonya, kononnya untuk menimbulkan suasanya yang berbeza untuk filem berkenaan, namun begitu "sebenarnya agak menjadi untuk filem sebegini."[3]

Jualan

sunting

Filem KAMI ini dibuka di 43 buah pawagam pada Hari Raya pertama, serentak dengan filem Senario The Movie: Episode 1. Walaupun terpaksa melayan ramalan filem ini tidak mungkin mampu bersaing dengan Senario yang ditayangkan di 68 buah pawagam[1] mahupun berjaya mengaut untung di pawagam, namun filem ini berjaya meraih hasil jualan sebanyak RM 1.4 juta pada dua minggu tayangan terawalnya, menurut Pengurus Besar Grand Brilliance, Ahmad Puad Onah, sekaligus melitupi kos pembikinan filem yang juga sebanyak RM1.4 juta ditambah sokongan penaja, maka persoalan kemungkinan kerugian filem akhirnya dielakkan.[4]

Runut bunyi

sunting

Buku lakon layar

sunting

Sempena kemunculan filem KAMI ini, buku bertajuk "Buku Untuk Filem: KAMI" yang mengandungi lakon layar filem ini dikarang oleh Fariza Azlina Isahak dengan suntingan Ahmad Kamal Abu Bakar. Buku ini diterbitkan oleh Matahari Books dan terhad kepada 1000 cetakan. Buku yang berisi 156 muka surat ini turut mengandungi babak-babak yang telah disingkir daripada filem serta temubual bersama penulis dan pembikin filem ini.[5]

Rujukan

sunting
  1. ^ a b "Kami The Movie sasarkan penonton remaja". Berita Harian. 2008-09-23. Dicapai pada 2008-10-15.[pautan mati kekal]
  2. ^ "KAMI the Movie". gua.com.my. 2008-09-01. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-10-13. Dicapai pada 2008-10-15.
  3. ^ "Mesti Tonton: Kami The Movie menyelami jiwa remaja". Berita Harian. 2008-09-27. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-09-27. Dicapai pada 2008-10-15.CS1 maint: bot: original URL status unknown (link)
  4. ^ Feride Hikmet Atak (2008-10-15). "Filem Kami tak gagal - 2 minggu di pawagam raih RM1.4 juta". Kosmo!. Dicapai pada 2008-10-15.
  5. ^ "Buku Untuk Filem: KAMI [[]] Kinibooks". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-09-24. Dicapai pada 2008-10-15.

Pautan luar

sunting
Am
Ulasan