Kampung Pisang (siri filem)

Kampung Pisang ialah siri filem komedi seram Malaysia yang terdiri daripada filem-filem yang diarahkan dan ditulis oleh Mamat Khalid dengan Gayatri Su-Lin Pillai berkhidmat sebagai penerbit untuk tiga filem. Tayangan Unggul menerbitkan tiga filem, manakala Astro Shaw dan Infinitus Productions menerbitkan filem keenam dan Enjit Semut Productions menerbitkan dua filem. Awie telah membintangi keseluruhan filem.

Kejayan filem Mamat Khalid dalam genre komedi seram yang pertama iaitu Zombie Kampung Pisang yang mencapai tahap pecah panggung dengan pulangan RM2.37 juta menjadi titik tolak kepada siri filem-filem seram lain. Semua filem dalam siri ini berlaku di sebuah kampung yang sama iaitu Kampung Pisang dengan penampilan Awie sebagai watak utama dan dibantu oleh beberapa orang pelakon yang sama dalam setiap kesinambungan dan filem sampingan.

Filem sunting

Zombie Kampung Pisang (2007) sunting

Filem pertama yang memperkenalkan kejadian seram di Kampung Pisang ketika ketenteraman dan kedamaian Kampung Pisang tiba-tiba bertukar menjadi kecoh dan huru-hara pada suatu malam apabila penduduk kampung seorang demi seorang tumbang dan berubah menjadi zombi yang ganas dan mengancam penduduk kampung yang lain. Tiga orang pemuda kampung, Husin, Deris dan Mat Karan, perlu mencari jalan untuk mengembalikan ketenteraman kampung dan mencari punca kekalutan itu.[1]

Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) sunting

Husin yang telah 2 tahun bekerja di Singapura mengambil keputusan balik ke kampung halamannya, Kampung Pisang. Apabila sampai ke rumahnya, Husin hairan melihat perangai pelik jiran sebelah rumahnya, Kak Limah yang langsung tidak bercakap dan rambut yang mengerbang semacam. Dia juga mengalami kejadian menakutkan ketika mahu tidur. Husin bergegas ke warung Pak Jabit, lalu menceritakan kepada orang-orang kampung bahawa barangkali Kak Limah sudah menjadi hantu.[2]

Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit (2013) sunting

Beberapa tahun selepas kejadian filem pertama, Husin telah bangkrap akibat ditipu skim cepat kaya telah kembali semula ke Kampung Pisang. Di Kampung Pisang, Husin berjumpa semula dengan geng-geng yang lamanya dan juga Mon, wanita yang mula-mula mengisi taman hatinya semasa Kampung Pisang di landa Zombi dan penyebab kepadanya hendak berjaya walaupun tidak mempunyai SPM. Namun beberapa hari selepas itu Kampung Pisang telah dilanda sesuatu perkara yang aneh. Nampaknya sejarah misteri seratus tahun dulu berulang kembali. Kejadian kehilangan lelaki-lelaki teruna di Kampung Pisang kembali menghantui. Dalam kekecohan itu, Kak Limah yang sudah pulih sepenuhnya sibuk merancang rombongan ke Singapura dan menawarkan Husin menjadi pembantunya. Namun begitu, masalah menjadi semakin rumit apabila Husin sendiri telah didapati hilang dirumah oleh Usop dan kawan-kawannya. Kesan yang tinggal hanyalah bekas bungkusan Maggi dari Singapura.[3]

Zombie Kilang Biskut (2014) sunting

Zombi Kilang Biskut mengisahkan Husin yang kembali ke Kampung Pisang dan bekerja di sebuah kilang biskut di Taiping selepas diisytiharkan muflis akibat ditipu Skim Cepat Kaya di Singapura. Di kilang berkenaan, Husin bertemu semula dengan rakan sekampungnya iaitu Usop, Deris dan Mat Karan. Mereka kemudian terbabit dalam menyelongkar misteri kemunculan zombi yang mengganas di kawasan kilang terbabit. Keadaan menjadi tegang apabila mereka terperangkap dalam kilang itu apabila polis mengisytiharkan darurat di seluruh Taiping. Dalam masa yang sama seorang demi seorang pekerja kilang itu hilang dan ada yang dijumpai mati dalam keadaan mengerikan. Apabila disiasat, Husin mendapati semua kejadian itu berpunca daripada serangan zombi yang berkeliaran di kawasan stor kilang berkenaan.[4]

Hantu Kak Limah 3 (2018) sunting

Husin pulang ke kampung setelah tidak lagi mencari rezeki di Singapura. Dia kemudian bekerja dengan sahabat baiknya Khuda, Wani dan Yeh Sekupang di kilang arang. Sementara itu, Kak Limah baru sahaja berkahwin dengan sahabat Husin iaitu Khuda. Cinta mereka digambarkan sebagai cinta sejati.[5]

Pelakon sunting

Watak Filem
Zombie Kampung Pisang
(2007)
Hantu Kak Limah Balik Rumah
(2010)
Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit
(2013)
Zombie Kilang Biskut
(2014)
Hantu Kak Limah 3
(2018)
Husin Awie
Usop Usop Wilcha
Pak Jabit Man Kadir
Pak Abu Zami Ismail
Kak Limah Delimawati
Yeh Sekupang Rab Khalid Rab Khalid
Pian Ilya Buang Ilya Buang
Wan Kaswi Azwan Annuar
Musalman Pekin Ibrahim Pekin Ibrahim
Mon Ezlynn Ezlynn
Catatan: Sel kelabu terang menunjukkan watak tersebut tidak muncul dalam filem.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ Budiey (29 Mac 2007). Sinopsis Zombie Kampung Pisang Sensasi Selebriti. Dicapai pada 23 Ogos 2018.
  2. ^ Budiey (23 November 2010). Sinopsis Hantu Kak Limah Balik Rumah Sensasi Selebriti. Dicapai pada 26 Jun 2018.
  3. ^ Mohd Al Qayum Al-Azizi (7 Februari 2013). Keharmonian Masyarakat Dalam 'Husin, Mon Dan Jin Pakai Toncit' Diarkibkan 2018-06-26 di Wayback Machine mSTAR Online. Dicapai pada 4 Julai 2017.
  4. ^ Mohd Al Qayum Al-Azizi (7 Februari 2013). “Zombie Kilang Biskut” karya terbaru Mamat Khalid 'Galaksi Media. Dicapai pada 23 Ogos 2018.
  5. ^ Nan Hidayat Nan Azmie (19 November 2017). Hantu Kak Limah: sutradara sama, ceritera berbeza Diarkibkan 2018-06-26 di Wayback Machine Kosmo!. Dicapai pada 26 Jun 2018.