Tuntutan Sabah

Semakan 5157318 pada 12:57, 17 Julai 2021 oleh Ustad abu gosok (bincang | sumb.) (padamkan kategori kerana sudah masuk sub-kategori)

Pertikaian Sabah (Sabah dispute) , tuntutan Borneo Utara (bahasa Inggeris: North Borneo dispute) atau ringkasnya tuntutan Sabah merujuk kepada tuntutan ke atas bahagian timur laut Sabah di Malaysia oleh Filipina. Sabah sebelum ini dikenali sebagai Borneo Utara sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963. Filipina menyatakan bahawa Sabah adalah sebahagian daripada negara Filipina kerana ia adalah jajahan Kesultanan Sulu, yang kemudiannya dijajah oleh British pada kurun ke-19. Walau bagaimanapun, pertikaian terhadap Sabah dilihat semakin sepi dan tidak dibangkitkan secara serius oleh pemerintah Filipina lagi.

  Wilayah Kesultanan Sulu selepas Perjanjian 1878 - Dari Sungai Pandassan di Barat Laut sehingga ke Sungai Sibuku di selatan.[1]

Perjanjian 1878

Tuntutan di atas utamanya berdasarkan kepada perjanjian yang ditandatangani pada tanggal 22 Januari 1878 antara Kesultanan Sulu diwakili Sultan Jamalul Alam dan Syarikat Borneo Utara British diwakili oleh Alfred Dent dan Gustav von Overbeck menandatangani sebuah perjanjian menetapkan bahawa Borneo Utara diserahkan atau disewakan (tergantung versi terjemahan mana yang digunakan) kepada pihak Syarikat British dengan imbalan sebanyak 5,000 dolar Malaya setahun[2][3] selain melantik Dent dan Overbeck sebagai Dato Bendahara dan Raja Sandakan.

Perjanjian 1878 ditulis dalam bahasa Melayu Jawi yang mana kalimat yang dipermasalahkan adalah seperti berikut:

"...sudah kuredhai pajakan dengan keredhaan dan kesukaan kita sendiri kepada tuan Gustavus Baron von Overbeck yang tinggal dalam negeri Hong Kong dan kepada Alfred Dent Esquire yang tinggal dalam negeri London... sampai selama-lamanya sekalian perintah dan kuasa yang kita punya yang takluk kepada kita di tanah besar Pulau Borneo dari Sungai Pandasan di sebelah barat sampai sepanjang semua tanah di pantai sebelah timur sejauh Sungai Sibuku di sebelah selatan."[4]

Kata kunci yang menjadi permasalahan dalam perjanjian tersebut adalah pajakan, yang mempunyai tafsiran berbeza-beza:

  • bahasa Melayu sebagai bahasa perjanjian memberi takrifan pajakan sebagai "gadaian" atau "sewaan", di mana wilayah tersebut pada hakikatnya digadaikan dengan sejumlah wang yang dibayarkan secara tahunan dan pihak kesultanan harus membayar kembali dari nilai wang yang diberikan untuk menuntut wilayahnya kembali;[5] selama-lama pula menandakan bahawa perjanjian tersebut akan laku kuatkuasa selama pemerintahan sultan-sultan berikutnya.
  • ahli bahasa Sepanyol pada tahun 1878 dan dua antropolog asal Amerika Syarikat H. Otley Beyer dan Harold Conklin pada tahun 1946 mentafsirkan ia hampir sama sebagai "sewa" (arrendamiento, lease).[6][7][8]
  • Pihak British menggunakan terjemahan dari sejarawan Najeeb Mitry Saleeby pada tahun 1908 serta William George Maxweel dan Wiliam Summer Gibson pada tahun 1924, yang mengertikan kata pajak sebagai "mengurniakan dan menyerahkan" (grant and cede).[9][10]

Selama masa kekuasaan British di Borneo Utara, pemerintah British terus melakukan pembayaran tahunan kepada Sultan Sulu dan penerus tahtanya. Pembayaran ini dicantumkan dalam nota pembayaran sebagai "uang penyerahan" (cession money).[11] Pada sebuah konferensi di London tahun 1961 di saat perwakilan pemerintah Filipina dan perwakilan dari pemerintah British bertemu untuk mendiskusikan tuntutan Filipina atas Borneo Utara, pihak British memberitahukan kepada anggota kongres Filipina Jovito Salonga bahawa kata-kata "uang penyerahan" dalam nota pembayaran tidak dibantah atau disanggah oleh Sultan Sulu dan pewaris takhtanya.[12]

Dalam pertemuan Mafilindo di tahun 1963 antara pemerintah Filipina, Indonesia, dan Malaysia, pemerintah Filipina menyampaikan bahawa Sultan Sulu meminta pembayaran sejumlah 5.000 dari pemerintah Malaysia.[13] Perdana Menteri Malaysia saat itu, Tunku Abdul Rahman, mengatakan bahawa beliau akan kembali ke Kuala Lumpur untuk mengurus permintaan tersebut.[13] Sejak saat itu, Kedutaan Besar Malaysia di Manila telah membayarkan cek sejumlah RM5,300 (bersamaan USD1,710 atau sekitar PHP77,000) kepada penguasa undang-undang pewaris takhta Kesultanan Sulu;[14] pembayaran ini diteruskan sehingga ia dihentikan sejak tahun 2013.[14] Pemerintah Malaysia menganggap bahawa jumlah yang dibayar setiap tahunnya adalah pembayaran untuk penyerahan wilayah, sedangkan pihak keluarga keturunan sultan menganggapnya sebagai biaya sewa.[15]

Terdapat juga suatu perjanjian lain yang ditandatangani oleh Sultan Brunei Sultan Abdul Momin tanggal 29 Disember 1877 yang isinya menetapkan Baron de Overbeck sebagai "Maharaja Sabah", "Rajah Gaya dan Sandakan"; perjanjian ini juga memberikan Overbeck wilayah Paitan sampai dengan Sungai Sibuku sehingga wilayah yang diberikan pada perjanjian sebelumnya ini tumpang tindih dengan tuntutan Kesultanan Sulu atas wilayah kekuasaan mereka di Sabah.[16] Pada tahun 1977, Kesultanan Brunei masih menganggap dan mempertahankan bahawa wilayah tersebut berada dalam kekuasaan mereka.[17]

Protokol Madrid 1885

Ketika penguasaan Sepanyol di seluruh Filipina, Sultan Sulu telah dipaksa untuk menandatangani sebuah dokumen, yang mana mengikut dokumen tersebut semua harta di Palawan dan Sulu (tetapi tidak di Borneo Utara) telah berada di bawah kekuasaan Sepanyol. Pada tahun 1885, Sepanyol telah menandatangani Protokol Madrid bersama United Kingdom dan disaksikan oleh Jerman bagi melepaskan kesemua tuntutannya ke atas bahagian utara Pulau Kalimantan yang memihak pada Great Britain.

Pencerobohan Pantai Timur Sabah

Pada 11 Februari 2013, telah berlaku satu pencerobohan di bahagian timur Sabah oleh kumpulan yang mendakwa diri mereka sebagai pengikut Jamalul Kiram III. Kehadiran mereka adalah disebabkan ingin menuntut pengiktirafan kedaulatan ke atas Sabah dan hak untuk selama-lamanya tinggal di negeri ini.[18] Namun, perlakuan ini telah ditentang sekeras-kerasnya oleh kerajaan Filipina.[19]

Perselisihan diplomatik

Pada 27 Julai 2020, Setiausaha Luar Filipina Teodoro Locsin Jr. menulis pernyataan dari akaun media sosial Twitter beliau yang dibalas dari Kedutaan AS di Manila mengatakan bahawa Sabah bukan berada dalam Malaysia. Menteri Luar Hishammuddin Hussein membalas dalam platform sama membidas pernyataan Locsin sebagai kenyataan tidak berasas yang boleh menjejaskan hubungan dua hala, dan pada 30 Julai 2020 menyaman kedutaan Filipina. Locsin kemudian menyaman kedutaan Malaysia.[20]

Selain itu, bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman, meminta Filipina untuk menarik balik pendirian untuk menuntut Sabah, dan berhenti membuat kenyataan 'basi' untuk tujuan politik dalaman. Bekas Menteri Luar, Anifah Aman, yang juga berasal dari Sabah, mengkritik Locsin atas kenyataannya.[21]

Lihat juga

Rujukan

  1. ^ "British North Borneo company charter (page 4)". OpenLibrary.org. 1878. Dicapai pada 16 Mac 2013.
  2. ^ Summaries of judgments, advisory opinions, and orders of the International Court of Justice, 1997-2002. International Court of Justice. New York: United Nations. 2003. m/s. 205-. ISBN 92-1-133541-8. OCLC 55851512.CS1 maint: others (link)
  3. ^ Southeast Asia : a historical encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor. Ooi, Keat Gin, 1959-. Santa Barbara, Calif.: ABC-CLIO. 2004. m/s. 1163-. ISBN 1-57607-770-5. OCLC 54528945.CS1 maint: others (link)
  4. ^ Anuar Nik Mahmud, Nik. (2001). Tuntutan Filipina ke atas Borneo Utara (ed. Cet. 1). Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. m/s. 66–67. ISBN 967-942-533-9. OCLC 49285345.
  5. ^ The Muslim private sector in Southeast Asia : Islam and the economic development of Southeast Asia. Mohamed Ariff, 1940-. Singapore: Institute of Southeast Asian Studies. 1991. m/s. 30-. ISBN 981-3016-09-4. OCLC 29935359.CS1 maint: others (link)
  6. ^ "Translation by Professor Conklin of the Deed of 1878 in Arabic characters found by Mr. Quintero in Washington | GOVPH". Official Gazette of the Republic of the Philippines (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2021-02-03.
  7. ^ "Contrato de Arrendo de Sandacan en Borneo, con el Baron de Overbeck - Philippine Claim to North Borneo, Vol. I". Official Gazette of the Republic of the Philippines (dalam bahasa Sepanyol). 13 Juli 1878. Dicapai pada 3 Februari 2021. Check date values in: |date= (bantuan)
  8. ^ Beyer, H. Otley (8 Desember 1946). "Brief memorandum on the government of the Sultanate of Sulu and powers of the Sultan during the 19th century - The Philippine Claim to a Portion of North Borneo". Official Gazette of the Republic of the Philippines (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 3 Februari 2021. Check date values in: |date= (bantuan)
  9. ^ Najeeb Mitry Saleeby, Ethnological Survey for Philippine Islands (1908). The History of Sulu (dalam bahasa English). Harvard University. Bureau of Printing.CS1 maint: unrecognized language (link)
  10. ^ "1878 Grant of Lease by the Sultan of Sulu to Britain: Profession Conklin Translation vis a vis Maxwell and Gibson Translation". Official Gazette of the Republic of the Philippines (dalam bahasa Inggeris). 1 Desember 1968. Dicapai pada 3 Februari 2021. Check date values in: |date= (bantuan)
  11. ^ Philippines (1967). Philippine Claim to North Borneo (dalam bahasa Inggeris). Bureau of Printing.
  12. ^ Philippines (1967). Philippine Claim to North Borneo (dalam bahasa Inggeris). Bureau of Printing.
  13. ^ a b "Why 'Sultan' is dreaming | Daily Express Online - Sabah's Leading News Portal". www.dailyexpress.com.my. Dicapai pada 2021-02-03.
  14. ^ a b Bernama (2020-07-23). "Malaysia stopped paying cession money to Sulu Sultanate in 2013 | New Straits Times". NST Online (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2021-02-03.
  15. ^ "WHAT WENT BEFORE: Sultan of Sulu's 9 principal heirs". Philippine Daily Inquirer (dalam bahasa Inggeris). 23 Februari 2013. Dicapai pada 3 Februari 2021.
  16. ^ British Government (1877). "British North Borneo Treaties. (British North Borneo, 1877)" (PDF). Sabah State Government (State Attorney-General's Chambers). Dicapai pada 3 Februari 2021.
  17. ^ Yunos, Rozan (7 Maret 2013). "Sabah and the Sulu claims". The Brunei Times (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 3 Februari 2021. Check date values in: |date= (bantuan)
  18. ^ "Battle for control of Kampung Tanduo". Al Jazeera English. 25 Februari 2013. Dicapai pada 1 Mac 2013.
  19. ^ "Malaysia stand-off with Philippine group". BBC News Online. 15 Februari 2013. Dicapai pada 19 Februari 2013.
  20. ^ "Malaysia, Philippines in war of words over Sabah claim". Al Jazeera English. July 30, 2020. Dicapai pada August 2, 2020.
  21. ^ "Ex-chief minister Musa Aman slams Philippines over Sabah claim". The Straits Times. Aug 1, 2020. Dicapai pada August 2, 2020.

Pautan luar