Kalimantan
Kalimantan adalah sebuah wilayah negara Indonesia yang terletak di selatan kepulauan Borneo. Ia bersempadanan dengan dua negeri Malaysia iaitu Sabah dan Sarawak di bahagian utara, manakala di bahagian selatan, ia bersempadanan dengan perairan-perairan Selat Karimata, Laut Jawa, Selat Makasar, dan Laut Sulawesi.
Kalimantan, Indonesia Kalimantan كليمنتان | |
---|---|
Ibu negara | Palangkaraya, Samarinda, Banjarmasin, Pontianak, Tanjung Selor |
Bahasa rasmi | Bahasa Indonesia |
Kerajaan | ![]() |
Penduduk | |
• Anggaran 1980 | 9,220,447 orang |
Latar belakangSunting
Pada zaman Hindia-Belanda dan sebelumnya, Kalimantan merujuk kepada keseluruhan kepulauan Borneo yang merangkumi Sabah, Sarawak, Brunei, dan kawasan Kalimantan sekarang. Dalam surat-surat Pangeran Tamjidillah dari Kerajaan Banjar kepada Residen Belanda di Banjarmasin pada tahun 1857, beliau menyebut nama "Pulau Kalimantan", bukannya "Pulau Borneo". Ini menunjukkan bahawa di kalangan penduduk, nama "Kalimantan" lebih dikenali daripada nama "Borneo" yang digunakan oleh pentadbiran penjajah Hindia Belanda.
Sebahagian besar wilayah Kalimantan dari negeri Sambas sehingga negeri Berau merupakan bekas kawasan taklukan Kerajaan Banjar, tetapi kini, kawasan itu menyusut menjadi sebahagian kecil sahaja daripada wilayah Kalimantan Selatan ketika kini, setelah jatuh ketangan kesultanan Brunei. Dengan kedatangan British, British memisahkan Sabah, Sarawak dari Kalimantan (termasuk Brunei). Semasa Sabah dan Sarawak dimasukkan ke dalam Malaysia, Indonesia membantah kerana mereka bercita-cita menubuhkan Indonesia Raya, dan rancangan itu akan membahagi Kalimantan. Akan tetapi, British tetap meneruskan rancangan dan hanya mengiktiraf Kalimantan sebagai bahagian Indonesia sahaja, manakala keseluruhan kepulauan dipanggil Borneo. Sampai sekarang kepulauan itu dipanggil Borneo manakala bahagian Kalimantan pula merujuk sebagai wilayah selatan borneo (aka bahagian Indonesia). Nama Kalimantan kembali menjadi popular pada dekad 1940-an.
Asal namaSunting
Terdapat beberapa huraian yang berbeza-beza tentang asalnya nama "Kalimantan":
- Menurut Kesultanan Brunei yang sebelumnya merupakan sebuah kerajaan yang besar (yang mencakupi Sarawak dan sebahagian Sabah kerana sebahagian Sabah dimiliki oleh Kesultanan Sulu-Mindanao), para pedagang Portugis menyebutnya sebagai Borneo dan nama itu kemudian digunakan oleh orang-orang Eropah. Namun penduduk asli menyebutnya sebagai "Pulo Klemantan".
- Menurut Crowfurd dalam "Kamus Deskriptif Pulau India" (Descriptive Dictionary of the Indian Island) (1856), perkataan "Kalimantan" adalah nama untuk sejenis buah mangga sehingga pulau Kalimantan dianggap sebagai sebuah pulau mangga. Namun beliau menambah bahawa perkataan itu berbau dongeng dan tidak popular.
- Menurut Dr. B. Ch. Chhabra dalam jurnal M.B.R.A.S., Jilid XV, bahagian 3, m.s. 79, kebiasaan bangsa India kuno untuk menyebut nama tempat sesuai dengan hasil bumi, umpamanya jewawut dalam bahasa Sanskrit yawa menyebabkan Pulau Jawa disebut yawadwipa dan berdasarkan analogi yang sama, pulau buah mangga ini dengan nama bahasa Sanskrit, Amra-dwipa, menjadi "Kalimantan".
- Menurut C. Hose dan Mac Dougall, perkataan "Kalimantan" berasal daripada enam golongan suku-suku setempat, iaitu Dayak Laut (Iban), Kayan, Kenya, Klemantan, Munut, dan Punan. Dalam karyanya, "Manusia Semula Jadi, Sebuah Catatan dari Borneo" (Natural Man, a Record from Borneo) (1926), C. Hose menjelaskan bahawa "Klemantan" adalah nama baru yang digunakan oleh bangsa Melayu.
- Menurut W.H. Treacher dalam British Borneo di dalam jurnal M.B.R.A.S (1889), buah mangga liar tidak dikenali di Kalimantan utara. Lagi pula Borneo tidak pernah dikenali sebagai pulau yang menghasilkan buah mangga malah mungkin sekali daripada sebutan Pualu Sago kerana perkataan Lamantah adalah nama asli sagu mentah.
- Menurut Prof. Dr. Slamet Muljana dalam bukunya Sriwijaya (LKIS 2006), perkataan "Kalimantan" bukannya perkataan bahasa Melayu asli tetapi kata pinjaman seperti perkataan "melayu" yang berasal daripada perkataan "malaya" di India ("malaya" bererti gunung). Kalimantan atau Klemantan berasal daripada bahasa Sanskrit, Kalamanthana, iaitu pulau yang udaranya sangat panas atau membakar (kal[a] : musim, waktu dan manthan[a] : membakar). Kerana vokal a pada akhir "kala" dan "manthana" menurut kebiasaan tidak disebut, maka "Kalamanthana" disebut sebagai Kalmantan. Perkataan ini kemudian disebut oleh penduduk asli sebagai Klemantan atau Quallamontan yang akhirnya diturunkan menjadi Kalimantan.
PentadbiranSunting
Kalimantan dibahagikan kepada empat buah wilayah atau provinsi:
- Kalimantan Tengah, dengan ibu kotanya di Palangkaraya
- Kalimantan Timur, dengan ibu kotanya di Samarinda
- Kalimantan Selatan, dengan ibu kotanya di Banjarmasin
- Kalimantan Barat, dengan ibu kotanya di Pontianak
- Kalimantan Utara, dengan ibu kotanya di Tanjung Selor
Nama Kalimantan yang lainSunting
- Waruna Pura
- Tanjungpura (Bakulapura)
- Tanjung Negara adalah sebutan untuk pulau Borneo oleh Kerajaan Majapahit. Kalimantan merupakan daerah taklukan Kerajaan Majapahit yang kelapan.
- Hujung Tanah atau Ujung Tanah adalah sebutan pulau Kalimantan dalam Hikayat Banjar dan Hikayat Raja-raja Pasai. Nampaknya, ini adalah nama yang digunakan oleh penduduk Sumatera dan sekitarnya untuk menyebut pulau Kalimantan.
- Pulau Kencana adalah sebutan untuk pulau Kalimantan dalam Ramalan Prabu Jayabaya dari Majapahit tentang prospek penguasaan Tanah Jawa oleh bangsa Jepun yang datang dari arah pulau Kencana (Kalimantan).
Kalimantan dalam namaSunting
- "Sarekat Kalimantan", ungkapan gabungan daripada Persatuan Pemuda Marabahan dengan pertubuhan belia tempatan di Kalimantan Selatan.
- "Kalimantan Raya", akhbar yang diterbitkan di Banjarmasin oleh A.A Hamidhan pada 5 Mac 1942.
- "Zuider en Ooster Afdeeling van Borneo", daerah selatan dan timur di Kalimantan, iaitu Kalimantan Selatan, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Timur, yang diperintah oleh seorang Residen sehingga tahun 1942.
SejarahSunting
- 8000 SM : Manusia bangsa Austrolomelanesia memasuki pulau Borneo.
- 2500 SM : Penghijrahan bangsa Melayu Proto dari Yunnan ke pulau Borneo yang merupakan nenek moyang suku Dayak.
- 1500 SM : Penghijrahan bangsa Melayu Deutero ke pulau Borneo.
- 400 : Mulawarman, raja ke-3 dari Kerajaan Kutai yang berketurunan Kudungga daripada suku Dayak Tunjung, merupakan kerajaan Hindu pertama di Nusantara.
- 600 : Suku Dayak Maanyan berhijrah ke pulau Bangka dan selanjutnya ke Madagaskar.
- 1362 : Pulau Borneo ditaklukkan oleh Majapahit.
- 24 September 1526 : Pangeran Samudera, raja Banjarmasih ke-1, memeluk Islam dan digelar Sultan Suriansyah selepas mendapat dukungan Kesultanan Demak untuk melepaskan diri daripada Kerajaan Negara Daha.
- 7 Julai 1607 : Ekspedisi Belanda yang diketuai oleh Koopman Gillis Michaelszoon tiba di Banjarmasin.
- 1612 : Belanda menembak hancur Banjar Lama, ibu kota Kerajaan Banjar, sehingga ibu kota kerajaan Banjar dipindahkan ke Martapura.
- 25 Jun 1689 : Kapal Portugis di bawah pimpinan Kapten Cotingo memasuki daerah Pulau Petak, Kapuas.
- 14 Mei 1787 : Pangeran Amir (datuk Antasari) ditangkap oleh Belanda, dan selanjutnya dibuang ke Sri Lanka selepas mengadakan perlawanan terhadap Belanda dengan 3,000 orang pengikutnya.
- 1857 : Surat Pangeran Tamjidillah dari Kerajaan Banjar kepada Residen Belanda di Banjarmasin menyebut nama pulau "Kalimantan", dan bukannya pulau "Borneo".
- 11 November 1858 : Perang Banjar yang diketuai oleh Pangeran Antasari tercetus buat pertama kali.
- 1859 : Sultan Tamjidillah yang diiktiraf oleh Belanda sebagai raja Banjar diturun tahta dan dibuang ke Bogor.
- 14 Mac 1862 : Pangeran Antasari ditabalkan sebagai Panembahan oleh Kiai Adipati Jaya Raja, adipati (gabenor) wilayah Tanah Dusun, Kapuas, dan Kahayan, serta para ketua suku Dayak.
- 1895 : Para penduduk Zuider en Ooster Afdeeling van Borneo terdiri daripada 598 orang Eropah, 4,525 orang Cina, 1,534 orang Arab, 116 orang Timur Asing, serta 803,013 orang bumiputera.
- 1899 : Residen C.A. Kroesen mengetuai Zuider en Ooster Afdeeling van Borneo.
- 24 Januari 1905 : Sultan Muhammad Seman, putera Pangeran Antasari, mangkat semasa melawan Belanda di kawasan pedalaman Sungai Barito.
- 1919 : Banjarmasin, ibu kota Zuider en Ooster Afdeeling van Borneo, mendapat autonomi pemerintahan menjadi Gemeente Bandjermasin.
- 1923 : Kongres Borneo Nasional pertama diadakan.
- 29-31 Maret 1924 : Kongres Borneo Nasional ke-2 yang dihadiri oleh wakil-wakil Perikatan Dayak dan Sarekat Islam tempatan.
- 1938 : Wester Afdeeling van Borneo dan Zuider en Ooster Afdeeling van Borneo menjadi sebuah provinsi Hindia Belanda, dengan Dr. A. Haga sebagai gabenornya. Gemeente Bandjermasin dinaikkan pangkat menjadi Stads Gemeente Bandjermasin.
- 25 Disember 1941 : Jepun mengebom Lapangan Terbang Ulin, Banjarbaru.
- 21 Januari 1942 : Jepun menembak jatuh pesawat Catalina-Belanda di Sungai Barito, perairan Alalak, Barito Kuala.
- 8 Februari 1942 : Jepun memasuki Muara Uya, Tabalong. Gabenor Haga berundur ke Kuala Kapuas menuju ke Puruk Cahu, Murung Raya.
- 10 Februari 1942 : Tentera Jepun memasuki Banjarmasin, ibu kota Borneo (Kalimantan).
- 12 Februari 1942 : Tentera Jepun mengumumkan bahawa kota Banjarmasin dan daerahnya diserahkan kepada Pimpinan Pemerintahan Awam.
- 5 Mac 1942 : A.A Hamidhan menerbitkan akhbar Kalimantan Raya di Banjarmasin.
- 18 Mac 1942 : Kiai Pangeran Musa Ardi Kesuma dilantik oleh Jepun sebagai Ridzie, penguasa penuh dan tertinggi pemerintahan awam yang meliputi wilayah Banjarmasin, Hulu Sungai dan Kapuas-Barito (Dayak Besar).
- 17 April 1945 : Rakyat Banjarmasin mulai diwajibkan memberi hormat dengan membongkokkan badan kepada setiap askar Jepun, baik yang naik kereta mahupun yang menunggang basikal dan sebagainya.
- 6 Mei 1945 : Pembentukan TRI pasukan MN 1001, MKTI (MN = Muhammad Noor)
- 18 Ogos 1945 : Pemerintahan Sukarno-Hatta melantik Ir. H. Pangeran Muhammad Noor sebagai gabenor Kalimantan.
- 17 Mei 1949 : Perisytiharan Gabenor Tentera ALRI Divisi IV Pertahanan Kalimantan oleh Leftenan Kolonel Hasan Basry (pahlawan negaral).
- 9 November 1949 : Pertempuran di Banjarmasin melawan Belanda.
- 23 September 1953 : Kemangkatan Ratu Zaleha, puteri Sultan Muhammad Seman dan tokoh pembebasan wanita Kalimantan, sebelumnya dibuang ke Cianjur.
- 7 Disember 1956 : Pembentukan provinsi Kalimantan Selatan.
- 23 Mei 1957 : Pembentukan provinsi Kalimantan Tengah.