Kvas atau kvass merupakan minuman tradisional yang diperbuat daripada roti rai (gandum hitam), air, gula dan ragi. Ia seringkali dicampur bahan perisa lain seperti madu, buah-buahan seperti strawberi, epal, kismis atau daun pudina. Kvas mengandungi sedikit alkohol, biasanya antara 0.5 hingga 1.2%, iaitu jumlah yang hampir sama dengan tapai. Walaupun ia adalah minuman beralkohol, kandungan alkoholnya begitu rendah sehingga dianggap selamat diminum oleh kanak-kanak.

Secawan kvas berperisa pudina

Kvas merupakan minuman yang sangat popular pada musim panas di Eropah Timur, terutamanya di Rusia, Ukraine, Belarus, negara-negara Baltik dan kawasan lain yang dipengaruhi oleh budaya Rusia, seperti negara-negara Asia Tengah serta Xinjiang dan Harbin di China. Rasanya masam-masam manis, dicampur dengan rasa roti.

Istilah kata

sunting

Perkataan "kvas" diambil dari bahasa Slav Timur Kuno квасъ, kvasŭ, yang bermaksud "ragi".[1] Perkataan ini hampir tidak berubah dalam semua bahasa-bahasa Slavik moden: bahasa Poland kwas, bahasa Rusia, Ukraine dan Belarus квас.

Di Lithuania dan Latvia, yang tergolong dalam rumpun bahasa Baltik dan bukan Slavik, minuman ini masing-masing dikenali sebagai gira dan kvass atau dzersis.

Sejarah

sunting

Kvas telah dinikmati sejak zaman dahulu kala lagi di kalangan kaum Slav Timur.[2] Kvas disebut dalam Tawarikh pada tahun 989.[3]

Pada abad-abad sebelum ini, kvas digemari oleh segenap lapisan masyarakat Rusia, dari petani hinggalah ke Maharaja (Tsar), malahan kvas dikhabarkan lebih banyak diminum berbanding air biasa.

Pada masa kini, kvas dijual di seluruh pelusuk negara-negara Slavik. Ia boleh didapati dalam bentuk minuman botol ataupun dijual di jalanan dari tong-tong besar, sepertimana penjaja di Malaysia menjual minuman di pasar-pasar malam.

Cara pembuatan

sunting

Kepingan roti, biasanya roti rai hitam, dibakar dalam ketuhar sehingga kering seperti biskut. Sesetengah pengilang membakar roti mereka hingga hampir hangus; ini menyumbang rasa yang lebih tajam dan warna yang lebih gelap kepada produk yang telah siap.

Kepingan roti ini kemudian diletakkan dalam bekas dan dituang air mendidih. Campuran ini ditutup dengan kain bersih dan dibiarkan antara 4 hingga 12 jam bergantung kepada isipadu cecair, kemudian ditapis. (Kepingan roti dibuang ataupun dikitar semula sebagai makanan haiwan ternakan.)

 
Segelas kvas komersial dari Latvia. Perhatikan warnanya yang lebih gelap. Warna kvas dipengaruhi oleh jenis dan warna roti yang digunakan untuk membuatnya.

Air roti ini dicampur dengan gula dan kultur ragi, kemudian ditutup semula dengan kain dan dibiarkan selama 4 hingga 12 jam lagi untuk proses penapaian primer. Di akhir penapaian peringkat pertama, campuran tersebut ditapis sekali lagi kemudian dituang ke dalam botol-botol dan ditutup rapat. Pudina, madu, kismis atau buah-buahan "berry" lain boleh dimasukkan sekali untuk menambah perisa.

Botol-botol tersebut dibiarkan di tempat yang gelap untuk 3 hingga 5 hari untuk penapaian sekunder. Selepas itu cecair ditapis buat kali ketiga untuk membuang ragi yang berlebihan (serta sisa-sisa buah atau daun pudina jika ada digunakan), kemudian disimpan dalam peti sejuk untuk beberapa jam. Kvas kini sedia untuk diminum.

Kvas tradisional atau yang dibuat di rumah bertujuan diminum segera setelah siap dibancuh kerana ia tidak tahan lama – 2 atau 3 hari jika tidak disejukkan, atau seminggu jika disimpan dalam peti sejuk. Kvas komersial yang dibotol untuk pasaran biasanya mengandungi sedikit bahan pengawet supaya ia tahan lebih lama.

Khasiat dan nutrisi

sunting

Kvas mengandungi jumlah alkohol yang sangat kecil (hampir sama dengan tapai) dan diminum oleh orang ramai di setiap peringkat umur. Ia kaya dengan vitamin B disebabkan kandungan raginya. Ada sesetengah versi kvas yang tidak menapis ragi ketika proses penapaian, maka kandungan vitamin B dalam kvas ini tentunya lebih tinggi. Selain itu kvas juga mengandungi mineral gallium yang membantu mencegah penyakit darah tinggi, serta asid amino dan protein.[4] Kvas juga mengandungi probiotik yang boleh mengukuhkan sistem imun serta meleraikan masalah usus.[5]

Pada tahun 1913, saintis di Rusia membuktikan bahawa kvas merupakan pembasmi kuman setelah mendapati bakteria yang menyebabkan penyakit tifus mati di dalam minuman tersebut.[6]

Minuman yang hampir serupa dengan kvas

sunting

Minuman-minuman tradisional yang hampir serupa dengan kvas (rendah alkohol, ditapai dengan cara yang sama) yang boleh didapati di negara lain termasuklah:

Rujukan

sunting
  1. ^ Etimologicheskyy slovar slovianskikh yazikov (Kamus Etimologi Bahasa-bahasa Slavik), Akademi Sains KRSS, Moscow, 1987, Jilid 13, m/s 153.
  2. ^ Antropologi, oleh Edward B. Taylor, page 268.
  3. ^ Sejarah kvas, [1] Diarkibkan 2012-03-11 di Wayback Machine
  4. ^ "A. Le Coq, Kvass". 15 Ogos 2012.
  5. ^ "Kvass: What is this popular Russian drink, is it good for you & why is Coca Cola getting in the act?". 15 Ogos 2012.
  6. ^ "Russiapedia.com: Kvas". 16 Ogos 2012.

Pautan luar

sunting

Sejarah kvas Diarkibkan 2012-03-11 di Wayback Machine

Kvas: Sejarah, Manfaat Kesihatan, & Resipi-resipi Minuman Roti Rusia, oleh Dan Woodske (bahasa Inggeris)