Pentaksiran Tingkatan Tiga

pentaksiran dan peperiksaan awam di Malaysia

Pentaksiran Tingkatan Tiga (Jawi: ڤنتکسيرن تيڠکتن تيݢ), atau nama singkatannya PT3, merupakan sebuah pentaksiran sumatif untuk menilai pencapaian akademik murid pada peringkat menengah rendah di Malaysia.[1] PT3 ialah sebuah penilaian yang digunakan untuk menggantikan Penilaian Menengah Rendah yang telah dijalankan sejak tahun 1993. Pentaksiran ini mencakupi skop sukatan pelajaran dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 berdasarkan matlamat, objektif dan kandungan mata pelajaran berkenaan. Namun, Pentaksiran Tingkatan Tiga diumumkan dalam keadaan yang agak tergesa, iaitu dalam tempoh beberapa bulan sebelum pentaksiran itu dijalankan buat pertama kalinya pada tahun 2014 bermula bulan Julai sehingga bulan Oktober pada tahun yang sama.[perlu rujukan] Pada tahun 2017, bermulanya silibus baru bagi kumpulan murid 2004 di mana terdapat beberapa sukatan Tingkatan 3, 4 dan 5 yang telah diawalkan dan menjadikan silibus semakin sukar.

Contoh Penyata Keputusan PT3

Terdapat empat ujian yang hendak dilakukan oleh calon-calon iaitu kerja khusus untuk mata pelajaran Geografi, Sejarah, Reka Bentuk Teknologi dan Asas Sains Komputer, ujian lisan bertutur dan ujian mendengar bagi Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, serta ujian bertulis untuk mata pelajaran selanjutnya.

Pada tahun 2022 PT3 dimansuhkan sepenuhnya dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Bagi pelajar yang melanjutkan pelajaran peringkat menengah tinggi ke sekolah khusus, keputusan PBS akan diambil kira beserta peperiksaan khusus yang disediakan.

Sejarah sunting

 
Contoh muka hadapan kertas PT3 bagi subjek Matematik berserta nama sekolah contoh.

Pentaksiran Berasaskan Sekolah telah diperkenalkan untuk menyediakan satu set indikator untuk menilai potensi murid dan kesediaan untuk belajar, selain menguji penguasaan dan pencapaian. Namun begitu, ramai guru-guru yang terlibat berasa tidak puas hati terhadap sistem yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, KPM. Pelbagai aduan berhubung SPPBS telah disuarakan oleh para guru sejak ia mula dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Ada di antara warga pendidik yang menggunakan kemahiran audiovisual memuat turun klip video berhubung SPPBS di laman YouTube. Antara rungutan yang kerap dikemukakan adalah jalur lebar laman KPM yang terhad mengakibatkan sistem SPPBS yang dilaksanakan oleh KPM tersangat perlahan untuk diakses ratusan ribu guru di seluruh Malaysia dalam tempoh yang sama.[2]

Selain itu juga, sebelum Pentaksiran Tingkatan 3 disahkan sebagai pengganti PMR, terdapat beberapa peperiksaan yang dicadangkan oleh kerajaan, seperti Pentaksiran Berasaskan Sekolah Menengah Rendah (PBSMR) dan Penilaian Pentaksiran Menengah Rendah (PPMR).[3] Hal ini telah menyebabkan ramai dari kalangan murid, ibu bapa beserta guru berasa keliru terhadap cara penilaian akhir yang akan dilaksanakan.

Sehubungan dengan insiden yang berlaku, kerajaan mengakui bahawa Pentaksiran Berasaskan Sekolah mempunyai pelbagai kelemahan. Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh mengakui wujudnya kelemahan dalam pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkenalkan di sekolah-sekolah pada 2011 telah membebankan golongan pendidik selain daripada tugas mengajar di bilih darjah. Bagaimanapun, beliau memberi jaminan pelaksanaan PBS itu akan ditambah baik dari semasa ke semasa supaya guru tidak tertekan dengan tambahan tugas terbabit menyebabkan mereka hilang minat untuk meneruskan kerjaya terbabit.[4]

Dalam bulan Februari 2014, kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem PBS sehingga ke tarikh yang diberitahu. Kementerian mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaannya agar dapat mengurangkan bebanan tugas guru, dengan memfokuskan kepada rombakan perkara yang melibatkan kekerapan guru memasukkan data termasuk pengisian borang perekodan prestasi murid yang boleh membebankan guru.[5]

Akhirnya, pada bulan April, kerajaan mengumumkan pelaksanaan sistem PBS yang baharu dengan penilaian akhir menengah rendah yang bernama Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pendidikan I, Sistem PBS baru yang akan dilaksana bermula 1 April ini akan mengurangkan beban guru sehingga 80 peratus.[6] Selepas beberapa minggu kemudian, Ujian PT3 yang menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mula mendapat respons positif orang ramai sejak dilaksanakan pada 1 Julai lepas. Menurut Datuk Mary Yap Kain Ching selaku Timbalan Menteri Pendidikan I, walaupun pada peringkat awal ia membebankan guru dan pelajar, namun setelah dilaksanakan, mereka mendapati ujian berkenaan begitu menyeronokkan dan memberi banyak faedah di mana pelajar lebih cenderung menggunakan internet untuk mencari bahan berbanding hanya menggunakan buku teks sebagai rujukan seperti sebelum ini.[7]

Berdasarkan PT3, pelajar Tingkatan 3 akan dinilai berdasarkan empat jenis penilaian merangkumi keputusan keseluruhan, penghuraian keputusan mata pelajaran, laporan pentadbiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta laporan psikometrik berkaitan minat dan kecenderungan seseorang.[8]

Pada 2020, pihak KPM telah membatalkan pelaksanaan PT3 serta Ujian Pencapaian Sekolah Rendah berikutan pandemik COVID-19 di Malaysia, dan sistem penilaian baharu akan menggantikan pentaksiran yang dibatalkan.[9]

Gred penilaian sunting

Pelaporan Pencapaian Murid bagi PT3 adalah dalam bentuk Gred A, B, C, D, E dan F dengan tafsiran seperti yang ditunjukkan dalam jadual berikut:

Gred Tafsiran Gred Julat Markah
A Cemerlang 85 – 100
B Kepujian 70 – 84
C Baik 60 – 69
D Memuaskan 50 – 59
E Mencapai tahap minimum 40 – 49
F Belum mencapai tahap minimum 1 – 39


Mata pelajaran yang diduduki oleh calon-calon sunting

 
Contoh Penyataan Pencapaian Dijajarkan Kepada CEFR bagi Bahasa Inggeris

Mata pelajaran yang ditaksir dalam PT3 adalah seperti berikut (bermula tahun 2017):

  • Bahasa Melayu
  • Bahasa Inggeris
  • Matematik
  • Sains
  • Sejarah
  • Geografi
  • Asas Sains Komputer
  • Reka Bentuk dan Teknologi
  • Pendidikan Islam
  • Bahasa Perancis
  • Bahasa Cina
  • Bahasa Tamil
  • Bahasa Arab
  • Bahasa Kadazandusun
  • Bahasa Semai
  • Bahasa Iban
  • Bahasa Punjabi
  • Al-Lughatul Arabiah Al-Muasirah
  • Al-Syariah
  • Usul al-Din

Mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu pilihan Teknikal, Ekonomi Rumah Tangga, Perdagangan dan Pertanian digantikan dengan mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dan Asas Sains Komputer (ASK) bermula tahun 2017. Selain itu, pelajar akan ditentukan sama ada mengambil subjek RBT atau ASK. Pelajar juga boleh mengambil peperiksaan bahasa juga dimana khas buat beberapa kaum di Malaysia yang berbagai.

Bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Penyata Khas Pencapaian Dijajarkan Kepada CEFR turut disertakan dengan Penyataan Pencapaian PT3 bermula tahun 2019.


Penerimaan sunting

Pentaksiran PT3 telah menerima pelbagai respons daripada pelbagai pihak. Pada peperiksaan sulung PT3 tahun 2014, tiada data rasmi dikeluarkan daripada Kementerian Pendidikan mengenai PT3 tahun ini berbanding peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).[10] Kebanyakan sekolah ternama pula mencatatkan kemerosotan mendadak jumlah pelajar yang mencatat keputusan semua A dalam mata pelajaran yang diambil di negara ini. Mengikut statistik yang dikemukakan oleh pihak wartawan, seramai 10 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Lagam, Kemaman mendapat keputusan cemerlang 11A dan 10A bagi PT3 mereka, manakala di Sekolah Raja Perempuan Taayah, Ipoh, hanya 22 daripada 123 pelajarnya mendapat keputusan 7A ke atas.[11] Respon yang sama juga telah didapati di sekolah-sekolah berasrama penuh dan sekolah-sekolah kluster. Namun hasil sulung PT3 yang dilaksanakan tahun ini menyaksikan keputusan mengejutkan dengan beberapa sekolah di luar bandar mencatatkan keputusan semua A dalam semua mata pelajaran.[11]

Ramai ibu bapa dan guru-guru sekolah memberikan pandangan mereka bahawa PT3 adalah peperiksaan yang paling bercelaru, kelam kabut dan kucar kacir.[12] Menurut Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, beliau menyifatkan format peperiksaan PT3 bersifat ad hoc (sementara), diumumkan lewat, anak-anak dijadikan bahan uji kaji, calon-calon dan para guru tidak diberitahu langsung tentang peperiksaan ini pada peringkat awalnya dan banyak lagi. Menurutnya lagi, ibu bapa tidak berpuas hati dengan pentaksiran mengikut sekolah ini kerana kertas jawapan diperiksa oleh guru yang sama mengajar di sekolah, tidak guru dari sekolah atau negeri lain, dan mempersoalkan tentang keadilan untuk memohon masuk ke sekolah berasrama penuh.[12] Beliau mencadangkan agar membuat tinjauan secara jujur, dan mengambil cadangan dari kalangan guru dan ibu bapa.

Sesetengah ibu bapa pula merasakan ada keperluan untuk memberi peluang kepada kerajaan untuk melaksanakan PT3 terlebih dahulu. Mereka juga menganggap bahawa adalah tidak wajar menyalahkan sepenuhnya pihak-pihak tertentu berhubung keputusan berkenaan.[13]

Untuk membolehkan ibu bapa serta pelajar lebih memahami pelaksanaan peperiksaan itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hasan menyarankan agar Kementerian Pendidikan Malaysia menyediakan buku garis panduan lengkap yang mengandungi maklumat terperinci berkaitan ujian PT3. Menurutnya lagi, antara kandungan yang perlu dinyatakan dalam buku berkenaan ialah mengenai kaedah penilaian dan pentaksiran PT3 dilaksanakan.[14]


Rujukan sunting

  1. ^ "Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)". Didik Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Oktober 2014.
  2. ^ "Bantahan SPPBS memuncak di laman sosial". Harakah. 14 November 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Disember 2014.
  3. ^ "PPMR Ganti PMR, Bukan PBSMR". Cikgu Halimi. 25 Disember 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 Januari 2014.
  4. ^ Zaim, Nizam (10 September 2013). "Kerajaan akui kelemahan, bukan niat bebankan guru". Sinar Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 September 2013.
  5. ^ "Guru tak perlu teruskan PBS sehingga diberitahu". Sinar Harian. 23 Februari 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Mac 2014.
  6. ^ "PBS baru kurangkan beban guru hingga 80%". Malaysiakini. 18 Mac 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 Mac 2020.
  7. ^ "Ujian PT3 dapat respons positif orang ramai". Sinar Harian. 10 Julai 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Jun 2014.
  8. ^ "PT3 lebih baik berbanding PMR". Kosmo!. 22 Jun 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 April 2015.
  9. ^ "UPSR dan PT3 bagi tahun 2020 dibatalkan". Bernama. 15 April 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 April 2020. Dicapai pada 15 April 2020.
  10. ^ "Keputusan PT3 terima reaksi pelbagai pihak". Astro Awani. 23 Disember 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Januari 2015.
  11. ^ a b Ashraf, Khairil (23 Disember 2014). "PT3: Catat kemerosotan mendadak pelajar cemerlang". Free Malaysia Today. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Julai 2015.
  12. ^ a b Abd Ghani, Muhammad Shamsul (22 Disember 2014). "PT3 'kelam kabut' perlukah ia dikekalkan?". Sinar Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Februari 2015.
  13. ^ "Beri peluang lebih lama pelaksaan PT3". ABNXcess. Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-01-27. Dicapai pada 2015-01-20.
  14. ^ "Kementerian Pendidikan Disaran Sedia Buku Garis Panduan PT3". Bernama. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Februari 2015.