Anjing Dobermann

baka anjing dari Jerman
(Dilencongkan dari Pincer Dobermann)

Anjing Dobermann atau dobermann[a] ialah satu baka anjing bela jinak sederhana-besar Jerman daripada jenis pincer. Ia pada asalnya dibiakbakakan di Thüringen pada sekitar tahun 1890 oleh Louis Dobermann, seorang pengutip cukai.[3] Ia mempunyai muncung panjang dan – sebaik-baiknya – gaya jalan sekata dan anggun. Telinganya secara tradisional dipotong dan ekornya juga dipotong, yang merupakan amalan-amalan yang kini diharamkan di banyak negara.

Anjing Dobermann
Dob-3ans.jpg
Betina dewasa
Nama lainDobermann
Pincer Dobermann
Nama ringkasDobie, Doberman
Negara asalJerman
Trait
Berat Jantan 40–45 kilogram (88–99 lb)[1][2]
Betina 32–35 kilogram (71–77 lb)[1][2]
Tinggi Jantan 68–72 sentimeter (27–28 in)[1][2]
Betina 63–68 sentimeter (25–27 in)[1][2]
Bulu pendek
Warna hitam dan sawo matang, merah dan sawo matang
Jangka hayat 11.2 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing Dobermann adalah cerdas, berwaspada, dan amat setia; ia dibela sebagai anjing pengawal atau sebagai haiwan pendamping.[4] Di Kanada dan di Amerika Syarikat, ia dikenali sebagai pincer Dobermann.[b]

Sejarah sunting

 
Anjing Dobermann, 1909

Anjing Dobermann pertama kali dibiakbakakan pada tahun 1880s oleh Karl Friedrich Louis Dobermann, seorang pengutip cukai yang menjalankan tempat kurungan anjing di Apolda, di Thüringen di Jerman tengah. Dengan akses kepada anjing banyak baka, beliau mendapat idea untuk menghasilkan baka yang unggul untuk melindungi beliau. Beliau mula membiakbakakan jenis anjing baharu yang mempamerkan stamina, kekuatan, dan kecerdasan mengagumkan. Lima tahun kemudian selepas kematian Dobermann, Otto Goeller, salah seorang pembiak baka terawal, mendirikan Kelab Pincer Dobermann Kebangsaan dan dianggap telah menyempurnakan baka ini setelah membiakbakakan dan memperhalusnya pada tahun 1890-an.[5][6]

 
Pincer Dobermann, 1915

Baka ini dipercayai telah terhasil daripada beberapa baka anjing berlainan yang mempunyai ciri-ciri yang dicari oleh Dobermann. Nisbah tepat bagi percampuran, malah baka-baka tepat yang digunakan, kekal tidak dapat dipastikan, namun ramai pakar percaya bahawa pincer Dobermann ialah gabungan beberapa baka termasuk anjing gembala Beauce, pincer Jerman, anjing Rottweil, dan anjing penuding Weimar.[7] Pengecualian tunggal ialah penyilangan berdokumen dengan grehaun dan terier Manchester. Anjing gembala lama Jerman juga dipercayai secara meluas sebagai penyumbang tunggal terbesar kepada baka anjing Dobermann. The Dobermann Pinscher (1939) oleh Philip Greunig memerihalkan perkembangan awal baka ini oleh Otto Goeller, yang membantu untuk mengasaskan baka ini.[perlu rujukan] American Kennel Club percaya bahawa baka-baka yang digunakan untuk mengembangkan pincer Dobermann mungkin termasuk anjing gembala berbulu pendek lama, anjing Rottweil, terier hitam dan putih, dan pincer Jerman.[3]

Selepas kematian Dobermann pada tahun 1894, pihak Jerman menamai baka ini Dobermannpinscher sempena menghormati beliau, tetapi setengah abad kemudian menggugurkan perkataan Pinscher atas alasan bahawa perkataan bahasa Jerman ini untuk 'terier' tidak lagi sesuai. Pihak British turut serta beberapa tahun kemudian; kini Amerika Syarikat dan Kanada merupakan negara yang masih menggunakan pinscher dan telah menggugurkan satu "n" daripada nama Dobermann dalam "Doberman Pinscher".[7]

Semasa Perang Dunia Kedua, Kor Marin Amerika Syarikat mengangkat pincer Dobermann sebagai anjing perang rasminya, walaupun kor tersebut tidak hanya menggunakan baka ini dalam peranan itu.[perlu rujukan]

Pada tahun 2013, senarai baka mengikut bilangan pendaftaran tahunan, berdasarkan tinjauan kelab anggota Persekutuan Kinologi Antarabangsa, menempatkan anjing Dobermann di tangga ke-26, dengan 20941 pendaftaran baharu setiap tahun.[8] Statistik yang disusun oleh AKC untuk tahun 2009 menempatkan pincer Dobermann di tangga ke-15th, dengan 10,233 pendaftaran pada tahun itu.[9]

Penampilan sunting

Anjing ini pada asalnya diniatkan sebagai anjing pengawal,[10][11] jadi jantan biasanya mempunyai penampilan berotot dan menakutkan.[10][11] Betina pula biasanya lebih kurus, tetapi tidak patut begitu kurus kering. Piawaian baka AKC berbeza daripada piawaian FCI kerana piawaian FCI mensyaratkan anjing yang kerap lebih besar dan lebih berat. Ini telah menyebabkan sesetengah pihak berhujah bahawa Dobermann ("anjing Dobermann") dan Doberman Pinscher ("pincer Doberman") patut dipertimbangkan dan dinilai secara berbeza.[10]

Saiz dan perkadaran sunting

Walaupun piawaian baka berbeza-beza sesama kenel dan kelab baka, kebanyakannya mengikuti piawaian yang ditetapkan oleh FCI, yang memerihalkan saiz anjing jantan sebagai 68–72 sentimeter (27–28 in) pada paras kelasa;[1][2] The Kennel Club di United Kingdom memetik 69 sentimeter (27 in) sebagai saiz unggul.[12] Saiz anjing betina pula, menurut piawaian sama, ialah 63–68 sentimeter (25–27 in),[1][2] dengan ketinggian 65 sentimeter (26 in) sebagai ketinggian unggul.[12] Anjing Dobermann mempunyai bingkai segi empat sama; panjangnya patut sama dengan tingginya ke paras kelasa dan panjang kepala, leher, dan tungkainya patut berperkadaran dengan tubuhnya.[10]

Piawaian untuk berat anjing Dobermann juga diperihalkan oleh FCI. Anjing unggul mesti mempunyai saiz cukup untuk gabungan optimum bagi kekuatan, daya ketahanan, dan ketangkasan.[12] Berat unggul bagi anjing jantan diperihalkan sebagai 40–45 kilogram (88–99 lb)[1][2] dan berat unggul bagi anjing betina diperihalkan sebagai 32–35 kilogram (71–77 lb).[1][2]

Warna sunting

 
Pincer Dobermann perang kekuning-kuningan dengan telinga terpotong
 
Anjing Dobermann biru

Dua gen warna berbeza wujud pada anjing Dobermann: satu untuk hitam (B) dan lagi satu untuk pencairan warna (D). Terdapat sembilan kemungkinan kombinasi bagi alel-alel ini, yang dapat menghasilkan empat fenotip warna berlainan: hitam, biru, merah dan perang kekuning-kuningan (putih telur).[13] Warna tradisional dan paling umum hadir apabila kedua-dua gen warna dan gen pencairan mempunyai sekurang-kurangnya satu alel dominan (iaitu, BBDD, BBDd, BbDD atau BbDd) dan pada umumnya dirujuk sebagai hitam, hitam dan karat, atau hitam dan sawo matang. Pewarnaan merah, karat merah, atau perang hadir apabila gen hitam mempunyai dua alel resesif tetapi gen pencairan mempunyai sekurang-kurangnya satu alel dominan (iaitu, bbDD, bbDd). Anjing Dobermann biru mempunyai gen warna dengan sekurang-kurangnya satu alel dominan dan gen pencairan dengan kedua-dua alel resesif (iaitu, BBdd atau Bbdd). Pewarnaan perang kekuning-kuningan adalah yang paling jarang, hadir hanya apabila kedua-dua gen warna dan gen pencairan mempunyai dua alel resesif (iaitu, bbdd). Oleh itu, warna biru ialah hitam cair dan warna perang kekuning-kuningan ialah merah cair.[perlu rujukan]

Ekspresi gen pencairan warna ialah kecelaruan yang dipanggil alopesia pencarian warna, sejenis displasia folikel anjing. Walaupun tidak mengancam nyawa, anjing ini dapat mengalami masalah kulit.[14]

Pada tahun 1976, seekor pincer Dobermann "putih" dilahirkan[15]Templat:Bettersourceneeded dan kemudiannya dibiakbakakan dengan anak jantan sendiri, yang juga dibiakkan dengan adik-adik betina seperinduk. Pembiakan dalaman ketat ini berterusan buat suatu tempoh waktu untuk membolehkan pembiak baka "memperbaiki" mutasi. Pembiakbakaan dalaman parah ini bukan sahaja meningkatkan penghasilan anjing "putih", hal ini juga meningkatkan masalah kesihatannya. Anjing Dobermann putih tidak diiktiraf sesama pembiak baka profesional dan terus dibiakkan oleh pembiak baka tidak beretika yang memasarkannya sebagai anjing jarang untuk mengenakan caj lebih untuk haiwan yang tidak akan memenangi pertandingan pertunjukan. Anjing Dobermann berwarna putih terdedah kepada keadaan perubatan jangka panjang, antaranya: pendengaran lemah atau kepekakan penuh, penglihatan lemah atau kebutaan penuh, isu tingkah laku/perangai, kanser (kebanyakannya kanser kulit), dan lain-lain. Anjing Dobermann putih/albino sebenarnya berwarna krim dengan tanda-tanda putih, mata biru, dan hidung merah jambu. Walaupun ini tekal dengan albinisme, pencirian betul bagi mutasi ini pada masa ini belum diketahui. Haiwan berkenaan pada umumnya dikenali sebagai albinoid positif tirosinase yang kekurangan melanin dalam struktur-struktur okulokutaneus.[16]Templat:Bettersourceneeded Keadaan ini disebabkan oleh pemotongan separa di dalam gen SLC45A2.[17]

Ekor sunting

 
Anjing Dobermann dengan ekor lengkap
 
Anjing Dobermann biru ekor terpotong

Ekor semula jadi anjing Dobermann agak panjang, tetapi anjing individual kerap mempunyai ekor pendek akibat pemotongan, iaitu tatacara yang melibatkan sebahagian besar ekor dibuang melalui pembedahan sejurus selepas kelahiran.[perlu rujukan]

Amalan pemotongan ekor telah wujud selama berabad-abad dan lebih tua daripada anjing Dobermann sebagai baka.[18] Sebab bersejarah untuk pemotongan ekor adalah untuk memastikan bahawa ekornya tidak menghalang kerja anjing berkenaan.[18] Pemotongan ekor dan telinga (lihat di bawah) telah disingkirkan daripada piawaian baka oleh FCI dan International Dobermann Club (IDC) dan anjing yang dilahirkan selepas tahun 2016 tidak akan diizinkan untuk menyertai pertunjukan FCI atau IDC tanpa ekor penuh dan telinga semula jadi.[perlu rujukan] Di United Kingdom, anjing dengan ekor terpotong telah dilarang daripada pertunjukan selama beberapa tahun[perlu rujukan] dan amalan itu kini menyalahi undang-undang untuk anjing kelahiran tempatan.[19] Pemotongan ekor menyalahi undang-undang di semua negara Kesatuan Eropah,[20] serta di Australia.[21] Piawaian AKC untuk pincer Dobermann menyertakan ekor terpotong dekat dengan vertebra ke-2.[10]

Telinga sunting

 
Anjing Dobermann hitam dan sawo matang tradisional dengan telinga terpotong

Anjing Dobermann kerap memiliki telinga terpotong.[22] Menurut Doberman Pinscher Club of America, telinga "biasanya dipotong dan terangkat tegak-tegak".[23] Seperti pemotongan ekor, pemotongan telinga adalah haram di banyak negara[24] dan tidak pernah di sisi undang-undang di beberapa buah negara Komanwel.[perlu rujukan]

Kecerdasan sunting

Kecerdasan anjing ialah istilah umum yang merangkumi fakulti-fakulti yang terlibat dalam pelbagai tugas mental, seperti pembelajaran, penyelesaian masalah, dan komunikasi. Pincer Dobermann telah disenaraikan sesama baka anjing paling cerdas dalam kajian uji kaji dan penilaian pakar. Ahli psikologi Stanley Coren menempatkan anjing Dobermann sebagai anjing ke-5 paling cerdas dalam kategori Pelatihan perintah kepatuhan, berdasarkan tinjauan-tinjauan terpilih yang dijawab oleh jurulatih berpengalaman (seperti yang didokumenkan dalam buku beliau The Intelligence of Dogs). Tambahan pula, dalam dua buah kajian, Hart dan Hart (1985) menempatkan pincer Dobermann di tangga pertama dalam kategori sama[25] dan Tortora (1980) memberi anjing Dobermann peringkat tertinggi dalam kebolehlatihan am.[26]

Perangai sunting

Walaupun ia dianggap sebagai anjing pekerja, anjing Dobermann kerap distereotaipkan sebagai anjing ganas dan agresif.[27]

 
Anak pincer Dobermann

Terdapat sesetengah bukti bahawa pincer Dobermann di Amerika Utara mempunyai perangai lebih tenang dan lebih sekata berbanding dengan anjing Dobermann Eropah mereka oleh sebab strategi pembiakbakaan yang digunakan oleh para pembiak baka Amerika.[28]

Terdapat banyak bukti saintifik bahawa pincer Dobermann mempunyai sebilangan trait psikologi stabil, seperti faktor keperibadian dan kecerdasan tertentu. Seawal tahun 1965, kajian telah menunjukkan bahawa terdapat beberapa trait tingkah laku luas yang secara ketara meramalkan tingkah laku dan ditentukan secara genetik.[29] Ikutan itu, terdapat banyak percubaan saintifik untuk mengkuantitikan keperibadian atau perangai anjing dengan menggunakan teknik statistik untuk mentaksir trait-trait keperibadian pada manusia. Kajian ini kerap berbeza-beza dari segi faktor keperibadian yang difokuskan oleh mereka dan dari segi pemeringkatan baka secara berbeza di sepanjang dimensi-dimensi ini. Sebuah kajian sedemikian mendapati bahawa pincer Dobermann, berbanding dengan baka-baka lain, mempunyai kedudukan tinggi dari segi sifat suka bermain, kedududkan purata dari segi keingintahuan/ketidaktakutan, kedudukan rendah dari segi keagresifan, dan kedudukan rendah dari segi keramahan.[30] Sebuah lagi kajian sedemikian meletakkan pincer Dobermann di kedudukan rendah untuk kereaktifan/kebangkitan dan di kedudukan tinggi untuk agresi/kecenderungan pembantahan dan keterbukaan/kebolehlatihan.[31]

Sebagai tambahan kepada kajian-kajian keperibadian anjing, terdapat sesetengah penyelidikan untuk menentukan sama ada terdapat perbezaan baka untuk agresi. Dalam sebuah kajian yang diterbitkan pada tahun 2008, agresi dibahagikan kepada empat kategori: agresi yang ditujukan kepada orang asing, pemilik, anjing asing, dan persaingan dengan anjing serumah lain.[32] Kajian ini mendapati bahawa pincer Dobermann menempati kedudukan agak tinggi untuk agresi terhadap orang asing, tetapi sangat rendah untuk agresi terhadap pemilik. Pincer Dobermann menempati kedudukan purata untuk agresi terhadap anjing dan persaingan dengan anjing. Dengan memandang hanya gigitan dan percubaan gigitan, pincer Dobermann berada di kedudukan jauh lebih rendah untuk agresi terhadap manusia dan menunjukkan kurang agresi berbanding dengan banyak baka tanpa reputasi (cth., kokerspaniel, anjing Dalmatia, dan anjing besar Denmark). Kajian ini menyimpulkan bahawa agresi mempunyai dasar genetik, bahawa anjing Dobermann menunjukkan pola distingtif bagi agresi bergantung pada situasi, dan bahawa pincer Dobermann kontemporari bukan baka agresif secara keseluruhan.[32]

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, pada antara tahun 1979 dengan tahun 1998, pincer Dobermann terlibat dalam serangan ke atas manusia yang mengakibatkan kematian dengan kurang kerap berbanding dengan beberapa baka anjing lain seperti pitbul, anjing gembala Jerman, anjing Rottweil, anjing jenis husky, kacukan anjing–serigala, dan malamut Alaska.[33][34] Menurut kajian Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit ini, salah satu faktor terpenting yang menyumbang kepada gigitan anjing ialah paras tanggungjawab yang dilaksanakan oleh pemilik anjing.[35]

Kesihatan sunting

Jangka hayat sunting

Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 11.2 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[36]

Kesihatan jantung sunting

Kardiomiopati merupakan masalah lazim untuk baka ini[37] dan isu jantung merupakan punca lazim bagi kematian pada baka ini dengan 15% kematian yang berkaitan dengan jantung menurut tinjauan United Kingdom.[38] Data daripada Pangkalan Data Perubatan Veterinar Universiti Purdue mendapati bahawa baka ini cenderung terhadap kardiomiopati terdilat (DCM) dengan 5.8% populasi anjing Dobermann yang menghidap keadaan ini.[39] Sebuah lagi kajian di Amerika mendapati prevalens sebanyak 7.32% untuk keadaan ini.[40] Sebuah kajian Inggeris ke atas 369 kes mendapati bahawa anjing Dobermann merangkumi 16% daripada kes tersebut.[41] Penyakit ini menjejaskan anjing Dobermanns dengan lebih parah berbanding dengan baka lain dengan purata masa kemandirian sebanyak 52 hari berbanding dengan 240 hari untuk baka lain.[42] Ini mungkin kerana jenis DCM yang menjejaskan anjing Dobermann berbeza.[43] Penyelidikan telah menunjukkan bahawa baka ini terjejas akibat jenis serat serat bergelombang teratenuasi bagi DCM yang menjejaskan banyak baka lain,[44] serta jenis degeneratif penyusupan lemak tambahan yang kelihatan spesifik terhadap baka pincer Dobermann and bokser.[44] Penyakit serius ini berkemungkinan membawa maut pada kebanyakan anjing Dobermann terjejas.[44]

Kira-kira seperempat populasi pincer Dobermann yang menghidap kardiomiopati mati secara mengejut akibat punca yang tidak diketahui,[44][45][46] dan lima puluh peratus berikutnya mati akibat kegagalan jantung kongestif.[46] Dalam kalangan anjing Dobermann betina, penjelmaan kematian mengejut bagi penyakit ini adalah lebih umum, manakala jantan cenderung menghidap kegagalan jantung kongestif.[47] Sebagai tambahan kepada prevalens lebih tinggi pada anjing Dobermanns, penyakit ini juga lebih serius pada baka ini. Ikutan diagnosis, anjing biasa bukan daripada baka anjing Dobermann mempunyai jangkaan masa hidup selama 8 bulan; untuk pincer Dobermann, walau bagaimanapun, jangkaan masa hidup adalah kurang daripada dua bulan.[42] Walaupun punca untuk penyakit ini sebahagian besarnya tidak diketahui, terdapat bukti bahawa ini merupakan penyakit keluarga terwaris sebagai trait dominan autosom.[48]

Dermatologi sunting

Anjing Dobermann cenderung terhadap keadaan dermatologi berikut: dermatitis jilatan akral; pioderma dagu, akne, atau folikulitis; erupsi drug kulit; alopesia pencairan warna; demodikosis; displasia folikel; bula perdarahan antara digit, furunkulosis atau sista kaki; pemfigus foliaseus; dan vitiligo.[49]

Keadaan lain sunting

Keadaan lain yang terhadapnya baka ini cenderung termasuk: penyakit von Willebrand[50] dan penyakit prostat.[51] Kecelaruan kompulsif anjing didapati prevalen pada 28% populasi anjing Dobermann dalam sebuah kajian.[52] Baka ini cenderung terhadap hipotiroidisme[49][37] dengan sebuah kajian Amerika Syarikat yang mendapati bahawa 6.3% populasi anjing Dobermann menghidap keadaan ini berbanding dengan 1.54% untuk baka kacuk.[40] Anjing Dobermann juga cenderung terhadap volvulus pendilatan gastrik.[53] Sebuah kajian terhadap 295 kes di Amerika mendapati bahawa 6.1% kes berpunca daripada anjing Dobermann.[54] Sebuah lagi kajian Amerika terhadap 1,934 kes mendapati nisbah ganjil sebanyak 5.5 untuk anjing Dobermann.[55]

Keadaan rangka sunting

Sebuah kajian Amerika Utara yang menyemak lebih daripada sejuta ekor anjing yang diperiksa di hospital pengajar veterinar mendapati bahawa anjing Dobermann mempunyai prevalens sejelasnya lebih rendah terhadap displasia pinggul dengan 1.34% populasi anjing Dobermann yang menghidap displasia pinggul berbanding dengan 3.52% secara keseluruhan.[56] Sebuah lagi kajian Amerika Utara terhadap 1,000,000 imbasan pinggul dan 250,000 imbasan siku mendapati anjing Dobermann sebagai antara 15 baka yang paling kurang berkemungkinan untuk menghidap kedua-dua displasia pinggul dan displasia siku. 5.7% populasi anjing Dobermann yang melebihi usia 2 tahun menghidap displasia pinggul dan 0.8% menghidap displasia siku.[57]

Sebuah kajian Amerika Syarikat terhadap rekod bagi lebih daripada 90,000 ekor anjing mendapati bahawa anjing Dobermann cenderung terhadap penyakit ceper intervertebra (IVDD), dengan 12.7% populasi anjing Dobermanns yang menghidap keadaan ini berbanding dengan 4.43% untuk baka kacuk.[40]

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: انجيڠ دوبرمن; دوبرمن; Jerman: Dobermann, Sebutan bahasa Jerman: [ˈdoːbɐman]  (  dengar); bahasa Inggeris: dobermann, doberman, /ˈdbərmən/
  2. ^ Jawi: ڤينچر دوبرمن; Jerman: Dobermannpinscher; bahasa Inggeris: Dobermann pinscher, Doberman pinscher

Rujukan sunting

  1. ^ a b c d e f g h "FCI - Standard Nr. 143 DOBERMANN" [Piawaian FCI No. 143 Anjing Dobermann] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Jerman). 17 Disember 2015. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  2. ^ a b c d e f g h "FCI-Standard N° 143 DOBERMANN" [Piawaian FCI No. 143 Anjing Dobermann] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Dobermann Council of K.U.S.A. (Kennel Union of Southern Africa), Christina Bailey, dan Renée Sporre-Willes. Disemak oleh VDH/Uwe Fischer. 17 Disember 2015. Dicapai pada 8 Januari 2024.CS1 maint: others (link)
  3. ^ a b "Get to Know the Doberman Pinscher" (Inggeris) Diarkibkan 9 Februari 2015 di Wayback Machine, 'The American Kennel Club', dicapai pada 8 Januari 2024.
  4. ^ "Dobermans Suffer From a Bad Press". The New York Times (dalam bahasa Inggeris). 15 Februari 1993. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Ogos 2018. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  5. ^ Donnelly, Kerry (1988). Doberman Pinschers (dalam bahasa Inggeris). Amerika Syarikat: T.F.H. Publications. m/s. 8–11. ISBN 9780866228060.
  6. ^ Basic Guide to the Doberman Pinscher (dalam bahasa Inggeris). Amerika Syarikat: Dace Publishing. 1997. m/s. 9–11. ISBN 9780932045102.
  7. ^ a b "Breed history" (dalam bahasa Inggeris). Dobermann Pinscher Club of America. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 Februari 2016. Dicapai pada 11 Januari 2024.
  8. ^ [Svenska Kennelklubben] (2013). Registration figures worldwide – from top thirty to endangered breeds (Inggeris). FCI Newsletter 15. Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  9. ^ [s.n.] (2016). Dog Registration Statistics 1991–2008 (Inggeris). New York, Amerika Syarikat: American Kennel Club. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  10. ^ a b c d e "American Kennel Club: Doberman Pinscher breed standard" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Februari 2015. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  11. ^ a b "Canadian Kennel Club: Doberman Pinscher breed standard" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Disember 2014. Dicapai pada 12 Januari 2024. Size: "Males, decidedly masculine, without coarseness. Females, decidedly feminine, without over-refinement."
  12. ^ a b c "UK Kennel Club: Dobermann breed standard" (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 September 2013. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  13. ^ "Color Chart" (dalam bahasa Inggeris). Doberman Pinscher Club of America. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 April 2009. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  14. ^ WILLIAM H. MILLER Jr. 1 (2008). "Colour Dilution Alopecia in Doberman Pinschers with Blue or Fawn Coat Colours: A Study on the Incidence and Histopathology of this Disorder". Veterinary Dermatology (dalam bahasa Inggeris). 1 (3): 113–122. doi:10.1111/j.1365-3164.1990.tb00089.x. PMID 34644836 Check |pmid= value (bantuan). Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Januari 2013.
  15. ^ "What is an Albino Doberman" (dalam bahasa Inggeris). Doberman Pinscher Club of America. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 April 2009. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  16. ^ "The White Doberman" (dalam bahasa Inggeris). Ione Smith. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 November 2018. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  17. ^ Winkler PA (2014). "A Partial Gene Deletion of SLC45A2 Causes Oculocutaneous Albinism in Doberman Pinscher Dogs". PLOS ONE (dalam bahasa Inggeris). 9 (3): e2127. Bibcode:2014PLoSO...992127W. doi:10.1371/journal.pone.0092127. PMC 3960214. PMID 24647637.
  18. ^ a b Raymond Gudas; Betsy Sikora Siino (2005). Doberman Pinschers: Everything about purchase, care, nutrition, training and behavior (dalam bahasa Inggeris). Barron's Educational Series.
  19. ^ "Animal Welfare Act 2006 Section 6". Legislation.gov.uk (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 12 Mac 2024.
  20. ^ "Chart of signatures and ratifications of Treaty 125". Majlis Eropah (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 12 Mac 2024.
  21. ^ "Is the tail docking of dogs legal in Australia?". Royal Australian Society for the Protection of Animals (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 12 Mac 2024.
  22. ^ Pagan, C. "Ear cropping and tail docking: Should you or shouldn't you?" (dalam bahasa Inggeris). WebMD. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 September 2016. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  23. ^ "The Doberman – Breed Standard". DPCA (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 24 November 2012. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  24. ^ "Ear cropping and tail docking" (dalam bahasa Inggeris). The Canadian Federation of Humane Societies/Fédération des sociétés canadiennes d'assistance aux animaux (CFHS/FSCAA). Diarkibkan daripada yang asal pada 9 September 2011. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  25. ^ Hart, B.L.; Hart, L.A. (1985). "Selecting pet dogs on the basis of cluster analysis of breed behavior profiles and gender". J. Am. Vet. Med. Assoc. (dalam bahasa Inggeris). 186 (11): 1181–1185. PMID 4008297.
  26. ^ Tortora, D.F. (1980). "Animal behavior therapy: the behavioral diagnosis and treatment of dominance-motivated aggression in canines. 1 [Dogs]". Canine Practice (dalam bahasa Inggeris). 7. ISSN 0094-4904.
  27. ^ "The Doberman pinscher: darling...or devil?". Sports Illustrated (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Jun 2018. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  28. ^ Stanley Coren (2006). Why does my dog act that way? (dalam bahasa Inggeris). Simon & Schuster. ISBN 978-0-7432-7706-8.
  29. ^ Scott, J.P.; Fuller, J.L. (1966). Genetics and the Social Behavior of the Dog (dalam bahasa Inggeris). University of Chicago Press. ISBN 978-0-226-74338-7.
  30. ^ Kenth Svartberg (2006). "Breed-typical behaviour in dogs—Historical remnants or recent constructs?". Applied Animal Behaviour Science (dalam bahasa Inggeris). 96 (3–4): 293–313. CiteSeerX 10.1.1.515.7023. doi:10.1016/j.applanim.2005.06.014. S2CID 512233.
  31. ^ Thomas Draper (1995), "Canine analogs of human personality factors", Journal of General Psychology (dalam bahasa Inggeris), 122 (3): 241–252, doi:10.1080/00221309.1995.9921236, PMID 7650520
  32. ^ a b Duffy DL; Hsu Y; Serpell JA (2008). "Breed differences in canine aggression" (PDF). Applied Animal Behaviour Science (dalam bahasa Inggeris). 114 (3–4): 441–460. doi:10.1016/j.applanim.2008.04.006. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 17 Julai 2011. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  33. ^ US Centers for Disease Control: Breeds of dogs involved in fatal human attacks in the United States between 1979 and 1998 (Inggeris) Diarkibkan 23 Jun 2011 di Wayback Machine. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  34. ^ Jeffrey J. Sacks; Leslie Sinclair; Julie Gilchrist; Gail C. Golab; Randall Lockwood. "Breeds of dogs involved in fatal human attacks in the United States between 1979 and 1998". JAVMA (dalam bahasa Inggeris). 217.
  35. ^ Sacks; Lockwood, R; Hornreich, J; Sattini, RW; dll. (1996). "Fatal dog attacks, 1989–1994". Pediatrics (dalam bahasa Inggeris). 97 (6 Pt 1): 891–895. doi:10.1542/peds.97.6.891. PMID 8657532. S2CID 245088140 Check |s2cid= value (bantuan).
  36. ^ McMillan, Kirsten M.; Bielby, Jon; Williams, Carys L.; Upjohn, Melissa M.; Casey, Rachel A.; Christley, Robert M. (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death". Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Springer Science and Business Media LLC. 14 (1). doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484 Check |pmc= value (bantuan).
  37. ^ a b Scott-Moncrieff, J. Catherine (2015). "Hypothyroidism". Dalam Feldman, Edward C.; Nelson, Richard W.; Reusch, Claudia; Scott-Moncrieff, J. Catharine (penyunting). Canine and feline endocrinology (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-4). St. Louis, Missouri, Amerika Syarikat: Elsevier Saunders. m/s. 91. ISBN 978-1-4557-4456-5.
  38. ^ Adams, V. J.; Evans, K. M.; Sampson, J.; Wood, J. L. N. (2010-10-01). "Methods and mortality results of a health survey of purebred dogs in the UK". Journal of Small Animal Practice (dalam bahasa Inggeris). 51 (10): 512–524. doi:10.1111/j.1748-5827.2010.00974.x.
  39. ^ Sisson D, O’Grady MR, Calvert CA. Myocardial diseases of dogs (Inggeris). Dalam: Fox PR, Sisson D, Moise NS, penyunting. Textbook of canine and feline cardiology: principles and clinical practice. Edisi ke-2. Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat: WB Saunders; 1999. hlm. 581–619
  40. ^ a b c Bellumori, Thomas P.; Famula, Thomas R.; Bannasch, Danika L.; Belanger, Janelle M.; Oberbauer, Anita M. (1 Jun 2013). "Prevalence of inherited disorders among mixed-breed and purebred dogs: 27,254 cases (1995–2010)". Journal of the American Veterinary Medical Association (dalam bahasa Inggeris). American Veterinary Medical Association. 242 (11): 1549–1555. doi:10.2460/javma.242.11.1549. ISSN 0003-1488.
  41. ^ Martin, M. W. S.; Stafford Johnson, M. J.; Celona, B. (2009). "Canine dilated cardiomyopathy: a retrospective study of signalment, presentation and clinical findings in 369 cases". Journal of Small Animal Practice (dalam bahasa Inggeris). 50 (1): 23–29. doi:10.1111/j.1748-5827.2008.00659.x. ISSN 0022-4510.
  42. ^ a b Domanjko-Petrič, Aleksandra; Stabej, Polona; Žemva, A. (2002). "Dilated cardiomyopathy in the Dobermann dog: survival, causes of death and a pedigree review in a related line". Journal of Veterinary Cardiology (dalam bahasa Inggeris). 4 (1): 17–24. doi:10.1016/S1760-2734(06)70019-4. PMID 19081342.
  43. ^ O'Grady, Michael R.; O'Sullivan, M.Lynne (2004). "Dilated cardiomyopathy: an update". Veterinary Clinics of North America: Small Animal Practice (dalam bahasa Inggeris). 34 (5): 1187–1207. doi:10.1016/j.cvsm.2004.05.009.
  44. ^ a b c d Tidholm, A.; Jönsson, L. (2005). "Histologic Characterization of Canine Dilated Cardiomyopathy". Veterinary Pathology (dalam bahasa Inggeris). 42 (1): 1–8. doi:10.1354/vp.42-1-1. PMID 15657266. S2CID 15431327.
  45. ^ Calvert CA; Hall G; Jacobs G; Pickus C. (1997). "Clinical and pathologic findings in Dobermanns with occult cardiomyopathy that died suddenly or developed congestive heart failure: 54 cases (1984–1991)". J Am Vet Med Assoc (dalam bahasa Inggeris). 210. doi:10.2460/javma.1997.210.04.505.
  46. ^ a b Calvert CA; Jacobs GJ; Smith DD; Rathbun SL; Pickus CW (2000). "Association between results of ambulatory electrocardiography and development of cardiomyopathy during long-term follow-up of Doberman Pinschers". Journal of the American Veterinary Medical Association (dalam bahasa Inggeris). 216 (1): 34–39. doi:10.2460/javma.2000.216.34. PMID 10638315.
  47. ^ Dutton, E.; López-Alvarez, J. (17 April 2018). "An update on canine cardiomyopathies – is it all in the genes?". Journal of Small Animal Practice (dalam bahasa Inggeris). 59 (8): 455–464. doi:10.1111/jsap.12841. ISSN 0022-4510. PMID 29665072.
  48. ^ Meurs KM; Fox PR; Norgard M; Spier AW; Lamb A; Koplitz SL; Baumwart RD. (2007). "A prospective genetic evaluation of familial dilated cardiomyopathy in the Doberman pinscher". J Vet Intern Med (dalam bahasa Inggeris). 21 (5): 1016–1020. doi:10.1111/j.1939-1676.2007.tb03058.x. PMID 17939558.
  49. ^ a b Hnilica, Keith A.; Patterson, Adam P. (19 September 2016). Small Animal Dermatology (dalam bahasa Inggeris). St. Louis, Missouri, Amerika Syarikat: Saunders. ISBN 978-0-323-37651-8.
  50. ^ "Doberman Pinscher". Canine Inherited Disorders Database (dalam bahasa Inggeris). Universiti Pulau Putera Edward. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 November 2013. Dicapai pada 12 Januari 2024 – melalui UPEI.ca.
  51. ^ Krawiec DR; Heflin D. (1992). "Study of prostatic disease in dogs: 177 cases (1981–1986)". J Am Vet Med Assoc (dalam bahasa Inggeris). 200 (8): 1119–1122. doi:10.2460/javma.1992.200.08.1119. PMID 1376729.
  52. ^ Ogata, Niwako; Gillis, Timothy E.; Liu, Xiaoxu; Cunningham, Suzanne M.; Lowen, Steven B.; Adams, Bonnie L.; Sutherland-Smith, James; Mintzopoulos, Dionyssios; Janes, Amy C.; Dodman, Nicholas H.; Kaufman, Marc J. (2013). "Brain structural abnormalities in Dobermann Pinschers with canine compulsive disorder". Progress in Neuro-Psychopharmacology and Biological Psychiatry (dalam bahasa Inggeris). 45: 1–6. doi:10.1016/j.pnpbp.2013.04.002. PMID 23590875. S2CID 4107434. CCD is highly prevalent among Dobermans, with an estimated incidence of about 28% in a database including over 2300 dogs (personal communication, Andrew Borgman, Statistical Analyst, Van Andel Research Institute, Grand Rapids, MI)
  53. ^ Bell, Jerold S. (2014). "Inherited and Predisposing Factors in the Development of Gastric Dilatation Volvulus in Dogs". Topics in Companion Animal Medicine (dalam bahasa Inggeris). 29 (3): 60–63. doi:10.1053/j.tcam.2014.09.002.
  54. ^ Brockman, Daniel J.; Washabau, Robert J.; Drobatz, Kenneth J. (15 Ogos 1995). "Canine gastric dilatation/volvulus syndrome in a veterinary critical care unit: 295 cases (1986–1992)". Journal of the American Veterinary Medical Association (dalam bahasa Inggeris). 207 (4): 460–464. doi:10.2460/javma.1995.207.04.0460. ISSN 0003-1488.
  55. ^ Glickman, Lawrence T.; Glickman, Nita W.; Pérez, Cynthia M.; Schellenberg, Diana B.; Lantz, Gary C. (1 Mei 1994). "Analysis of risk factors for gastric dilatation and dilatation-volvulus in dogs". Journal of the American Veterinary Medical Association (dalam bahasa Inggeris). American Veterinary Medical Association. 204 (9): 1465–1471. doi:10.2460/javma.1994.204.09.1465. ISSN 0003-1488.
  56. ^ Witsberger, Tige H.; Villamil, J. Armando; Schultz, Loren G.; Hahn, Allen W.; Cook, James L. (15 Jun 2008). "Prevalence of and risk factors for hip dysplasia and cranial cruciate ligament deficiency in dogs". Journal of the American Veterinary Medical Association (dalam bahasa Inggeris). American Veterinary Medical Association. 232 (12): 1818–1824. doi:10.2460/javma.232.12.1818. ISSN 0003-1488.
  57. ^ Oberbauer, A. M.; Keller, G. G.; Famula, T. R. (24 Februari 2017). "Long-term genetic selection reduced prevalence of hip and elbow dysplasia in 60 dog breeds". PLOS ONE (dalam bahasa Inggeris). Public Library of Science (PLoS). 12 (2): e0172918. doi:10.1371/journal.pone.0172918. ISSN 1932-6203.