Raja Bot bin Raja Jumaat

Raja Bot bin Raja Jumaat (Jawi: راج بوت بن راج جمعت ) (4 Disember 1847 - 11 April 1916) merupakan pembesar terakhir Lukut sebelum penyerahannya kepada Sungai Ujong. Beliau juga memegang jawatan Penghulu Sungai Buloh dari 1887-1889 sebelum menjadi ahli Majlis Negeri Selangor dari 1888 sehingga kematiannya.

Raja Bot bin Raja Jumaat
Raja Bot (duduk di tengah) bersama pengikutnya
Pembesar Lukut ke-3
Dalam jawatan
1864 – 30 Julai 1880
RajaSultan Abdul Samad
Didahului olehRaja Jumaat
Digantikan olehJawatan Dimansuhkan
Penghulu Sungai Buloh
Dalam jawatan
16 Julai 1887 – 1889
RajaSultan Abdul Samad
Didahului olehPenghulu Sulaiman
Digantikan olehTidak diketahui
Ahli Majlis Negeri Selangor
Dalam jawatan
18 Disember 1888 – 11 April 1916
RajaSultan Abdul Samad
Sultan Alauddin Sulaiman Shah
Ahli Sanitary Board Kuala Lumpur
Dalam jawatan
1891–1892
RajaSultan Abdul Samad
Butiran peribadi
Lahir4 Disember 1847
Lukut, Selangor
Meninggal dunia11 April 1916
Johor Bahru, Johor
PasanganRaja Zainab binti Raja Sulaiman
Y.M. Tengku Salama binti Tengku Mahmud
Anak-anak7

Awal hayat sunting

Raja Bot bin Raja Jumaat lahir pada 4 April 1847 di Lukut kepada Raja Jumaat, pembesar Lukut dan Tengku Senai serta anakanda Sultan Muhammad Shah.[1] Pada ketika itu Lukut masih berada di bawah naungan Selangor. Beliau mendapat persekolahan awal di sebuah sekolah Inggeris di Melaka atas tajaan Residen Melaka Ronald MacPherson. Beliau juga dididik oleh Chee Yam Chuan, seorang pedagang Cina.[1]

Beliau telah berkahwin dua kali, pertama kepada Y.M. Raja Zainab binti Raja Sulaiman dan kedua kepada Y.M. Tengku Salama binti Tengku Mahmud, seorang cicit Dato' Temenggong Sri Maharaja Daeng Abdul Rahman dari Johor. Beliau dikurniakan 7 orang anak.[2]

Sebagai pembesar Lukut sunting

Setelah kematiannya ayahandanya pada 1864, Raja Bot diangkat menjadi Pembesar Lukut. Namun begitu, ayahnya telah memainkan peranan yang penting dalam percaturan politik Selangor.[3] Ketidakstabilan antara pembesar daerah-daerah di Selangor telah menyebabkan tercetusnya Perang Klang. Di kawasan Sungai Linggi pula, ketidakstabilan telah mengakibatkan konflik antara Dato' Klana Sungai Ujong dan Dato' Bandar.[1] Walaupun Lukut tidak terlibat secara langsung dengan kedua-dua pertarungan ini, Raja Bot telah membenarkan pergerakan mereka melalui Lukut.

Tambahan pula, Lukut diserang dua kali ketika Raja Bot menjadi Pembesar. Kali pertama adalah dari Raja Sulaiman selaku Pembesar Sungai Raya yang berhasrat melepaskan kawasannya daripada naungan Lukut. Mereka telah dikalahkan oleh pahlawan Lukut.t[4] Serangan kedua dilakukan oleh Yahya, seorang anak angkat Sultan Abdul Samad. Yahya telah bertindak membunuh rakyat Cina Lukut di depan mata Raja Bot. Raja Bot yang murka telah membenarkan penduduk Cina untuk membalas dendam terhadap pihak Yahya. Yahya dikalahkan juga dan berjaya melarikan diri.[1]

Dari segi ekonomi pula, Lukut telah mengalami kemerosotan akibat daripada persaingan dan pengurangan hasil bijih timah iaitu sumber ekonomi utama mereka. Hal ini telah menyebabkan Raja Bot mendapat untung yang sedikit dari 10 ribu dolar Selat sehingga hanya 300 ratus dolar selat.[5] Di samping itu, pelombong Cina juga berpindah untuk bekerja dengan lombong timah di serata Selangor.

Pertelingkahan Tanah sunting

Pada tahun 1862, kawasan Sungai Linggi yang telah menjadi kawasan pungutan cukai Dato' Kelana Sending diambil oleh Raja Jumaat. Dato' Kelana Sending telah menghantar petisyen kepada Sultan Abdul Samad tentang pembesaran Lukut. Sultan Abdul Samad telah membalasnya dengan menghantar surat dengan titah bahawa kawasan Timur Sungai Langat kini milik Dato' Kelana Sending.[6]

Raja Jumaat tidak puas dengan perkembangan ini kerana tidak diajak berunding dan telah menghantar surat kepada Sultan Abdul Samad. Namun begitu, Sultan Abdul Samad membalas dengan menyatakan bahawa kawasan di bawah kuasa Lukut meliputi Kuala Linggi sehingga Sungai Udang termasuklah Bukit Juling-Juling. Isu ini tidak diketengahkan lagi sehingga 1868. Sultan Abdul Samad bertitah bahawa kawasan di barat Sungai Linggi memang milik pembesar Sungai Ujong. [1]

Penglibatan Residen British dan Penyerahan Lukut sunting

Residen Selangor dan Residen Sungai Ujong pada 1874 telah menubuhkan komisen sempadan untuk mengadili permasalahan ini. Mereka mendapati bahawa tidak ada bukti yang kukuh akibat daripada kerumitan isu tersebut. Namun begitu, mereka tetap melakukan perundingan sehinggalah 15 Februari 1878. Pada tarikh ini, sebuah perjanjian telah ditandatangani Sultan Abdul Samad dan Dato' Klana Sungai Ujong yang mempersetujui sempadan masing-masing. Sungai Sepang menjadi benteng sempadan muktamad.[7]

Ini tidak dipersetujui Raja Bot kerana beliau, seperti bapanya dahulu tidak diajak untuk berunding. Bantahannya berdasarkan pengurniaan kuasa kutip cukai yang diberikan oleh Sultan Muhammad Shah kepada Raja Jumaat. Beliau telah mengupah peguam dari Singapura untuk membantunya dalam kes ini. Pihak Sultan Abdul Samad yang diketuai Residen Selangor telah menyatakan bahawa pengurniaan tersebut tidak termasuk diri baginda sebagai Sultan yang dirujuk dalam pengurniaan itu. Setelah beberapa tahun berunding, akhirnya sebuah keputusan telah dicapai pada 31 Julai 1880 di Singapura. Sebuah perjanjian telah ditandatangani oleh Raja Bot sebagai Pembesar Lukut dan Raja Daud sebagai Pembesar Sungai Raya untuk menyerahkan tanah mereka kepada Sungai Ujong. Raja Bot juga menerima wang pampasan sebanyak $20,000.[1]

Kehidupan pasca-Lukut sunting

Meskipun telah mendapat pampasan yang banyak, Raja Bot tetap dibelenggu oleh hutang. Hal ini telah menyebabkan dirinya memohon untung mendapatkan pinjaman dari kerajaan Selangor. Namun demikian, permintaannya sering ditolak. Beliau juga mencari kerja dengan pentadbiran Selangor tanpa jaya.

Penghulu Sungai Buloh sunting

Raja Bot telah berjaya mendapat jawatan akibat daripada pertukaran Residen Selangor. Beliau diberikan jawatan Penghulu Sungai Buloh setelah kematian Penghulu Sulaiman. Tarikh kelulusan ini adalah pada 16 Julai 1887. Beliau dipuji oleh Acting Collector Daerah Ulu Selangor kerana telah membuka dan meneroka kawasan yang besar dari Kepong ke Kuang. Namun demikian, beliau juga ditegur kerana tidak menetap di kawasan Sungai Buloh sama sekali dan dikatakan tidak melakukan tugas beliau dengan penuh iltizam. Akibatnya, beliau telah dihentikan sekitar 1889.[1]

Ahli Majlis Negeri Selangor sunting

Meskipun telah dihentikan jawatan Penghulu Sungai Buloh, beliau telah dilantik menjadi ahli Majlis Negeri Selangor pada 18 Disember 1888. Beliau telah melakukan kerja yang bagus dan kerap hadir ke mesyuarat Majlis. Beliau amat aktif dalam melakukan jawatan ini dan telah banyak memberikan suara dan pendapat terhadap usul-usul yang diutarakan. Antara usul yang disokong oleh beliau adalah kewajipan anak Melayu untuk bersekolah di peringkat sekolah Melayu. Beliau juga telah menghantar anak dan anak buahnya ke Sekolah Raja yang didirikan di Kuala Lumpur. Beliau juga giat dalam menjaga kebajikan orang Islam di Kuala Lumpur dan hampir menjadi Kadi Selangor pada 1897.[1]

Tugas Lain sunting

 
Raja Bot duduk di kerusi nombor dua dari kiri, gambar berkumpulan selepas Istiadat Pemasyhuran Sultan Alauddin sebagai Sultan Selangor di Istana Jugra sekitar tahun 1898.

Beliau telah dilantik menjadi ahli Majlis Kuala Lumpur (Sanitary Board) pada 1891. Namun, beliau dihentikan pada 1892 atas konflik kepentingan.

Beliau juga melibatkan diri sebagai isi istana Diraja Sultan Alauddin Suleiman Shah. Beliau telah menyarungkan mahkota baginda ketika majlis pertabalan. Beliau juga telah ditugaskan untuk pergi ke Riau untuk mengumpul segala maklumat tentang adat dan tertib pertabalan Sultan Selangor. Di samping itu, beliau diamanahkan untuk mengendalikan majlis pengebumian Al-Marhum Sultan Abdul Samad. Selain itu, beliau juga telah memperkenalkan semula jawatan delapan pembesar Selangor.[1]

Rujukan sunting

  1. ^ a b c d e f g h i Hassan, Mohammad Amin (Disember 1967). "Raja Bot bin Raja Jumaat". Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. 40 (2): 68–93 – melalui JSTOR.
  2. ^ "Salasilah Keluarga Bugis-Riau". Royal Ark. Dicapai pada 14 April 2021.
  3. ^ Gullick, J.M. (1983). The Story of Kuala Lumpur, 1857-1939. Petaling Jaya: Eastern Universities Press (M). m/s. 8–10. ISBN 9789679080285.
  4. ^ Gammans, L.D. (Disember 1924). "The State of Lukut". Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society. 2 (3): 294 – melalui JSTOR.
  5. ^ Mohd Rus, Ahmad Kamal Ariffin; Mat Noor, Noor Ain; Mohd Rosli, Mohammad Khairul Anuar (2020). "Lukut, 1846-1864: Bandar Terawal di Selangor (Lukut, 1846-1864: The Earliest Town In Selangor)". Jebat: Malaysian Journal of History, Politics & Strategic Studies. 47 (2): 175–198.
  6. ^ "Rundingan Pertelingkahan Sempadan Selangor Dengan Sungai Ujong". PeKhabar. 24 November 2015. Dicapai pada 14 April 2021.
  7. ^ "Perjanjian Sempadan Selangor- Sungai Ujung". 10 Februari 2018. Dicapai pada 14 April 2021.