Suruhanjaya Siasatan Diraja siasat pendatang asing Sabah 2012
Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menangani masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah merupakan satu Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan pada 11 Ogos 2012 bagi menyiasat masalah berkaitan kerakyatan dan pendatang di Sabah, Malaysia. Ia berkaitan dengan Projek IC.
Pembentukan
suntingPenubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ini telah diumumkan oleh kerajaan Malaysia pada 1 Jun 2012. RCI adalah hasil pandangan rakyat dan kerajaan Barisan Nasional. Ia membabitkan kewarganegaraan, keselamatan, sosio ekonomi, kesihatan dan politik.[1] Jabatan Peguam Negara telah diamanahkan untuk mengemukakan cadangan Terma Rujukan (TOR) dan draf asas telah disediakan. Jumlah pendatang asing tanpa izin di Sabah dianggarkan menjangkau 500,000 orang pada 2012.[2]
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan bahawa penubuhan RCI itu dilihat sebagai satu nilai tambah kepada Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pati (JKKPA-PATI) dan Makmal Pengurusan Warga Asing Nasional serta Makmal Khas Warga Asing Sabah.[3]
Ramai pihak menyambut baik penubuhan RCI itu. Antaranya dari UMNO Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan MIC Sabah. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menyambut baik pengumuman itu kerana yakin dapat menyelesaikan aduan dan rayuan rakyat negeri Sabah yang berhadapan dengan pendatang tanpa izin di Sabah. Timbalan Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah merangkap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyatakan rakyat Sabah menerima keputusan dengan hati terbuka.
Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili kagum atas keberanian perdana menteri dalam menghadapi masalah pendatang tanpa izin di Sabah dan masalah berkaitan kewarganegaraan, keselamatan, sosio ekonomi, kesihatan dan politik. Setiausaha Agung PBS Datuk Henrynus Amin menyatakan bahawa tidak ada sebab mengapa rakyat tidak menyokong Barisan Nasional (BN). Ketua Pemuda PBS Datuk Jahid Jahim menyatakan bahawa pengumuman Perdana Menteri itu menunjukkan bahawa kerajaan bersikap serius dalam melindungi keselamatan rakyat terutama di Sabah. Kebanjiran imigran haram dan isu dokumentasi ini hampir menghapuskan harapan serta keyakinan rakyat. Usaha telah dijalankan bermula dengan Program 6P bagi pendatang asing tanpa izin (5P di Sabah) dan sekarang menerusi penubuhan RCI pula. Ia sememangnya hadiah Pesta Kaamatan terbaik untuk rakyat di Sabah.[4][5]
Anggota suruhanjaya
suntingYang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mua'dazam Shah memberi perkenan menubuhkan suruhanjaya siasatan ini di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.
Berikut merupakan anggota suruhanjaya:[6]
- Steve Shim (Pengerusi) - bekas Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak
- Saripuddin Kasim (Setiausaha) - Setiausaha Agung Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia
- Kamaruzaman Ampon (Pesuruhjaya) - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah
- Herman Luping (Pesuruhjaya) - bekas Peguam Negara Sabah
- KY Mustafa (Pesuruhjaya) - bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah
- Henry Chin Poy Wu (Pesuruhjaya) - bekas timbalan pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia
Terma Rujukan Kuasa Teknikal Dan Jawatankuasa Siasatan
suntingTerdapat 8 terma rujukan:[7][8]
- Untuk menyiasat bilangan warga asing di Sabah yang diberikan kad pengenalan biru atau kerakyatan Malaysia;
- Untuk menyiasat sekiranya pemberian kad pengenalan atau kewarganegaraan mengikut undang-undang;
- Untuk menyiasat sekiranya mereka diberikan kad pengenalan biru, resit pengenalan sementara atau kerakyatan melalui cara yang menyalahi undang-undang dan telah didaftar sebagai pemilih di Sabah;
- Untuk menyiasat jika pihak berkuasa telah mengambil apa-apa tindakan atau membuat penambahbaikan kepada prosedur operasi standard (SOP), kaedah dan peraturan-peraturan untuk mencegah sebarang penyelewengan berdasarkan undang-undang;
- Untuk menjalankan siasatan yang lebih mendalam ke dalam SOP, kaedah dan peraturan-peraturan mengenai penganugerahan kad pengenalan biru atau kerakyatan kepada warga asing di Sabah dengan mengambil kira pertimbangan norma-norma dan piawaian antarabangsa yang terpakai di Malaysia, dan mencadangkan pindaan atau perubahan untuk memperbaiki amalan semasa;
- Untuk menyiasat sebab-sebab di sebalik pertumbuhan penduduk Sabah mengikut kategori berikut:
- rakyat Sabah yang tinggal di negeri ini, termasuk individu yang diberikan kad pengenalan biru atau kerakyatan melalui sijil kelahiran (pendaftaran lewat);
- pekerja asing (termasuk ahli keluarga);
- pendatang asing tanpa izin (termasuk ahli keluarga);
- orang berhijrah; dan untuk mengkaji kesannya terhadap bilangan mereka yang berdaftar dalam daftar pemilih;
- Untuk menyiasat implikasi sosial kepada masyarakat Sabah berikutan penganugerahan kad pengenalan biru atau kerakyatan kepada orang asing di negeri ini;
- Untuk menyiasat bilangan rakyat tiada negara di Sabah yang diberikan kerakyatan atau kad pengenalan biru.
Siasatan
suntingBekas Ketua Menteri Sabah Harris Salleh memberikan keterangan bahawa kuasa terakhir memberikan kerakyatan kepada warga asing ialah hak kerajaan persekutuan. Beliau juga menafikan kewujudan Projek IC.[9]
Pendengaran Awam RCI (Hari Pertama)
suntingHari pertama pendengaran umum Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 14 Januari 2013 di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Terdapat tiga saksi yang dipanggil ketika pendengan awam RCI di hari pertama.
Pertamanya, pengkaji sejarah Prof Datuk Ramlah Adam
-menerangkan ikatan Sabah dan Filipina adalah disebabkan oleh sejarah lama, negeri ini dulunya diperintah oleh Kesultanan Sulu, dan segelintir orang di negara itu merasa Sabah masih lagi di bawah pemerintahan kesultanan dahulu.Walaupun Kesultanan Sulu sudah tidak wujud lagi, Datuk Ramlah menerangkan masih ada orang di sekitar kawasan selatan Kepulauan Sulu ‘practice’ sistem kesultanan, yang mereka warisi dari orang tua. Sehingga kini, Datuk Ramlah percaya, melalui apa yang dibacanya, perkara itu masih berlaku. Orang dari Kepulauan Sulu merasakan mereka masuk ke Sabah secara sah, padahal jika mengikut perundangan mereka dianggap pendatang asing tanpa izin. Datuk Ramlah menegaskan isu ini perlu dibincangkan melalui aspek nasional dan masalah negara secara professional, bukan dipolitikkan.
Saksi kedua- bekas ketua Unit Penempatan Jabatan Ketua Menteri Abdul Jaafar Alip
-mendedahkan seramai 73,000 pelarian dari Filipina disahkan status ‘pelarian’ yang mempunyai hak untuk tinggal di Sabah sekitar tahun 1976 sehingga 1985, dengan niat mereka haruslah berasal dari Mindanao Barat dan berniat untuk kekal tinggal di Sabah. Abdul Jaafar memberitahu, orang pelarian tidak semestinya Islam untuk tinggal di sini, tetapi mereka adalah golongan tidak berumah dalam konflik di selatan Filipina pada masa itu. Beliau menambah lima lagi perkampungan ditubuhkan pada tahun tersebut, di Telipok dan Kinarut di Kota Kinabalu, Kampung Bahagia di Sandakan, Kamoung Selamat di Sempoerna dan petempatan Hidayah di Tawau. Pelarian ini, setelah disahkan status, dirujuk ke Jabatan Imigresen di mana mereka boleh memohon untuk dokumen IMM13 yang lebih dikenali sebagai ‘Pas Lawatan Kerja’. Selepas itu, mereka juga diberikan kad pengenalan khas untuk membenarkan mereka tinggal di kelima-lima perkampungan yang tetetapkan, tetapi malangnya kad itu tidak diiktiraf oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Abdul Jaafar menambah skim penempatan itu dihentikan pada tahun 1985, berikutan pertukaran kerajaan dari Parti Berjaya kepada Parti Bersatu Sabah (PBS). Di bawah pentadbiran PBS, Abdul Jaafar berkata bancian peringkat negeri diadakan untuk mengenalpasti angka pelarian yang tinggal di Sabah. Bancian itu dilakukan dalam dua fasa, di mana fasa pertama melawat setiap rumah yang dipercayai tempat tinggal pendatang asing itu, manakala fasa ke dua mendaftar mereka dengan kad sementara yang dipanggil ‘Kad Burung Burung’. Katanya, dokumen itu yang diberikan kepada pendatang dari Filipina, Pakistan, Indonesia dan India juga tidak diiktiraf oleh JPN sebagai kad pengenalan.
Pendengaran awam ini akan berterusan sehingga 18 Januari, dan disambung dari 28 Januari ke 1 Februari, kemudian sesi terakhir dari 22 Ferbuari ke 27 Februari.
Pencerobohan Lahad Datu
suntingProsiding suruhanjaya ini terhenti apabila berlakunya krisis pencerobohan Lahad Datu 2013.[10]
Rujukan
sunting- ^ K'jaan tubuh RCI siasat isu pendatang asing di Sabah Malaysiakini. 1 Jun 2012.
- ^ "Isu pendatang asing di Sabah ditangani". Malaysia Chronicle. 2 Jun 2012. Dicapai pada 22 Januari 2013.
- ^ Kerajaan Tubuh RCI Siasat Pendatang Asing Sabah mStar Online. 2 Jun 2012.
- ^ Pembangkang Jangan Mainkan Isu RCI mStar Online. 2 Jun 2012.
- ^ Pemimpin Sabah Sambut Baik Penubuhan RCI Pendatang Asing mStar Online. 2 Jun 2012.
- ^ "RCI on illegal immigrants". Borneo Post Online. 12 Ogos 2012. Dicapai pada 31 Ogos 2012.
- ^ "IC-for-votes claim focus of Sabah RCI". The Malaysian Insider. 11 Ogos 2012. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-08-18. Dicapai pada 12 Ogos 2012.
- ^ "Pemberian K/P biru siasatan utama RCI Sabah". AntaraPos. 11 Ogos 2012. Dicapai pada 31 Ogos 2012.
- ^ "Ex-Sabah CM Harris denies 'Project IC'". The Malaysian Insider. 15 January 2013. Dicapai pada 18 Januari 2013.
- ^ Koh Jun Lin (23 Apr 2013). "Over 28,000 'foreign' voters on electoral roll". Malaysiakini. Dicapai pada 28 April 2013.