Tanjung Karang

(Dilencongkan dari Tanjong Karang)

Tanjung Karang atau kadang-kadang juga dieja Tanjong Karang adalah sebuah mukim, pekan dan kawasan penanaman padi yang terletak di dalam Daerah Kuala Selangor, Selangor, Malaysia. Melalui satu rancangan yang bersistematik, tanaman padi disini telah dimulakan pada tahun 1936.[1]

Sekolah Kebangsaan Tanjung Karang

Lanskap Dan Demografi Sunting

Pekan Tanjong Karang merupakan kawasan utama di Tanjong Karang dan menjadi tumpuan penduduk tempatan bagi mendapatkan keperluan. Sungai Tengi yang sinonim dengan pekan ini merupakan sebatang sungai yang menyusur ditengah-tengah Pekan. Sebuah jambatan utama dengan empat lorong yang merupakan sebahagian dari Laluan Persekutuan 5 telah dibina bagi menghubungkan Pekan Tanjong Karang yang terpisah oleh bentuk rupabumi semula jadi.

 
Pekan Tanjung Karang

Kemudahan jalan-jalan raya utama yang dibina juga dapat menghubungkan Tanjong Karang dengan mukim-mukim lain di sekitar daerah Kuala Selangor iaitu Api-api, Batang Berjuntai, Ijok, Kuala Selangor, Jeram, Pasangan, Ujong Permatang, dan Ulu Tinggi.

Permukiman Sunting

Tanjong Karang kini telah dibahagikan kepada dua mukim iaitu Mukim Tanjong Karang 1 dan Mukim Tanjong Karang 2[2]. Kedua-dua mukim bersempadan mengikut alur Sungai Tengi. Ia diwakili oleh dua Penghulu berbeza.

 
Padi ditanam dua kali setahun di Sawah Sempadan dan Sungai Burung, Tanjung Karang

Penduduk minoriti Cina tinggal di bandar dan kawasan sebelah laut (Bagan), manakala kebanyakan orang Melayu tinggal di kawasan luar bandar dan menjalankan aktiviti pertanian, terutamanya penanaman padi.

Kawasan pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Sunting

Keseluruhan kawasan tanaman padi yang membentang dari Tanjong Karang sehingga ke Pancang Bedena/Bagan Terap di Sungai Besar dalam daerah Sabak Bernam adalah terangkum dibawah IADA Barat Laut Selangor, ia beribu pejabat di Kuala Selangor dan merupakan kawasan jelapang padi keempat tebesar di Malaysia selepas MADA, KADA dan IADA Kerian.[3]

Ban Kenal Sunting

 
Terusan Utama (Main Canal) ataupun disebut Ban Kenal

Terdapat sebuah terusan utama (main canal) yang besar bermula dari Tanjong Karang yang bersilang dengan Sungai Tengi menggunakan kunci air. Bagaimanapun kunci air pertama (Sungai Tengi Headworks) yang dibina pada tahun 1936 telah dirobohkan setelah ia mengalami kerosakkan yang serius akibat mendapan pada tahun 2000.

Merupakan sebuah terusan yang sangat terkenal dan pembinaannya dimulakan di Tanjong Karang. Ia mula-mula dibina ketika zaman penjajah iaitu sekitar tahun 1932 dan kini sering dipanggil oleh penduduk tempatan sebagai 'Bangkenal' atau 'Ban Kenal' yang mungkin diambil dari perkataan asal 'Ban Canal'. Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa sejarah nama Ban Kenal itu bermula dari sebutan Ban Cannel yang diperolehi sempena nama seorang Jurutera Awam berbangsa Inggeris yang merancang pembinaannya iaitu Mr Cannel. Menarikya, terdapat sebatang jalan di Kampung Parit 13 Sungai Panjang, berhampiran Rumah Pam Bagan Terap dekat Sungai Besar yang menggunakan nama 'Jalan Ban Cannel'.

Terusan yang berakhir di daerah Sabak Bernam ini dikorek menggunakan kapal pengorek berkuasa wap. Malang sekali kapal pengorek klasik yang banyak berjasa itu telah karam ke dasar terusan yang pernah dikoreknya sendiri setelah ia dibiarkan lama tanpa pengawasan di sekitar kawasan berhampiran Blok D, Sawah Sempadan sekitar 1996 ketika musim tengkujuh. Bangkai kapal kemudian dilerai.

Tujuan utama pembinaan terusan pada asalnya ialah untuk membekalkan air yang cukup bagi mengairi tanaman padi yang sedang dirancang ketika itu oleh pihak British dari penerokaan dan pembukaan hutan paya di Tanjong Karang bagi mengurangkan pergantungan dari beras import. Projek ini diteruskan sehinga ke kawasan Sungai Besar. Setelah siap, kawasan Pancang Bedena dipilih menjadi kawasan pertama yang ditanam dengan padi. Pergantungan sumber air asal di terusan Ban Kenal ialah dari Sungai Tengi. Bagi menambah lagi jumlah kapasiti air di terusan utama, sebuah terusan baru (feeder canal) telah dikorek bagi menghubungkan Sungai Tengi dengan Sungai Bernam (Bernam Headworks) yang dimulakan pada tahun 1948. Pada tahun 2015, sebuah projek kolam takungan air berkeluasan 73 ha x 4 m di Parit 4 Gambut, Sungai Besar telah siap dibina dan boleh menambah lagi jumlah air di terusan ketika kemarau.

Selain itu terusan ini juga digunakan oleh syarikat bekalan air untuk memproses dan membekal air yang telah dirawat (Loji Air Sungai Sireh) selain pernah dijadikan tempat penternakan ikan air tawar oleh penduduk kampung. Pada satu ketika dulu, terusan itu pernah terlibat dalam aktiviti-aktiviti pembalakan. Ia digunakan untuk menghayutkan balak yang telah ditebang menuju ke 'Sungai Tengi Headworks' di mana kerja-kerja pungutan dilakukan di lokasi berhampiran sebelum diangkut menggunakan lori. Terdapat mitos yang mendakwa terdapat ular gergasi di sebuah lubang dalam tanah dijumpai semasa proses pengorekkan terusan ini dahulu. Ia membawa kepada pemberhentian kerja-kerja pembinaan terusan ini di Seri Tiram.

Bangunan bersejarah Sunting

 
Kesan tinggalan kilang gula di Sungai Kajang

Terdapat sebuah bangunan lama yang bersejarah yang dibiarkan tanpa penjagaan oleh mana-mana pihak yang terletak di Kg Sungai Kajang. Menurut cerita lisan penduduk kampung, dipercayai secara majmuk bahawa bangunan itu pada satu-satu masa adalah loji pemprosesan gula nipah dan ia dibina di zaman sebelum merdeka.

Sebuah syarikat estet dengan nama Tremelbye (Selangor) Rubber Company Ltd yang dibuka pada tahun 1906 berkemungkinan (belum dapat dipastikan) adalah pemilik kilang gula nipah berkenaan. Syarikat berkenaan turut memiliki sebuah lagi ladang getah di Klang (kini menjadi perumahan Taman Sri Andalas).

Menurut satu laporan berita dari akhbar Malaya Tribune, 7 Ogos 1928 dimuka surat 11 menyatakan bahawa syarikat berkenaan berminat untuk menanam nipah secara besar-besaran bagi menggantikan tanaman getah. Ini kerana syarikat mengalami kerugian dari tanaman getahnya yang terjejas di ladang miliknya di Tanjong Karang setelah ia ditenggelami banjir yang teruk dari limpahan sungai berhampiran.

Ketika itu terusan Ban Kenal masih belum dibina dan air dari Sungai Tengi yang bermula di kawasan berbukit di Hulu Selangor sering melimpah di kawasan rendah iaitu di Tanjong Karang ketika musim hujan. Sebagai langkah alternatif, syarikat itu merancang meninggalkan penanaman getah kerana tumbuhan itu tidak sesuai ditanam dikawasan berkenaan yang sering banjir dan beralih kepada penanaman pokok nipah.

 
Sisi lain dari tinggalan kilang gula nipah

Selain diproses menjadi gula, nira nipah juga boleh diekstrak bagi menghasilkan ethanol untuk dijadikan bahan api. Malangnya mungkin kerana nira nipah tidak dapat menandingi air perahan tebu yang mampu menghasilkan gula dalam jumlah yang lebih banyak selain penggunaan etil alkohol sebagai bahan api masih belum berkembang seperti hari ini, syarikat itu menutup estet berkenaan dan menyerahkannya semula tanah ladangnya kepada Kerajaan Negeri pada 1930 dan syarikat itu muflis pada 1932.

Pada perang dunia kedua, ada pendapat yang mengatakan binaan kilang ini telah ditawan dan digunakan sebagai pangkalan tentera Jepun. Terdapat beberapa kesan kerosakan akibat pertempuran yang masih boleh dilihat sehingga kini. Hari ini, hanya sebahagian daripada struktur masih dikekalkan manakala hampir seluruh loji telahpun musnah, sama ada disebabkan oleh pertanian atau pembangunan.

Pengambaran drama Sunting

Tanjung Karang pernah menjadi terkenal selepas sebuah drama bersiri popular TV3 Nur Kasih, melakukan penggambaran di sini. Tanjung Karang juga mula diketahui orang ramai selepas sebuah drama bersiri K.I.T.A. dan Back to the Future[perlu rujukan], memilih untuk membuat penggambaran di sini.

Pautan luar Sunting