Tiga Abdul

Filem tahun 1964 arahan P. Ramlee

Tiga Abdul merupakan sebuah filem Melayu hitam putih arahan P. Ramlee yang diterbitkan di Singapura yang ketika itu merupakan sebahagian dari Persekutuan Malaysia yang mula ditayangkan pada 22 April 1964. Filem ini mempunyai persamaan dengan filem Ali Baba Bujang Lapok yang bertemakan negara Arab. Filem ini juga merupakan filem terakhir Salleh Kamil memegang watak jahat di dalam filem P. Ramlee di Singapura. Ini ialah filem terakhir beliau bersama Malay Film Productions sebelum beliau berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja di Studio Filem Merdeka.[1]

Tiga Abdul
PengarahP. Ramlee
PenulisP. Ramlee
Lakon layarP. Ramlee
Dihasilkan olehVee Meng Shaw
Dibintangi
SinematografiHitam-putih
Disunting olehH. R. Narayana
Tarikh tayangan
22 April 1964
NegaraSingapura
BahasaMelayu

Sinopsis

sunting

Di sebuah negara Isketambola, terdapat seorang hartawan yang sangat kaya iaitu Ismet Ulam Raja (M. Babjan). Dia mempunyai tiga orang anak lelaki iaitu Abdul Wahab (Haji Mahadi), Abdul Wahib (S. Kadarisman) dan Abdul Wahub (P. Ramlee). Mereka bertiga selalu bertengkar sesama mereka sendiri kerana adik bongsu mereka, Abdul Wahub selalu tidak sependapat dengan abang-abangnya. Mereka bertiga masing-masing mempunyai perniagaan dengan Abdul Wahab mempunyai Kedai Jual Burung, Abdul Wahib mempunyai Kedai Ukir dan Abdul Wahub mempunyai Kedai Muzik.

Pertengkaran mereka semakin menjadi-jadi sewaktu mereka berada di dalam bilik ayahanda mereka yang diserang penyakit jantung sewaktu menyambut ulang tahun kelahirannya ke-71. Ini terjadi semasa Abdul Wahib bertanya kepada ayahnya tentang siapa yang bakal mewarisi harta-harta ayahnya. Dengan disokong oleh abangnya Abdul Wahab, Abdul Wahub pun merasa marah dan kecewa kerana tindakan abang-abangnya itu terlalu biadab terhadap ayah mereka. Mereka bertiga terus bertengkar sehingga ayahanda mereka sendiri memarahi mereka dan menghalau mereka, namun ayah mereka kembali diserang penyakit jantung lalu akhirnya meninggal dunia.

Setelah bapa mereka meninggal dunia, Abdul Wahab dan Abdul Wahib mula bersikap tamak dengan membolot semua harta peninggalannya. Manakala, Abdul Wahub hanya diberikan rumah ayahnya. Abdul Wahub berpendapat bahawa cara abang tuanya membahagikan harta-harta ayah mereka tidak adil dan hanya menyebelahi abang-abangnya. Mereka pun memberi alasan yang Abdul Wahub cuba memaksa arwah ayah mereka untuk berpindah ke hospital untuk rawatan. Disebabkan oleh kebencian Abdul Wahub dengan sikap tamak abangnya, dia bertindak untuk memutuskan persaudaraan dengan mereka. Abdul Wahab bertindak balas untuk memberhentikan khadam rumah ayahnya sekiranya Abdul Wahub tidak mahu tinggal di rumah itu. Namun, Abdul Wahub memberi keizinan kepada khadam itu untuk tinggal di sana dan berjanji akan pulang ke rumah itu dengan kemenangan yang mutlak. Setelah itu abang-abang Abdul Wahub berpuas hati dengan tindakan mereka yang berat sebelah dan mengetahui yang Abdul Wahub tidak boleh mendakwa mereka ke mahkamah kerana arwah ayah mereka tidak pernah menulis sebarang surat mahupun wasiat.

Sementara itu, Sadiq Segaraga (Ahmad Nisfu), seorang saudagar barang-barang purba, setelah dinasihat oleh Tuan Penasihat Kassim Patalon (Saleh Kamil), mengetahui bahawa harta-harta yang dimiliki oleh Ismet Ulam Raja telah diwariskan kepada anak-anak lelakinya kemudian berhasrat untuk membolot semua harta tersebut bagi menyelamatkan perniagaannya yang semakin hari semakin merosot. Sadiq Segaraga kemudian mengarahkan tiga anak perempuannya iaitu Hamidah (Mariani), Rafidah ([[]]) dan Ghasidah (Sarimah) untuk memikat ketiga-tiga anak lelaki Ismet Ulam Raja tersebut.

Hamidah, Rafidah dan Ghasidah pun memulakan rancangan mereka dalam memikat Abdul Wahab, Abdul Wahib dan Abdul Wahub. Bagaimanapun, hanya Abdul Wahub sahaja yang tidak terjerat dalam rancangan Sadiq Segaraga itu disebabkan dia menyedari bahawa Sadiq Segaraga mempunyai niat jahat untuk membolot semua harta mereka. Abdul Wahab dan Abdul Wahib segera bertemu dengan Sadiq Segaraga untuk menyatakan hasrat mereka untuk memperisterikan Hamidah dan Rafidah tanpa menyedari niat sebenar Sadiq Segaraga yang ingin membolot harta mereka berdua. Sadiq Segaraga kemudian memberikan satu syarat kepada Abdul Wahab dan Abdul Wahib bahawa mereka tidak boleh marah kerana jika berbuat demikian, mereka akan dijual sebagai hamba dan segala harta benda mereka akan dirampas. Namun Abdul Wahab dan Abdul Wahib tetap meneruskan hasrat mereka untuk mengahwini Hamidah dan Rafidah walaupun mengetahui bahawa syarat yang dikenakan itu sangat berat. Sesudah selesai majlis perkahwinan mereka, Sadiq Segaraga pun mulai menjalankan rancangannya untuk membuatkan Abdul Wahab dan Abdul Wahib menjadi marah. Rancangan Sadiq Segaraga itu kemudian berhasil membuatkan Abdul Wahab dan Abdul Wahib menjadi marah lalu mereka dijual berserta harta mereka turut dirampas.

Sementara itu, Abdul Wahub yang merasakan bahawa kini dia telah jatuh miskin disebabkan tindakan abang-abangnya itu kemudian bermimpi pada suatu malam. Dia bermimpi bertemu dengan ayahnya, Ismet Ulam Raja yang memberitahu bahawa dia perlu menyelamatkan abang-abangnya itu dengan satu syarat dia harus memperisterikan Ghasidah. Ayahnya juga sempat berpesan agar menemui seseorang yang bernama Sulaiman Akhlaken. Keesokan harinya Abdul Wahub menemui Sulaiman Akhlaken (Ahmad Sabri), iaitu peguam yang menguruskan seluruh harta keluarga mereka. Disitulah Abdul Wahub mengetahui bahawa ayahnya telah mewariskan dia sejumlah harta di luar negara yang lebih banyak berbanding harta yang diwarisi abang-abangnya itu.

Berbekalkan harta-harta tersebut, Abdul Wahub kemudian menemui Sadiq Segaraga untuk menyatakan hasratnya memperisterikan Ghasidah namun sempat hasratnya itu sempat ditolak Sadiq Segaraga kerana dia merasakan Abdul Wahub sudah jatuh miskin. Abdul Wahub kemudian menunjukkan fail yang menjadi bukti kekayaan yang dimilikinya kepada Sadiq Segaraga. Sadiq Segaraga yang terkejut dengan harta yang dimiliki Abdul Wahub itu kemudian bersetuju untuk menerima pinangan Abdul Wahub itu namun, seperti abang-abangnya, dia juga mengenakan syarat yang sama. Namun Abdul Wahub bijak, kerana dia pula yang mengenakan syarat kepada Sadiq Segaraga. Tuan Penasihat mula menasihati Sadiq Segaraga agar bersetuju dengan syarat yang dikenakan kerana dia menggangap bahawa kalau abang-abang Abdul Wahub yang bijak pandai pun dapat dijual, apa lagi Abdul Wahub yang menurutnya cuma seorang budak mentah dan tidak berpengalaman. Akhirnya Sadiq Segaraga bersetuju dengan syarat tersebut. Maka berlangsunglah perkahwinan antara Abdul Wahub dan Ghasidah.

Sadiq Segaraga pun memulakan rancangannya untuk membuat Abdul Wahub marah dengan rancangan serupa abang-abangnya, namun gagal apabila Abdul Wahub tidak bersikap seperti abang-abangnya yang pemarah dan tidak sebijak dia. Setelah mengetahui rancangan Sadiq Segaraga itu, Abdul Wahub kemudian mulai membalas kembali rancangan tersebut dengan membuatkan ayah mertuanya itu pula menjadi marah. Rancangan demi rancangan yang dirancangkan Sadiq Segaraga semuanya gagal dan pada akhirnya dia pula menjadi marah lalu dijual menjadi hamba bersama Hamidah, Rafidah dan Kassim Patalon.

Sesudah itu, Abdul Wahub kemudian menjejaki keberadaan Abdul Wahab dan Abdul Wahib. Dia akhirnya menemui Hussein Lempoyang (Nyong Ismail), seorang saudagar unta dari Cairo, iaitu orang yang telah membeli kedua-dua abangnya. Abdul Wahub membeli abang-abangnya itu daripada saudagar tersebut. Abdul Wahab dan Abdul Wahib terkejut apabila mengetahui harta yang dimiliki oleh Abdul Wahub lebih banyak daripada apa yang dimiliki mereka sebelum ini. Abdul Wahub kemudian membeli kembali Sadiq Segaraga, Hamidah serta Rafidah ke rumahnya. Abdul Wahub kemudian berbaik semula dengan Abdul Wahab dan Abdul Wahib. Abdul Wahub juga kemudian memohon maaf kepada ayah mertuanya kerana perbuatannya itu hanyalah ingin menyedarkan Sadiq Segaraga agar tidak terlalu tamak dan taksub dengan harta. Sesudah itu dengan kebijaksanaan Abdul Wahub, dia pun membahagikan segala harta-harta peninggalan ayahnya sama-rata sesama adik-beradiknya, termasuk juga ayah mertuanya sebagai menghormati kedudukannya sebagai ayah mertua mereka bertiga.

Semenjak itu, adik-beradik bertiga itu hidup bersama-sama dengan aman dan tidak lagi bertengkar sesama sendiri.

Barisan pelakon

sunting

Pelakon utama

sunting
  • Haji Mahadi sebagai Abdul Wahab Ulam Raja - Anak sulung dari tiga anak lelaki Ismet, pemilik kedai menjual burung. Seorang abang yang busuk hati kepada adik bongsunya hanya kerana tidak sependapat.
  • S. Kadarisman sebagai Abdul Wahib Ulam Raja - Anak kedua Ismet Ulam Raja, pemilik kedai ukiran. Seorang anak yang tamakkan harta orang tuanya.
  • P. Ramlee sebagai Abdul Wahub Ulam Raja - Anak bongsu dari tiga anak lelaki Ismet, pemilik kedai yang menjual alat muzik. Anak lelaki ismet yang paling bijaksana.
  • Mariani sebagai Hamidah Segaraga - Anak sulung dari tiga anak perempuan Sadiq Segaraga.
  • Dayang Sofia sebagai Rafidah Segaraga - Anak kedua dari tiga anak perempuan Sadiq Segaraga.
  • Sarimah sebagai Ghasidah Segaraga - Anak bongsu dari tiga anak perempuan Sadiq Segaraga.

Pelakon pembantu

sunting
  • Ahmad Nisfu sebagai Sadiq Segaraga - Pemilik kedai antik atau barang-barang purba, bapa kepada Hamidah, Rafidah dan Ghasidah. Seorang saudagar penipu. (merupakan antagonis kedua)
  • Salleh Kamil sebagai Tuan Penasihat Kassim Patalon - Peguam dan penasihat Sadiq Segaraga. (antagonist utama drama & komedi)
  • M. Babjan sebagai Ismet Ulam Raja - Saudagar terkaya di Isketambola, pemilik pelbagai perusahaan, bapa kepada tiga Abdul.
  • S. Shamsuddin sebagai Pencerita.
  • Mahmud Hitam sebagai Chief Khadam
  • Ahmad Sabri sebagai Suleiman Akhlaken - Peguam Pembela Ismet Ulam Raja
  • Udo Omar sebagai Guru Anak-Anak Yatim Piatu
  • Nyong Ismail sebagai Hussein Lempoyang - Seorang saudagar unta dari Cairo.
  • H. M. Busra sebagai Penjual Hamba

Penampilan khas

sunting
  • Saloma sebagai Penyanyi Undangan Lagu Tema Tiga Abdul
  • Murni Sarawak (tidak dikreditkan) sebagai Fatima Hatem Thai - Ibu kepada Abdul Wahab, Abdul Wahib dan Abdul Wahub, isteri kepada Ismet Ulam Raja. Hanya potretnya digambarkan dalam filem itu kerana sudah lama meninggal dunia.
  • S. Sudarmaji sebagai seseorang yang mencari tahi burung untuk digunakan sebagai baja
  • Kassim Masdor

Pelakon tambahan

sunting
  • Rahayu Sudarmaji sebagai anak-anak yatim
  • Vicky Ghazi sebagai Sabrina si kekasih lama kepada Abdul Wahub
  • A. R. Badul sebagai anak-anak yatim yang menyanyikan lagu "Tolong Kami Bantu Kami"

Rujukan

sunting
  1. ^ Razali, Hidir Ali (2024). "Berhijrah ke Kuala Lumpur". P. Ramlee: Tiada Yang Kedua. Kuala Lumpur. m/s. 119. ISBN 9789672437871.

Pautan luar

sunting