Yusof Ishak

Presiden Singapura pertama

Tun Dato Laila Utama Haji Yusof bin Ishak, SMN, DK (Brunei), DUT (Singapura), KStJ (United Kingdom) (12 Ogos 1910 – 23 September 1970) merupakan Yang di-Pertuan Negara Singapura ke-2 dan terakhir serta Presiden Singapura yang pertama. Beliau dilahirkan di Padang Gajah, Terong , lebih kurang 18 batu dari Bandar Taiping, Perak Darul Ridzuan, Malaysia. Bapanya, seorang keturunan Minang, dan ibunya daripada Langkat, Sumatera Utara. Mereka berhijrah ke Pulau Pinang dan setelah itu ke Perak, Malaysia.


Yusof Ishak

DUT (Singapura); SMN (Malaysia); DK (Brunei); KStJ (United Kingdom)
يوسف إسحاق
Presiden Singapura pertama
Dalam jawatan
9 Ogos 1965 – 23 November 1970
Perdana MenteriLee Kuan Yew (1959–1990)
Didahului olehPejabat ditubuhkan
Digantikan olehBenjamin Sheares
Yang di-Pertuan Negara Singapura
Dalam jawatan
3 Disember 1959 – 9 Ogos 1965
Perdana MenteriLee Kuan Yew
Didahului olehWilliam Goode
Digantikan olehPejabat dimansuhkan
Butiran peribadi
LahirYusof Ishak
(1910-08-12)12 Ogos 1910
Padang Gajah, Trong, Taiping, Perak, Malaysia
Meninggal dunia23 November 1970(1970-11-23) (umur 60)
Singapura
Tempat persemadianTanah Perkuburan Negara Kranji, Singapura
KerakyatanSingapura
PasanganToh Puan Noor Aishah
BapaIshak Ahmad
HubunganAziz Ishak (adik)
Alma materSekolah rendah: Sekolah Victoria
Sekolah menengah: Institusi Raffles
PekerjaanWartawan
Laman web rasmiIstana Presiden Singapura

Latar belakang sunting

 
Yusof Ishak (barisan terakhir, ketiga dari kiri) dan keluarganya pada tahun 1933.

Tun Yusof adalah anak sulung di dalam keluarganya yang terdiri daripada 9 orang. Bapanya, Encik Ishak bin Ahmad, merupakan Pemangku Pengarah Perikanan Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Tun Yusof menerima pendidikan awal di sebuah sekolah Melayu di Kuala Kurau, Perak. Dua tahun kemudian, beliau dipindahkan ke Malay School (Sekolah Melayu) di Taiping dan pada tahun 1921, memulakan pengajian dalam aliran bahasa Inggeris di Sekolah King Edward VII, Taiping.

Pendidikan sunting

Pada 1923, bapanya telah berhijrah ke Singapura. Tun Yusof mengikuti keluarganya dan melanjutkan pelajaran di Victoria Bridge School sehingga Disember 1923.

Pada 1924, beliau menuntut di Institusi Raffles dan lulus Sijil Sekolah Cambridge (Cambridge School Certificate) pada 1927 dengan kepujian. Beliau kemudian diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di dalam kelas Queen's Scholarship.

Semasa di sekolah, beliau amat cenderung dalam bidang sukan. Di Institusi Raffles, beliau giat dalam sukan hoki, kriket, angkat berat dan tinju. Pada 1933 beliau menjadi juara tinju dalam kelas lightweight. Sebagai anggota Kor Kadet Sekolah beliau dinaikkan pangkat ke Leftenan Kedua dan menjadi pelajar tempatan pertama yang menyandang jawatan tersebut. Beliau juga merupakan ketua murid dan penyunting bersama majalah sekolah Rafflesian.

Kerjaya kewartawanan sunting

Setelah meninggalkan sekolah pada 1929, beliau bersama dua rakannya telah menerbitkan majalah bertajuk "Sportsman", sebuah majalah keluaran dua minggu yang membawa berita sukan. Pada 1932, beliau menganggotai syarikat 'Warta Malaya', sebuah akhbar Melayu yang terkemuka pada masa itu. Kebolehan kewartawanannya membolehkan beliau naik ke jawatan Pembantu Pengurus dan Pemangku Penyunting dalam masa yang singkat. Pada 1938, beliau meletak jawatan dari 'Warta Malaya' dan bersama beberapa rakan yang lain, telah menubuhkan syarikat 'Utusan Melayu Press Ltd'. Edisi pertama Utusan Melayu dikeluarkan pada Mei 1939 dengan Encik Yusof sebagai pengarah pertama syarikat tersebut.

Sewaktu Pendudukan Jepun (1942-1945) Tun Yusof berada di Malaya. Apabila Jepun menyerah kalah, beliau kembali ke Singapura pada 3 September 1945 dan menyambung semula pencetakan Utusan Melayu.

Pada 1948 Tun Yusof melawat Britain sebagai anggota delagasi First Press Delegation. Pada awal tahun 1957, beliau telah ke Jepun untuk memeriksa alat jentera terkini yang ditempah oleh 'Utusan Melayu'. Pada Mei di tahun yang sama, beliau telah ke Kuala Lumpur untuk menyelia pembinaan Bangunan Utusan. Semasa di Kuala Lumpur, Tun Yusof dilantik sebagai Presiden Press Club of Malaya.

Perlantikan awam sunting

Tun Yusof memegang beberapa jawatan penting dalam pemerintah Singapura. Dari 1948 ke 1950, beliau berkhidmat dalam Jawatankuasa Permohonan Filem (Film Appeal Committee). Beliau telah menjadi anggota Nature Reserves Committee selama setahun dan juga Malayan Organisation Commission. Pada Julai 1959, beliau dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Singapura. Pada 3 Julai 1965, Tun Yusof dijadikan Canselor Universiti Nasional Singapura.


Tun Yusof dilantik sebagai Yang di-Pertuan Negara Singapura pada 3 Disember 1959, menjadikan beliau orang tempatan pertama memegang jawatan tersebut. Sebagai ketua negara Singapura, beliau bersama isteri, Toh Puan Noor Aishah, telah melakukan lawatan rasmi yang pertama ke Kemboja pada April 1963. Pada bulan yang sama, mereka berdua telah ke kota suci Mekah untuk melaksanakan ibadah haji dan disambut sebagai tetamu negara kerajaan Arab Saudi. Sebuah lawatan rasmi juga telah dilakukan ke Ceylon (kini Sri Lanka) pada Mei 1963.

Kemerdekaan Singapura sunting

Pada 9 Ogos 1965, apabila Singapura berpisah dari Malaysia dan menjadi negara yang berdaulat, Tun Yusof dilantik sebagai presiden pertama. Beliau sekali lagi memegang jawatan ini untuk penggal ke-3 selama empat tahun bermula 4 Disember 1967 dan sepatutnya berakhir pada 3 Disember 1971.

Kematian sunting

Beliau telah meninggal dunia pada 23 November 1970 di Singapura sewaktu berusia 60 tahun akibat masalah jantung, dan disemadikan di Perkuburan Negara Kranji, Republik Singapura. Ketika beliau meninggal dunia, beliau belum lagi tamat tempoh penggalnya sebagai presiden.

Beliau telah diganti oleh Dr Benjamin Sheares, dan mengambil alih jawatan sebagai presiden kedua pada 3 Januari 1971.

Anugerah sunting

 
Masjid Yusof Ishak

Beliau telah dianugerahkan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K.) Kelas Pertama oleh Sultan Omar Ali Saifuddien III dari Brunei pada bulan November 1960 yang membawa gelaran Dato Laila Utama, dan Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N) yang membawa gelaran Tun oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada November 1963.

Pada 17 Ogos 2014, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengumumkan tiga penghormatan khas kepada bekas presiden pertama republik itu. Sebuah masjid baru di Woodlands akan dinamakan sempena nama beliau. Selain itu, Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS) dinamakan semula sebagai ISEAS Institut Yusof Ishak. Kerusi Profesor Yusof Ishak dalam jurusan Sains Sosial di Universiti Nasional Singapura juga ditubuhkan. Langkah-langkah pengiktirafan ini diumumkan semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan Singapura yang ke-49. Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam negara itu Dr Yaacob Ibrahim ditugaskan untuk merealisasikannya.[1]

Rujukan sunting