Ahmad Badawi Abdullah

ulama dan ahli politik Malaysia

Haji Ahmad Badawi Abdullah (13 Oktober 1907 – 7 Mei 1977) atau nama sebenar, Haji Ahmad bin Abdullah merupakan seorang ulamak dan ahli politik Malaysia kelahiran Makkah al-Mukarramah, Arab Saudi. Beliau merupakan antara pengasas Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS), dan menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS yang pertama. Walau bagaimanapun, beliau memilih untuk kekal bersama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), selepas PAS memansuhkan sistem dwi-keahlian. Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepala Batas dan Bertam, Pulau Pinang. Beliau juga pernah dilantik sebagai ahli Dewan Negara pada tahun 1964 hingga 1968.[1]

Datuk Haji

Ahmad Badawi Abdullah

J.M.N. (Kehormat), P.P.M.
ADUN Bertam, Pulau Pinang
Dalam jawatan
1974–1977
Didahului olehKonstituensi baharu
Digantikan olehAbdul Rahman Abbas
Ahli Dewan Negara
Dalam jawatan
1962–1968
ADUN Kepala Batas, Pulau Pinang
Dalam jawatan
1959–1974
Didahului olehKonstituensi baharu
Digantikan olehKonstituensi dibubar
Butiran peribadi
Lahir(1907-10-13)13 Oktober 1907
Syuib Ali, Makkah, Arab Saudi
Meninggal dunia7 Mei 1977(1977-05-07) (umur 69)
Parti politikUMNO (Malaysia).svg UMNO
PasanganKailan binti Hassan Kwantung
Anak-anak4 (Abdullah, Muhammad Tahir, Ibrahim, Aminah)
KediamanPulau Pinang Kepala Batas, Pulau Pinang
PekerjaanAhli politik, ulama

Anaknya iaitu Abdullah bin Ahmad Badawi merupakan Perdana Menteri Malaysia ke-5.

Latar belakangSunting

Haji Ahmad Badawi dilahirkan di Syuib Ali, Mekah pada 13 Oktober 1907. Ayah beliau, Sheikh Abdullah Fahim bin Ibrahim bin Tahir bin Kamaruddin al-Fathani adalah seorang ulamak besar di Mekah, sebelum menubuhkan Madrasah ad-Daerat al-Maarif al-Wathaniyah di Kepala Batas pada 1926, menjadi Mudir Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar (1932-1948) dan menjadi Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai sejak 1951. Dengan latar belakang keluarganya yang merupakan generasi ulamak-ulamak terkenal, Haji Ahmad Badawi berpeluang mengikuti pengajian agama dengan ulamak-ulamak Mekah sehingga 1920.

Haji Ahmad Badawi mendirikan rumahtangga bersama Kailan binti Hassan Kwantung dan dikurniakan 4 orang anak. Anaknya, Abdullah Ahmad Badawi adalah bekas Perdana Menteri Malaysia Kelima (2003-2008), manakala Ibrahim Ahmad Badawi adalah seorang ahli perniagaan terkenal dengan jenama “Brahim’s.” Dua orang lagi ialah Mohammad Tahir Ahmad Badawi dan Aminah Ahmad Badawi.

PendidikanSunting

Beliau kemudian belajar di Sekolah Arab Limbongan Kapal, Alor Setar ketika ayahnya mengajar di sekolah itu yang kini dikenali sebagai Maktab Mahmud antara 1920 hingga 1926. Pada akhir 1927, beliau telah kembali semula ke Mekah untuk belajar di sana selama 10 musim haji. Antara guru utama beliau di Mekah ialah Sheikh Syed Mohamad Amin. Beliau terkenal sebagai seorang pelajar yang aktif di Mekah sehingga digelar “Badwi” oleh rakan-rakannya. Beliau bergiat aktif dalam sukan dan mengasaskan kelab bola sepak al-Wahdah, iaitu kelab yang terkenal sekarang di Arab Saudi. Beliau juga aktif dalam Persatuan Melayu Hijaz yang satu ketika pernah dipimpin oleh Pak Yusof Rawa, di samping turut bergerak untuk membebaskan Palestin melalui badan “al-Badawi.”

Penglibatan dalam politikSunting

Setelah 10 tahun berada di Tanah Suci kerana menuntut ilmu, pada 1938, beliau telah pulang ke Kepala Batas untuk memimpin Madrasah ad-Daerat al-Maarif al-Wathaniyah yang ditinggalkan ayahnya kerana memimpin Madrasah Idrisiah sejak 1935.

Terlibat dalam UMNOSunting

Selepas Perang Dunia Kedua berakhir pada 1945, sebagai guru agama di Madrasah ad-Daerat al-Maarif al-Wathaniyah dan imam di Masjid Jamek Kepala Batas, beliau mula terlibat dalam politik dengan menyertai Persatuan Melayu Seberang Perai (PMSP) sebagai Ketua Pemuda. Pada 11 Mei 1946, PMSP telah bergabung menubuhkan UMNO, sekali gus membawa Haji Ahmad Badawi ke dalam UMNO dan menjadi Ketua UMNO Seberang Perai (1946-1950). Ketika Pergerakan Pemuda UMNO diasaskan pada 1949, Haji Ahmad Badawi dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaya (1949-1956), selain turut menduduki Jawatankuasa Kerja Agung UMNO (1952-1964).

Menubuhkan PASSunting

Sebagai pemimpin UMNO, Haji Ahmad Badawi telah menghadiri Persidangan Alim Ulamak Malaya Pertama di Muar pada 20-21 Februari 1950 dan Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951 yang membawa kepada penubuhan Pertubuhan Ulamak Malaya. Pada persidangan Pertubuhan Ulamak Malaya di Bagan Tuan Kechil (Butterworth) pada 24 November 1951, Haji Ahmad Badawi selaku Ahli Jawatankuasa Sambutan telah mengeluarkan “Manifesto al-Badawi: Ulamak ke Jalan Allah.”

Dalam persidangan ini, nama Pertubuhan Ulamak Malaya ditukar kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) dan Haji Ahmad Badawi terpilih sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS sesi pertama. Sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, pada 23 Mac 1952, beliau telah mengusulkan supaya PAS menubuhkan sebuah “Dewan Pemuda Islam” untuk menggerakkan pemuda-pemuda ahli PAS. Usul ini diluluskan pada 3 April 1952 dan Haji Ahmad Badawi dilantik menjadi Ketua Dewan Pemuda Islam.

Selain memainkan peranan utama menubuhkan Dewan Pemuda PAS, Haji Ahmad Badawi juga bertanggungjawab membawa PAS menyokong Konvensyen Kebangsaan (National Convention) tajaan UMNO-MCA pada 26 September 1953 dan menjadikan Madrasah ad-Daerat al-Maarif al-Wathaniyah yang dimudirinya sebagai Pejabat Agung PAS (1953-1954).

Memilih kekal bersama UMNOSunting

Memandangkan berlakunya krisis disiplin parti dalam PAS ketika ini kerana kebanyakan pimpinan PAS menganggotai lebih dari satu parti, pada 14 Ogos 1954, PAS telah menetapkan supaya pimpinannya tidak boleh menjadi ahli parti lain serentak, yang menyebabkan Haji Ahmad Badawi memilih untuk kekal bersama UMNO. Sejak itu, Haji Ahmad Badawi telah meninggalkan PAS ketika masih berjawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS.

Dalam UMNO, Haji Ahmad Badawi memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang (1957-1959), Ketua UMNO Seberang Perai / Kepala Batas (1950-1977) dan Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang (1975-1977). Beliau turut berperanan sebagai ADUN Kepala Batas (1959-1974), Ahli Dewan Negara (1962-1968),[2] ADUN Bertam (1974-1977), EXCO Kanan Kerajaan Negeri Pulau Pinang selaku Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam (1969-1977) dan pernah memangku jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang pada 1975. Di samping itu, beliau turut aktif dalam kepemimpunan masjid di Kepala Batas, mentadbir Madrasah ad-Daerat al-Maarif al-Wathaniyah dan memimpin badan-badan pentadbiran beberapa sekolah di sekitar Kepala Batas.

Pilihan rayaSunting

Kerusi yang ditandingi oleh Ahmad Badawi Abdullah[3][4]
Tahun Kawasan Calon Undi Lawan Undi Majoriti
1959 DUN Kepala Batas, Seberang Perai Haji Ahmad Badawi Abdullah (Perikatan) 3,969 Haji Ahmad Abdullah 1,569 2,400
1964 DUN Kepala Batas, Seberang Perai Haji Ahmad Badawi Abdullah (Perikatan) 4,531 Haji Yusof Abdullah Rawa (PAS) 1,562 2,969
Khaw Boon Pin (UDP) 524
Omar Mohamed Yusoff (PRM) 457
1969 DUN Kepala Batas, Pulau Pinang Haji Ahmad Badawi Abdullah (Perikatan) 3,858 Yahya Hassan (PAS) 2,938
Abdul Mulok Abu Bakar (Gerakan) 955
1974 DUN Bertam, Pulau Pinang Haji Ahmad Badawi Abdullah (Perikatan) MTB

Anugerah dan pengiktirafanSunting

Meninggal duniaSunting

Setelah 70 tahun berkhidmat, Ustaz Datuk Haji Ahmad Badawi Abdullah telah kembali ke rahmatullah pada 7 Mei 1977 semasa masih menjadi ADUN Bertam[5]. Abdul Rahman Abbas menggantikan beliau selepas memenangi pilihanraya kecil[6].

Baca lagiSunting

RujukanSunting

  1. ^ Mohd Fadli Ghani (10 Mei 2017). "Biografi PAS – Ustaz Haji Ahmad Badawi : Pengasas Pemuda PAS". Berita PAS. Dicapai pada 23 Jun 2020.
  2. ^ "Assembly Elects A Senator". The Straits Times. 27 September 1962. m/s. 6. Dicapai pada 23 Jun 2020.
  3. ^ http://studentsrepo.um.edu.my/385/10/APPENDIX.pdf
  4. ^ "Malaysia General Election 1964 - Penang State Assembly". Singapore-elections. Dicapai pada 23 Jun 2020.
  5. ^ Chamil Wariya (2004). Abdullah Ahmad Badawi: perjalanan politik PM ke-5. Kuala Lumpur: Utusan Publications. m/s. 95. ISBN 9676115347.
  6. ^ Choong Kwee Kim (14 Januari 2007). "Missing the simple pleasures". The Star. Dicapai pada 24 Jun 2020.