Air mawar

Air berperisa yang dihasilkan dengan menyeduh kelopak mawar dalam air panas

Air mawar ialah sejenis air berperisa yang dibuat dengan menyeduh atau merendam kelopak bunga mawar dalam air panas.[1][2] Di samping itu, ia merupakan bahagian hidrosol dalam sulingan kelopak mawar, sejenis hasil sampingan dalam penghasilan minyak mawar untuk digunakan dalam pewangi. Ia digunakan untuk memberi rasa kepada makanan, sebagai bahan dalam barangan kosmetik dan perubatan, dan untuk tujuan agama[2] di Eropah dan Asia.

Sebuah kilang air mawar kecil di Kashan, Iran

Iran merupakan tempat pengeluaran 90% air mawar sedunia.[3]

Sejarah sunting

Sejak zaman dahulu, bunga mawar telah digunakan dalam perubatan, pemakanan, dan sebagai pewangi. Yunani purba, Rom kuno dan Phoenicia berpendapat yang taman mawar sama penting dengan tanah tanaman seperti dusun-dusun dan ladang gandum.[4]

Pewangi mawar diperbuat daripada minyak mawar, juga dipanggil minyak atar mawar, iaitu sebatian minyak pati meruap yang didapati dengan menyuling wap kelopak-kelopak bunga mawar yang hancur. Air mawar ialah hasil sampingan dalam proses ini.[5] Penanaman bunga-bunga harum untuk memperoleh pewangi, termasuk air mawar, dapat dijejak ke zaman Empayar Sasan,[6] di mana ia dipanggil golāb (bahasa Parsi Pertengahan: گلاب, daripada گل gul "mawar" dan آب ab "air".[2] Proses menghasilkan air mawar dengan wap air diperhaluskan oleh ahli kimia Parsi dan Arab dalam Zaman Kegemilangan Islam yang membuka haluan kepada industri pewangi yang lebih cekap dan menguntungkan.[7]

Kegunaan sunting

Dalam makanan sunting

Air mawar mempunyai perisa yang tersendiri dan banyak digunakan dalam masakan Asia Barat—terutamanya lagi dalam halwa seperti nugat, halwa Inggeris,[1] dan baklava.

Di Iran, ia ditambah kepada teh, aiskrim, biskut, dan manisan lain dalam kuantiti yang sedikit. Dalam masakan Arab dan subbenua India ia digunakan untuk memerisa susu dan masakan tenusu seperti puding beras. Ia juga bahan yang penting dalam lassi, sejenis minuman diperbuat daripada yogurt, gula dan pelbagai jus buah, dan digunakan untuk membuat jallab.

Air mawar ditambah gula menjadi sirap mawar atau sirap ros yang boleh dibuat air sirap. Di Malaysia dan Singapura, air mawar berwarna merah dibandungkan (digabungkan) dengan susu sejat atau susu pekat manis yang menghasilkan minuman merah jambu manis dipanggil sirap bandung.

Air mawar selalunya digunakan juga sebagai bahan pengganti halal untuk wain merah dan apa-apa alkohol yang digunakan dalam masakan; Liga Perdana Inggeris memberi minuman air mawar kepada pemain Muslim sebagai pengganti champagne.[8] Ia kadangkala ditambah kepada lemonad, dan juga ditambahkan pada air untuk menutup bau atau rasa yang tidak menyenangkan dalam air dari paip.

Marzipan telah lama diperisakan dengan air mawar.[9] Air mawar juga digunakan untuk membuat biskut Waverly Jumbles. Pembuat biskut di Amerika dan Eropah menyukai perisa air mawar dalam masakan mereka hinggalah abad ke-19 apabila perisa vanila menjadi popular. Di wilayah Yorkshire di England, air mawar telah lama digunakan sebagai perasa dalam kuih terkenal wilayah itu; iaitu tat serikaya Yorkshire atau Yorkshire curd tart.

Kosmetik dan perubatan sunting

Di Eropah Zaman Pertengahan, air mawar digunakan untuk mencuci tangan di meja makan semasa jamuan.[10]

Air mawar ialah bahan biasa dalam minyak wangi. Ubat salap air mawar kadangkala digunakan sebagai pelembap, dan air mawar kadangkala digunakan dalam bidang kosmetik seperti krim sejuk, penyegar dan pencuci muka. Sifat antikeradangan dalam air mawar memberi kesan yang elok kepada masalah kulit seperti Rosacea dan ekzema.[11] Ada orang di India gunakan air mawar dalam bentuk semburan untuk muka sebagi pewangi semulajadi dan juga pelembab, terutama sekali di musim sejuk. Ia digunakan dalam manisan India dan makanan lain (seperti gulab jamun). Air mawar juga direnjis di majlis perkahwinan India untuk mengalu-alukan kedatangan tetamu.

Agama sunting

Air mawar digunakan dalam upacara-upacara berbilang agama seperti Islam,[12] Hindu[12] dan Majusi. Air yang digunakan untuk membersihkan Kaabah bercampurkan air dari telaga Zam-Zam dengan air mawar sebagai pewangi. Dalam pengebumian Islam di subbenua India dan Asia Tenggara, air mawar disiram dalam kubur sebelum meletakkan mayat. Ia juga digunakan dalam upacara Hindu juga. Air mawar juga ada dalam agama Kristian, terutama sekali di Gereja Ortodoks Timur.[13]

Dalam kepercayaan Baha'i, Kitab Tersuci (Kitab-i-Aqdas 1:76) menyuruh pengikut agama itu untuk gunakanlah air mawar.

Penghasilan dan pengedaran sunting

Kashan, Qamsar, dan Barzok ialah kawasan utama di Iran yang menghasilkan air mawar.

Komposisi sunting

Bergantung kepada menurut asal dan jenis kaedah penghasilan, air mawar didapati daripada salut bunga dan ranggi Rosa × damascena dari Iran Tengah dengan penyulingan wap. Komponen-komponen monoterpena dan alkana dapat dikenali dengan kromatografi gas: kebanyakannya sitronelol, nonadekana, geraniol dan alkohol fenil etil, dan juga henikosana, 9-nonadekena, eikosana, linalool, sitronelil asetat, metileugenol, heptadekana, pentadekana, dokosana, nerol, disiloksana, oktadekana, dan pentakosana. Selalunya, alkohol feniletillah punca asal bau air mawar tetapi ia tidak selalu muncul dalam hasil air mawar.[14]

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ a b "Rosewater recipes". BBC Food. Dicapai pada 21 Mei 2022.
  2. ^ a b c "GOLĀB". Encyclopaedia Iranica (dalam bahasa Inggeris). XI (ed. dalam talian). 2012. m/s. 58–59. ISSN 2330-4804. Dicapai pada 21 Mei 2022.
  3. ^ "Iran Meets 90% of Global Rosewater Demand". Financial Tribune (dalam bahasa Inggeris). 15 Jun 2019. Dicapai pada 16 April 2021.
  4. ^ "The rose in Ancient times". Rosense.uk.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 Julai 2011. Dicapai pada 30 Jun 2012. Unknown parameter |dead-url= ignored (bantuan)
  5. ^ Adamson, Melitta Weiss (2004). Food in Medieval Times. m/s. 29. ISBN 9780313321474.
  6. ^ Marks, Gil (17 November 2010). Encyclopedia of Jewish Food. HMH. ISBN 9780544186316 – melalui Google Books.
  7. ^ Ahmad Y Hassan, Transfer Of Islamic Technology To The West, Part III: Technology Transfer in the Chemical Industries, History of Science and Technology in Islam.
  8. ^ Gallagher, Ian (26 Ogos 2012). "Man of the match? Here's your rosewater and pomegranate: Premier League offers non-alcoholic alternative to champagne to avoid offending Muslim players". Daily Mail. Dicapai pada 24 Oktober 2014.
  9. ^ Adamson, Melitta Weiss (2004). Food in Medieval Times. m/s. 89. ISBN 9780313321474.
  10. ^ Food in Medieval Times By Melitta Weiss Adamson
  11. ^ "Rose water: Benefits, uses, and side effects". Medical News Today (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 3 Julai 2018.
  12. ^ a b Krishna Gopal Dubey (27 September 2010). The Indian Cuisine. m/s. 11. ISBN 9788120341708.
  13. ^ "Journey through Holy Week & Pascha". Holy Apostles Greek Orthodox Church. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Mac 2012. Dicapai pada 21 Februari 2019.
  14. ^ Loghmani-Khouzani, H; Fini Sabzi, O; Safari, J H (2007). "Essential Oil Composition of Rosa damascena Mill Cultivated in Central Iran" (PDF). Scientia Iranica. 14 (4): 316–319. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 20 Mac 2012.

Pautan luar sunting