Benut

mukim di Pontian, Johor, Malaysia

Koordinat: 1°38′N 103°16′E / 1.633°N 103.267°E / 1.633; 103.267

Benut adalah sebuah bandar di Daerah Pontian, Johor, Malaysia. Benut terletak di antara persimpangan menuju ke Batu Pahat dan Kluang. Pulau Pisang merupakan pulau yang terletak di Benut. Perkataan "Benut" berasal dari sebatang pokok dipanggil "asam bunut".

Benut

Nama asal pekan tersebut ialah Bunut. Oleh kerana masyarakat Cina yang mendiami kawasan ini agak sukar menyebut "Bunut" tetapi menyebut "Benut" lama kelamaan ia kekal menjadi Benut sehingga sekarang.

Populasi masyarakat Benut di dominasi oleh pelbagai kaum. Majoriti kaumnya ialah Bugis, Jawa, Melayu Asli, Cina dan sedikit India. Kaum Bugis, Cina dan India memonopoli bidang perniagaan seperti kedai runcit dan pemasaran hasil kampung. Kaum Jawa pula lebih kepada penanaman kelapa sawit dan tanaman buahan. Manakala Melayu Asli lebih kepada berniaga hasil tangkapan laut yang mana hasil tangkapan dijual terus kepada pelanggan serta lebih segar dan murah.

Perniagaan istimewa atau popular di Benut ialah penjualan barangan "Bundle" seperti peralatan terpakai elektrik, perhiasaan rumah, kerusi, meja dan lain-lain. Barangan tersebut amat berkualiti serta harga yang murah. Barangan terpakai ini di beli terus dari Singapura. Tempat tersebut terletak di Simpang Empat Benut menghala ke Simpang Renggam. Pada kebiasaannya aktiviti perniagaan dijalankan pada waktu malam sehingga jam dua pagi (mengikut hari-hari tertentu seperti musim-musim perayaan)

Benut mempunyai sebuah masjid yang besar dan indah. Ia terletak 500 meter dari simpang empat Benut menuju ke Batu Pahat. Terdapat juga surau-surau di sepanjang jalan ke Benut. Antara surau yang tercantik ialah Surau Nurul Falah Sungai Pinggan Benut. Ia terletak 500 meter dari simpang empat Benut ke Pontian. Surau tersebut telah dinobatkan sebagai surau paling cemerlang daerah Pontian. Kriteria tersebut berdasarkan kepada aktiviti-aktivitinya, kebersihan, pengimarahan jemaah setiap waktu dan pengurusan yang efisyen. Surau tersebut mempunyai dewan serbaguna sendiri yang dinamakan Balai Islam. Aktiviti yang dijalankan di Balai Islam tersebut ialah kelas Tajwid Al-Quran, kelas fardhu ain, gotong royong, aktiviti-ktiviti kemasyarakatan dan mesyuarat jawatankuasa disamping pegawai-pegawai yang menerajui biro-biro.

Nama kampung-kampung di Benut mempunyai mitosnya yang tersendiri seperti Sungai Pinggan, Sepah Beruang, Puteri Menangis, Parit Gantung, dan membawa hingga ke pekan Sanglang dan Ayer Baloi. Cerita mitos tersebut amat popular dikalangan masyarakat tempatan. Di percayai, suatu ketika dahulu ada seorang Puteri Bunian yang di amanahkan untuk menjaga pinggan mangkuk bagi kenduri kahwin masyarakat Bunian. Terdapat juga orang-orang kampung yang meminjam pinggan tersebut tetapi tidak dipulangkan semula disebabkan ada yang dirosakkan oleh beruang yang banyak ketika itu (Kg. Sepah Beruang). Keadaan itu menyebabkan Puteri yang menjaga pinggan (Kg. Sungai Pinggan) kecewa lalu menanggis sepanjang masa (Kg. Puteri Menanggis). Akhirnya Puteri tersebut menggantung dirinya (Kg. Parit Gantung). Kematian Puteri ini disebarkan oleh burung-burung helang (Sang Helang/Sanglang) kepada semua penduduk kampung. Semua penduduk meratapi kematian Puteri Bunian sehingga mengalirkan air mata yang banyak (Ayer Baloi).

Tarikan pengunjung ke Benut yang lain ialah memancing udang galah sepit biru di Sungai Benut dan di Sungai Pinggan. Pada waktu cuti atau hari kelepasan umum, ramai pengunjung datang ke Sungai Pinggan untuk memancing udang galah. Tempat memancing khas telah dibina seperti jeti di tebing sungai. Walau bagaimanapun terdapat kaki-kaki pancing yang memancing di tepi jambatan, walaupun keadaan ini tidak digalakkan kerana risiko kemalangan.

Tempat-tempat makan seperti restoran atau kedai makan amat mudah didapati disepanjang jalan pekan Benut. Pengunjung boleh mencuba masakan yang lazat seperti ikan bakar, tom yam, masakan laut, sate, rojak, makanan tradisional dan lain-lain. Antara restoran yang popular di Benut ialah Restoran Tomyam YANEE, Restoran Burhani, Restoran Singgahsana, Restoran Asam Pedas (di hadapan SMK Sri Tanjung) Restoran Raudhah dan lain-lain. Manakala kedai roti canai yang popular di Benut ialah Kedai Roti Canai Kari Kambing (dari simpang empat menuju ke Pontian) dan Kedai Roti Canai yang terletak berhadapan dengan Balai Polis Benut.

Apabila berkunjung ke Benut pada hari Sabtu, di sebelah pagi hingga tenggah hari terdapat Pasar Lambak di Pekan Benut atau lebih popular dipanggil Tanjung. Pasar lambak di sini menjual aneka barangan runcit, pakaian, barangan keperluan harian, makanan, makanan tradisional bugis iaitu Burasak, kuih muih seperti putu piring, putu bambo, apam balik, buahan tempatan, petai, jering, sayuran kampung, ikan, siput sedut dan bermacam-macam lagi. Harga yang ditawarkan amat berpatutan.

Kemudahan prasarana juga memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi dan sosial di Benut. Kemudahan sekolah-sekolah menengah dan rendah banyak terdapat disini seperti Sekolah Menengah Benut, Sekolah Menengah Sri Tanjung, Sekolah Rendah Sri Tanjung, Sekolah Rendah Kebangsaan Benut dan lain-lain. Manakala sekolah agama pula ialah Sekolah Agama Bandar Benut yang menawarkan pembelajaran darjah satu hingga darjah enam. Terdapat juga sekolah agama penuh yang menawarkan pembelajaran kokorikulum sekolah kebangsaan di waktu pagi dan subjek agama di sebelah petang iaitu Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) bertempat di Jalan Kampung Lama Benut.

Kemudahan-kemudahan lain juga terdapat disini seperti Pejabat Pos Benut, BOMBA SUKARELAWAN, Balai Polis Benut, Balai Raya atau Dewan Orang Ramai Benut, Pasar Borong (yang beroperasi seawal 4 pagi hingga 8 pagi), Pasar Basah, Padang Futsal, Gelanggang Skateboard di Dataran Dato' Jalok, khidmat ATM Maybank di Pejabat Pos, ATM RHB di Stesen Minyak Petronas, ATM AMBank di 7-Eleven, Bank Rakyat Xcess dan Bank Simpanan Nasional. Stesen minyak di Benut pula ialah Petronas, BHP dan Shell. Manakala stesen pengangkutan awam bas dan teksi atau kereta sewa terletak di Pekan Benut (Tanjung). Untuk mendapatkan kemudahan perubatan, disini terdapat Klinik Kesihatan Kecil sementara berhadapan dengan SMK Sri Tanjung, Klinik Rashid, Klinik Mohamad dan Klinik Tan & Lam. Terdapat juga homestay yang popular seperti Homestay Tawakal yang terletak berhampiran dengan Balai Polis Benut. Homestay tersebut menawarkan harga yang cukup berpatutan jika anda bermalam di Benut. Jika anda memerlukan penginapan yang lebih selesa lagi, anda boleh mengunjungi Homestay Parit Pinang bertempat di jalan menuju ke Simpang Renggam (4 kilometer dari simpang empat Benut).

Di simpang empat Benut kini telah dimajukan lagi dengan pembangunan yang pesat. Kepesatannya begitu drastik selaras dengan agenda pembangunan luar bandar. Terdapat pasaraya bertaraf "hyper market" seperti pasaraya Target di simpang empat, Pasaraya Ino Sepadu di jalan menuju ke Tanjung, Pasaraya YSL di Tanjung,Syarikat Perniagaan Tajimas di Sungai Pinggan menghala ke Pontian dimilikki oleh bumiputera & dijamin halal yang menjual barangan segar dan sejuk beku seperti ayam,daging dan lain untuk kegunaan harian,perkahwinan serta akikah & qurban dan lain-lain yang telah pun memulakan operasinya. Bagi pengunjung-pengunjung, berikut adalah cadangan tempat-tempat membeli sarapan pagi:-

1). KEDAI ROTI CANAI LEMAN (Pekan Sanglang) - 8 KM menuju jalan ke Pontian dari Benut.

2). KEDAI HAWA NASI AMBENG (Tepi Jalan Pt. Jambi Darat) 8 KM jalan ke Batu Pahat dari Benut.

3). MEDAN SELERA TANJUNG (Sebelah Perhentian Bas)

4). KOPITIAM RENGIT (Pekan Rengit)

5). KEDAI MAKAN JURIAH KACANG POOL (PARIT TENGAH)

Jika sesiapa yang pernah berkunjung ke Benut beberapa tahun yang lalu, pasti akan terkejut dengan perubahan yang drastik apabila mereka berkunjung kembali ke Benut pada hari ini.


Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah ia dengan templat tunas yang lebih spesifik.