Pasukan Simpanan Persekutuan
Pasukan Simpanan Persekutuan (Bahasa Inggeris: Federal Reserve Unit) atau lebih dikenali dengan singkatan FRU telah ditubuhkan sebagai sebuah pasukan khas yang boleh dikerah tanpa mengira waktu untuk bertindak secara tegas dan sistematik terhadap sebarang rusuhan atau Perhimpunan Haram yang berlaku di Malaysia.
Sejarah
suntingPasukan ini ditubuhkan sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan iaitu pada 5 Disember, 1955. Bermula dengan 3 terup di awal penubuhannya, FRU telah menempa kejayaan mengatasi masalah ketenteraman awam seperti pemogokan, tunjuk perasaan dan rusuhan yang berlaku di awal tahun 1950-an. Pada akhir tahun 1990-an, FRU juga memainkan peranan yang penting dalam menangani rusuhan yang tercetus akibat penangkapan Anwar Ibrahim.
Peranan
suntingPeranan pasukan ini khusus untuk menyuraikan perhimpunan haram, penumpasan rusuhan dan menjalankan tugas-tugas lain berkaitan dengan keadaan Ketenteraman Awam. Unit ini adalah serba lengkap dan berkemampuan, bermobiliti tinggi dan menjadi Unit Simpanan Ketenteraman Awam. Apabila unit ini tidak terlibat dalam tugas-tugas Ketenteraman Awam, mereka boleh digunakan oleh Pegawai Memerintah dalam tugas membantu Ketua Polis Daerah, Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas yang merangkumi:-
- Tugas mencegah jenayah seperti rondaan khas sebagai tambahan kepada rondaan Bit/Patrol di kawasan yang sering berlaku jenayah;
- Bantuan keanggotaan semasa bencana (banjir, kebakaran, tanah runtuh, nahas udara dan lain-lain ) untuk menyelamatkan nyawa, memindahkan penduduk, mengepong kawasan dan mencegah rompakan;
- Operasi polis secara besar-besaran seperti kepongan dan pemeriksaan, penapisan, rondaan intensif dan lain-lain
- Tugas Kawalan Orang Ramai semasa lawatan orang kenamaan, sukan, perarakan, perhimpunan dan lain-lain.
Oleh sebab peranannya yang semakin penting, pasukan ini telah diperbesarkan kepada 7 unit, dengan jumlah keanggotaan pada 2003 seramai 2,481 orang. Setiap unit, mengandungi 3 terup. Di samping itu FRU juga mempunyai unit water canon, unit berkuda dan institusi latihan di Sungai Senam, Ipoh, Perak. Sejajar dengan keperluan semasa dan tuntutan undang-undang, serta bagi melicinkan perlaksanaan tugas, satu terup khas wanita telah diwujudkan dan terup ini berpangkalan di Unit 1 & 4 di Cheras, Kuala Lumpur.
Prestasi FRU ini dikenali sehingga ke peringkat antarabangsa. Ini jelas apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memohon kepada PDRM bagi menempatkan pasukan pencegah rusuhan di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Timor Leste. Pasukan ini ditugaskan untuk mengawal rusuhan dan ketenteraman awam di sebuah negara yang baru mencapai kemerdekaan.
Organisasi
suntingSetiap pangkalan FRU mempunyai sayap ibupejabatnya sendiri dengan tiga terup (iaitu trup 'A', 'B' dan 'C'). Setiap trup terdiri dari dua seksyen Baton, iaitu seksyen senjata rifel/gas pemedih mata/grened, seksyen pengawal kenderaan, dan anggota lain seperti pemandu, pencatat buku harian, jurugambar, penterjemah, penembak tepat, pengendali semboyan dan mempunyai pasukan simpanannya yang sendiri.
Selain itu pasukan ini juga menjalankan tugas-tugas pencegahan jenayah bg membantu ketua polis daerah dalam usaha mengurangkan kadar jenayah.Di samping itu FRU telah menunjukkan kejayaan yang tidak boleh dipertikaikan lagi apabila dipertanggungjawabkan untuk mengarak Panji-Panji DiRaja ketika menjalankan tugas kawalan kehormatan.
Penugasan
suntingBeberapa Terup PSP sebagaimana yang ditentukan oleh Pengarah Jabatan KDN/KA hendaklah dikekalkan sebagai Simpanan KPN.Mereka tidak boleh ditugaskan kecuali dengan arahan atau dengan terlebih dahulu mendapat kelulusan Pengarah Jabatan KDN/KA.
Ibu pejabat
suntingSetiap Unit FRU ditempatkan secara strategik dibeberapa kawasan bandar utama diseluruh Malaysia:-
- FRU No 1 - Kuala Lumpur
- FRU No 4 - Kuala Lumpur
- FRU No 2 - Johor Bahru, Johor
- FRU No 3 - Pulau Pinang
- FRU No 5 - Ipoh, Perak
- FRU No 6 - Kuala Terengganu, Terengganu
- FRU No 7 - Seremban, Negeri Sembilan
- Terup Wanita - Jalan Semarak, Kuala Lumpur
- Unit Berkuda - Kuala Lumpur
- Sekolah Latihan FRU - Ipoh, Perak
Operasi yang diketahui
sunting- Peristiwa 13 Mei 1969 - Rusuhan perkauman yang mengorbankan seramai 196 orang, dan 149 orang cedera. Pasukan polis dan tentera (terdiri daripada Rejimen Askar Melayu Diraja dan Rejimen Renjer Diraja) berjaya mengawal keadaan daripada terus berpanjangan.[1]
- 1985 - Terlibat dalam operasi penangkapan Ibrahim Libya ketika insiden Memali di Baling, Kedah.
- 1998 - Operasi mengawal rusuhan akibat penangkapan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Anwar Ibrahim.[2]
- 2007 - Terlibat dalam operasi menangani rusuhan daripada kumpulan Hindu Right Action Force (HINDRAF) yang memprotes terhadap dasar diskriminasi kerajaan. Para perusuh yang melibatkan kaum Hindu seramai 8,000 orang berjaya disuraikan oleh polis dengan lima orang ahli kumpulan HINDRAF ditahan dan dibicarakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).[3]
- 2008 - FRU bersama-sama dengan Angkatan Tentera Malaysia dan agensi-agensi sivil untuk mengendalikan insiden tanah runtuh Bukit Antarabangsa.[4]
- 2018 - 700 orang anggota polis termasuk FRU dikerahkan ke Subang Jaya, Selangor akibat daripada pergolakan dan rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariamman yang berpanjangan sehingga dua hari membabitkan dua buah kumpulan berkaitan isu pemindahan kuil tersebut.[5]
Rujukan
sunting- ^ "Race War in Malaysia". Time. 23 May 1969. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-05-18. Dicapai pada 2018-12-25.
- ^ "Islamic Radicalism in Malaysia: the Middle East connection)" (PDF). YUSOFF KAMARUZAMAN. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 14 August 2006. Dicapai pada 14 August 2006. Unknown parameter
|deadurl=
ignored (bantuan) - ^ POLICE ATTEMPTS TO SABOTAGE HINDRAF FORUM IN SEMENYIH ON 6.10.2007 Diarkibkan 12 Februari 2009 di Wayback Machine
- ^ "BUKIT ANTARABANGSA TRAGEDY: Temporary halt to search-and-rescue ops". BERNAMA. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 December 2008. Dicapai pada 7 December 2008. Unknown parameter
|deadurl=
ignored (bantuan) - ^ "Polis berkawal di kuil Seafield, One City selepas kematian Adib". 18 December 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-12-28. Dicapai pada 2018-12-25.
Pautan Luar
sunting- (Inggeris) Rencana mengenai FRU Diarkibkan 2007-03-12 di Wayback Machine
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Pasukan Simpanan Persekutuan |