Impak Maksima ialah sebuah filem aksi permotoran Malaysia 2007 yang bertemakan aksi lumba kereta haram yang melibatkan teknik drifting. Filem arahan Ahmad Idham yang membariskan bintang muda termasuk Awal Ashaari dan Cat Farish serta pelakon terkenal Eizlan Yusof ini ditayangkan di 59 buah pawagam Malaysia dan Brunei[2] sejak 23 Ogos 2007, dan mengutip sebanyak RM 2 juta sepanjang tayangannya di Malaysia.[1] Inilah kali kedua Ahmad Idham mengarah sebuah filem bertema perlumbaan haram selepas Remp-It yang kontroversi pada tahun 2006.[3]

Impak Maksima
PengarahAhmad Idham
Dihasilkan olehAhmad Idham
Dibintangi
Syarikat
penerbitan
Tarikh tayangan
  • 23 Ogos 2007 (2007-08-23)
Masa tayangan
90 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
BajetRM 1.53 juta[1]
Pecah panggungRM 2.06 juta[1]

Filem Impak Maksima turut disusuli oleh dua buah siri TV (Impak Maksima the Series dan Rempit vs Impak Maksima) dan sebuah pementasan muzikal Impak Maksima the Musical.Idea untuk tajuk filem ini lahir daripada sebuah lagu daripada kumpulan KRU iaitu Impak Maksima.

Plot sunting

Ayie (Awal Ashaari) ialah seorang anak muda yang masih menuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi. Ayie amat gemar dengan sukan bermotor iaitu lumba kereta, Ayie sering melibatkan diri dengan perlumbaan kereta haram dan melepak bersama 2 orang rakan baiknya iaitu rakan sekolej Loyai (Cat Farish) dan Amran (Opie Zami), seorang mekanik kereta. Ayie sering ditegur oleh abangnya, Johari (Eizlan Yusof) yang telah menjaganya semenjak ibubapanya meninggal dunia. Johari mengusahakan sebuah bengkel kereta di mana tempat Amran bekerja. Suatu ketika dahulu, Johari seorang pelumba rally profesional tetapi telah berhenti kerana tidak mahu adiknya mengikut jejaknya.

Ayie juga begitu terkenal di kalangan pelajar-pelajar kolej, Ayie telah terserempak dengan seorang bernama Eva Liana (Yatt) yang begitu cantik dan telah menarik perhatiannya. Tumpuan Ayie lebih diberikan kepada Eva, sehingga sudah mula kurang untuk berlumba dan melepak dengan rakan-rakan. Suatu hari Loyai didatangi Ray (Zul Huzaimy), seorang pusher dan terkenal dengan aktiviti haramnya. Ray ingin mencabar Ayie dalam satu perlumbaan Drag tetapi Ayie telah menolak kerana Ayie sudah ada temu janji dengan Eva Liana. Tanpa pengetahuan Loyai, Amran telah bertemu dengan Ray untuk menerima pelawaan Ray dengan mempertaruhkan wang sebanyak lima ribu ringgit.

Pada hari yang dijadualkan, maka berlangsunglah perlumbaan antara Amran dan Ray. Berita kekalahan Amran telah diketahui Loyai. Loyai dan Ayie sama-sama mencari Amran kerana mereka tahu bahawa Amran berada di dalam bahaya. Dalam pada mereka berbincang, Ray tiba untuk memukul Amran dan Amran yang panik telah melarikan diri dengan keretanya. Berlakulah adegan kejar mengejar di antara mereka, keadaan bertambah tegang apabila polis peronda melihat mereka membawa kereta begitu laju dan telah mengejar mereka. Ketika cuba melarikan diri daripada di kejar polis Amran telah terbabit dalam kemalangan, Ayie yang melihat kejadian tersebut cuba menyelamatkan Amran tetapi Amran tidak dapat diselamatkan dan Ayie telah ditahan atas tuduhan memandu secara berbahaya di jalan raya.

Johari kecewa dengan kejadian yang menimpa Amran dan Ayie. Di balai, Johari telah didatangi Maria, seorang polis menyamar yang telah lama menjejaki aktiviti Ray. Mereka berbincang dan satu cara sahaja yang boleh menyelamatkan Ayie. Polis meminta Johari mengaturkan perlumbaan dengan Ray untuk menangkap Ray dan Johari telah meminta pertolongan Loyai untuk mengaturkannya. Johari yang sudah lama berhenti berlumba telah berlatih semula dengan bantuan Loyai.

Pelakon sunting

 
Awal Ashaari berlakon sebagai Ayie di dalam filem ini.
  • Awal Ashaari sebagai Ayie, pelumba haram drift, pelajar universiti dan adik kepada Johari
  • Eizlan Yusof sebagai Johari, abang kepada Ayie dan pemilik bengkel dan bekas pelumba
  • Zul Huzaimy sebagai Ray, ketua sindiket dadah dan lumba haram
  • Cat Farish sebagai Loyai, kawan kepada Ayie dan Amran serta orang tengah perlumbaan
  • Yatt Hamzah sebagai Eva, teman wanita Ayie
  • Dynas Mokhtar sebagai Maria, pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang menyamar sebagai perempuan simpanan Ray
  • Opie Zami sebagai Amran, Kawan kepada Ayie dan Loyai yang mempunyai masalah hutang
  • Sari Yanti sebagai Siti, anak kepada Uncle Wan dan teman wanita Loyai
  • M. Rajoli sebagai Uncle Wan, ayah kepada Siti dan pemilik kedai makan
  • Azizah Mahzan sebagai Mak Eva
  • Hafidzuddin Fazil sebagai Bapa Eva
  • Riezman Khuzaimi sebagai Adam, kawan kepada Johari dan pelumba kereta professional
  • Azlan Komeng sebagai Abang Long, ceti haram
  • Diya AF5 sebagai Ila
  • Riz Amin sebagai Detektif I, anggota JSJ yang membantu penyamaran Maria (tidak dinamakan)

Penampilan khas (cameo)

  • Nurul Alis sebagai Kawan kepada Adam
  • Raja Kamal sebagai Mekanik peribadi kepada Johari
  • Tengku Djan Ley sebagai Kawan kepada Adam
  • Ming See Hui 'Ah Fai' sebagai Fai, orang kanan Ray
  • Wazi Abdul Hamid sebagai Ketua motorsikal

(Nota:Ketiga-tiga adalah pelumba drift professional yang bertindak memberi teknikal pengendalian kereta drift)

Ulasan sunting

Ulasan filem Impak Maksima dalam media tidaklah amat memberangsangkan, dengan kebanyakkannya yang menyelitkan teguran mengenai penggunaan CGI dalam aksi-aksi lasak dalam filem ini. Portal gua.com.my memberikan markah 4/10 kepada filem ini, sambil membandingkan persamaan jalan cerita dengan Remp-It dengan ulasan berikut: "Aksi-aksi perlumbaan kereta juga tidak terlalu memberangsangkan. Trek yang digunakan langsung tidak mencabar dan ia hanya dipaparkan untuk tempoh yang sangat singkat. Selain itu, terdapat juga adegan-adegan yang tidak logik dipaparkan. Salah satunya aksi tersebut ialah apabila sekumpulan anak muda membuat ‘show’ sebelum perlumbaan bermula. Siap dengan ‘sound system’. Realitinya, perkara sebegini tidak berlaku di negara ini. Mungkin terpengaruh dengan filem dari barat. Selain itu, adegan kereta yang meletup juga nampak tidak ‘real’. Nampak sangat bukan kejadian yang sebenar. Lebih palsu lagi ketika adegan Ray yang memandu go–kart menyelit di bawah perut treler."[3]

Ulasan Cinema Online juga tidak berkenan dengan ketertonjolan CGI yang tidak realistik dalam beberapa babak, termasuk pelanggaran kereta dan aksi go-kart di bawah treler, yang menimbulkan kesan seolah-olah "kartun", di samping beberapa watak yang 'tidak perlu' dalam filem seperti Maria dan Eva, namun memberi pujian kepada Zul Huzaimy yang dikatakan sebagai antagonis filem kegemaran dalam industri tempatan.[4]

Ulasan Berita Harian pula mengulas bahawa filem ini mempunyai plot yang ringkas tanpa dialog berjela, iaitu "pelakonnya menggunakan dialog pendek, selain permainan ekspresi atau mimik muka saja" dalam usaha Ahmad Idham mengimbangi drama dan aksi. Ulasnya lagi, "lakonan Eizlan dan Zul Huzaimy kali ini cukup memberangsangkan. Riak muka Eizlan selepas berjaya menghimpit kereta yang dipandu oleh Zul sudah cukup difahami oleh penonton. Begitu juga ketika Eizlan mencampakkan kunci kereta kepada adiknya, Ayie tanpa sepatah dialog pun. Zul juga tidak banyak ‘bercakap’ tetapi berjaya menghidupkan wataknya dengan aksi menyakitkan hati. Inilah yang dikehendaki penonton."

Sambutan sunting

Ketika dibuka di pawagam, Impak Maksima menduduki tangga kedua dalam carta kutipan pawagam (23 – 26 Ogos 2007)[5], kemudian jatuh satu anak tangga ke tempat hujung minggu berikutnya[6], sebelum menghabiskan hujung minggu terakhirnya dalam carta 10 teratas di tangga ke-7 6–9 September[7]. Dengan belanja sebanyak RM 1.53 juta yang dihabiskan untuk pembikinan, Impak Maksima berjaya mengumpul kutipan sejumlah RM 2.061[8] juta sepanjang tayangannya.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ a b c "Sekilas catatan ringgit filem Melayu". Kosmo!. 30 Julai 2009. Dicapai pada 23 April 2010.
  2. ^ Zainuri Misfar (21 Ogos 2007). "Aksi Impak Maksima Ada Mesej Tersendiri". Berita Harian. Dicapai pada 23 April 2010.[pautan mati kekal]
  3. ^ a b Impak Maksima, gua.com.my, 1 Oktober 2007.
  4. ^ Impak Maksima, CinemaOnline.
  5. ^ Charts Week of 23 August 2007-29 August 2007, Cinema.com.my.
  6. ^ Charts Week of 30 August 2007-5 September 2007, Cinema.com.my.
  7. ^ Charts Week of 6 September 2007-12 September 2007, Cinema.com.my.
  8. ^ TAYANGAN FILEM CEREKA TEMPATAN 2007, FINAS.

Pautan luar sunting