Joanne Kathleen Rowling

(Dilencongkan dari J.K. Rowling)

Joanne Kathleen Rowling (Tulisan Jawi: جوان كتلين رووليڠ; lahir 31 Julai 1965) atau lebih dikenali sebagai J.K. Rowling, merupakan pengarang novel United Kingdom. Beliau dilahirkan pada 31 Julai 1965 di Chipping Sodbury, dekat Bristol, England. Beliau kini tinggal di Edinburgh, Scotland, Rowling menjadi sensasi kesusasteraan antarabangsa pada tahun 1999 apabila tiga siri pertama novel remaja Harry Potter mengambil alih tiga tempat teratas dalam senarai New York Times best-seller selepas memperoleh kejayaan yang sama di United Kingdom. Rezeki Rowling semakin bertambah apabila siri ke-4, Harry Potter and the Goblet of Fire diterbitkan pada bulan Julai tahun 2000. Siri ini menjadi buku paling laris jualannya dalam sejarah.

Joanne Katheen Rowling, penulis novel Harry Potter (2006).


Perintis Harry Potter sunting

Sebagai seorang graduan Universiti Exeter, Rowling berpindah ke Portugal pada tahun 1990 untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris. Di sana dia berjumpa dan berkahwin dengan seorang wartawan Portugis. Anak perempuan mereka, Jessica, dilahirkan pada tahun 1993. Selepas perkahwinannya berakhir dengan penceraian, Rowling berpindah ke Edinburgh bersama-sama dengan anaknya dan tinggal berhampiran dengan rumah adik perempuan Rowling. Rowling menghadapi masalah untuk menyara diri dan anaknya dan semasa itu, beliau mula menulis sebuah buku. Rowling dikatakan mendapat idea tentang penulisan buku itu sewaktu dalam perjalanan menaiki kereta api dari Manchester ke London pada tahun 1990. Selepas beberapa kali ditolak, Rowling berjaya menjual buku itu, Harry Potter and the Philosopher's Stone untuk jumlah sebanyak AS$4,000.

Menjelang musim panas pada tahun 2000, tiga buku pertama Harry Potter: Harry Potter and the Sorcerer's Stone, Harry Potter and the Chamber of Secrets, dan Harry Potter and the Prisoner of Azkaban telah mengaut keuntungan lebih kurang AS$480 juta dalam masa tiga tahun, dengan cetakan melebihi 35 juta naskhah dalam 35 buah bahasa. Pada Julai 2000, Harry Potter and the Goblet of Fire telah dicetak buat pertama kalinya sebanyak 5.3 juta naskhah dengan tempahan tambahan sebanyak 1.8 juta naskhah. Rowling, yang kini merupakan salah seorang daripada wanita terkaya di Britain, merancang untuk mengarang tujuh buah buku bagi siri tersebut yang setiap satunya meriwayatkan setiap tahun dalam hidup Harry Potter, iaitu seorang budak sihir dan kumpulan rakannya yang bermacam-macam di Sekolah Sihir Hogwarts. Buku kelimanya, Harry Potter and the Order of the Phoenix, telah mula dipasarkan pada 12 tengah malam 21 Jun 2003, serentak di seluruh dunia selepas lebih kurang 3 tahun buku keempat diterbitkan.

Buku keenam, Harry Potter and the Half-Blood Prince, juga telah dilancarkan secara rasminya serentak di seluruh dunia pada 12.01 malam 16 Julai 2005. Untuk melancarkan buku itu, beliau mengadakan keraian istimewa di Kastil Edinburgh. Beliau melibatkan diri dalam beberapa temu ramah dan meluangkan masa dengan pembaca kanak-kanak yang meminati bukunya. Setakat ini, majlis pelancaran buku keenam di seluruh dunia lebih mendapat perhatian daripada pelancaran buku Harry Potter yang lain.

Dari Buku ke Layar Perak sunting

Harry Potter and the Sorcerer’s Stone telah diterbitkan di layar perak di bawah arahan Chris Columbus yang mula ditayangkan pada 16 November 2001. Pada hujung miggu pembukaannya di Amerika Syarikat, ia telah menempa rekod dengan keuntungan dianggarkan AS$93.5 juta (AS$20 juta lebih banyak dari pemegang rekod terdahulu iaitu filem 1999, The Lost World: Jurassic Park). Pada hujung tahun itu, ia telah menjadi filem paling banyak mendapat untung kasar pada 2001. Sekuel filem bagi siri ini, Harry Potter and the Chamber of Secrets, mula ditayangkan pada 15 November 2002 dan menjadi filem ketiga bagi pembukaan hujung minggu terbaik dalam sejarah pecah panggung.

Filem ketiga, Harry Potter and the Prisoner of Azkaban telah mula ditayangkan pada 4 Jun 2004 manakala filem keempat, Harry Potter and the Goblet of Fire telah ditayangkan di Malaysia pada 17 November 2005. Filem kelima pula adalah pada 12 Julai 2007.

Keluarga sunting

Penghujung Disember 2001, Rowling berkahwin dengan Dr. Neil Murray di rumah mereka di Scotland. Anak kedua mereka dan anak lelaki pertama mereka, David Gordon Rowling Murray, dilahirkan pada 24 Mac 2003, di Royal Infirmary, Edinburgh. Untuk menjaga anaknya itu, Rowling mengatakan yang dia akan kurang muncul di khalayak ramai dan menandatangani buku kelima yang pada ketika itu baru dilancarkan. Tak berapa lama selepas mengumumkan yang buku keenam siri Harry Potter telah sempurna dikarang, Rowling melahirkan anak perempuan pada 23 Januari 2005 dan dinamakan Mackenzie Jean Rowling Murray.

Kini, J .K. Rowling telahpun menerbitkan buku ketujuh dan penamat bagi siri tersebut pada 21 Julai 2007. Beliau mengatakan yang beliau tidak akan menyambung lagi siri itu dan beliau ingin mencuba mengarang suatu genre yang baru.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

Pautan luar sunting