Harry Potter dalam Piala Api


Harry Potter dalam Piala Api ialah terjemahan Bahasa Melayu karya asal J. K. Rowling iaitu Harry Potter and the Goblet of Fire. Buku ini telah diterbitkan di United Kingdom oleh Bloomsbury dan di Amerika Syarikat oleh Scholastic Inc. pada 8 Julai 2000, menandakan julung kali ia dierbitkan secara serentak di kedua-dua negara. Buku ini memenangi Anugerah Hugo pada tahun 2001, satu-satunya buku Harry Potter yang memenanginya. Buku ini telah difilemkan pada 18 November 2005 dan permainan video oleh Electronic Arts.

Buku / Novel
Hogwarts
Hogwarts

Harry Potter dalam Piala Api
Siri Keempat
Pengarang Asal Joanne Kathleen Rowling (J. K. Rowling)
Penterjemah Tidak diketahui
ISBN ISBN 983-00-1577-7
Kod Buku SHPM5304
Saiz 130mm x 187mm, 750 g
Genre Tidak diketahui
Terbitan Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.
Negara Tidak diketahui
Bahasa Bahasa Melayu
Tahun Keluaran 2005
Bilangan Muka Surat 714
Harga Tidak diketahui

Sinopsis sunting

Apabila perlawanan Quidditch Piala Dunia dicemari oleh insiden amuk para penyokong Voldemort serta kemunculan Tanda Kuasa Jahat, jelas bahawa Voldemort bukan semakin lemah tetapi sebaliknya! Tanda-tanda penting kebangkitan semula Raja Kuasa Jahat ke dunia ajaib menjadi alamat bagi kecundangnya satu-satunya manusia yang terselamat daripada sumpahan maut Raja Kuasa Jahat itu, Harry Potter. Jadi, apabila nama Harry Potter tersenarai sebagai wira Kejohanan Ahli Sihir Trio yang sangat berprestij tetapi amat berbahaya, dia tahu matlamatnya bukan untuk memenangi kejohanan itu, tetapi melaksanakan semua tugasan dengan selamat.

 






Plot sunting

 

Piala Dunia Quidditch sunting

Buku ini dimulakan dengan kisah pembunuhan misteri keluarga Riddle yang berlaku di Little Hangleton. Penduduk kampung berhampiran mengatakan suspek utama pembunuhan ialah pekebun bagi keluarga itu iaitu Frank Bryce kerana pembunuhan tersebut amat mencurigakan dan begitu juga identiti Frank. Bab ini memaparkan babak Lord Voldemort bersama-sama Peter Pettigrew/Wormtail dan Nagini merancang suatu yang buruk. Frank Bryce menerima padah kerana mengintip perbualan mereka.

Harry mengalami mimpi buruk di pertengahan musim panas dan parutnya menjadi semakin sakit. Dia ingin memberitahu seseorang mengenainya tetapi dia tidak memikirkan Ron atau Hermione sebagai orang yang sesuai. Dia juga tidak merasakan Profesor Dumbledore juga perlu diganggu hanya kerana hal yang temeh ini. Kini, terlintas di fikirannya hanya seorang yang sesuai iaitu bapa angkatnya, Sirius Black.

Kemudian, Puan Weasley menghantar surat untuk memberitahu Keluarga Dursley bahawa mereka akan datang menjemput Harry di rumah mereka. Ron memberitahu bahawa bapanya sudah mendapatkan tiket ke Piala Dunia. Maka, Keluarga Weasley akan menjemput Harry untuk ke Piala Dunia seperti yang dijanjikan. Walau bagaimanapun, perkara tersebut turut merisaukan Harry walaupun dia gembira untuk keluar dari rumah itu kerana keluarga Weasley belum pernah berjumpa keluarga Dursley.

Maka, adik-beradik Weasley, Ron, Fred dan George serta bapa mereka menjemput Harry ke rumah mereka di Burrow. Hal ini tidak disukai Keluarga Dursley terutamanya Pak Cik Vernon dan berharap mereka berkelakuan seperti orang biasa. Malangnya, kekecohan berlaku sebaik sahaja mereka datang (kerana menggunakan serbuk Floo sedangkan rumah keluarga Dursley tidak menggunakan pendiangan api) dan begitu juga setelah mereka keluar dari rumah keluarga Dursley itu.

Kekecohan berlaku disebabkan Fred dan George mencicirkan barangan ciptaan mereka di rumah Dursley dan menyebabkan kemarahan ibu bapa mereka (terutama sekali Molly Weasley yang sangat kecewa akan keputusan PSB mereka dan cita-cita mereka untuk membuka kedai menjual barangan yang 'tidak berguna'). Kemudian, mereka semua sekeluarga (semua Keluarga Weasley, Harry dan Hermione makan malam bersama di halaman dan menghabiskan waktu itu dengan sangat menarik dengan perbualan dan sakat yang sudah tentu daripada Fred dan George sendiri.

Pagi-pagi lagi Harry dikejutkan bersama-sama Ron, Hermione, Ginny, Fred dan George. Mereka bersarapan awal dan harus mengikut Encik Weasley untuk ke kawasan perkhemahan memandangkan mereka perlu berjalan sedikit dan bukan seperti Percy, Bill dan Charlie yang boleh melakukan Muncul Tiba-tiba kerana mereka sudah mempunyai lesen. Mereka bertolak dari rumah ke Bukit Stoathead lalu berjumpa dengan Amos Diggory dan anak lelakinya, Cedric dan bersama-sama, mereka menggunakan pintu gerbang (yang dijampi pada sebiji kasut buruk) untuk ke kawasan perkhemahan mereka.

Di tapak perkhemahan, segalanya berjalan agak lancar melainkan mengenai pertembungan budaya dan cara ketika semua ahli sihir ingin berkelakuan seperti Muggle dan adakala mereka terlalu mendedahkan yang mereka ialah ahli sihir. Hal ini merisaukan pihak kementerian yang berusaha mengelakkan Muggle tahu akan kedatangan ahli sihir. Ketika itu, Harry dan yang lain terjumpa ramai ahli sihir yang pelbagai dari serata dunia dan tidak kurang juga kenalan mereka dari sekolah. Dalam kesibukan, Encik Ludo Bagman dan Barty Crouch sempat menyinggah khemah mereka sebelum mereka ke padang perlawanan malam itu.

Mereka menuju ke tempat perlawanan dan mereka duduk di petak utama bersama beberapa orang dari kementerian termasuklah Menteri Sihir sendiri, Cornelius Fudge. Harry dan yang lain amat tidak sabar-sabar menantikan perlawanan itu bermula dan keadaan pada malam itu adalah sangat meriah dengan ribuan ahli sihir dari serata dunia. Ketika itu juga mereka terserempak dengan keluarga Malfoy dan terjumpa seekor elf rumah betina yang bernama Winky.

Kemudian, perlawanan antara pasukan negara Ireland dan Bulgaria dimulakan dengan persembahan maskot masing-masing. Selepas itu, perlawanan bermula dan ramai yang mengagumi Viktor Krum iaitu seorang seeker pasukan Bulgaria.

Selepas mereka balik ke khemah dan tidur, tiba-tiba terjadi suatu kekecohan berlaku di kawasan perkhemahan. Muggle telah diserang dan kebakaran berlaku. Semua orang melarikan diri masuk ke hutan. Begitu juga Harry, Hermione dan Ron yang dalam perjalanan mereka ke hutan sebelum mereka disakat oleh Draco Malfoy. Dalam hutan, mereka terdengar sesuatu dan Tanda Kuasa Jahat muncul di langit. Serentak itu, pegawai kementerian muncul tiba-tiba lalu menyoal Harry, Ron dan Hermione tentang siapa yang melakukannya. Terdapat perbalahan tentang siapa yang melakukannya apabila mereka menemui Winky bersama-sama tongkat sihir Harry di tempat kejadian. Selepas semuanya tampak reda, mereka kembali ke khemah untuk berehat sebentar sebelum pulang.

Mereka pulang ke rumah keluarga Weasley dan menerima khabar tentang malam tadi. Perkara tersebut tidak berhenti begitu sahaja apabila Kementerian Sihir menerima banyak maklum balas dan ulasan tentang keselamatan di malam Perlawanan Piala Dunia itu. Tambahan pula, keadaan diburukkan dengan rencana Rita Skeeter yang disiarkan di akhbar-akhbar. Pada bab ini juga didedahkan hari-hari terakhir mereka sebelum penggal persekolahan bermula yang kecoh dengan pelbagai perkara daripada cerita kementerian kepada karenah adik-beradik Weasley.

Kejohanan Ahli Sihir Trio sunting

Sebelum bertolak ke sekolah, kemurungan mula kelihatan di kalangan mereka kerana terlalu seronok ketika cuti. Walau bagaimanapun, pagi itu timbul kekecohan apabila Amos Diggory melaporkan kemalangan di rumah Mad-Eye Moody kepada Encik Weasley dan menyebabkan Puan Weasley bersama dua orang anak lelakinya yang tua perlu menghantar mereka ke stesen kereta api di Platform 9 3/4 walaupun keadaan hujan. Tetapi, mereka telah menimbulkan pertanyaan mereka yang hendak bertolak kerana mereka mengatakan suatu perkara akan berlaku di Hogwarts.

Ketibaan mereka di sekolah adalah seperti biasa dan inilah kali pertama Harry mendengar Topi Penyisih menyanyikan lagu selepas kali terakhir dia mendengarnya ketika mula-mula masuk ke Hogwarts. Upacara penyisihan berlaku seperti biasa dan ketibaan Moody (sebagai guru ganti bagi subjek Pertahanan Terhadap Ilmu Hitam) mengejutkan semua orang.

Kemudian, pengetua, Profesor Dumbledore mengumumkan yang pada tahun itu, Hogwarts telah terpilih untuk menganjurkan Kejohanan Ahli Sihir Trio yang berprestij dalam dunia sihir. Walau bagaimanapun, ia menjadi halangan buat Harry kerana pelajar di bawah umur 17 tahun tidak dibenarkan mencalonkan nama untuk bertanding.

Hari-hari pertama persekolahan pada tahun keempat Harry pun bermula. Dari kelas Herbologi yang pelu belajar mengumpulkan nanah Ubi Bubo hinggalah ke Peramalan. Walau bagaimanapun, mereka kagum mendengar kebolehan Moody dalam melawan Ilmu Hitam di kelas Pertahanan Terhadap Ilmu Hitam sehingga mereka tidak sabar-sabar untuk masuk ke kelasnya. Tetapi, jauh dari sangkaan apabila mereka melihat suatu yang dilakukan oleh Moody yang melucukan hati mereka.

Kelas Posyen mereka tidak begitu menggembirakan seperti selalu. Bab ini mendedahkan bagaimana Profesor Moody mula mengajar Harry akan Pertahanan Terhadap Ilmu Hitam yang mana mereka menyentuh tentang bab Sumpahan yang Tidak Terampun iaitu sumpahan yang akan menghantar sesiapa yang melakukannya ke Azkaban. Pengajaran Moody tentang bab sumpahan ini mengagumkan tetapi tetap menakutkan malah ia mengembalikan kenangan pahit cerita-cerita ketika kekuasaan Voldemort.

Hermione mula memperkenalkan Persatuan bagi Meningkatkan Kebajikan Elf atau SPEW (Maksudnya muntah dalam bahasa Inggeris) yang makin menjengkelkan Harry dan Ron. Kali ini, Harry membalas surat kepada Sirius untuk tidak merisaukannya atas hal parutnya. Kemudian, pelajaran Pertahanan Terhadap Ilmu Hitam amat tidak menggembirakan apabila Profesor Moody mengenakan Sumpahan Imperius untuk mengajar pelajarnya menentang sumpahan itu. Hanya Harry yang berjaya menentangnya walaupun ia amat menyakitkan. Pada malam 30 Oktober, semua pelajar Hogwarts menyambut kedatangan delegasi dari Beauxbatons dan Durmstrang di hadapan istana. Kedatangan delegasi tersebut mengagumkan mereka yang tidak pernah menjumpai pelajar sihir dari sekolah lain melainkan pelajar Hogwarts. Yang paling teruja apabila kemasukan pengetua Beauxbatons iaitu Puan Maxime dan yang amat mengejutkan Ron, mereka terlihat Viktor Krum.

Setelah delegasi dari Beauxbatons dan Durmstrang tiba semuanya, jamuan diadakan dan diikuti dengan pelancaran Kejohanan Ahli Sihir Trio. Profesor Dumbledore memberi ucapan berkenaan dengan kejohanan itu, tentang peraturan dan keselamatan. Ketika itu juga, Piala Api diperkenalkan sebagai hakim yang akan memilih siapa yang akan bertanding dalam kejohanan itu. Oleh kerana pelajar di bawah 17 tahun tidak dibenarkan menyertai, tiada apa perlu difikirkan Harry akan hal itu melainkan hanya bergurau tentang keinginannya untuk turut serta.

Walau bagaimanapun, tidak dipercayai apabila malam pemilihan dibuat, terdapat nama keempat selain tiga nama yang sepatutnya diterima. Dan hal itu mengejutkan semua apabila ia tidak pernah berlaku dan nama itu pula ialah nama “Harry Potter”.

Peristiwa kemunculan nama Harry dari muncung Piala Api tidak menggembirakan sesiapapun. Malah, ia merisaukan Dumbledore dan menimbulkan kemarahan pihak Beauxbatons dan Durmstrang memandangkan piala itu memilih dua wakil dari Hogwarts iaitu Harry dan Cedric Diggory. Walau bagaimanapun, mereka tiada jalan lain melainkan membenarkan Harry turut serta mengambil risiko yang sangat bahaya dalam kejohanan ini.

Berita tersebut tersebar luas dan sudah tentu di kalangan rakan pelajar Gryffindor. Malangnya, semua mendesak rahsia bagaimana nama Harry boleh muncul sedangkan Harry tidak mengetahuinya. Harry sedaya upaya menafikannya tetapi rakan baiknya sendiri, Ron tidak mempercayainya malah bersikap cemburu.

Kecemburuan Ron meresahkan Harry. Hal yang berlaku diceritakan kepada Sirius memandangkan dia perlu memberitahunya. Malah, harinya bertambah buruk apabila hampir seluruh sekolah menyokong Cedric dan mengutuk Harry tentang perkara yang telah berlaku. Hal ini menambahkan peluang Malfoy mengenakannya. Ketika kelas Posyen, Harry dipanggil untuk upacara menimbang tongkat. Di sana, dia menemui wartawan Daily Prophet, Rita Skeeter dan Rita mengajak Harry untuk ditemu ramah tetapi ia bukan suatu yang menarik apabila Rita amat mendesak dan mereka-reka. Mujur Profesor Dumbledore menjumpai mereka dan Harry diselamatkan untuk menjalankan proses menimbang tongkat oleh Encik Ollivander sakti bersama para wira lain. Kemudian, Harry mendapat berita dari Sirius yang ingin berjumpa dengannya.

Berita yang ditulis Rita Skeeter tidak menggalakkan langsung apabila ia hanya sebuah rekaan yang meluat. Hermione mengajak Harry keluar ke Hogsmeade dan di sana Hagrid bersama-sama Moody terserempak dengan Hermione di kedai Tiga Penyapu (memandangkan Harry menyorok di bawah jubah halimunan. Hagrid memberitahu Harry untuk berjumpa dengannya pada waktu malam dan meminta hal itu dirahsiakan.

Pada malamnya, Harry mengikut Hagrid (yang bersama-sama Puan Maxime kemudiannya) melihat empat ekor naga yang berada dalam kurungan. Ketika itu, dia mengenali jenis-jenis naga dan hal itu menjadikannya takut kerana dia bakal berhadapan dengan makhluk itu. Harry segera pulang ke ruang tamu Gryffindor memandangkan bapa angkatnya ingin berjumpa dengannya.

Setelah mengetahui apakah tugasan pertama yang bakal diharungi, Harry sedaya upaya mencari cara untuk menewaskan naga itu tetapi malangnya tidak dijumpai. Harry juga merasakan yang dia patut berasa adil dengan memberitahu Cedric akan tugasan mereka memandangkan Harry fikirkan yang wira dari Beauxbatons dan Durmstrang iaitu Fleur Delacour dan Viktor Krum telahpun mengetahuinya kerana pengetua mereka telah melihat naga tersebut malam itu.

Kemudian, Moody mengajak Harry ke pejabatnya dan di sana Moody mencungkil idea Harry untuk memikirkan cara terbaik yang dia boleh lakukan untuk melepasi naga bagi tugasan pertamanya. Dengan bantuan itu dan pertolongan Hermione, Harry berjaya menangani Naga Tebuan Kayu Hungary hinggakan Harry mendapat tempat pertama, seri dengan Krum. Yang menggembirakan Harry lagi apabila Ron telah berbaik dengannya semula.

Harry mendapat sebiji telur emas dari tugasan pertamanya sebagai pembayang bagi tugasan kedua. Malangnya, apabila telur dibuka, tiada apa yang muncul melainkan suara nyaring yang menyakitkan telinga. Pada keesokannya pula, Rita Skeeter datang ke kelas Penjagaan Terhadap Makhluk Ajaib dan menemu ramah Hagrid dan hal itu tidak disenangi Harry kerana dia telahpun mengenali Rita.

Kemudian, Hermione mengajak Harry dan Ron ke dapur Hogwarts dan mereka menemui suatu yang tidak disangka iaitu Dobby dan Winky di sana.

Tari-Menari Krismas dan Duyung sunting

Para pelajar kini kecoh tentang Majlis Tari-Menari yang akan muncul tidak lama lagi. Walau bagaimanapun, majlis tersebut lebih membebankan bagi Harry berbanding tugasan untuk berhadapan dengan naga ganas kerana dia terpaksa mencari pasangan untuk menari.

Minggu terakhir penggal sebelum cuti Krismas amat menggalakkan pelajar untuk bersukaria dan mendorong para guru untuk tidak terlalu menekankan kepada pelajaran. Masa inilah Harry terpaksa mencari pasangan tariannya sebelum terlambat. Akhirnya, Harry akan keluar dengan Parvati Patil dan Ron pula dengan kembarnya, Padma Patil. Walaupun lega setelah mendapat pasangan, mereka berdua kini musykil tentang siapa yang akan menjadi pasangan Hermione untuk malam Krismas nanti.

Krismas semakin menjelang tiba dan seluruh sekolah kini sibuk dengan persiapan untuk malam yang dinanti-nantikan itu. Pada pagi Krismas seperti biasa, Harry dan yang lain di dalam bilik asramanya sibuk membuka balutan hadiah dan salah satu hadiah yang diterima Harry adalah daripada Dobby.

Menjelang malamnya, banyak warga sekolah bersiap awal untuk majlis tari-menari. Harry dan Ron bertemu dengan pasangan masing-masing tapi mereka masih belum bertemu dengan pasangan Hermione. Sebelum memasuki dewan, Harry terlihat perempuan cantik yang menjadi pasangan Viktor Krum dan agak lambat untuk dia perasan bahawa perempuan itu ialah Hermione. Para wira tiba di meja makan masing-masing bersama pasangan mereka dan berkongsi meja dengan para pengadil.

Selepas jamuan, tarian dimulakan oleh para wira bersama pasangan mereka. Walau bagaimanapun, mood Harry terganggu apabila Ron (yang baru menyedari Hermione berpasangan dengan Krum) bertengkar dengan Hermione. Mereka keluar dari dewan dan terserempak Profesor Snape bersama Igor Karkaroff. Kemudian mereka turut terserempak dengan Hagrid bersama Puan Maxime.

Selepas tamat cuti Krismas, penggal baru dimulakan. Walau bagaimanapun, dalam kelas Penjagaan Makhluk Ajaib, Hagrid tidak kelihatan mengajar tetapi Profesor Grubbly-Planck yang menggantikan tempatnya. Walaupun kelas Profesor Grubbly-Planck lebih menarik dan selamat, Harry tetap ingin mencari Hagrid. Punca kehilangan Hagrid diketahui selepas Harry, Ron, Seamus, Dean dan Neville membaca artikel akhbar yang ditulis oleh Rita Skeeter. Rita menulis tentang Hagrid yang berketurunan separa gergasi dan itu memalukan Hagrid.

Di kedai minum Tiga Penyapu di Hogsmeade, Harry, Ron dan Hermione terjumpa dengan Rita Skeeter lalu Hermione memarahi Rita kerana artikel yang menghina Hagrid. Selepas itu, mereka menuju ke rumah Hagrid untuk memujuknya. Di sana, Profesor Dumbledore telahpun berada di sana untuk niat yang sama. Akhirnya, Hagrid memutuskan untuk tidak mengendahkan artikel Rita.

Kali ini, Harry terpaksa menurut apa yang dinasihatkan oleh Cedric Diggory untuk mengetahui pembayang yang ada di dalam telur emasnya. Dia terpaksa menggunakan bilik air pengawas untuk tujuan itu. Di sana, dia terserempak dengan Myrtle Mengerang yang berada di dalam bilik air tersebut. Myrtle membantu Harry walaupun keadaan begitu menjengkelkan Harry. Harry harus membuka telur tersebut di dalam air dan menyelam untuk mendengarnya.

Setelah dapat pembayang dari telur tersebut, Harry pulang ke asrama. Di pertengahan jalan, Harry terlihat di muka Peta Penjarahnya akan titik yang menunjukkan kehadiran Bartemius Crouch di pejabat Snape. Oleh kerana perasaan ingin tahu menebal, dia menuju ke pejabat yang menyebabkan dia hampir ditangkap oleh Encik Filch dan Profesor Snape. Mujurlah Profesor Moody muncul lalu menyelamatkan keadaan. Walau bagaimanapun, kehadiran Bartemius Crouch di pejabat Snape masih menimbulkan tanda tanya.

Hari untuk tugasan kedua hampir tiba. Harry semakin berdebar kerana dia masih belum menjumpai apa-apa petunjuk untuk membantunya melakukan tugasan yang kedua iaitu menyelam ke dalam air selama sejam. Pada malam sebelum tugasan kedua berlangsung, Harry terpaksa meneruskan pencarian dari buku yang melambak-lambak di hadapannya apabila Ron dan Hermione menghilang setelah dipanggil Profesor McGonagall.

Mujurlah pada pagi beberapa minit sebelum tugasan bermula, Dobby mengejutkan Harry dari tidur dan memberinya "Gillyweed" atau "Rumpai Insang" yang membolehkan Harry bernafas di dalam air buat masa yang lama. Tugasan bermula dengan kehadiran Harry yang hampir lewat. Para wira ditugaskan untuk menyelamatkan rakan mereka yang berada di dalam tasik dalam tempoh yang ditetapkan iaitu satu jam. Harry ditugaskan untuk menyelamatkan Ron. Walau bagaimanapun, Harry menunggu para wira yang lain tiba untuk menyelamatkan rakan mereka sebelum dia membawa Ron. Tetapi, disebabkan Fleur tidak muncul, maka Harry turut menyelamatkan adik Fleur iaitu Gabrielle. Perkara tersebut membuatkan Harry menjadi orang yang terakhir muncul di permukaan. Mujurlah Dumbledore mengetahui perkara yang sebenar dan Harry berada di tempat pertama bersama Cedric.

Sebelum Harry dapat berjumpa dengan bapa angkatnya, akhbar Daily Prophet mengeluarkan artikel yang memfitnah Hermione pula. Artikel itu menceritakan bagaimana Hermione 'menyakitkan hati Harry untuk berdampingan dengan Viktor Krum'. Yang teruknya, mereka membaca akhbar tersebut dalam kelas Posyen. Profesor Snape pula mengesyaki Harry telah curi masuk ke pejabatnya.

Pada hujung minggu ketika mereka dibenarkan keluar, mereka berjumpa dengan Sirius secara sembunyi dan membincangkan hal tentang Harry dan kebarangkalian punca masalah yang berlaku di Hogwarts termasuk latar belakang beberapa ahli sihir seperti Encik Crouch, Karkaroff dan Ludo Bagman.

Rencana fitnah tempoh hari menyebabkan Hermione mendapat surat cacian dan sumpahan buruk daripada ramai orang luar. Sementara itu, Harry dan yang lain belajar haiwan Niffler dalam kelas Hagrid.

Kebangkitan Lord Voldemort sunting

Pada suatu malam, Ludo Bagman mengadakan sesi penerangan ringkas tentang tugasan ketiga yang akan datang. Selepas sesi tersebut, Krum mengajak Harry bersiar-siar dan mereka terjumpa Encik Crouch yang berada dalam keadaan kurang siuman. Harry cuba mendapatkan Profesor Dumbledore sementara Krum menjaga Encik Crouch. Malangnya, Profesor Snape cuba melengahkan Harry tetapi mujurlah Profesor Dumbledore muncul juga akhirnya. Setelah mereka di sana, mereka mendapati Encik Crouch telah hilang dan Krum telah diserang.

Misteri tentang kehilangan Encik Crouch dibualkan Harry dengan Ron dan Hermione. Perkara yang berlaku ketika Snape melengah-lengahkan Harry turut diperkatakan sebagai alasan semua itu boleh berlaku. Dalam kelas Peramalan, Harry tertidur dan bermimpi tentang Lord Voldemort bersama ularnya, Nagini dan Wormtail. Maka, dia minta keuar dari kelas dan berjumpa dengan Profesor Dumbledore. Di pejabat pengetua, Harry terdengar suara Menteri Sihir, Cornelius Fudge yang berang.

Harry memasuki pejabat pengetua setelah kehadirannya diketahui oleh Profesor Moody. Ketika Profesor Dumbledore dan Profesor Moody mengiri menteri tersebut, Harry terlihat suatu besen batu yang mempunyai cahaya keperakan. Dia menyentuh objek yang berada di dalamnya dengan tongkat sakti. Kemudian, dia merasakan dia telah berada di tempat lain yang bukan lagi pejabat Dumbledore.

Harry menyedari yang kini dia berada dalam suatu perbicaraan yang dihadiri Dumbledore dan 'Mad-Eye' Moody. Tetapi, Harry menyaksikan Karkaroff dikurung dan disoal siasat. Karkaroff menawarkan semua nama yang pernah terlibat menjadi Death Eater. Kemudian, dia turut menyaksikan Ludo Bagman dan anak Encik Crouch dibicarakan. Setelah kembali ke pejabat Dumbledore, Harry menceritakan tentang mimpinya dan bertanyakan maksud di sebaliknya serta perkara yang dilihat dalam memori Dumbledore tadi.

Menjelang tugasan ketiga, persoalan Hermione semakin kuat tentang bagaimana Rita Skeeter mengetahui kebanyakan cerita sedangkan dia tiada di tempat-tempatnya. Walau bagaimanapun, itu tidak mengganggunya untuk mengajar Harry jampi-jampi dan mantera-mantera yang mungkin dapat membantu Harry dalam tugasan ketiganya. Sebelum tugasan ketiga, keluarga para wira telah dijemput tetapi bagi Harry, keluarga Weasley menjadi wakil. Perkara tersebut menggembirakan Harry kerana risau memikirkan apa yang akan terjadi sekiranya keluarga Dursley yang muncul.

Tugasan bermula setelah para wira bersedia dan mereka memasuki kota sesat mengikut giliran. Di dalam kota sesat, para wira berhadapan dengan pelbagai jenis sihir dan haiwan ajaib. Akhirnya, setelah mengharungi pelbagai halangan dan serangan, Harry dan Cedric bersetuju untuk bersama-sama mendapatkan Piala Ahli Sihir Trio.

Piala yang dipegang mereka membawa mereka ke tanah perkuburan. Di sana, Wormtail telah diarahkan Voldemort untuk membunuh Cedric dan mengikat Harry agar upacara menjelmakan tubuh Voldemort akan dapat dijalankan. Wormtail yang ditanggungjawabkan untuk menjalankan upacara tersebut menggunakan tulang bapa Voldemort, darah Harry dan dagingnya sendiri agar dapat memenuhi ramuan dan jampi untuk membentuk tubuh badan Voldemort. Dengan lengkapnya upacara tersebut, Lord Voldemort kini telah bangkit semula.

Setelah 'dilahirkan semula', Voldemort memanggil semua Death Eater mengadapnya untuk mengetahui siapa yang masih setia dengannya setelah menghilang selama 13 tahun. Setelah mereka semua tiba, Voldemort mempersoalkan kesetiaan mereka pula kerana tidak berusaha mencarinya sebelum ini.

Voldemort turut menceritakan keadaannya selama dia berada dalam keadaan buangan tanpa jasad, bagaimana dia berharap untuk kembali berkuasa dan bagaimana dia merancang untuk berlakunya kejadian malam itu. Setelah puas bercerita, dia meminta Wormtail membuka ikatan Harry.

Setelah Harry dilepaskan, Voldemort 'mempelawa' Harry untuk berperang tanding dengannya. Dalam ingatan Harry, dia pernah berperang tanding hanya ketika menyertai Kelab Perang Tanding dua tahun dahulu. Voldemort memaksa Harry tunduk dan perang tanding dimulakan.

Serangan bertubi-tubi keluar dari tongkat sakti mereka sambil disaksikan oleh ramai Death Eater di tepi mereka. Pada suatu ketika ketika mereka melakukan sihir serentak, terdapat satu jalinan terbentuk di antara mereka berdua dan tongkat sihir Voldemort mula mengeluarkan jelmaan sihir yang pernah dilakukan termasuk jelmaan orang yang pernah dibunuhnya. Jelmaan tersebut membantu Harry melepaskan diri dari Voldemort dan pulang ke Hogwarts bersama jasad Cedric.

Kesan sunting

Kini Harry telah kembali ke perkarangan Hogwarts dan seluruh sekolah terkejut dengan kematian Cedric. Dalam kekecohan itu, Profesor Moody mengheret Harry ke dalam sekolah lalu terus ke pejabatnya. Mad-Eye bertanyakan tentang apa yang telah terjadi dan Harry dengan berat hati dan sakit menerangkan kepadanya.

Ketika itu, temberang Mad-Eye terbongkar lalu dia mengaku dialah yang merancang segala perkara untuk memastikan Voldemort kembali dan memasukkan nama Harry ke dalam Piala Api. Mujurlah Profesor Dumbledore, Profesor McGonagall dan Profesor Snape muncul lalu memegunkan Barty yang ingin menyerang Harry. Dengan memberikannya Serum Verita, orang tersebut menerangkan segalanya dan mengaku yang dia ialah Barty Crouch Jr., anak Encik Crouch yang pernah dilihatnya dalam memori Dumbledore sebagai Death Eater. Alastor Moody yang sebenar turut ditemui.

Setelah mengetahui kebenaran di sebalik apa yang berlaku sepanjang tahun tersebut, kini Dumbledore pula ingin mengetahui perkara sebenar yang telah terjadi di kawasan perkuburan itu. Dia juga menerangkan kepada Harry (dan Sirius yang turut berada di situ) tentang jalinan yang terbentuk di antara tongkat sakti Voldemort dan Harry.

Selepas itu, Harry diarahkan untuk tidur di hospital. Walau bagaimanapun, tidurnya terganggu apabila Cornelius Fudge bertengking dengan Profesor McGonagall dan Snape. Dia menafikan akan Voldemort telah kembali malah telah membiarkan Dementor mencium Barty Crouch Jr. Walaupun diyakinkan oleh Harry dan Dumbledore, dia tetap tidak menerima hakikat yang Voldemort telah kembali. Kini, Fudge bermusuhan dengan pihak sekolah dan terutama sekali Dumbledore.

Harry menemui ibu bapa Cedric untuk menyerahkan duit kemenangan tetapi telah ditolak oleh mereka. Harry juga menyedari Dumbledore telahpun memulakan rancangannya. Jamuan Perpisahan pula diadakan serentak dengan upacara memperingati Cedric Diggory. Dumbledore memberikan ucapan tentang Cedric dan pernyataan yang mengejutkan semua orang iaitu Voldemort telah kembali.

Akhirnya delegasi sekolah lain pulang dan ketika dalam perjalanan pulang di dalam gerabak kereta api, Hermione telahpun menyelesaikan misteri bagaimana Rita Skeeter mendapatkan segala sumber untuk dijadikannya fitnah dalam akhbar. Wang ganjaran yang diperoleh Harry hasil kemenangannya telah diberikan kepada Fred dan George Weasley disebabkan rasa kurang enak untuk memilikinya kerana kemenangan bukan berpihak kepada dirinya seorang. Kini, Harry pulang semula ke rumah Dursley untuk cuti musim panas yang panjang.

Tajuk bab sunting

Siri Harry Potter rekaan J. K. Rowling

The Sorcerer's/Philosopher's Stone buku filem
The Chamber of Secrets buku filem
The Prisoner of Azkaban buku filem
The Goblet of Fire buku filem
Order of the Phoenix buku filem  
The Half-Blood Prince buku filem  
The Deathly Hallows buku filem pertama dan kedua  

WatakTempatSihirSubjek - Objek - Makhluk - Buku