Albus Percival Wulfric Brian Dumbledore (Tulisan Jawi: البوس ڤرسيۏال وولفريك براين دمبلدور; lahir 1881 - mati Jun 1996) merupakan salah satu watak di dalam novel bersiri Harry Potter yang ditulis oleh J. K. Rowling yang memegang jawatan Pengetua Sekolah Sihir Hogwarts. Beliau adalah seorang ahli sihir yang bijaksana dan paling dihormati di dunia Sihir. Beliau berperanan sebagai pembimbing atau mentor kepada watak utama dalam siri itu, iaitu Harry Potter seperti mana konsep perwatakan Merlin atau Gandalf. Beliau selalu mengambil berat terhadap Harry Potter dan memberikan dorongan kepada Harry lebih dari yang lain. Hal ini berlaku kerana kepercayaan beliau yang Harry adalah satu-satunya orang yang diharapkan untuk menghapuskan Lord Voldemort, walaupun beliaulah satu-satunya yang ditakuti ahli sihir jahat itu. Beliau juga merupakan pengasas dan ketua Kumpulan Phoenix yang ditubuhkan bagi menentang Lord Voldemort dan konco-konconya.

Watak Harry Potter
Albus Dumbledore
Albus Percival Wulfric Brian Dumbledore
Jantina Lelaki
Warna rambut Keperakan
Warna mata Biru
Rumah Gryffindor
Sekolah Hogwarts
Keturunan separuh Sihir
Patronus Phoenix
Sekutu Kumpulan Phoenix
Dilakonkan oleh Michael Gambon & mendiang Richard Harris
Kemunculan pertama Harry Potter dengan Batu Hikmat

Perkataan "Albus" berasal dari bahasa Latin yang bermaksud putih yang lazimnya melambangkan kebaikan. "Dumbledore" pula bermaksud "lebah yang sibuk" kerana pengarang membayangkan watak Dumbledore ini bersenandung ketika melalui dewan-dewan Hogwarts.[1]

Penampilan dalam filem

sunting

Sehingga filem kelima di dalam siri ini, terdapat dua orang pelakon yang melakonkan watak pengetua Hogwarts ini. Dalam versi filem bagi siri Harry Potter and the Sorcerer's Stone (2001) dan Harry Potter and the Chamber of Secrets (2002), watak ini telah dilakonkan oleh mendiang Richard Harris. Beliau, yang pada awalnya memang berniat menolak tawaran melakokankan watak ini,[2] telah dijangkakan akan tampil sehingga siri ini berakhir, tetapi telah meninggal pada 2002 akibat penyakit limfoma Hodgkin.[3][4] Bagi filem-filem di dalam siri ini yang seterusnya, iaitu mulai filem Harry Potter and the Prisoner of Azkaban (2004) dan seterusnya, watak Dumbledore telah diambil alih oleh pelakon Sir Michael Gambon.[5]

Kesinambungan penggayaan watak Dumbledore dalam setiap filem adalah berlainan kerana masing-masing menonjolkan satu-satu bahagian yang terdapat pada watak Dumbledore itu sendiri. Dalam filem yang pertama, Dumbledore dipaparkan sebagai orang yang bijaksana dan penuh muslihat dengan perancangannya. Filem kedua pula, dalam kebahayaan yang berlaku di sekolah, mendiang Richard Harris memaparkan sisi Dumbledore yang lebih tenang. Dalam filem ketiga, setelah Michael Gambon mengambil alih watak itu, sifat Dumbledore yang lain mula kelihatan iaitu seorang tua yang suka berjenaka dalam keselambaannya. Berlainan sangat dalam filem keempat apabila Dumbledore yang dipaparkan adalah yang bersifat agresif dan mula menampakkan watak ini sebagai seorang tua yang takut terjerat dengan perancangannya sendiri. Gabungan kesemua sifat tersebut melahirkan watak Dumbledore yang sebenar.

Latar belakang

sunting

Kehidupan awal dan keluarga

sunting

Melalui banyak temuramah dan perbincangan tentang watak ini, Rowling menyatakan yang Albus Dumbledore telah dilahirkan pada 1881[6] kepada pasangan Percival dan Kendra Dumbledore.[7] Watak ini sebelum itu telah dikaitkan dengan adiknya Aberforth, dan dalam Harry Potter dengan Azimat Maut telah didedahkan yang Albus tua tiga tahun berbanding Aberforth. Buat pertama kalinya dalam siri, turut dinyatakan adik perempuannya Ariana yang, ketika enam tahun, menjadi tidak siuman selepas serangan oleh tiga kanak-kanak Muggle yang menyaksikannya menggunakan sihir. Pada mulanya mereka cuba melakukannya juga tetapi setelah diulang beberapa kali dan tidak berjaya, mereka menghalangnya dari menjadi "berbeza". Tidak jelas dalam novel apakah bentuk serangan tersebut tetapi Percival telah dihantar ke Azkaban untuk seumur hidup kerana menjejaki dan menyumpah kanak-kanak yang trauma dengan anak perempuannya itu. Kesan serangan terhadap Ariana membuatkannya takut untuk melakukan sihir lagi. Untuk menghalangnya dari dimasukkan ke Hospital St. Mungo, atau menyakiti sesiapa dengan sihir yang masih belum dapat dikawal, Kendra berpindah bersama keluarganya ke Godric's Hollow, dan kesakitannya mula menjadi buah mulut orang. Jiran tetangga menganggap yang Ariana adalah seorang Squib.

Apabila Albus bersekolah di Hogwarts, beliau berkawan dengan Elphias Doge, yang telah diejek akibat mukanya yang kehijauan kerana kesan dari cacar naga. Ketika di sekolah, Dumbledore dikenali sebagai pelajar yang terbijak yang pernah menghadiri sekolah itu, memenangi "setiap ganjaran yang pernah ditawarkan sekolah itu", termasuk Pembuatan Mantera Terhebat Anugerah Barnabus Finkley, Wakil Belia British ke Wizengamot dan Pingat Emas bagi Sumbangan Akar Umbi ke Persidangan Alkimia Antarabangsa di Kaherah dan menjadi Pengawas serta Ketua Pelajar. Beliau juga berhubungan baik dengan ahli-ahli sihir hebat semasa. Jurnal seperti Transfigurasi Hari Ini, Cabaran dalam Mantera, dan Ahli Posyen Praktikal menerbitkan esei dan kajiannya. Rumah yang beliau sertai ialah Gryffindor. Hermione Granger memberitahu maklumat ini kepada Harry Potter dalam Batu Hikmat ketika menaiki Ekspres Hogwarts.

Tiga tahun selepas beliau menghadiri Hogwarts, adik lelakinya pula menyertai, Aberforth, yang ternyata agak berbeza dari Albus, dan tidak mempunyai tahap istimewa dalam bakat sihir. Apabila PSB Harry menjelang pada tahun kelima Harry, Griselda Marchbanks, Pihak Berkuasa Peperiksaan Sihir, menyatakan yang Albus "...buat benda-benda yang belum pernah saya lihat sebelumnya dengan tongkat."[HP5] Apabila Dumbledore dan Doge meninggalkan Hogwarts, mereka bercadang untuk menjelajah dunia. Menjelang sahaja tarikh perjalanan mereka, Dumbledore yang ketika itu 18 tahun bersedih dengan kematian ibunya Kendra, yang secara tidak sengaja dibunuh Ariana, ketika dia sedang marah.

Dumbledore dan Grindelwald

sunting

Disebabkan ketiadaan ibu bapa Dumbledore, Albus menjadi ketua keluarga dan menjadi tugasnya untuk menyediakan makanan buat keluarga (dan mereka tidak diwarisi banyak emas). Beliau terpaksa duduk di rumah bersama adiknya ketika Aberforth melengkapkan pendidikannya. Kemudian, Gellert Grindelwald tiba di Godric's Hollow untuk tinggal bersama nenek saudaranya, Bathilda Bagshot, penulis Sejarah Sihir. Kedua-dua lelaki itu berjumpa dan menjadi kawan.[8][9] Bersama-sama mereka impikan untuk memerintah "untuk kebaikan yang lebih baik" dengan mengumpulkan Azimat Maut.

Dumbledore kemudian mengaku kepada Harry yang dia rasa terperangkap di rumah, dan kebolehannya untuk menjadi ahli sihir terhebat sepanjang masa telah dibazirkan dengan terpaksa menjada adiknya yang sakit. Aberforth tahu tentang hal tersebut dan menawarkan diri untuk menjaga Ariana, mengatakan yang Ariana lebih menyukainya tetapi Albus menolak dengan menyatakan bahawa memang sudah menjadi tanggungjawab anak sulung untuk menjaga keluarga. Apabila Grindelwald tiba, Dumbledore gembira kerana akhirnya berjumpa dengan orang yang hampir sebijaknya, orang yang memahami sihir sama dengan cara beliau memahaminya, yang membolehkan beliau untuk melihat kedua-dua aspek gelap sihir Grindelwald dan falsafah peribadi Muggle dan yang berdarah kacukan.

Kedua-dua mereka memikirkan bahawa dunia sihir berhak mengatasi Muggle, dan kedua-dua mereka percaya bahawa ahli sihir patut memerintah mereka dan meletakkan mereka pada tempat yang sepatutnya. Walau bagaimanapun, beliau kemudian mendedahkan kepada Harry bahawa beliau "berasa sedikit bersalah" terhadap rancangan Grindelwald. Tetapi, beliau masih akur pada masa depan yang gelap, dan percaya jika mereka perlu memusnahkan halangan untuk "kebaikan yang lebih baik", dan semua kesengsaraan dan kehilangan itu diganjarkan dengan seratus kali ganda pada akhirnya. Keadaan ini tidak pernah belaku. Perbincangan antara Albus, Aberforth, dan Grindelwald akhirnya menyebabkan pertengkaran yang menyebabkan kematian Ariana. Hingga ke akhir hayatnya, Albus Dumbledore berasa bersalah, tidak pasti sama ada sihirnya sendiri atau sihir orang lain yang membunuh adiknya itu. Menurut pengarang, disebabkan kejadian itu, boggartnya ialah mayat Ariana.[10]

Grindelwald bergegas kembali ke rumah Bagshot dan bertolak untuk meneruskan impiannya seorang diri. Sementara itu, Aberforth menjadi marah ketika majlis pengebumian Ariana dan menumbuk Albus di hidungnya, mematahkan dan menjadikannya sebagai penampilan Albus. Albus kemudian berasa sangat menyesal dan disebabkan itu, beliau tidak pernah mengambil jawatan Menteri Sihir, walaupun ditawarkan beberapa kali. Dumbledore kembali ke Hogwarts sebagai seorang profesor Transfigurasi, dan dia berkhidmat di sana sepanjang hayatnya.

Pada 1945, Dumbledore akhirnya mengalahkan Grindelwald yang telah menjadi ahli sihir jahat, yang ketika itu memiliki Tongkat Elder. Kekalahan Grindelwald membuatkan Dumbledore pemilik Tongkat Elder, yang kekal hingga kematiannya. Dumbledore menganggapnya sebagai Azimat yang paling tak bermakna antara ketiga-tiga Azimat Maut, dan satu-satunya yang sesuai buatnya.

Ketika bercakap di Carnegie Hall, New York pada 19 Oktober 2007, J. K. Rowling telah ditanya oleh seorang pemuda sama ada Dumbledore telah menjumpai "cinta sejatinya". Rowling mengatakan bahawa dia sering memikirkan bahawa Dumbledore adalah seorang gay dan telah jatuh cinta dengan Grindelwald; sama ada Grindelwald mengembalikan perasaan itu, Rowling tidak menyatakan dengan terperinci. Cinta itu, katanya, merupakan "tragedi dahsyat" Dumbledore.[8][9] Rowling menerangkan secara lanjut dengan memberitahu apa yang mendorong Dumbledore berperasaan begitu dengan ilham penguasaan kaum:

Beliau merupakan seorang yang baik, apa yang membuatnya melakukan begitu? Saya tak berfikir langsung perkara begitu, ia seolah-olah datang kepada saya, saya fikir, ‘Saya tahu mengapa dia melakukannya. Dia jatuh cinta.’ Dan sama ada hubungan mereka melibatkan fizikal atau tidak bukanlah isunya. Isunya ialah cinta. Ia bukan tentang seks. Jadi, itu yang saya tahu tentang Dumbledore. Dan ia sangat berpadanan seperti juga dia jatuh cinta dan diperbodohkan oleh cinta. Dia kehilangan petunjuk moral sepenuhnya apabila dia jatuh cinta dan saya rasa kemudian sangat tidak percaya dengan penilaiannya sendiri dalam hal itu maka ia lebih kepada aseksual. Lalu dia hidup membujang dan hidup bersama buku.[11]

Dumbledore dan kebangkitan Voldemort

sunting

Salah satu tugas Dumbledore sebagai seorang guru di Hogwarts ialah mencari kanak-kanak sihir Tom Marvolo Riddle dan menawarkannya untuk bersekolah di Hogwarts. Walaupun Dumbledore kagum dengan kebolehan Riddle, beliau berasa risau dengan minat budak itu yang suka menyakiti orang lalu menyebabkannya tidak pernah mempercayainya. Bertahun-tahun kemudian, Riddle cuba untuk mendapatkan jawatan di Hogwarts, tetapi Dumbledore meyakini pengetua ketika itu, Armando Dippet, untuk menolah permintaan Riddle, dan beliau sendiri menolak permintaan kali kedua beberapa tahun kemudian. Pada ketika itu, Riddle mula berperang dengan bekas gurunya itu dan menggunakan nama yang menyebarkan ketakutan di kalangan dunia sihir beberapa tahun kemudian: Lord Voldemort.

Untuk menyelesaikan masalah itu, Dumbledore menubuhkan Kumpulan Phoenix. Ketika Voldemort mula berkuasa, Kumpulan itu melawan tentera Voldemort, Death Eater dan pengikutnya yang lain. Sepanjang pertarungan itu, Kumpulan itu telah mengalami banyak kehilangan, termasuk kematian James dan Lily Potter. Sebelum pembunuhan pasangan Potter, Dumbledore telah meminta untuk melihat sendiri Jubah Halimunan, kerana mengesyaki ia sebahagian daripada Azimat Maut. Apabila James mati, Dumbledore menyimpan jubah itu dan membuat keputusan untuk menyerahkannya kepada anak James, Harry.

Kemunculan

sunting

Tiga buku pertama

sunting
 
Dumbledore yang dilakonkan oleh Richard Harris dalam Harry Potter and the Sorcerer's Stone dan Harry Potter and the Chamber of Secrets

Dalam pembukaan buku pertama dalam siri ini, Harry Potter dengan Batu Hikmat, Dumbledore tiba di nombor empat, Privet Drive di Little Whinging, Surrey. Setelah ibu bapa Harry terbunuh dan Voldemort menghilang, adalah keputusan Dumbledore untuk menempatkan Harry yang sudah menjadi yatim piatu di rumah Vernon dan Petunia Dursley. Beliau tahu bahawa Harry akan dilindungi oleh kuasa ajaib yang disebabkan oleh pengorbanan ibunya setelah dia membangkitkan sihir ikatan darah itu dan Petunia memeterainya dengan menerima Harry ke dalam rumahnya. Sihir lama bagi ikatan cinta membuatkan Voldemort tidak dapat menyentuh Harry. Dumbledore meninggalkan Harry di hadapan rumah Dursley dengan surat yang menerangkan keadaan sebenar. Beliau pergi dengan ayat, "Semoga selamat, Harry."

Apabila Harry tiba di Hogwarts, Dumbledore memberitahu Harry tentang rahsia Cermin Tarsah, mendakwa apabila beliau melihat ke dalam cermin, ia mendapati dirinya memiliki sepasang stokin berbulu yang tebal. Walau bagaimanapun, beliau, seperti juga Harry, melihat keluarganya masih hidup dan bersatu semula.[12] Beliau juga bertanggungjawab menyihir Cermin itu supaya ia dapat menyembunyikan Batu Hikmat dan hanya orang yang melihat ke dalam Cermi tetapi berhasrat untuk "mencari Batu itu... bukan hendak menggunakannya" akan menerimanya. Beliau telah dipanggil ke Kementerian Sihir oleh surat layang yang palsu pada malam Profesor Quirinus Quirrell, Harry, Ron Weasley, dan Hermione Granger memasuki ruang bawah tanah untuk mendapatkan Batu itu, tetapi mendapati ketika dalam perjalanan bahawa dia diperlukan di Hogwarts dan kembali tepat pada masanya untuk menyelamatkan Harry daripada Quirrell dan Voldemort. Beliau juga berbual dengan Harry selepas kejadian itu dan memberitahunya bahawa dia terlalu muda untuk mengetahui maklumat tentang mengapa Voldemort ingin membunuhnya.

Dalam Harry Potter dan Bilik Rahsia, Dumbledore mengesyaki bahawa Tom Riddle terlibat dengan serangan terhadap pelajar, apabila dia sendiri berkata semasa ditanya siapakah dalangnya, "bukan siapa, tetapi bagaimana?". Dumbledore yang lebih muda muncul dalam diari Riddle, ketika Harry melihat ingatan itu, dan bertanyakan Riddle jika dia tahu apa-apa tentang serangan terhadap pelajar. Dalam bahagian separuh akhir buku itu, Lucius Malfoy memaksa sebelas ahli lembaga sekolah yang lain menggantung Dumbledore sebagai Pengetua sebagai tindakan kepada seranagan basilisk di sekolah apabila Bilik Rahsia dibuka. Dumbledore dikembalikan apabila ahli lembaga mendapati Ginny Weasley telah diculik ke dalam Bilik Rahsia dan Lucius didapati telah memaksa pihak lembaga untuk menggantungnya.

Dalam permulaan Harry Potter dengan Banduan Azkaban, Dumbledore terpaksa untuk menerima dementor ke halaman sekolah untuk melindungi pelajar daripada Sirius Black, yang didakwa pembunuh yang lepas lari dari penjara Azkaban. Selepas pencerobohan Black ke dalam Hogwarts, Dumbledore mengarahkan untuk menutup setiap pintu masuk ke sekolah. Selepas Harry jatuh dari penyapunya ketika perlawanan Quidditch disebabkan dementor, Dumbledore menjadi terlalu marah dan menggunakan tongkatnya supaya Harry selamat ke permukaan tanah. Kemudian, Dumbledore juga mencadangkan kepada Hermione Granger untuk menggunakan Pemutar Masa yang disahkan oleh Kementerian kepadanya untuk kembali tiga jam lebih awal untuk menyelamatkan Buckbeak iaitu seekor hippogriff dan Sirius dari hukuman yang tidak adil kepada mereka.

Buku keempat dan kelima

sunting

Dalam buku yang keempat, Harry Potter dalam Piala Api, Dumbledore memperkenalkan semula Kejohanan Ahli Sihir Trio. Beliau juga bertindak sebagai juri bagi seluruh acara. Apabila nama Harry keluar daripada Piala Api, Dumbledore sendiri keliru tetapi dengan tenang bertanya kepada Harry sama ada dia pernah memasukkan nama ke dalam piala itu ataupun menyuruh pelajar yang lebih tua untuk memasukkan namanya. Apabila Harry menjawab tidak, beliau mempercayainya.

Menjelang penamat buku itu, ketakutan Dumbledore menjadi nyata apabila Harry pulang setelah bertembung dengan Voldemort sambil membawa mayat Cedric Diggory dan apabila Alastor Moody (yang sebenarnya samaran Barty Crouch Junior melalui Posyen Polijus) membawa Harry menjauhi Dumbledore ke pejabatnya di dalam istana. Dumbledore segera mengesyakinya dan terus menuju ke pejabat Moody bersama Minerva McGonagall dan Severus Snape untuk menyelamatkan Harry dan menyoal siasat Crouch. Selepas itu, Dumbledore mendengarkan penyaksian Harry tentang kembalinya Voldemort. Harry kemudian terjaga dari lena hanya mendapati pertengkaran di sayap hospital antara Cornelius Fudge dengan McGonagall, Snape dan Dumbledore yang mempersoalkan apa yang disaksikan Harry. Akhirnya, Fudge dan Dumbledore berpisah arah tentang kebangkitan Voldemort dan Fudge tetap tidak mengendahkannya.

Dalam Harry Potter dalam Kumpulan Phoenix, Dumbledore digugurkan dari menjadi Ketua Ahli Sihir Wizengamot, diundi keluar dari Lembaga Pengerusi Persekutuan Ahli Sihir Antarabangsa, dan hampir ditarik balik Darjah Kebesaran Merlin, Kelas Pertama, kerana kelantangannya mengatakan kembalinya Voldemort. Sementara itu, Kementerian Sihir membuat segalanya untuk membuang beliau dan Harry, terutamanya melalui Daily Prophet. Pada permulaan buku, Dumbledore membuatkan Fudge marah apabila berada dalam perbicaraan Harry dengan membawa saksi (Arabella Figg) untuk memastikan Harry tidak dibuang sekolah. Walaupun Harry berasa lega dengan bantuan Dumbledore, dia terasa jengkel hingga naik marah apabila pengetuanya itu enggan bercakap malah melihat dengannya.

Sepanjang tahun itu Hogwarts, Kementerian telah meluluskan Dekri Pendidikan Nombor Dua Puluh Dua, yang membenarkan Fudge meletakkan Dolores Umbridge (selepas Dumbledore gagal mendapatkan calon yang sesuai) bagi jawatan guru Pertahanan Terhadap Ilmu Hitam. Melalui Umbridge, Fudge sedikit sebanyak menguasai Hogwarts dan Dumbledore, yang ditakuti Fudge akan membina tentera bawah umur untuk mengambil alih Kementerian. Umbridge melarang penggunaan sihir pertahanan secara amali di dalam kelas lalu memaksa Harry, Ron, dan Hermione untuk membentuk Tentera Dumbledore (T.D.) dengan rakan-rakannya. Apabila Kementerian mengetahui tentang T.D., Dumbledore membuat keputusan untuk membela mereka dan bertanggungjawab dengan mengatakan bahawa organisasi itu ditubuhkanya sendiri. Hal tersebut membolehkan dirinya dipecat dari jawatan pengetua (buat kali kedua) dan beliau rela begitu daripada membuatkan Harry dipecat.

 
Dumbledore ketika bertarung di Kementerian Sihir.

Khabar Dumbledore tidak lagi kedengaran hinggalah beliau muncul di Jabatan Misteri untuk membantu Kumpulan Phoenix dalam pertarungan menentang Death Eater, berjaya menangkap hampir kesemua Death Eater dan mengikat mereka dengan Sumpahan Malang Bagi Sihir Ghaib untuk mengelakkan mereka melarikan diri. Beliau kemudian menyelamatkan Harry daripada Avada Kedavra yang dijelmakan Voldemort dan berterusan melawan dengan Raja Kejahatan dengan sengitnya hingga ke jalan buntu. Selepas Voldemort ghaib (sempat disaksikan para Auror dan menteri sendiri), Dumbledore menerangkan kepada Fudge apa yang telah berlaku dan beliau telah dikembalikan sebagai pengetua dan namanya kembali meningkat. Menjelang penamatan buku, Dumbledore akhirnya menerangkan kepada Harry bahawa Voldemort telah menandakan dirinya sebagai setanding dan salah seorang mesti membunuh yang satu lagi pada akhirnya.

Buku keenam

sunting

Dalam Harry Potter dengan Putera Berdarah Kacukan, Dumbledore sendiri mengambil Harry dari Privet Drive dan membawanya untuk memujuk Horace Slughorn untuk kembali mengajar di Hogwarts - tangan kanannya, seperti yang Harry perasan, kering dan kehitaman. Sepanjang tahun persekolahan itu, Dumbledore sering berjumpa dengan Harry di pejabatnya untuk mengajarnya tentang masa silam Voldemort yang penting untuk diketahui. Dalam pembelajaran itu, mereka melawat ingatan beberapa orang yang mengandungi maklumat penting tentang kehidupan Voldemort yang menyebabkannya menjadi kejam. Diketahui juga Voldemort telah mencipta enam Horcrux untuk mencapai keabadian dan mereka harus memusnahkan semuanya sebelum Harry dapat memusnahkan cebisan terakhir jiwa Voldemort yang berada di dalam badan Raja Kejahatan itu. Harry juga berulang kali memberi amaran kepada Dumbledore dalam pelajaran mereka tentang Draco Malfoy yang bekerja untuk Voldemort. Dumbledore enggan mengambil tindakan terhadap Draco malah memberitahu Harry yang beliau lebih mengetahui apa yang berlaku.

Menjelang pengakiran buku keenam, Dumbledore dan Harry keluar ke sebuah gua yang dipercayai Dumbledore terletaknya salah satu Horcrux. Dalam gua, Dumbledore meminum sejenis posyen di dalam bekas Horcrux; ketika meminumnya, beliau mula menjerit, kelihatan seperti diseksa secara mental lalu menjadi lemah. Selepas Inferius cuba menangkap dan menarik Harry ke dalam tasik gua yang dalam dan menyejuk, tiba-tiba Dumbledore pulih dan menjelmakan sihir lingkaran tali api di sekelili mereka. Dumbledore mengambil loket di dalam besen dan mereka berdua keluar dari gua dan kembali ke Hogsmeade. Apabila mereka kembali, Puan Rosmerta memberitahu bahawa Tanda Kuasa Jahat telah dijelmakan di atas Menara Astronomi dan kedua-dua Harry dan Dumbledore menggunakan penyapu Rosmerta terus ke menara itu. Di menara, Dumbledore hanya berbual dengan Draco Malfoy tentang rancangan untuk membunuhnya. Beberapa orang Death Eater memasuki menara itu dan menggesa Draco untuk membunuh Dumbledore. Apabila Malfoy tidak berdaya untuk membunuhnya, Snape muncul dan dengan segera melakukan Sumpahan Membunuh terhadap Dumbledore.

Diketahui kemudian dalam buku terakhir bahawa Dumbledore melakukan kesilapan yang besar dengan memakai cincin yang membawa sumpahan di tangan kanannya, yang terjadi antara buku kelima dan buku keenam, yang terlupa bahawa sumpahan boleh dijelmakan kepada cincin itu. Cincin itu mempunyai Batu Kebangkitan, yang diharapkan Dumbledore untuk menggunakannya untuk meminta maaf daripada adik perempuan dan ibu bapanya. Dumbledore memanggil Severus Snape untuk membantunya; tetapi, apabila Snape tiba dan cuba membuang sumpahan itu, apa yang dapat dilakukan hanyalah memperlahankannya sahaja. Snape memberitahu Dumbledore yang beliau hanya mempunyai jangka hayat lebih kurang setahu sahaja. Selepas mendengar berita itu, Dumbledore mendedahkan kepada Snape yang beliau tahu tentang rancangan Voldemort menyuruh Draco Malfoy untuk membunuhnya. Beliau meminta Snape untuk membunuhnya dengan sumpahan membunuh apabila tiba masanya itu sebab ia kurang memalukan dan kurang menyakitkan berbanding mati akibat sumpahan daripada cincin itu; Dumbledore juga tidak mahu Draco membunuhnya dengan mengatakan bahawa jiwa budak itu masih utuh. Snape hanya bersetuju kerana dia telahpun berjanji untuk melakukan apa sahaja demi Dumbledore.

Sebaik selepas kematian beliau, potret Dumbledore secara ajaibnya muncul di pejabat Pengetua. Pemakamannya telah dihadiri oleh pelajar, guru dan pekerja Hogwarts, ahli Kementerian Sihir, hantu, sentora, duyung dan yang lain lagi yang ingin memberikan penghormatan yang terakhir. Dikafankan dengan kain baldu ungu, beliau dimakamkan di dalam keranda batu marmar putih di tepi tasik Hogwarts, dan dikatakan beliaulah satu-satunya pengetua yang dimakamkan di halaman sekolah.

Buku terakhir

sunting

Rowling menggunakan beberapa bab dalam Harry Potter dengan Azimat Maut untuk mendedahkan dua perkara utama berkaitan Dumbledore: kehidupan awal beliau dan kematian beliau. Selepas mengetahui kisah yang penuh konflik bagi zaman kanak-kanak Dumbledore hinggalah beliau menjadi pengetua, Harry mula merasa yang dia tidak mengenali diri Dumbledore lagi seperti yang dikenalinya sebelum ini. Setelah kecewa, dia sering mendapati dirinya memarahi Dumbledore kerana membuatkan misi pencarian Horcruxes begitu sukar dan tidak memberikan maklumat yang lebih lanjut. Dalam mengumpulkan cebisan-cebisan maklumat dan kisah sebenar bagi masa silam yang tidak mengembirakan itu, Harry akhirnya mengetahui kesukaran zaman muda beliau dari Aberforth dan dari Albus sendiri.

Dumbledore muncul berjumpa dengan Harry buat kali terakhir dalam penghujung buku selepas Harry terkena sumpahan membunuh. Harry menenangkan Dumbledore setelah beliau mendedahkan kesemua kekesalan beliau. Dumbledore kemudian memberitahu Harry tentang pilihan yang dia ada; sama ada teruskan ke kehidupan yang seterusnya atau kembali kepada jasadnya dan menentang Voldemort buat kali terakhir. Selepas kembali dan mengalahkan Voldemort, Harry telah berbual ringkas dengan potret Dumbledore di pejabat pengetua tentang apa yang hendak dilakukan kepada ketiga-tiga Azimat Maut. Dalam epilog, didedahkan bahawa Harry menamakan anak lelaki keduanya sebagai Albus Severus Potter sempena nama Dumbledore dan Snape.

Rujukan

sunting

Nota kaki

sunting
  1. ^ Rowling, J. K. (1999-03-19). "Barnes and Noble interview, 19 Mac 1999". AccioQuote!. Dicapai pada 2007-02-28.
  2. ^ Temu bual The Late Show With David Letterman, 2001
  3. ^ Jeff Jensen (2005-10-28). "A Look Back". Entertainment Weekly. Dicapai pada 2007-10-10.
  4. ^ "Actor Richard Harris dies". BBC News. 2002-10-25. Dicapai pada 2007-10-10.
  5. ^ "Dumbledore and Sirius cast for Azkaban". Newsround. 2003-02-21. Dicapai pada 2007-10-10.
  6. ^ Wizard of the Month Archive Diarkibkan 2009-03-02 di Wayback Machine, J.K.Rowling Official Site
  7. ^ "About the Books: transcript of J.K. Rowling's live interview on Scholastic.com," Scholastic.com, 16 October 2000
  8. ^ a b Rowling dubs Dumbledore of 'Harry Potter' books as gay, dicapai pada 2007-10-20
  9. ^ a b "J.K. Rowling outs Hogwarts character". Associated Press. 2007-10-20. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-06-30. Dicapai pada 2007-10-22.
  10. ^ J.K. Rowling Web Chat Transcript - The Leaky Cauldron
  11. ^ Amini, Adeel (9 Mac 2008). "Minister of Magic". Mugglenet.com. Dicapai pada 2008-03-14.
  12. ^ "Harry Potter at Bloomsbury". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-01-06. Dicapai pada 2008-04-10.

Lihat juga

sunting

Pautan luar

sunting